25 Jul 2009

Pasca Manek Urai : Bukan Kerajaan Perpaduan

Gambar yang tertera di sebelah bukan bererti Kerajaan Perpaduan. Ia disiarkan oleh media arus perdana dimana Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyalam Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed pada majlis pra-pelancaran Fiesta Kelantan 2009.

Datuk Nik Abdul Aziz menegaskan bahawa beliau tidak bermusuh dengan individu yang berada dalam pihak lawan sebaliknya permusuhan berlaku melibatkan ideologi yang dibawa oleh parti tertentu.

“Saya sebagai gerakan Islam tidak bermusuh dengan individu, dan tidak bermusuh dengan orang tertentu, (tetapi) kita bermusuh dengan ideologi parti,” katanya pada sidang media selepas hadir merasmikan majlis pelancaran Kelantan Fiesta 2009 di sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed yang juga ‘patron’ acara tersebut.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kehadiran Mustapa yang juga pengerusi UMNO Kelantan dalam majlis julung-julung kali diadakan tersebut.

Pada sidang media itu, Nik Aziz mengucapkan penghargaan kepada Mustapa yang sudi hadir ke majlis demi melihat kemajuan industri pelancongan Kelantan.

Katanya, dengan penganjuran tersebut, sedikit sebanyak budaya dan tatacara hidup rakyat Kelantan dapat dipromosikan di seluruh negara dan dunia.

“Untuk tujuan itu saya sudah lama berfikir untuk belanja duit (peruntukan) untuk dedahkan kehidupan pondok di Kelantan khususnya pelancongan Eropah yang tidak mempunyai suasana tersebut di negara mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan jika ia dapat ia dapat memberi rakyat Kelantan.

Menurutnya, Kerajaan Pusat juga tidak pernah meminggir atau mendiskriminasikan mana-mana negeri dalam usahanya untuk menarik pelabur dari luar negara.

“Dalam soal ini terpulang kepada pelabur untuk memilih (negeri), mereka ada pertimbangan, seperti mahu kawasan yang berhampiran dengan pelabuhan, lapangan terbang dan sebagainya.

“Bagaimanapun, kita menyediakan inisiatif yang lebih kepada pelabur yang ingin melabur di negeri yang dianggap kurang maju dari segi pelaburan,” katanya.


Tiada ulasan: