29 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : UMNO Sepatutnya Terima Dasar PAS Lebih Dahulu Dari DAP

Umno Kelantan tetap mempertahankan dasarnya adalah jelas dan jitu dalam usaha mengembang dan mengukuhkan prinsip Islam menerusi sistem pentadbiran kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) meskipun ada pihak yang tidak henti-henti cuba menafikannya.

Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Mad Alwi Che Ahmad, mendakwa DAP merupakan parti menentang dasar Islam dilaksanakan Umno seraya meminta Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, segera berhenti dari mempolitikkan gesaannya supaya Umno mengubah dasar dicanangnya selama ini.

Mad Alwi memberitahu Nik Aziz tidak wajar mengkritik ataupun meminta Umno berbuat demikian sebaliknya Menteri Besar Kelantan itu sepatutnya lebih rasional menyeru parti sekutunya terdiri dari DAP dan PKR menerima dasar Islam dilaksanakan PAS tanpa sebarang keraguan.

Beliau menegaskan Nik Aziz baru boleh mengatakan bahawa Umno tidak melaksanakan dasar Islam sekiranya DAP yang anti Islam, fundamentalis itu mampu menerima pakai keseluruhan dasar diperjuangkan PAS.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Nik Aziz yang menyifatkan kekalahan Umno di Permatang Pasir mempunyai kaitan dengan penerapan dasar yang tidak betul dibuat Umno.

Sebelum ini Nik Aziz dilaporkan berkata faktor terbesar menjadi punca utama rakyat mulai menolak Umno ialah kerana pelaksanaan dasarnya yang tidak Islamik tetapi lebih menjurus kepada sekularisme. Kata Nik Aziz ianya amat berbeza dengan apa yang diamalkan oleh kerajaan PAS di Kelantan sejak hampir 20 tahun lalu.

Dalam pada itu kenyataan Mad Alwi mendapat perhatian Naib Yang Dipertua PAS Pasir Puteh, Wan Hassan Wan Ibrahim, yang berpendapat bahawa kenyataannya tidak ubah sebagai satu kenyataan politik Umno Kelantan bagi menutup keaibannya ekoran kekalahan demi kekalahan dihadapi sepanjang pilihan raya kecil.

Manakala bekas pegawai halaqat Pasir Puteh, Drs Saipul Baharin Mohamed, pula beranggapan tahap kefahaman Mad Alwi masih rendah semasa mengeksploitasikan ideanya pada khalayak umum berhubung perkara tersebut.

Menurut Saipul, Umno sebagai orang Melayu sepatutnya terlebih awal menerima dasar Islam berteraskan Quran dan Sunnah yang dilaksanakan PAS sebelum meminta Nik Aziz menyeru DAP menerima dasar berkenaan.


Sementara itu pada satu majlis yang lain Nik Aziz memaklumkan kerajaan negeri akan membina sebuah masjid baru bernilai RM7 juta di kawasan persimpangan jalan Pasir Mas-Ketereh dekat sini.

Projek pembinaan masjid yang akan diberi nama Masjid Al-Hussin itu akan dibiayai oleh RHB bank dan akan dilancarkan di dalam bulan Ramadan ini juga. Menurut Nik Aziz, kerajaan negeri akan menyediakan tapak pembinaan masjid tersebut. -Mohd Zuharman

Tiada ulasan: