11 Jan 2010

Ahli Politik Simbah Petrol Semarakkan Api Kemarahan Umat Islam

Nasi sudah menjadi bubur Oleh Amin Iskandar

Segala maki-makian, penghinaan dan kutukan ditujukan kepada perancang, perlaku dan yang menyokong serangan-serangan terhadap rumah ibadat penganut agama Kristian di Malaysia.

Ketika artikel ini ditulis, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah mengesahkan tujuh buah gereja telah menjadi sasaran cubaan membakar dan vandalisme. Kejadian serangan gereja yang terbaru dilaporkan di Melaka, Perak dan Sarawak.

Pelbagai cara dilakukan dalam serangan-serangan keatas gereja tersebut termasuklah menggunakan “Molotov cocktail”, membaling batu dan menyimbah cat hitam.

Apa sekalipun akan dilakukan selepas ini baik oleh kerajaan, NGO dan masyarakat, kita tidak akan dapat mengubah satu fakta yang telah terjadi dan telah dirakamkan melalui berita, penulisan, gambar dan video bahawasanya di Malaysia yang kita cintai, rumah ibadat kepada penganut agama Kristian telah dibakar dan menjadi mangsa kepada vandalisme.

Dalam sekelip mata, imej Malaysia sebagai sebuah negara berbilang agama dan kaum yang hidup secara bertoleransi musnah begitu sahaja. Kini, Malaysia dipandang hina sepertimana dunia memandang hina kepada kerajaan Afghanistan ketika di perintah oleh Taliban kerana mengebom patung Buddha di Bamiyan pada Mac 2001.

IMEJ MALAYSIA MUSNAH DI MATA DUNIA

Secara “ranking” nya, Malaysia kini boleh diletakkan sebaris dengan Afghanistan sewaktu diperintah oleh Taliban. Pastinya selepas ini masyarakat antarabangsa akan meluat untuk menonton iklan “Malaysia. Truly Asia” yang boleh dilihat jika menonton CNN atau BBC setelah membaca berita mengenai pembakaran gereja di Malaysia.

Tidak kurang juga pelancong-pelancong yang akan membatalkan rancangan mereka untuk melawat Malaysia setelah membaca berita mengenai “religious tension” di Malaysia.

Itu belum lagi dihitung mengenai pelabur-pelabur asing yang akan membatalkan hasrat mereka untuk melabur di Malaysia. “Economic recovery” yang dicita-citakan oleh perdana menteri mungkin tidak akan menjadi kenyataan dalam jangkamasa yang terdekat ini.

Sudah pasti yang akan menanggung akibat daripada “tindakan bodoh” ini adalah rakyat jelata yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Orang Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan lah yang akan menanggung susah daripada peristiwa yang menyayat hati ini. Apabila kerajaan gagal untuk memulihkan kegawatan ekonomi, rakyatlah yang akan “dicukaikan”.

Sama ada kalimah “Allah” boleh digunakan oleh penganut agama Kristian atau tidak, apabila goods and service tax (GST) diperkenalkan nanti, rakyat Malaysia akan mempunyai peluang untuk membeli teh tarik dengan harga yang boleh dibanggakan seperti RM 2 atau RM 2.50 di kedai-kedai Mamak. Bukankah apabila barang menjadi mahal petanda kepada negara sudah maju?

Beberapa tahun lalu, seorang teman saya yang beragama Kristian dari Indonesia pernah memuji toleransi antara kaum dan agama di Malaysia. Kata beliau, perayaan Krismas meriah di Malaysia walaupun majoriti rakyat beragama Islam. Tidak tahu pula apa yang beliau fikir kini setelah membaca berita mengenai pembakaran gereja di Malaysia.

ISU ALLAH ISU POLITIK BUKAN AGAMA

Sejak dari awal lagi saya melihat isu Allah ini bukan isu agama tetapi lebih kepada isu politik. Sepertimana dalam sejarah dunia, apa yang dikatakan dengan “religious war” itu sendiri tidak pernah berlaku kerana ajaran agama akan tetapi berlaku kerana elit politik yang menggunakan agama untuk kepentingan politik.

Islam itu sendiri tidak pernah mengajar penganutnya untuk membakar atau memusnahkan rumah ibadat kepada penganut agama lain. Malahan didalam perperangan sekalipun tidak dibenarkan umat Islam untuk membakar rumah ibadat kepada penganut agama lain.

Semenjak dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan pada 31 Dis 2009 bagi membenarkan akhbar The Herald untuk menggunakan kalimah Allah, ahli-ahli politiklah yang menyimbah “petrol” untuk menyemarakkan lagi kemarahan umat Islam di Malaysia.

