16 Apr 2009

Selepas Bukit Gantang Penanti Pula Akan Hadapi Pilihanraya

Di dalam satu perkembangan yang mengejutkan, bekas timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin hari ini mengumumkan keputusannya meletak jawatan ADUN Penanti, berkuatkuasa hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat untuk membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap usaha bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat siswazah lanjutan.

Ia juga, katanya, untuk memberi masa kepadanya untuk bersama-sama dengan keluarga "yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasan saya".

Dengan perletakan jawatan tersebut, kerusi Penanti bakal disytiharkan kosong dan satu pilihanraya kecil bakal diadakan.

Kerusi DUN Penanti berada di dalam Parlimen Permatang Pauh. Pada pilihanraya umum 2008, kerusi itu dimenangi oleh Mohd Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat yang memperolehi 7,346 undi mengalahkan Datuk Abd Jalil Abd Majid yang memperolehi 5,127 undi. Majoriti undi yang diperolehi oleh PKR ialah 2,219 undi.


Berikut adalah kenyataan penuh Fairus hari ini:

Setelah memberikan pertimbangan dengan sewajarnya, mengambilkira landasan perjuangan dan kepentingan rakyat yang saya wakili, saya dengan ini mengambil keputusan demi memelihara kepentingan Parti Keadilan Rakyat untuk melepaskan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti berkuatkuasa hari ini 16hb April 2009.

Keputusan ini bertujuan untuk membolehkan saya memberikan tumpuan penuh terhadap usaha bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca siswazah dan sekaligus memberikan masa kepada saya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasan saya.

Ruang ini juga akan saya manfaatkan untuk menumpukan usaha bagi membersihkan nama baik saya dari segala tohmahan yang dilemparkan terhadap saya selama ini.

Khususnya kepada pengundi dan rakyat Penanti yang saya wakili, saya ingin merakamkan jutaan penghargaan di atas kasih sayang dan sokongan yang diberikan selama saya memegang amanah selaku wakil rakyat Penanti.

Keputusan ini adalah untuk kebaikan semua, Parti Keadilan Rakyat dan perjuangan serta kepimpinan di bawah teraju Dato' Seri Anwar Ibrahim (selaku Penasihat Parti) demi menegakkan kebenaran dan keadilan.


Tiada ulasan: