1 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Selamat Jalan BN - Simbolik Sambutan Merdeka Di Parlimen

Sambutan hari kemerdekaan yang berlansung semalam diadakan di Dataran Parlimen adalah merupakan yang paling ringkas dalam sejarah apabila berlangsung kurang 40 minit.

Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 diadakan sederhana kali ini berikutan penularan penyakit selesema babi atau H1N1 dan bulan Ramadan.

Program sambutan kali ini dimulakan dengan pergerakan masuk 500 anggota kontinjen keselamatan yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Hishamudin Jumat Abas Jumat diikuti dengan pergerakan masuk Kawalan Kehormat Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Kawalan Kehormat Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Mohd. Radzi Othman.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba pada pukul 7.45 pagi diikuti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa minit selepas itu.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah tiba pukul 8 pagi dan sejurus itu lagu Negaraku dinyanyikan bersama pertunjukan lintas udara oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Seri Paduka kemudian melakukan pemeriksaan terhadap KKU dengan diiringi Pancaragam Pusat RAMD.

Seterusnya, acara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian Negaraku dengan selingan tembakan 14 das meriam dilakukan sebelum bacaan ikrar oleh tujuh warga pendidik yang secara simbolik mewakili tujuh kaum utama di negara ini.

Program kemudian diteruskan dengan persembahan koir Malaysia Tanah Airku oleh Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dan persembahan lagu Muhibbah, Jalur Gemilang dan 1Malaysia dinyanyikan.

Menjelang pukul 8.30 pagi, acara sambutan berakhir selepas Yang di-Pertuan Agong mengambil tabik hormat.

Seri Paduka dan para pembesar serta pemimpin lain mula meninggalkan majlis selepas itu.

Ada pihak yang melihat acara sambutan kemerdekaan di dataran parlimen adalah sebagai satu simbolik kepada sebuah majlis perpisahan - perpisahan Parlimen menyudahkan pemerintahan Barisan Nasional selama 52 tahun. Ia merupakan lambaian terakhir Parlimen untuk kerajaan BN dan Parlimen menunggu ketibaan Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerajaan baru yang lebih adil dan berwibawa.

Dan benar kata media, sambutan itu kecil tapi "penuh bermakna".

Tiada ulasan: