25 Nov 2009

RON95 Rosakkan Enjin, Benar Tapi Tak Tepat

Tanggapan RON95 Merosakkan Enjin Tidak Tepat

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Tanggapan pengguna terhadap penggunaan minyak petrol RON95 yang merosakkan enjin adalah tidak tepat, persidangan Dewan Rakyat diberitahu Selasa.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata sekiranya enjin kenderaan cukup sekadar dengan pembakaran RON95, penggunaan RON yang lebih tinggi tidak akan memberi kesan kepada keupayaan enjin secara optimum.

"Negara-negara pengeluar kenderaan utama dunia seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat juga menggunakan petrol RON95. Di Eropah, penggunaan RON95 adalah lebih 84 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol yang merupakan bahan bakar utama kenderaan," katanya di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang ingin tahu sama ada minyak petrol yang dijual di stesen minyak Petronas iaitu Primax 95 tidak sesuai digunakan untuk kereta import dan kereta mewah kerana minyak itu boleh merosakkan enjin.

Tan berkata sebelum keputusan untuk memperkenalkan RON95 dilaksanakan, beberapa siri perbincangan dengan pelbagai pihak yang terlibat telah diadakan untuk mendapatkan maklum balas daripada setiap aspek penggunaan petrol RON95.

"Semua pihak tersebut bersetuju dengan pelaksanaan RON95 memandangkan kebanyakan enjin kenderaan di Malaysia menggunakan teknologi yang direka bentuk sesuai dengan penggunaan petrol RON95," katanya.

Beliau berkata dengan menggunakan petrol yang mempunyai nilai RON minimum yang bersesuaian dengan keperluan kenderaan sepertimana yang disyorkan oleh pengeluar enjin kenderaan akan memastikan pembakaran berlaku tepat pada masanya lantas mengelakkan berlakunya fenomena ketukan enjin.

Ketika menjawab soalan tambahan Johari mengenai terdapatnya notis yang diletakkan di stesen minyak bukan Petronas mengenai petrol RON95 yang boleh membahayakan enjin, Tan berkata kementerian tidak menyedari mengenai perkara itu.

"Pihak kementerian tidak sedar tentang hal ini, dan kita akan menghantar pegawai penguatkuasa kita untuk memeriksa semua stesen minyak khususnya daripada bukan Petronas," katanya.

Ulasan GB

Tidak tepat bukan bererti tidak benar. Jawapan timbalan menteri itu mengelirukan. Persepsi rakyat selepas mendengar jawapannya: RON95 boleh merosakkan enjin adalah satu hal yang benar cuma tidak didasarkan kepada hujjah yang tepat.

Mengapa timbalan menteri itu tidak berani menafikan secara tegas bahawa kenyataan "RON95 merosakkan enjin" itu tidak benar?

3 ulasan:

Yong berkata...

Yong gunakan RON95 untuk kereta Daihatsu Feroza. Takde masalah. Tapi Yong tak berani guna untuk kereta continental baru Yong. Ini kerana Yong dengar pengalaman adik Yong yang masukkan RON95 ke dalam kereta kembaranya (manual). Keretanya jadi terhenjut2 pada gear rendah dan mati di traffic light. Suaminya yang taat setia pada Petronas dan konsep 1Malaysia guna RON95 untuk kereta Proton lamanya. Nasibnya lebih malang dari adik Yong. Keretanya terpaksa ditarik dan masuk bengkel. So, kesimpulannya, Gunakanlah RON95 dan ambillah sekali risikonya.

Tanpa Nama berkata...

Saya setuju dengan hal ni.. saya turut mengalaminya

Tanpa Nama berkata...

makin tinggi RON kualiti semakin baik, Negara yang guna RON95 kenderaan dilupuskan selepas 5 tahun...