19 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Kerjasama SPR Dan UMNO Semakin Nyata Di dalam Undi Pos

Dolak-dalik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertahankan kaedah undi pos yang begitu dipertikaikan jelas membuktikan bahawa kerajaan yang dikuasai Barisan Nasional tidak menghormati hak demokratik rakyat negara ini khususnya mereka yang menjadi pengundi pos, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Di satu sisi, (Timbalan Menteri Pertahanan Datuk) Dr Abdul Latiff (Ahmad) berkata parti politik tidak dibenarkan berkempen dalam kem tentera kerana bentuk tugas anggota tentera bersifat keselamatan di tahap yang tinggi.

"Di sisi yang lain pula, SPR tidak jemu-jemu berdolak-dalik mempertahankan kaedah undi pos yang dipertikaikan.

"Kesemua itu hakikatnya memperlekeh-lekeh dan menafikan hak demokratik para pengundi pos terutama angkatan tentera," kata beliau.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang itu juga menyifatkan kenyataan Abdul Latiff menginjak-injak status angkatan tentera dan menjadikan mereka warganegara kelas bawah apabila menyatakan tentera hanya boleh berpolitik selepas bersara.

"Rosak negara ini kalau askar ini diberi kebenaran untuk berparti politik. Kalau dia nak berpolitik lepas bersara, itu lainlah," timbalan menteri pertahanan itu dipetik sebagai berkata.

Salahuddin melihat kenyataan tersebut bertujuan menafikan hak demokratik tentera untuk mendapatkan penjelasan yang saksama dari semua parti politik yang bertanding.

"Kita bukan hendak mengajak tentera berparti politik. Kita hanya menuntut hak demokratik mereka untuk mendengar penjelasan yang saksama daripada semua parti yang bertanding sebelum mereka mengundi," kata beliau.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Abdul Latiff itu sebagai satu lagi kenyataan borosnya setelah terkenal dengan kontroversi kenyataannya yang mendakwa para doktor "diberi lesen untuk membunuh" sehingga menyebabkan presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Khoo Kah Lin menuntut penjelasan.

Salahuddin melahirkan keyakinan bahawa menuntut supaya diberikan hak demokratik pengundi-pengundi pos bukanlah tuntutan yang melampau.

"Kenapa BN takut sangat? Apa yang disembunyikan sebenarnya?" soal Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Beliau juga hairan apabila SPR bertanya mengapa baru sekarang Pakatan Rakyat (PR) mempertikaikan undi pos.

"Apa yang (Timbalan Pengerusi SPR, Datuk) Wan Ahmad (Wan Omar) cakap?

"Dia berada di alam mana ketika kita menggerakkan perhimpunan raksaksa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) ketika menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong pada 10 November 2007 yang antara lain menuntut pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara?"

Salahuddin juga membayangkan PAS sedang mengatur beberapa tindakan susulan untuk memastikan hak demokratik pengundi-pengundi pos tidak diperlekeh-lekeh dan dinafikan.

"BN berhak untuk mempertahankan kuasanya dan juga mempertahankan kemenangannya di Bagan Pinang dalam pilihan raya umum lalu.

"Tetapi jangan memperalatkan undi pos untuk melakukan penipuan undi. Kuasa rakyat pasti akan menghukum gerombolan yang menipu untuk meneruskan cengkaman kuasanya," beliau mengingatkan.

Bagaimanapun, Salahuddin juga gembira jika BN menyangka rakyat tidak mengesyaki undi pos diperalatkan untuk melakukan penipuan pilihan raya.

"Baguslah jika BN fikir rakyat tidak mengesyaki apa-apa apabila Perdana Menteri, Datuk Seri mohd Najib Razak mendapat majoriti 22,922 undi di Pekan dalam pilihan raya 2004, antaranya setelah Kem Tentera Batu 10 Kuantan dimasukkan ke dalam kawasan Parlimen Pekan sedangkan dalam pilihan raya 1999, beliau menang dengan majoriti hanya 241 undi sahaja," kata beliau.

PAS, tegas beliau, tetap menolak penggunaan Borang Lampiran 2 atau borang identiti pengundi pos, di samping menuntut wakil-wakil calon PAS diberi hak untuk menyaksikan proses pengundian undi pos, mengiringi perjalanan kotak undi pos serta bersama-sama mengawalnya sepanjang tempoh sebelum dikira.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan, PAS tetap meragui undi pos dan menggesa SPR membenarkan pengundi pos membuang undi seperti pengundi biasa.

"Kami meragui undi pos kerana kami tahu undi pos seperti askar dan polis tidak diberikan kebebasan dalam mengundi.

"Inilah sebabnya kenapa undi pos sentiasa dianggap undi yang kotor," kata beliau.

Berdasarkan daftar pemilih setakat 4 September lalu, daripada 13,664 orang yang layak mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, seramai 4,604 adalah pengundi pos.

1 ulasan:

Anak Perelih berkata...

Mengikut maklumat sahih yang saya dapat dari dalam salah satu kem di Bagan Pinang... setiap kem sudah mendapat rm5000 dari UMNO untuk hari raya ini.... dan mungkin akan duit akan ditabur lagi menjelang penamaan calon dan hari mengundi nanti....