17 Nov 2009

Era Najib Altantuya : Satim Dirujuk Ke Jawatankuasa Dewan, Hadapi Kemungkinan Digantung

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul untuk merujuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Satim Diman kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana didakwa mengelirukan dewan minggu lalu.

Usul itu dikemukakan oleh Mentri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini.

Justeru, Satim menghadapi kemungkinan hukuman digantung dari menghadiri DUN Selangor dan tidak dibayar elaun.

Satim tidak kelihatan di DUN pada Jumaat lalu, semalam dan hari ini.

Kini lima ADUN BN termasuk bekas mentri besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo digantung daripada menghadiri DUN antara enam bulan dan setahun.

Hari ini, Khalid berkata usul dikemukakan selepas Satim, Adun Sri Serdang dan juga bekas Timbalan Speaker DUN gagal memenuhi tuntutan agar memohon maaf atas kenyataan beliau Selasa lalu.

Satim sebelum ini berkata beliau tidak risau dengan kata dua Menteri Besar yang mahu merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan jika enggan menarik balik dan memohon maaf atas kenyataannya.

Khalid memberi tempoh sehingga semalam kepada Satim untuk menarik kenyataan beliau dan memohon maaf.

Satim mempertahankan segala kenyataan yang beliau buat ketika perbahasan DUN.

Ketika sesi perbahasan Selasa lalu, Satim berkata, Khalid tidak layak untuk mengutip hutang Talam Corporation berjumlah RM392 juta kerana beliau sendiri belum menyelesaikan pinjaman RM66 juta untuk membeli saham Kumpulan Guthrie, yang perlu dibayar kepada Bank Islam.

Kes itu sedang didengar oleh mahkamah. -MI


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengemukakan satu usul di bawah Peraturan Tetap 26 (1) mahu ADUN Sri Serdang, Mohamed Satim Diman dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

Katanya, tindakan ini penting untuk membidas kenyataan Satim pada 11 November lalu yang berniat jahat menjatuhkan kredibiliti Khalid selaku Menteri Besar apabila mendakwanya gagal menguruskan kewangan sendiri.

Ekoran kenyataan Satim itu, ia boleh mendatangkan kesangsian kepada rakyat tentang kebolehannya mentadbir kewangan negeri Selangor.

“Bajet 2010 dikemukakan adalah dalam keadaan rakyat keseluruhannya sangsi dengan kebolehan YAB Dato’ Menteri Besar. Ini bertolak dengan kegagalan membayar kemudahan pinjaman Islam berjumlah RM66.6 juta atau USD18.5 juta yang dibuat pada tahun 1998 bagi tujuan pembelian saham Kumpulan Guthrie Berhad.

Ini adalah pembelian opsyen 200 juta saham atau 20 peratus daripada Kumpulan Guthrie. Ini membuktikan YAB Dato’ Menteri Besar tidak hemat dan gagal menguruskan kewangan sendiri”, katanya. Beliau berkata demikian mengemukakan usul tersebut semasa Sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Jumaat lalu Tan Sri Khalid sudah pun memberi peluang kepada Satim Diman untuk memohon maaf secara terbuka atas kenyataannya itu namun sehingga hari ini beliau enggan berbuat demikian. Usul Tan Sri Khalid ini diterima Speaker Dewan Negeri Selangor, Teng Chang Khim kerana ia bertepatan dengan Peraturan Tetap 26 (1).

“Usul ini adalah untuk usul merujuk Yang Berhormat Sri Serang untuk dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas kesalahan menghina dewan, menyentuh kebebasan, di bawah undang-undang tubuh Kerajaan Negeri Selangor, semua Ahli Dewan Negeri diberi kebebasan, diberi kekebalan semasa berucap tetapi itu tidak bererti bahawa pada ahli yang berucap itu boleh membuat kenyataan yang mencemar nama baik mana-mana Adun yang lain, kerana beliau dilindungi, beliau tidak boleh didakwa di mahkamah ke atas apa yang diucapkan di dewan ni tapi sekiranya apa yang diucap di dewan ini dianggap mencemar reputasi memberi fakta yang tidak berasas, maka ia adalah satu penyalahgunaan kuasa imuniti yang diperuntukkan di bawah undang-undang tubuh kerajaan negeri”, jelasnya.

Jawatankuasa ini akan menyiasat kenyataan Satim sama ada sahih ataupun tidak berasas, sekiranya didapati dakwaan itu palsu, maka Satim boleh dikenakan tindakan sewajarnya oleh Dewan Negeri Selangor. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)



Tiada ulasan: