15 Feb 2010

AMK Pulau Pinang Anjur Himpunan Sokongan Kerajaan PR Esok.

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Pulau Pinang akan mengadakan Himpunan Rakyat Menyokong Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pada 16 Februari ini di Dewan Milenium, Kepala Batas.

Ketuanya, Amir Mohd Ghazali (gambar) berkata, ia sebagai cara menjawab segala pertuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan negeri.

Katanya, pemergian bekas Pengerusi KEADILAN negeri, Datuk Seri Zahrain Hashim tidak memberi kesan pada pengerakan PR di negeri ini malahan bertambah kuat apabila larinya individu yang banyak menjahanamkan parti.

Menurutnya, perhimpunan itu akan dihadiri oleh Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosidi Husain, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Yusni Mat Piah dan Pengerusi KEADILAN negeri, Dr Mansor Othman.

"AMK Pulau Pinang akan adakan dua program besar selepas sambutan Tahun Baru Cina untuk membersihkan nama Kerajaan Negeri.

Selain itu AMK juga bertekad berhimpun seramai mungkin untuk mengatakan pendirian berada kukuh di belakang kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang," tambahnya yang juga Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Menurutnya lagi, inilah kali pertama Anwar kembali ke Pulau Pinang setelah dihadapkan ke mahkamah kali kedua ekoran pertuduhan liwat.

Selain itu, pada 7 Mac, dijadualkan majlis Debat Perdana sempena dua tahun pemerintahan PR diadakan di Tapak Ekspo Seberang Jaya yang melibatkan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP), Rizal Faris Mohideen, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim dan Ketua Pemuda Umno negeri, Norman Zahalan.

"Perdebatan isu roboh gerai di Pulau Pinang menjadi hangat apabila DPMPP, GPMS dan Umno tiba-tiba bersemangat kononya demi bangsa dan agama.

“Kita nak lihat apakah hujah mereka walhal Kerajaan Pakatan Rakyat bukan sahaja bertindak terhadap gerai Melayu bahkan Cina dan India turun dikenakan tindakan kerana tidak mengikuti peraturan sejak di zaman Barisan Nasional (BN) lagi, " ujarnya.

Di dalam satu perkembangn berkaitan Angkatan Muda Keadilan Bayan Baru (AMKBB) Ahmad Azrizal Tahir (gambar) mendesak Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru kerana kemenangannya dalam pilihan raya umum adalah atas usaha keras dan kerjasama jentera Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

"Beliau juga menang hasil sokongan dan undi rakyat yang memilih ahli parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat, PR dan mereka bukan memilih wakil rakyat menggelar diri mereka sebagai ahli parlimen Bebas," kata beliau ketika mengulas perkembangan terbaru berhubung isu peletakan jawatan Zahrain yang juga bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Bayan Baru.

Tambah Ahmad Azrizal, selain menyokong kepemimpinan ketua menteri Lim Guan Eng, pihak AMK cabang parti itu juga menyatakan sokongan ke atas pucuk pimpinan parti, khasnya, Anwar Ibrahim dalam meneruskan agenda membebaskan Malaysia daripada pemerintahan Umno-BN.

"Dan, dalam masa yang sama kami akan berjuang habis-habisan dengan semua rakan dalam PR bagi memastikan beliau menjadi pemimpin kerajaan di negara ini.

"Kami menegaskan, bahawa kami tidak akan terbuai dengan falsafah perjuangan tanpa prinsip dan akan terus ke depan dalam memperjuang nasib masyarakat teramai," tambah beliau.

Selain itu, Pengerusi PKR Pulau Pinang Mansor Hj Othman pula berkata, pihaknya sudah lama menjangka Zahrain akan bertindak keluar parti selepas melepaskan kritikan tidak berasas terhadap Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Keputusan ini tidak sesekali mengejutkan kita walaupun kita kesal dengan kenyataan beliau yang tidak berasas itu. Sebenarnya cabang beliau sendiri telah menghantar surat untuk berjumpa dengan beliau tetapi beliau tidak berani bersemuka dengan anggota-anggota cabangnya sendiri.

"Ini bermakna, beliau tidak mempunyai pengikut di cabang beliau sendiri. Malah cabangnya sendiri bercadang membuat undi tidak percaya kepada beliau. Ini sekaligus membuktikan beliau tidak mempunyai pengaruh bukan sahaja di Pulau Pinang malah di cabangnya juga," kata Mansor.

Mansor berkata, walaupun Zahrain kini bebas mengkritik Pakatan Rakyat kerana beliau tidak lagi terikat dengan permuafakatan PR namun Zahrain mesti ingat bahawa ahli-ahli parti juga kini bebas mengkritiknya tanpa sebarang sekatan.

Tiada ulasan: