27 Feb 2010

Saidatul Perlu Cermin Diri Dulu - Datuk Halik

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Datin Saidatul Badru Said Keruak diminta supaya mencermin dirinya dahulu kerana umum mengetahui beliau menyertai KEADILAN kerana niat tertentu, kata Ketua KEADILAN Cabang Kota Belud, Datuk Halik Zaman.

Beliau mengulas kenyataan Datin Saidatul yang disiarkan dalam media arus perdana semalam yang meminta supaya Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menginsafi kesilapan dan kembali ke pangkal jalan.

Datuk Halik mempersoalkan tindakan bekas pemimpin KEADILAN itu yang tiba-tiba mahu menjadi jaguh dengan cuba menaburkan fitnah terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah.

"Kita menjadi musykil di hati, yang Saidatul ini beria-ia dan jadi tukang sibuk minta Datuk Seri Dr Wan Azizah berbuat demikian itu kenapa? Apakah ada 'imbuhan lumayan' menanti di atas kesungguhan beliau untuk merendahkan maruah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga?," soal Datuk Halik.

Menurut beliau lagi Datin Saidatul seharusnya sedar bahawa sejak dahulu lagi penyokong KEADILAN di Sabah telah mencurigai keikhlasan dirinya yang menyertai parti dengan niat tertentu.

"Mana tidaknya, suami beliau adalah rakan baik Najib. Masuk akalkah suami baik dengan Najib, isteri sokong PKR ? Dari sana sudah terserlah 'sumbangnya' penglibatan beliau dalam PKR," jelasnya.

Datuk Halik turut mempersoalkan sumbangan yang telah diberikan Datin Saidatul sepanjang berada dalam KEADILAN dan memegang jawatan di Sabah sehingga terdapat banyak anasir yang cuba memecahbelahkan parti itu.


"Penyokong-penyokong PKR sedar dan maklum hal ini tapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana kebijakkan Saidatul membodek Kak Wan (Datuk Seri Dr Wan Azizah) ketika itu. Penyokong PKR hanya lihat pakai mata sahaja. Sebab itulah di zaman Saidatul tidak ramai rakyat Sabah berminat untuk menyertai PKR kerana putar belit Saidatul demi menyelamatkan Umno Sabah," kata beliau lagi.

Menurut Datuk Halik lagi, Datin Saidatul kini mungkin tidak senang duduk melihatkan perkembangan dan sambutan baik yang diberikan rakyat Sabah kepada KEADILAN.

"Itulah sebabnya dia menggunakan kesempatan berdasarkan kedudukan beliau dalam PKR sebelum ini untuk cuba menggoncang kepercayaan rakyat kepada PKR. Beliau sangka rakyat dan penyokong PKR akan mempercayainya berdasarkan dia pernah 'duduk semeja' dengan PKR," ujarnya lagi. -Suara Keadilan


Insaflah Wan Azizah – Saidatul Badru

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diminta supaya menginsafi kesilapan dan masih belum terlambat untuknya kembali ke pangkal jalan.

Bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak berkata, semua yang mengaku beragama Islam perlu ingat bahawa kehidupan manusia tidak hanya berakhir di dunia sahaja tetapi akan berterusan hingga ke akhirat.

Menurutnya, beliau yang juga seorang wanita, isteri dan mempunyai anak-anak mengakui amat memahami situasi yang dihadapi oleh Wan Azizah iaitu keperluan untuk menjaga maruah suami.

“Tetapi kita sebagai isteri juga mempunyai tanggungjawab kepada negara. Sekiranya, suami sudah merosakkan negara kita mesti minta dia berhenti dan tidak (lagi) menyokong tindakannya.

“Letakkanlah kepentingan negara mengatasi kepentingan suami untuk mencapai cita-cita peribadinya. Kasihanlah kepada penyokong dan rakyat yang tidak tahu apa-apa, fikirkanlah maruah anak-anak dan hidup mereka di dunia dan akhirat.

“Kita bukan nak hidup di dunia sahaja, saya tahu Wan Azizah mengetahui hal sebenar dan saya kecewa demi kepentingan politik suami dan dirinya (sanggup) dia berbohong kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk S. Nallakaruppan yang menyatakan bahawa Wan Azizah selayaknya diberi anugerah ‘Pelakon Wanita Terbaik 2010' atas kehebatan ‘lakonannya’ ketika berhadapan dengan rakyat.

Beliau yang juga bekas rakan karib, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara sinis bersedia mengemukakan cadangan itu kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim untuk dipertimbangkan.-UM


1 ulasan:

Awanama berkata...

Dia patutnya minta sayfool dan papagomo insaf...bukan wan azizah...