26 Nov 2009

Anwar menang kes saman NSTP, bukti media arus perdana diperguna Umno-BN

Pemimpin Pakatan Rakyat membidas tindakan media arus perdana yang jelas dilihat digunakan oleh Umno-Barisan Nasional hanya untuk memburuk-burukkan parti pembangkang.

Ini berikutan fitnah yang ditaburkan kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh New Straits Times Press (NSTP).

Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar berkata, kemenangan Anwar dalam kes saman media terbabit jelas membuktikan betapa rendahnya moral dan mutu pemberitaan arus perdana yang dimonopoli oleh kerajaan Barisan Nasional.

Katanya, laporan palsu itu hanya bertujuan untuk memburukkan imej kepimpinan PKR dan komponennya.

“Dilihat bahawa UMNO dan BN yang menjadi tulang belakang kepada media arus perdana ini telah gagal, tidak bersaing secara sihat mengikut prinsip demokrasi yang sepatutnya diamalkan dalam negara. Setelah mereka dapat lihat bahawa pimpinan parti pakatan rakyat ini mula mendapat tempat di hati nurani masyarakat dan rakyat Malaysia. Lalu akhirnya mereka menggunakan media untuk melancarkan pemberitaan yang bersifat fitnah, memburukkkan peribadi-peribadi pimpinan ini untuk menjatuhkan, dimoralize pimpinan parti pakatan rakyat itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TVSelangor ketika dihubungi pagi tadi.

Menurut Mahfuz lagi, jika dilihat dari sudut positif secara tidak langsung ia membuka peluang masyarakat beralih arah kepada media alternatif bagi mendapatkan maklumat yang sahih.

“Saya kira bahawa ini adalah masa terbaik untuk media baru akan dapat memberi keyakinan yang lebih tinggi kepada masyarakat dan pengguna-pengguna media ini dalam negara kita untuk masa depan,” kata beliau.

Anwar telah menuntut ganti rugi sebanyak RM 100 juta kepada NSTP kerana telah mengeluarkan artikel fitnah yang mengaitkan beliau dengan agen Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berpendapat jumlah saman yang dimenangi oleh Anwar tidak setimpal dengan nilai reputasinya yang telah dimusnahkan sejak tujuh tahun lalu.

“Dan saya fikir sebenarnya 100 ribu itu tidak cukup sebab ini merupakan kemusnahan seorang pemimpin dan atleast dapat 1juta ke macam tu,” ujar beliau.

Beliau menambah, cara ini merupakan taktik sekian lama yang digunakan kerajaan Barisan Nasional untuk menimbulkan rasa kebimbangan rakyat dalam aspek salah guna kuasa pemimpin PKR.

“Dan juga ini ada unsur-unsur mewujudkan kebimbangan atas orang ramai bahawa pemimpin pakatan rakyat tidak boleh dipercayai,” katanya. –Hadri Yaziz (TVS)



Tiada ulasan: