26 Nov 2009

Selangor Tidak Akan Bayar Syabas

Kerajaan Selangor menegaskan tidak akan membayar ganti rugi kepada anak syarikat Puncak Niaga Holdings Bhd iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berhubung pengumuman keuntungan Puncak Niaga.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Puncak Niaga dalam satu pengumuman semalam menyatakan keuntungan bersihnya meningkat sebanyak 275 peratus atau RM46.7 juta pada suku akhir 30 September lepas berikutan peningkatan pendapatan dan ganti rugi kenaikan kadar tarif air oleh kerajaan negeri itu.

“Saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah mempersetujui kenaikan tarif air oleh Syabas dan kami juga tidak akan membayar ganti rugi kepada Syabas atas keputusan tidak membenarkan kenaikan tarif air”, kata Tan Sri Khalid.

Beliau berkata, walaupun terdapat terma yang termaktub (bayaran ganti rugi) dalam perjanjian konsesi di antara kerajaan Selangor dan Syabas tetapi terma itu hanya dipakai jika terdapat persetujuan daripada kerajaan negeri.

Abdul Khalid, berkata pada mesyuarat lembaga pengarah, Kumpulan Darul Ehsan Bhd. amat konsisten menyatakan bahawa Syabas perlu mendapatkan persetujuan daripada kerajaan negeri dalam menentukan kadar tarif air.

“Oleh kerana tiada persetujuan dalam hal ini, maka isu ganti rugi tidak timbul”, tegasnya lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri berpendirian kenyataan Puncak Niaga tidak mematuhi perjanjian yang telah dibuat dan ia merupakan satu kenyataan keuntungan lebih tetapi realitinya bukan begitu, di mana syarikat itu perlu bertanggungjawab terhadap pemegang sahamnya.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri juga tidak akan bertanggungjawab ke atas laporan yang dikeluarkan Puncak Niaga mengenai peningkatan keuntungan itu seperti yang disiarkan media semalam. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)



Tiada ulasan: