25 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Gani Patail Memperbodohkan Rakyat

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan adakah suruhanjaya penyiasatan bagi menyiasat kecederaan yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1999 lalu mematuhi undang-undang negara.

"Abdul Gani menekankan bahawa "kita mesti mematuhi undang-undang negara" ketika memberikan kenyataan berkenaan inkuiri berhubung kematian Teoh Beng Hock mengikut Kanun Acara Jenayah

Beliau juga menyatakan bahawa Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 jelas merujuk kepada siasatan terhadap tatalaku dan pengurusan pegawai-pegawai dan jabatan-jabatan kerajaan atau bagi kebajikan awam.

"Bagaimanapun, bidang tugas suruhanjaya penyiasatan bagi menyiasat kecederaan yang dialami oleh Anwar dahulu dengan jelas menyatakan tujuannya adalah untuk menyiasat dan mengkaji kecederaan ke atas Anwar yang dialaminya semasa dalam tahanan polis dengan tujuan menentukan sebab kecederaan itu berlaku dan mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab serta bersubahat menyebabkan kecederaan tersebut," katanya.

Beliau mempersoalkan, jika suruhanjaya menyiasat kecederaan Anwar dahulu boleh menyiasat sebab kecederaan itu berlaku, mengapa pula sekarang tidak boleh ditubuhkan suruhanjaya menyiasat bila, di mana, dan bagaimana Teoh mati dan juga sama ada mana-mana orang terlibat secara jenayah yang menyebabkan kematian itu?

"Jika sekarang tidak boleh menyiasat punca kematian Teoh, tentulah dahulu juga tidak boleh menyiasat sebab berlakunya kecederaan Anwar. Mengapa ada percanggahan?

"Adakah Peguam Negara bersetuju bahawa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor boleh mendakwa suruhanjaya yang menyiasat kecederaan Anwar itu tidak "mematuhi undang-undang negara" dan beliau boleh mencabar keabsahan penubuhan serta keputusan suruhanjaya itu?" soal Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mempersoalkan mengapa kerajaan takut hendak memberi kuasa kepada suruhanjaya yang ditubuhkan itu untuk menyiasat punca kematian Teoh?

"Kenapa takut hendak memberi hak kepada suruhanjaya di raja menyiasat punca kematian Teoh?

"Semakin ramai yang menuduh kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu serta melindungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuh Malaysia (SPRM) berdasarkan skrip yang diilhamkan oleh golongan tidak waras yang sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu puak mereka melakukan kezaliman.


"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula tidak kelihatan berkemampuan menyangkal tuduhan itu," katanya.

Mahfuz berkata, tindak-tanduk Abdul Gani selama ini yang sering memutuskan sesuatu siasatan itu tidak ada kes menimbulkan lebih banyak keraguan terhadap inkuiri yang ditubuhkan itu.

Antara lain, Abdul Gani sebelum ini menyatakan tidak ada kes dalam dakwaan rasuah ke atas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Musa ketika itu didakwa menerima sogokan sebanyak RM2.1 juta sebagai habuan bagi melepaskan kumpulan gangster.

"Kita juga merasa amat bimbang kerana inkuiri hanya dikendalikan oleh seorang majistret sedangkan majistret pula berada di bawah Jabatan Peguam negara.


"Kalau sebelum ini hakim mahkamah tinggi seperti Datuk Muhammad Kamil Awang boleh mendedahkan beliau diarah menerusi telefon agar petisyen pilihan raya Likas ditolak tanpa perbicaraan, apa jaminan seorang majistret tidak boleh diarah untuk melakukan perkara-perkara yang pelik?" soal beliau.

Jabatan Peguam Negara pula pernah mengemukakan pertuduhan yang dipertikaikan dalam kes Anwar dahulu di mana tarikh diubah dan tempat yang belum wujud didakwa sebagai tempat berlakunya perbuatan jenayah, katanya.

