1 Jul 2009

Menyanggah Pendapat PAS Tak Perlukan DAP

Pertamanya, saya bersetuju dengan pandangan seorang Pensyarah dari Uitm Dungun bahawa pengaruh Mursyidul Am Pas amat besar di dalam Pas. Ini tidak menghairankan kerana pengaruh yang ada pada beliau bukan disebabkan oleh batang tubuhnya tetapi kerana jawatan sebagai Mursyidul Am itu sendiri adalah satu jawatan tertinggi di dalam Pas.

Justeru itu, bukan calang-calang orang yang boleh dilantik sebagai Mursyidul Am di dalam Pas. Seandainya ditakdirkan Tuan Guru Nik Aziz tidak lagi memegang jawatan tersebut, maka pengganti beliau juga pasti akan mempunyai pengaruh yang besar di dalam Pas.

Saya juga sependapat dengan Pensyarah tersebut bahawa sekiranya Mursyidul Am itu membuat keputusan bersetuju dengan idea Kerajaan Perpaduan, maka Kerajaan Perpaduan dengan Umno akan dapat diwujudkan walaupun ditentang oleh rakan-rakan Pas di dalam PR.

Persoalannya, apakah selaku Mursyidul Am yang memegang amanah di dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam tidak menghargai dan menghormati rakan-rakan sendiri yang begitu kuat membantu Pas?

Wajarkah seorang Mursyidul Am membuat keputusan begitu mudah untuk `berbaik sangka' dengan musuh lamanya yang mempunyai rekod dan sejarah yang teramat sadis terhadap Pas dan Islam dalam keadaan musuh tersebut masih lagi mengekalkan kezaliman dan ketidak adilan terhadap Islam dan rakyat?

PKR dan DAP telah membuktikan kesetiaan kepada Pas, manakala Umno telah membuktikan `pengkhianatan' kepada Pas. Maka di sini, wajarkah Mursyidul Am memilih Umno semata-mata atas dasar perpaduan? Inilah kebijaksanaan Mursyidul Am Tuan Guru Nik Aziz di dalam membuat keputusan.

Pandangan Pensyarah tersebut menyatakan bahawa Pas tidak mempunyai masalah untuk berbincang bersama Umno, manakala ini tidak akan berlaku kepada PKR dan DAP. Saya setuju dengan pandangan beliau bahawa memang Pas tiada masalah bila-bila masa untuk bersama Umno tetapi apakah Pas akan dapat mendominasi diri bersama Umno? Harus diingat, dasar parti Umno adalah lebih kurang sama dengan PKR dan DAP iaitu bukan meletakkan Islam sebagai dasar parti, cuma bezanya PKR dan DAP kelihatan lebih baik dan bersih sejarahnya yang menghampiri ketelusan dan keadilan yang juga dituntut oleh Islam.

Buktinya, lihatlah beberapa negeri di bawah pemerintahan mereka dan bandingkan dengan negeri-negeri yang ditadbir oleh Umno atau Bn. Apakah Pas lebih berminat untuk meletakkan parti yang sebegini bersih untuk bersama mereka?

Jika Pas dikatakan tidak bermasalah untuk bersama Umno, maka harus diingat bahawa PKR dan DAP juga tidak bermasalah sekiranya tidak bersama dengan Umno. Ini adalah kerana mereka tahu bahawa majoriti rakyat kini tidak lagi mempercayai Umno/Bn bahkan di dalam jemaah Pas sendiri pun bukan sedikit yang tidak mempercayai Umno/Bn ini.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa sekiranya Pas meneruskan idea Kerajaan Perpaduan bersama Umno itu, Pas sendiri akan menanggung risiko di atas kesilapan yang mereka lakukan. Orang-orang Umno akan tetap menyokong Umno, ahli-ahli Pas akan berpecah, Kelab Penyokong Pas sudah pasti mati dan tidak mustahil PKR dan DAP akan lebih kuat kerana mereka akan mendapat sokongan pula dari MCA, MIC dan Gerakan yang semestinya sangsi dengan Kerajaan Perpaduan dua parti ini. Maka, sekali lagi ternyata keputusan Pas untuk menolak Kerajaan Perpaduan bersama Umno adalah bijak dan tepat.

Hujah Pensyarah itu lagi, Pas sememangnya tidak perlukan DAP kerana Kelab Penyokong Pas sudah semakin kuat. Ini hujah yang tidak tepat kerana belum pun Kerajaan Perpaduan ini direalisasikan, bahkan baru untuk bersuara sahaja, Kelab Penyokong Pas sudah mula memberontak dan mengingatkan Pas supaya tidak mengkhianati kepercayaan mereka terhadap Pas selama ini.

Satu perkara lain, Pensyarah tersebut mengambil contoh bilangan kerusi Umno dan kerusi Pas di dalam Dun Negeri lebih banyak dari PKR dan DAP. Memang benar, tetapi itu jumlah kerusi semasa yang ada sekarang.

Apa jaminan dan keyakinan yang boleh kita sandarkan bahawa kerusi tersebut akan berubah di dalam pilihanraya umum akan datang sekiranya Pas mengadakan Kerajaan Perpaduan bersama Umno? Tidakkah mustahil ketika itu undi orang-orang Melayu akan berpecah kepada dua iaitu undi untuk Umno/Pas dan undi untuk PKR/DAP? Dalam masa yang sama tidak mustahil pula undi dari kaum Cina dan India di dalam MCA, Gerakan, MIC akan beralih kepada PKR/DAP? Yakinkah Pensyarah bahawa parti-parti komponen BN tersebut gembira jika wujudnya Kerajaan Perpaduan di antara Pas dan Umno ini?

Allah telah membuka pintu hati Mursyidul Am serta ramai ahli-ahli Pas untuk membuat keputusan bijak sekarang. Bukan masalah niat untuk bersatu itu tidak penting, tetapi strategi dan muslihat pihak lawan untuk meruntuhkan Pas dan kerjasama yang terbukti kukuh bersama PR sekarang lebih penting lagi untuk difikirkan. Apakah tanpa Kerajaan Perpaduan maka rakyat akan menderita dan tidak lagi bersatu? Bukankah perjuangan di dalam PR selama ini adalah untuk membebaskan rakyat dari perpecahan dan penderitaan selama ini? Apakah kita tidak yakin lagi dengan perjuangan kita sendiri? -wfauzdin


6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kalau mursyidul am pun terima amnu... jadik mursyidul AMNO la diaa....

bukan semua sokong nik aziz kerana dia nik aziz... tapi kerana dia betul... kalau dia buat tak betul... orang tolak jugak...

kalau dia nak join amnu jugak macam nasa dan hadi, dan tantawi, dan roslan sms, dan mustapa ali... nik aziz pun dipersilakan keluar pas... isi borang amnu...

jangan main-main... pas ni parti hasil duit orang miskin... bukan suka-suka korang kat atas nak buat apa...

dah janji selagi amnu tak masuk Islam... kita lawan... apa gaduh nak gi join dia pulak... nak tulung tanggung sekali segala kezaliman amnu tu??? dah la tipu kelantan dengan duit minyak tuh!!! nak berkawan ke dengan pencuri???

Tanpa Nama berkata...

DAP telah membuktikan kesetiaan kepada PAS di Kedah, wajarkah Mursyidul Am diberikan kepada Ustaz Azizan?

Tanpa Nama berkata...

Mengapa ada pemimpin2 PAS yang berbelit-belit kenyataan ...........?

sekali lawan umno habisan2.. sampai imam umno dlam masjid pun difatwakan semabahyang tak sah, kenduri umno tak makan danging lembu yang orang umno sembelih, dlll ..

sekali pulak, ok. umno pun melayu. kena bersatu. untuk apa tak tahu .. dakwah ke ...jawatan ke ..harta ke...?

pening kapla rakyat jahil ni.

Tanpa Nama berkata...

PKR dan DAP telah membuktikan kesetiaan kepada Pas, manakala Umno telah membuktikan `pengkhianatan' kepada Pas. Maka di sini, wajarkah Mursyidul Am memilih Umno semata-mata atas dasar perpaduan? Inilah kebijaksanaan Mursyidul Am Tuan Guru Nik Aziz di dalam membuat keputusan.

DAP KEDAH BUKTIKAN AYAT DI ATAS DAH TAK RELEVAN,
TAHNIAH KETEGASAN UST AZIZAN...

Tanpa Nama berkata...

INI POLITIK! Kesetian hanya perlu kepada ahli parti kerana pemimpin dilantik dan diberi mandat oleh ahli. Kalau muktamar Pas di Perak telah memutus untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat maka tindakan Nik Aziz adalah benar berdasarkan mandat ahli parti.

Gagasan Kerajaan Perpaduan walaupun sedap didengar adalah timbul dari motif yang tersembunyi yang akhirnya akan memecah belahkan PAS. Buatlah analisa simulasi, senerio atau pakai analisa SWAT, jawapan nya pasti tidak memehak kepada PAS. Pensyarah UiTM hanya boleh klentong kepada pelajar tetapi tidak kepada publik.

Tanpa Nama berkata...

Bagi penulis artikel di paparan di atas, beliau bertanya sama ada wajar TGNA membelakangkan pandangan ahli2 Pas yang banyak berjuang dan membantu pas. Pada saya, jangan kita tertinggal satu fakta yang sangat asas dan penting ini: Apakah PAS (bererti Kepimpinannya dan ahli2nya
telah membuat ketetapan dan BERSETUJU dengan 'Kerajaan Perpaduan' tersebut ? Ada tak ?

Jawabnya TAK ADA. Yang ada hanya beberapa kerat dari kita sahaja yang beriya-iya mahukan pendekatan itu. TGNA pun dah kata, kalu semua pihak dalam pas dah bersetuju, itu lainlah, maknanya bolehlah kita 'pursue' atau ambil tindakan ke arah itu. Maknanya bukan TGNA sorang saja yang oppose, tapi jutaan orang lagi (termasuk ahli, penyokong yang bukan ahli di luar sana, rakan dalam Pakatan dll). Jadi pertanyaan Tuan tidak relevan, off-target di sini. Persoalan lain yang patut ditanya, ditimbulkan. Parti tak setuju, cuma ada segelintir yang mahukannya. Mcm mana nak diketengahkan jugak ?