1 Jun 2009

Krisis Gerakan, PPP Petanda UMNO BN Semakin Lemah

Kecelaruan dalam Barisan Nasional (BN) semakin terserlah bukan hanya melibatkan parti, malah individu dalam parti komponen yang kini masih mencari arah dalam perjuangan politik masing-masing.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong berkata, ia terbukti dengan krisis yang berlaku dalam Parti Progresif Penduduk (PPP) dan Gerakan.

Menurutnya, ia akan berterusan memandangkan masing-masing mempunyai tujuan dan bukannya ikhlas bergabung.

“Kalau BN tiada kuasa, individu tersebut akan keluar parti, begitu juga PPP masih lagi bergantung kepada BN kerana parti itu masih berkuasa,” katanya semalam.

Wan Abdul Muttalib berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Naib Presiden Gerakan, Huang Cheng Guan yang menyatakan pendiriannya untuk ke-luar parti kerana dikatakan tidak berpuas hati berhubung pelantikan pengurusan kawasan.

Tindakan berkenaan mengejutkan Presiden Parti, Tan Sri Koh Tsu Koon dan akan mengambil kira pandangan akar umbi berhubung tindakan Cheng Guan.

Wan Abdul Muttalib percaya, pertelingkahan itu berpunca apabila sesuatu pihak merasakan mereka hilang kuasa namun tidak bersedia keluar BN kerana masih bergantung dan mencari tempat dalam politik.

Mengulas lanjut, pihaknya juga tidak bersedia menjemput Cheng Guan menyertai Pakatan Rakyat (PR) ataupun Kelab Penyokong Pas (KPP).

Jelasnya, untuk menyertai KPP, individu tersebut perlu mempunyai keyakinan untuk berjuang mengikut dasar yang diamalkan Pas.

“Dia tidak bercadang untuk masuk DAP dan masih bergantung pada BN. Kalau masuk KPP pun, dia tidak komited kerana ahli-ahli KPP mestilah komited untuk menolak dasar BN,” katanya.

Selain itu, beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi penjelasan terperinci berhubung 1Malaysia kerana agenda itu dilihat tidak selari dengan apa yang berlaku dalam parti-parti komponen BN ketika ini. -SH


Tiada ulasan: