26 Jan 2010

Wang Ihsan Satu Pengkhianatan

Datuk Nik Aziz Nik Mat mengulangi pendiriannya, tindakan kerajaan pusat hanya mahu beri wang ihsan adalah satu pengkhianatan, dan tidak akan teragak-agak untuk meminta rakyat adakan doa musnah pemimpin pusat.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan menegaskan beliau tidak akan menerima bayaran wang ihsan.

“Saya tidak akan terima wang ihsan. Saya akan beritahu kepada rakyat semua, pusat merampas, mencuri, menyamun harta Kelantan.

“Dan saya akan minta tolong rakyat semua doa supaya musnah pemimpin pusat,” kata beliau kepada pemberita selepas menerima rombongan ekspedisi PAS Batu di kediaman rasminya semalam.

Ekspedisi diketuai Yang Dipertuanya, Ishak Surin menyerahkan memorandum sokongan PAS kawasan tersebut terhadap usaha kerajaan negeri menuntut royalti petroleum. Kerajaan Kelantan membuat tuntutan tersebut pada awal tahun lalu.

“Kelantan menuntut hak kami secara Islam. Allah beri kepada kami logam di bumi Kelantan, balak permukaan Kelantan dan batu-batan di tanah Kelantan dan juga logam di laut yang kita panggil petroleum.

“Itu adalah hak Kelantan. Mana-mana orang ambil hak orang lain berdosa dunia akhirat. Di dunia dia dikutuk dan didoa musnah oleh semua rakyat Kelantan. Di akhirat kelak, dia akan dimamah oleh api neraka,” katanya
.

Nik Aziz menyifatkan pemimpin pusat sebagai pembohong besar apabila berdolak-dalik ketika membuat kenyataan tersebut sebagai mengarut dan putar belit seolah-olah kehidupan mereka bertuhankan duit.

“Mereka menyebut peringkat pertama Kelantan tiada hak. Diulang berkali-kali Kelantan tiada hak. Kemudian sekarang ini ada hak pula? Tapi dengan nama wang ihsan,” katanya.

Nik Aziz juga mempertahankan hasil pengeluaran minyak dari perairan pantai Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Katanya, bahan api tersebut tidak terdapat di Kuala Lumpur atau Putrajaya.

“Adanya duit petrol di khazanah pusat ini hasil daripada tuah bumi Kelantan… bumi Terengganu, Sabah dan Sarawak. Tiba-tiba mereka yang tiada minyak setitik ni kata hak dia.

“Kami yang mempunyai hak ini mereka kata tiada hak. Mengarut!” katanya. Mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Husein kerajaan akan melantik beberapa wakil kerajaan Kelantan untuk menduduki jawatankuasa pembangunan wang ihsan, Nik Aziz berkata, itu perkara kedua.

“Itu masalah yang kedua. Pasti dulu nak runding ni, hendak bagi royalti atau ihsan kepada kerajaan Kelantan? “Kalau runding nak beri wang ihsan tak payah runding. Saya tak akan terima,” ujarnya.

Difahamkan kerajaan pusat akan membayar wang ihsan kepada Kelantan pada Mac ini. Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bertegas bahawa di bawah undang- undang rakyat Kelantan akan diberi wang ehsan bukan royalti.

“Yang penting rakyat Kelantan akan menerima habuan. Namanya berbeza kerana di bawah undang-undang rakyat Kelantan akan diberikan wang ihsan bukan royalti.

“Peruntukan tetap disalurkan,” kata beliau di sini malam tadi mengulas keengganan kerajaan negeri untuk menerima bayaran wang ihsan dari kerajaan pusat selain menolak rundingan dan pelantikan wakil kerajaan menduduki jawatankuasa pembangunan wang ihsan.

Kata Mustapa, kerajaan pusat mempunyai pendekatan 1 Malaysia untuk bermuafakat melibatkan kerajaan pusat dan negeri bagi menjaga hal-hal yang berkaitan kepentingan rakyat.

“Kita harap isu ini tidak dipolitikkan. Kita (kerajaan pusat) punyai niat ikhlas di mana kita merasakan penting wang ihsan ini disalurkan bagi menentukan keutamaan projek atau program yang wajar kita laksanakan untuk faedah rakyat di negeri ini.

“Kerajaan pusat akan berlaku adil, apa jua yang berhak diterima rakyat Kelantan, akan di salurkan,” katanya sambil menafikan dakwaan kerajaan negeri kononnya rakyat Kelantan dianiaya dalam isu berkenaan.

“Peruntukan tetap disalurkan, namanya wang ihsan. Jadi kita mahu supaya ada muafakat antara kerajaan pusat dan negeri demi kemanfaatan rakyat Kelantan,” katanya.

Sehubungan itu Mustapa menyeru kerajaan negeri tidak terus berkeras dalam hal ini dengan mengambil sikap berkonfrontasi memandangkan kerajaan pusat ikhlas membantu rakyat Kelantan melalui wang ihsan. - Mohd Zuharman

5 ulasan:

sydeen aka saidin berkata...

tokpa & awang adek bukan rakyat klate

Awanama berkata...

siapa yang menghabiskan wang petronas kalau bukan kerajaan UMNO/BN

Awanama berkata...

kerajaan BN menzalimi rakyat kelantan dan malaysia, insuran kenderaan mahal.

Awanama berkata...

ikhlas kepala hotak engkau oi stopa.kalau ikhlas nak bantu kenapa susah sangat nak bagi ko klate.ni namanya nak dapatkan habuan.mana tidaknya,kalau bagi ko puak umno,bleh ah kekoh sikit2 sorang.lah korang jgn berpolitik.yg mu dok kacau sangat ni bukan politik.porah stopa.mu bukan anak klate ko wei.harap anok cucu n warih waroh mu tak dapat raso walau sesen pun duit royalty ni.

Martoiriat berkata...

Sokong 100% Tuan Guru Nik Aziz
tolak wang ihsan. Kalau Kerajaan
pusat beri pun bukan kapada k'jaan
yg memerintah (pas) tapi ianya akan
diberi kpd Pemimpin2 UMNO melalui
Jabatan Pembangunan Persekutuan.(JPP). Memang Kerajaan pusat (UMNO-BN) adalah pengkhianat kpd rakyat
Kelantan.. terutamanya Mustapha
Mohamad dan Awang Adek yg sentiasa
cuba menghalang ttuntan kerajaan
kelantan terhadap wang royalti ini.
Kedua2nya memang jahat dan penting
kan politik..