16 Jul 2009

Pasca Manek Urai : UMNO Masih Tebal Dengan Rasuah

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak tanggapan kemenangan tipis Pas dengan hanya majoriti 65 undi pada pilihan raya kecil Manek Urai, Kuala Krai disebabkan rakyat kini menolak perjuangan parti itu.

Sebaliknya beliau menegaskan kemenangan Pas itu disebabkan rakyat di Dewan Undangan Negeri terbabit sudah muak dengan gejala rasuah yang diamalkan Barisan Nasional (BN) lalu mereka terus memilih Pas.

“Walaupun menang dengan majoriti kecil, rakyat tidak tolak Pas. Tetapi sebab rasuah" UMNO guna rasuah untuk menang sebab itu rakyat tolak.

“Gejala rasuah berleluasa dalam pilihan raya kecil ini. Lebih-lebih lagi Timbalan Perdana Menteri yang menyebut jika UMNO memang akan dibina jambatan, itu rasuah terang-terang,” katanya pada sidang media, di pejabatnya semalam.

Menurutnya, apa yang dikesalkan Kerajaan Pusat hanya akan membina jambatan baru di DUN Manek Urai jika memenangi kerusi N41 itu sedangkan ia kawasan Kesedar dan Kerajaan Persekutuan boleh membinanya pada bila-bila masa.

Katanya, janji yang ditabur itu hanya untuk mempermainkan rakyat kerana bajet yang dinyatakan bagi pembinaan jambatan berkenaan RM7 juta sedangkan beliau berpendapat projek itu menelan belanja sekurang-kurangnya RM15 juta.

Beliau berkata, sebelum ini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengisytiharkan secara terbuka pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra kedua namun sehingga kini masih terbengkalai.

Mursyidul Am Pas itu turut menyebut mengenai projek sistem pengairan oleh Kerajaan Pusat di Pengkalan Pasir, Pasir Mas yang belum siap sehingga sekarang.

“Banyak lagi pemberian rasuah kepada rakyat sepanjang di Manek Urai yang kita terima laporan seperti wang tunai RM5,000 dipercayai diberikan kepada warga tua, pinjaman RM10,000 pula untuk golongan muda dan sebagainya.

“Oleh itu Pemuda Pas Kelantan sudah membuat laporan kepada pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suhakam dua hari lalu berhubung perkara itu.

Nik Abdul Aziz juga mendesak Kerajaan Pusat mengadakan jalan raya baru antara Kuala Krai dan Gua Musang berikutan kesesakan terus yang dialami sepanjang pilihan raya kecil itu sehingga menyusahkan pengguna.

Tiada ulasan: