3 Mac 2009

Nizar Bakal Dinobat Menteri Besar Sekali Lagi

Mahu atau tidak mahu, suka atau tidak, cepat atau lambat, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamalauddin pasti akan kembali menjadi Menteri Besar Perak.

Kemelut yang berlaku di Perak mempunyai "hikmah" yang tersembunyi. Ia persis mengasah dan menguji jurutera lulusan Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Birmingham, United Kingdom ini untuk kemudiannya diangkat sebagai pemimpin baru yang mempunyai keserasian dengan kehendak pelbagai lapisan rakyat khususnya di negeri Perak.

Suasana rencam masyarakat negeri Perak yang lebih tertonjol dari negeri-negeri lain memerlukan pemimpin yang mempunyai kerampilan untuk menyatukan rakyat di bawah satu naungan kepimpinan yang mampu menerima kepelbagaian ini disamping pada masa yang sama dapat meneroka jalan ke arah menciptakan kegemilangan buat Pakatan Rakyat.

Sebelum dari dilantik menjadi menteri besar perak selepas ribut tsunami politik 8 Mac nama Nizar Jamalauddin jarang kedengaran. Beliau tidak pernah menonjolkan diri walaupun telah mempunyai pengalaman yang begitu luas dengan pengalaman bekerja di beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya bahagian bengkel dan kuari, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA - Daya Urus), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Beliau juga pernah terlibat dalam menjalankan beberapa projek besar negara. Antaranya Projek Dayabumi fasa 2 & 3 pada tahun 1983, projek Pusat Islam (BAHES, Jabatan Perdana Menteri (1984), projek Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu (1985), pengurusan bangunan-bangunan kerajaan dan swasta termasuk KOMTAR, Bangunan Persekutuan Gunasama, pusat membeli belah dan pengurusan semua lif di hospital Kerajaan Negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Di luar negara pula beliau banyak menjalankan beberapa projek di beberapa buah negara, antara di Birmingham, United Kingdom, Zug Switzerland, Miano Italy, Bangkok Thailand, Sdyney dan Goldcoast Australia, Doha Qatar dan Tehran, Iran.

Dalam bidang politik pula, beliau berkecimpung dengan PAS dengan memegang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Kampar (1999 - 2001). Beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PAS kawasn Kampar (2001 hingga kini). Di peringkat PAS Negeri Perak, beliau memegang jawatan Bendahari PAS Negeri (2001- 2006), Setiausaha PAS Negeri (sebelum menjadi Menteri Besar Perak).

Keistimewaan beliau, walaupun lulusan dari luar negeri beliau mampu mengajar (buka kitab) di masjid-masjid dan suara-surau.malah beliau sendiri mampu mengelenggarakan ibadah kurban termasuk penyembelihan bintang kurban malah membaca talqin di hari kematian.

Di samping itu Nizar juga selain boleh berbahasa Inggeris, ia juga boleh berbahasa Cina dan Tamil. Inilah Menteri Besar yang dikehendaki oleh rakyat, mampu mentadbir, berwibawa dan mempunyai pengetahuan agama dan boleh membaca khutbah jumaat.

Adalah tidak mungkin untuk seseorang mengkacakan sebutir mutiara yang dikurniakan Allah untuk umat Islam khususnya dan rakyat umumnya di negara ini.

Meskipun ada pihak yang memperlekehkan beliau termasuklah dari kalangan Istana yang terdiri dari golongan yang tidak boleh disentuh dan tidak boleh ditegur yang tidak senang dengan Nizar, namun Nizar tetap merupakan ikon pemimpin zaman baru - sekalipun kini terpaksa berdepan dengan pelbagai tribulasi perjuangan.

Beliau mungkin tidak suka tulisan saya ini yang melambungkan namanya begitu tinggi, namun yang nyata, PAS memerlukan ramai pemimpin sebegini untuk memertabatkan PAS sebagai sebuah parti yang unggul untuk diterima oleh sekalian masyarakat.

PAS sudah cukup ramai memiliki pemimpin yang mampu berucap dan berceramah di pentas-pentas retorika untuk menjana semangat juang - malah ia persis merupakan satu "kelayakan" khas bagi seseorang itu untuk dipilih menjadi (walaupun bukan satu kepeluan) pemimpin kanan parti. Namun kemunculan Nizar di senario politik pasca PRU12 menyebabkan segalanya dirombak. Keperluan untuk mengangkat pemimpin yang bukan sekadar pandai berpidato tetapi mampu bekerja, keperluan untuk mengatasi masalah di dalam masyarakat yang heterogeneous bukan sekadar di kalangan masyarakat yang homogeneous seperti Terengganu, Kedah atau Kelantan - sebagai satu ciri yang mampu mengisi slogan "PAS FOR ALL" yang telah dicanangkan sejak PRU yang lalu.

Ketenangan wajahnya menghadapi kemelut yang berlaku, dengan iringan sambutan dari rakyat pelbagai ceruk bandar dan desa seluruh Perak, pasti mengangkat semula Nizar ke kerusi Menteri Besar sekali lagi.

Sekiranya Perak diandaikan sebuah "Mini Malaysia" lantaran sifat rencam dan kosmopolitannya, maka Nizarlah yang bakal dikedepankan nanti sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru dari Pakatan Rakyat - selepas saja Anwar perintis ke jawatan itu. Yang lain miminjam istilah mantan PM , hanyalah Pak Lawak belaka (maafkan GB - yang terpaksa mengambil sikap apologetik ini).

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya kagum dengan ketrampilan beliau.
Dalam masa yang singkat beliau menjadi begitu popular dan dikehendaki oleh orang Perak. BN/Umno secara tidak langsung membuatkan beliau popular and disayangi rakyat Perak. Harap sungguh beliau kembali menjadi MB Perak.

PerakBoy

Tanpa Nama berkata...

apakah amalan Ir Nizar sehingga ALLAH angkat popularitinya scr mendadak begitu... SubhanaLLAH...

mudah2-an ramai lagi figur yang hebat akan ditonjolkan ALLAH untuk memimpin ummah ini

saad alkhudhriyy berkata...

Alhamdulillah,Semoga jatuh kudeta umno parti timbang senget dengan rasuah,dan dilantik balik ke jawatan MB yang di rampas tanpa sebab. Dengan restu Raja yang baharu,semoga CEPATlah proses perlantikan beliau yang berketerampilan sebagai pemimpin.
InsyaALLAH aa miiin