Apakah kita sudah terlupa dengan kenyataan seorang ahli politik bahawa keputusan mahkamah membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada penganut Kristian itu boleh diumpamakan seperti kes “Natrah” pada tahun 1950an dulu? Bagi yang masih belum tahu mengenai kes “Natrah”, silalah gunakan khidmat “Google” untuk mendapatkan meklumat mengenainya. Selepas anda faham mengenai kes “Natrah”, barulah anda faham mengapa saya katakan ahli politik tersebut menyimbah “petrol” di api yang marak.

Apakah kita sudah terlupa dengan kenyataan ahli politik yang satu lagi bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah disebabkan oleh orang Melayu yang berpecah dari segi politik?

Itu baru dua contoh kenyataan daripada ahli-ahli politik yang boleh diumpamakan sebagai menyimbah “petrol” di api yang marak. Jika disenaraikan kesemuanya, maka bermuka-mukalah artikel ini dan boleh mencapai beribu-ribu muka surat sehingga tidak ada siapapun yang larat membacanya.

Itu belum lagi di senaraikan bagaimana akhbar dan siaran televisyen yang turut sama menyumbang kepada berlakunya tindakan ekstrim membakar gereja ini. Kita pun tahu akhbar mana dan siaran televisyen mana yang dimaksudkan.

Kita juga terkejut bagaimana Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri menjadi “sangat demokratik” apabila mengatakan bahawa kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa jika rakyat mahu berdemonstrasi menentang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Cuba imbas kembali apabila rakyat berdemonstrasi menentang ISA dan PPSMI satu ketika dahulu, apakah kerajaan “sedemokratik” ini? Apakah salah jika saya katakana bahawa kerajaan terlibat dalam “menyimbah petrol” untuk menyemarakkan kemarahan rakyat dalam isu Allah ini?

ANGGOTA KESELAMATAN TIDAK MEMBANTU UNTUK MENAMATKAN KRISIS

Kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan bahawasanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai cukup anggota untuk mengawal gereja adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan boleh dilihat sebagai memberikan “signal” yang tidak baik.

Selepas Musa Hassan mengeluarkan kenyataan tersebut, kejadian “terrorism” terhadap gereja terus berlaku dan telah merebak ke negeri-negeri lain. Seharusnya, jika benar sekalipun PDRM tidak mempunyai cukup anggota, mengapa perlu diumumkan dalam sidang akhbar?

Bukankah lebih baik perkara tersebut didiamkan dan PDRM boleh berbincang dengan kerajaan tentang bagaimana untuk mengatasi masalah kekurangan anggota seperti mendapatkan bantuan tentera, bomba dan anggota Rela?

Akan tetapi, bagi yang sudah mempunyai pengalaman melihat bagaimana anggota PDRM mengawal demonstrasi seperti Perhimpunan Bersih dan pilihanraya-pilihanraya kecil yang berlangsung selepas 8 Mac 2008, tentu sukar untuk percaya dengan kenyataan KPN tersebut.

Mungkin telah sampai waktunya untuk Musa Hassan untuk berundur dan menyerahkan jawatan KPN kepada Timbalannya. Daripada kenyataan yang beliau keluarkan, seolah-olah beliau sudah tidak mampu lagi untuk mengawal keadaan.

Diharapkan agar keganasan keatas rumah ibadat tidak lagi berterusan. Jika kerajaan dan pemimpin gagal untuk mengawal keharmonian diantara agama, sudah tiba masanya untuk rakyat keluar untuk menunjukkan contoh. Walaupun “nasi telah menjadi bubur”, masih banyak yang boleh dilakukan untuk menenangkan keadaan.

Sejuk hati apabila terbaca berita bahawa NGO Islam ingin membantu Rela untuk mengawal gereja daripada terus diganasi. Sejuk juga hati apabila terdengar bahawa ada orang Islam mengutip derma untuk diserahkan kepada gereja yang terbakar teruk di Desa Melawati.

Umat Islam di Malaysia kini harus bekerja keras untuk menunjukkan kepada dunia bahawa mereka bukanlah “pengganas”. Sudah sampai masanya untuk buktikan bahawa mereka adalah pengikut ajaran Allah dan bukannya hanya bising ketika nama “Allah” digunakan oleh bukan Islam.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Tahniah GB

Penulisan yang sangat baik

Unknown berkata...

kredit sebenar kpd Sdra Amin Iskandar