18 Sep 2009

PKFZ : Najib Perlu Letak Jawatan Serta Merta

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa polis akan menyiasat mengenai Kertas Kabinet berkaitan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang didedahkan di internet kerana kertas itu di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) sekaligus mengesahkan bahawa Kertas Kabinet berkenaan adalah sahih dan tulen.

Beliau berkata tindakan itu bukan bertujuan menafikan hak rakyat untuk mendapat maklumat yang sepatutnya, tetapi tindakan mendedahkan Kertas Kabinet di internet merupakan alasan yang tidak boleh diterima.

"Dalam kes PKFZ ini, apa-apa yang patut kita beritahu kepada rakyat, kita akan maklumkan nanti, tetapi bukan satu alasan yang boleh diterima mendedahkan Kertas Kabinet (di internet).

"Apa pun kertas Kabinet masih di bawah OSA dan sesiapa dedahkan Kertas Kabinet, polis akan menyiasat. Tengok kepada siasatan nantilah, apaapa tindakan boleh diambil berdasarkan OSA," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas penyelarasan program Permata Negara di sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Kertas Kabinet berkaitan PKFZ yang didedahkan di sebuah laman web.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini telah menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab persoalan yang telah didedahkan di internet mengenai dokumen kerajaan yang didakwa bukti penting skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Menurutnya, dokumen terbabit menunjukkan apa yang didakwa sebagai memorandum dari pihak Menteri Kewangan supaya memberikan kelulusan secara retrospektif berhubung dengan peningkatan kos projek PKFZ dari RM1.088 bilion kepada RM4.63 bilion.

“Perdana Menteri perlu membuktikan tanpa sebarang keraguan yang munasabah kepada rakyat bahawa dokumen itu adalah palsu. :

“Jika beliau gagal berbuat demikian dan dokumen tersebut memang benar dokumen kerajaan yang tulen, beliau dan semua anggota Kabinetnya kini yang terlibat dalam memberikan kelulusan retrospektif itu mesti meletakkan jawatan serta merta,” katanya, semalam.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan bagaimana Najib dan anggota Kabinet boleh mempersetujui kelulusan retrospektif itu sedangkan banyak peraturan kewangan telah dilanggar termasuk tindakan Menteri Pengangkutan memberikan surat jaminan kepada beberapa penerbitan bon yang boleh dianggap tidak sah.

“Mengikut peraturan, surat jaminan sedemikian perlu mendapat kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu dan surat tersebut hanya boleh dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan sahaja,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menuntut pihak kerajaan menjelaskan adakah benar keseluruhan projek PKFZ dilaksanakan hanya dengan kelulusan dasar Perdana Menteri tanpa mematuhi prosedur yang sepatutnya.

“Mengapa kelulusan retrospektif yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan itu diluluskan jika benar projek tersebut dilaksanakan dan didapati tidak berdaya maju malah kos projek telah meningkat kepada lebih RM4.6 bilion,” katanya.

Katanya, penubuhan pasukan petugas khas bagi menyediakan laporan penyiasatan isu PKFZ sebenarnya bermotif politik.

”Sebab itulah mereka begitu takut untuk menubuhkan Suruhanjaya Di raja bagi menyiasat skandal PKFZ itu. :

”Jika disiasat dan jika terdedah lebih banyak lagi dokumen dan hakikat yang disembunyikan dari pengetahuan rakyat, ia mungkin membuktikan jenayah peringkat tertinggi dalam skandal PKFZ itu,”
katanya.

Beliau juga mengulangi kenyataannya bahawa satu pasukan peguam Pas ditubuhkan bagi mengkaji peruntukan undang-undang untuk memastikan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja.

Projek PKFZ mencetuskan kontroversi apabila timbul pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada lebih RM4.6 bilion malah siasatan awal ke atas projek PKFZ mendapati ia diselamatkan dengan pinjaman kerajaan.

Siasatan tersebut juga mengesahkan kerajaan melalui Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) membeli 404 hektar tanah dari Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) pada RM25 setiap kaki persegi walaupun harga sebenar dianggarkan RM10 sahaja.

Laporan audit yang dikeluarkan pada akhir Mei lalu oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC), syarikat yang dilantik LPK bagi tujuan itu turut menyebut tentang pembabitan beberapa ahli politik dalam projek berkenaan, yang menurutnya, mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Selamat Hari Raya Aidilfitri & Selamat Bercuti dari kami di IMCurtain.com. Maaf Zahir dan Batin!

p/s: Kami ingin mengajak para blogger semua untuk menyertai komuniti blogger kami di IMCurtain.com

Tanpa Nama berkata...

1 malaysia mahu royal commision ditubuhkan !!!!
mana bolih buktikan , kalau butir-butir penting
semua dichop rahsia kerajaan ... ? Jangan biarkan anak cucu kita menanggong beban RASUAH UBN / MCA ... semua blogger .. bebaskan malaysia today & RPK ( pau kong Malaysia )