16 Jul 2009

Pasca Manek Urai : Jangan Cuci Pakaian Kotor Depan Orgramai

Para ADUN dan Exco kerajaan negeri Selangor diminta jangan “mencuci pakaian kotor” mereka di depan orang ramai kerana ia menyebabkan rakyat negeri ini mendapat isyarat negatif.

Exco kerajaan negeri, Dr Halimah Ali dalam kenyataannya meminta rakan-rakannya menyelesaikan masalah mereka melalui meja rundingan bukannya melalui media sebagaimana yang sedang berlaku sekarang.

Halimah bimbang kalau-kalau serang menyerang antara mereka sekarang telah menyebabkan undi untuk Pakatan Rakyat di Manek Urai turun.

Halimah berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkannya dalam blog beliau, drhalimahali.blogspot.com dengan tajuk "Pandangan Saya".

Halimah, ADUN Selat Klang, adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan Tingi, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Selangor.

Menurut Halimah, dalam pilihan raya kecil Manek Urai, sekali lagi PAS dan Pakatan Rakyat telah diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memimpin.

Walaupun dengan majoriti yang lebih kecil, namun lebih separuh rakyat Manek Urai memberikan kepercayaan terus kepada PAS, katanya,

Namun begitu, beliau berkata, dalam kegembiraan PAS dan rakan-rakannya menerima kemenangan itu, beliau selaku Exco kerajaan negeri Selangor ingin merakamkan kebimbangan beliau kalau-kalau apa yang berlaku di negeri ini telah menghantar isyarat negetif kepada pengundi di Manek Urai.

Ini kerana, lebih 100 pengundi Manek Urai tinggal di negeri ini dan mereka pulang mengundi dalam pilihan raya tersebut, tulisnya.

"Tindakan kita mencuci pakaian kotor di tempat awam (wash dirty linen in public) amat tidak sesuai sekali dengan semangat kita berpakat dalam Pakatan Rakyat.

"Sehubungan itu, saya menyeru para pemimpin Pakatan khasnya ADUN dan Anggota Parlimen Selangor agar berbincang dengan baik dan bukannya menyelesaikan masalah kita di depan awam khasnya dalam media," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat memberikan harapan kepada rakyat "bukannya memberikan mereka kerungsingan melihat kita bergaduh di khalayak ramai sebagaimana yang berlaku sekarang."

"Saya bimbang, apa yang berlaku di Selangor dan lain-lain tempat sekarang telah memberikan kesan di Manek Urai dan bakal memberi kesan yang lebih besar lagi selepas ini.

"Saya menyokong penuh cadangan YB Lim Kit Siang agar Pakatan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Disiplin untuk menjaga nama baik kita bersama," katanya.


Tiada ulasan: