21 Dis 2009

Rasuah: SPRM Lepaskan Jerung, Tangkap Bilis

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak segera menyiasat tokoh-tokoh politik dan ahli-ahli perniagaan yang hidup mewah melebihi kemampuan masing-masing dari segi kewangan.

"SPRM hendaklah menyiasat mereka ini dan jangan tunggu aduan daripada orang ramai dan perkara ini harus dilapor terus kepada Parlimen," kata Presiden Transparency International Malaysia, Tan Sri Dr Ramon Navaratnam.

Mengulas usaha kerajaan untuk memerangi rasuah pada Program Transformasi Kerajaan di Kuala Lumpur yang tamat semalam, beliau berkata, "sebahagian anggota masyarakat mempertikai langkah SPRM kerana hanya menangkap "ikan bilis" dan kelihatan tidak
berminat untuk menangkap "jerung".

"Sehingga SPRM menangkap "jerung-jerung" ini dan didakwa di mahkamah serta dijatuhkan hukuman, orang ramai terus berasa sangsi tentang keikhlasan suruhanjaya itu," terang beliau.

Ramon yang juga pengerusi panel penyampaian dan rundingan SPRM berkata, setakat ini tidak ada tokoh politik yang didakwa dan dijatuhkan hukuman kerana rasuah.

"Sebagai contoh katanya, dalam skandal PKFZ (Zon Bebas Pelabuhan Klang) hanya bekas pengurus besar LPK (Lembaga Pelabuhan Klang) O C Phang yang didakwa di mahkamah.

Phang bukanlah "ikan jerung" kerana ada lagi mereka yang lebih tinggi kedudukannya daripada beliau," jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Prihatin Sosial, Tan Sri Robert Phang berkata, "dalam skandal PKFZ, nama-nama "ikan jerung" telah disebut hasil siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara tetapi tidak ada sesiapa yang didakwa di mahkamah."

"Skandal PKFZ menjadi ujian getir buat kerajaan dan perlu kepada kesungguhan politik untuk bertindak tanpa bimbang dan pilih kasih," ujar beliau. -FMT


Tiada ulasan: