15 Feb 2010

Asri Saran Kajisemula Enakmaen Larang Penggunaan Perkataan Tertentu

Dr Asri Zainul Abidin mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS Khalid Samad sambil berpendapat bahawa kerajaan-kerajaan negeri selain Selangor juga wajar mengkaji semula enakmen melarang bukan Islam menggunakan sejumlah perkataan dan ungkapan tertentu.

Bekas mufti Perlis moderat itu berpendapat langkah meminda Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 perlu dilihat dari sudut keperluan dan perkembangan semasa.

“Ya, saya juga rasa cadangan itu perlu dilihat (oleh kesemua 10 kerajaan negeri) dari segi perkembangan semasa... kehendak dahulu dan sekarang yang tidak sama sekali.

“Kalau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh dikaji, tak akan perkara ini tidak boleh dikaji,” kata beliau sambil menambah, ada banyak perkataan dan ungkapan yang dilarang daripada digunakan oleh bukan Islam dalam konteks seharian.

Macam mana kita hendak mengembangkan agama kita jika dari awal-awal lagi kita juga menyekat mereka (bukan Islam) daripada menggunakan perkataan-perkataan tertentu.

Oleh itu, kata beliau, kerajaan perlu untuk mengeluarkan garis panduan yang jelas berhubung soal itu.

“Sebagai contoh, perkataan masjid, Rasul tak akan tidak boleh digunakan (oleh bukan Islam) dari konteks yang betul... tak akan kita hendak mengambil tindakan ke atas mereka, hendak menangkap mereka kerana menggunakan perkataan ‘Allah’,” katanya.

“Biar kita adakan perbincangan dan buat kajian, mungkin kita akan mendapat kesimpulan untuk menilai semula ataupun mendapat kesimpulan untuk mengekalkan perkataan yang sedia ada,” katanya yang kini menghadapi tuduhan Jais menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah.

Malangnya menurut beliau, syor sedemikian dari awal-awal lagi sudah dibantah tanpa mendengar pandangan pelbagai pihak.

“Saya suka perkara ini diteliti. Ini kerana saya bimbang Islam akan dilihat sebagai satu bentuk alat yang digunakan untuk mengenakan tekanan ke atas orang lain... tetapi saya mahu Islam dilihat sebagai agama rahmat untuk semua, agama yang amalkan kesederhanaan,” katanya lagi.

“Malah ada beberapa negeri seperti Selangor dan Johor yang lagu negeri ada menggunakan perkataan Allah, lambang polis pun ada perkataan Allah dan begitu juga dengan lambang Tentera Laut... mereka semua ada anggota kalangan bukan Islam. Jadi bagaimana?

“Oleh itu, kita kena mendefinisikan semula perkataan-perkataan yang boleh digunakan dan tidak boleh digunakan dengan mengambil kira keperluan semasa,” katanya.

Di peringkat Selangor, orang bukan Islam secara bertulis atau lisan tidak boleh menggunakan 25 perkataan yang dilarang mengikut Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

Antara perkataan itu adalah, Allah, firman Allah, nabi, mubaligh, syariat, wahyu, mufti, kaabah, hadis, Rasul, iman, ibadah, fatwa, haji, kiblat, Ilahi, Injil, ulama, khalifah, wali, syeikh, imam dan dakwah.

Malah Selangor juga melarang bukan Islam menggunakan 10 perbahasan seperti subhanallah, insya-Allah, astaghfirullahlah, masya-Allah dan Allahuakbar sama ada berbentuk lisan ataupun penulisan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Enakmen seumpama itu diguna pakai oleh 10 negeri termasuk Selangor. Tetapi tidak digunakan oleh Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini, Timbalan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor Abdul Halem Hapiz Salihin pernah berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 31 Dis lalu membenarkan Herald menggunakan kalimah ‘Allah’ bertentangan dengan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam), Bagaimanapun jumlah perkataan dan ungkapan seumpama itu membabitkan Melaka adalah lebih banyak.

Majlis Agama Islam Melaka menyenaraikan 33 perkataan termasuk kalimah Allah dan 15 ungkapan dalam Islam yang tidak boleh digunakan penganut agama lain dalam penerbitan atau percakapan mereka.

Perkataan tersebut ialah firman Allah, ulama, hadis, ibadah, kaabah, kadi, Ilahi, wahyu, mubaligh, syariat, kiblat, haji, mufti, Rasul, dan iman.

Selain itu ialah perkataan dakwah, solat, khalifah, wali, fatwa, imam, nabi, sheikh, akhirat, azan, al-Quran, al-Sunnah, hauliak, karamah, shahadah, masjid dan Baitullah.


Bagi ungkapan pula terdiri daripada Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Walillahilhamd, Allahu Akbar, insya-Allah, Astaghfirullah Azim, Tabaraka Allah, masya-Allah, Lahaula Walaquata Illabillahil Azim, Assalamualaikum, Wallahi, Wabillahi, Watallahi dan Auzubillah.

Justeru akhir bulan lalu, Khalid mengesyorkan agar enakmen agama yang melarang penggunaan kalimah Allah dan perkataan-perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman dikaji semula.

Bagaimanapun ia dikecam Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dari PKR, sehingga mencetuskan polemik dalam parti itu.

Justeru, Zulkifli membuat laporan polis meminta agar Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam disiasat di bawah Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan, menghina dan memudaratkan keharmonian kaum.

Khalid menghadap Sultan Selangor selaku ketua agama negeri sehari selepas itu dan beliau dititahkan supaya mengemukakan pandangan jika mahu enakmen berkenaan dikaji semula.

Mengenai pihak yang perlu memulakan langkah itu, Asri menambah, kerajaan perlu mendengar pandangan daripada pelbagai pihak.

“Saya rasakan kerajaan perlu ingat bahawa perkara ini tidak harus dimonopoli oleh pihak konservatif dan tradisional sahaja, yang mahu menjaga kedudukan mereka. Sebaliknya perlu menilai pandangan semua pihak jika kerajaan mahu menggalakkan konsep 1 Malaysia.

“Kerajaan harus menjemput golongan ulama yang berfikiran sederhana dan bukan konservatif... dalam hal ini saya memuji tindakan (Pengerusi IKIM) Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjemput semua pihak (termasuk ahli politik BN dan Pakatan) untuk memberikan pandangan,” katanya. -MI


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

singkir hasan ali, banyak perubahan dapat dilakukan

Tanpa Nama berkata...

mana Kulim?? cepat buat laporan polis terhadap ustaz asri kerana 'menghina & mempersoallan melayu/islam'