19 Dis 2009

Dewan Himpunan Penyokong PAS Ganti Kelab Penyokong PAS

Kelab Penyokong PAS akan dikenali Dewan Himpunan Penyokong PAS mulai tahun depan, dilihat sebahagian usaha susulan parti itu untuk menarik sokongan penyokong bukan Islam walaupun “kuasanya masih dilihat terhad”.

PAS pusat telah meluluskan perlembagaan khusus bagi sayap baru itu dan ia dijangka dilancarkan menjelang Februari depan.

Kelab Penyokong PAS terdiri daripada lebih 20,000 ahli daripada kaum India, Cina, Siam dan Iban. Ia ditubuhkan pada tahun 2004.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS pusat Dr Mujahid Yusuf Rawa memberitahu The Malaysian Insider, usaha mengiktiraf ‘kehadiran’ penyokong bukan Islam dalam bentuk “dewan” akan membolehkan mereka menjadi pemerhati khas dalam muktamar.

“Mulai awal tahun depan mereka akan dikenali sebagai dewan,” katanya.

Dewan itu akan diketuai oleh pengerusi.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa buat masa sekarang mereka tidak ada kuasa untuk mengundi dalam muktamar peringkat pusat dan negeri.

Usaha naik taraf itu dibolehkan dengan mengadakan perlembagaan tersendiri tanpa melibatkan pindaan pada perlembagaan induk PAS.

Mujahid berkata, perlembagaan induk membolehkan parti itu mewujudkan jawatankuasa atau dewan baru tanpa melibatkan pindaan pada perlembagaan induk PAS.

“Ini langkah awal untuk mengiktiraf penyokong-penyokong bukan Islam dalam PAS. Malah ini juga langkah susulan mengiktiraf selepas Kelab Penyokong PAS diwujudkan,” katanya.


Draf perlembagaan Dewan Himpunan Penyokong PAS, kata beliau, telah tiga kali dibincangkan di peringkat jawatankuasa pusat PAS dan telah diterima untuk diguna pakai.

“Bermakna dewan ini boleh dilancarkan bulan depan atau pada Februari ini,” katanya.

Draf itu membolehkan Dewan Himpunan Penyokong PAS ditubuhkan di peringkat pusat, negeri dan kawasan.

“Tetapi tiada Dewan Himpunan Penyokong PAS peringkat cawangan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai ketiadaan hak mengundi, Mujahid yang juga anggota jawatankuasa pusat PAS berkata, peruntukan itu memerlukan pindaan pada perlembagaan induk parti yang kelulusan Pendaftar Pertubuhan juga akan mengambil masa yang lama.

Bagaimanapun apabila usaha terbaru ini diterima ramai langkah meminda perlembagaan induk akan dilakukan dalam jangka panjang, tambah beliau.

“Kami hendak menjalankan perubahan secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Jawatankuasa teknikal ke arah menaik taraf Kelab Penyokong PAS sebagai dewan atau sayap formal bagi mengiktiraf keanggotaan masyarakat bukan Islam dalam parti itu telah ditubuhkan awal tahun ini. -MI

Ulasan GB

Meskipun pembentukan ini dilihat agak terlalu lewat, namun kita ucapkan tahniah kerana Kelab Penyokogn PAS ini berjaya juga diinsitusikan dengan nama barunya "Dewan Himpunan Penyokong PAS."

Namun terdapat rungutan mengenai kuasa yang terhad dan ianya telah dijawab-balas oleh pimpinan PAS Pusat bahawa ia hanyalah langkah awal dan langkah susulan akan diambil lantaran pembentukan sebenar Himpunan ini melibatkan akan pindaan pada perlembagaan induk PAS.

GB ingin mengemukakan bberapa persoalan, samada suka tidak suka pimpinan mendengar atau membaca:

1) Kelab Penyokong PAS telah LAMA meminta mereka diiktirafkan, iaitu semenjak sebelum Muktamar ke 55 lagi. Ucapan Penangguhan Presiden di Muktamar tersebut berjanji untuk menyegerakan penginsitusian Kelab ini. Tetapi ia mengambil masa empat bulan dan bermesyuarat 3 kali hanya untuk melaksanakan satu perubahan kecil - sekadar pertuakaran nama. Tidakkah itu "futur" (lembab) namanya?

2) Jika sudah diketahui bahawa pembentukan Dewan yang sebenar itu melibatkan perubahan kepada Perlembagaan induk, mengapa tidak ada usaha untuk memanggil Mesyuarat Khas supaya ianya boleh disegerakan?

3) Bagan Pinang menyaksikan penyusutan ketara sokongan kaum bukan-Melayu terhadap PAS. Tetapi ia tidak diimbangi dengan usaha pro-aktif pimpinan. "Procrastination" (kerja bertangguh dan berlengah) menjadi budaya pimpinan PAS? Bagaimana jika esok lusa masih berlaku lagi Pilihanraya kecil? Dan pimpinan PAS masih terhegeh-hegeh dengan sindrom lesunya?

4) Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong PAS (KPP), Vincent Lee semasa muktamar lalu yang bercakap bagi pihak orang bukan Islam yang menyokong parti Islam itu jelas memberikan kenyataan bahawa hubungan yang baik dengan Umno akan menjauhkan orang bukan Islam yang selama ini sudah menyokong PAS. Tetapi nampaknya ia semacam tak dihiraukan oleh pimpinan.

5) Pimpinan wajar mengakui bahawa ramai ahli Kelab Penyokong PAS telah angkat kaki dan yang tinggal kini kebanyakannya rata-rata kerana sayang mereka kepada Tuan Guru Nik Aziz yang masih merupakan daya penarik msyarakat bukan-Islam terhadap PAS. (Ini dibuktikan dengan demontrasi sokongan kepada TGNA di Kelantan baru-baru ini). Kalau ditanya mereka terhadap pimpinan PAS yang lain, mungkin mereka tidak bersedia untuk memberi sokongan kepada PAS lagi. Jadi, apakah perubahan kecil dari sebuah kelab ke sebuah dewan tanpa fungsi yang bermakna akan berjaya menambat hati mereka?

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Dalam era teknologi maklumat ni pun pelbagai alasan ada untuk seseutau pekerjaan jadi lembab. Rasanya biar PAS kalah semula kot, nanti baru dia orang cepat bekerja.