Sebab itulah, kata Mahfuz, siasatan yang dianggap berwibawa ke atas punca kematian Teoh hanya boleh dijalankan oleh suruhanjaya di raja.

"Wang rakyat tidak sepatutnya dibazirkan untuk menubuhkan badan siasatan yang tidak dipercayai oleh majoriti rakyat,"
katanya lagi.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tindakan Datuk Mahfuz Omar mempertikai kewibawaan Peguam Negara sememangnya bertepatan dengan masanya. Malah kita berharap semua wakil rakyat Pakatan Rakyat yang berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidang masing-masing bangkit mempersoalkan atau mempertikaikan sesuatu yang tidak betul dalam pentadbiran kerajaan.

Pekara seperti ini dan yang lainnya perlu dihebahkan pada seluruh rakyat satu malaysia agar rakyat tahu mengapa parti Pakatan Rakyat menentang idealogi Barisan Nasional.

Apakah kita membenci ahli UMNO...? Sama sekali tidak, tapi kita menentang parti UMNO adalah kerana parti itu sedang melenyapkan hak dan keistimewaan bangsa melayu secara perlahan-lahan. Perlukan contoh..? "Lu fikirlah sendiri..."

Tanpa Nama berkata...

melayu islam-umno kena sedar dan berasa malu berketuakan najib yang tak habis2 memperbodohkan mereka.bangkitlah melayu umno dari terus dikudakan olih najib dan sukusakat nya.kamu tak lebih dari pencacaitua penyokong setia yang digunakan untuk memperkayakan golongan yang rapat dengan kuasa.

AnakWatan-d'UK berkata...

Sungguh bijaksana YB Mahfuz berbicara dan mempertikaikan kecuaian dan kelemahan yang amat ketara di pihak Peguam Negara dan juga kabinet yang membuat keputusan utk tidak meletakkan bidang kuasa menyiasat sebab kematian TBH kpd suruhan jaya di raja dan menyerahkan kepada seorang majestrate sahaja. Alasan remeh perundangan dari PN dlm hal ini amat sukar diterima dan memperbodohkan ahli masyarakat umum, mangsa dan ahli keluarganya khasnya. Adalah jelas, harga nyawa TBH dipandang lebih rendah dari se ekor binatang ternakan.

Tidak menghairankan, memang sejak dulu BN menilai nyawa dan harta benda milik pihak yg tak menyokong mereka, lebih rendah dari puak-puak yg menyokong mereka. Merekalah sahaja yang ingin dilihat lebih mulia dan terhormat, tapi rakyat yg tak menyokong mereka dilihat secara double-standard. Bagaimana dgn kes Kugan ???. Adakah telah ada pihak yg telah didakwa ?

Pihak PR perlu terus mendesak agar BN mengubah keputusan yg telah dibuat. Pimpinan tertinggi PR mesti bermesyuarat segera utk menolak tindakan BN ini dan juga menghantar memorandum kepada Tunku yg Dipertuan Agong agar menolok keputusan kabinet menubuhkan suruhan jaya yang amat terhad bidang-kuasanya. Bahkan sudah memadai kalau Suruhanjaya Hak Asasi (SUHAKAM) untuk melakukan kerja yg dicadangkan oleh BN utk menyiasat etika siasatan SPRM dlm hal ini. Janganlah terus dibiarkan BN menghabiskan wang rakyat dan pembayar cukai utk menjalankan kerja yg remeh temeh tapi akhirnya tidak ada apa-apa langkah proaktif yg diambil setelah diberikan berbagai cadangan dari pelbagai bentuk suruhan jaya yg ditubuhkan. Lihatlah sahaja hasil suruhan jaya kes Lingam semuanya tidak diambil tindakan oleh kerajaan BN. Entah berapa banyak wang rakyat akan habis begitu sahaja, tapi masalah yang sama spt kes salah-gunakuasa, kecuaian, korupsi akan terus berlaku dimasa depan, semua akan melibatkan puak BN.

Syabas untuk YB Mahfuz dan PR amnya.