15 Mac 2009

MAHATHIR PERINGATKAN NAJIB UNTUK TIDAK PILIH PEMIMPIN RASUAH

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menasihati Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memastikan barisan Kabinet yang beliau akan lantik apabila menjadi Perdana Menteri nanti terdiri daripada mereka yang bersih daripada sebarang bentuk rasuah.

Bekas Perdana Menteri berkata ketika ini ramai di kalangan rakyat yang memerhatikan senario politik negara terutama menjelang pemilihan Umno hujung bulan ini.

"Masyarakat memang tahu siapa yang terbabit dengan rasuah kerana mereka memberikan wang secara agak terbuka, dan pihak yang menerima pula bercakap bahawa mereka menerima wang itu yang bertujuan memenangi sokongan mereka.

"Jadi apabila Najib menjadi PM dan beliau melantik orang ini, maka seperti yang telah saya katakan, beliau menjerat lehernya sendiri kerana beliau akan kalah dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang," katanya pada wacana mengenai Demokrasi dan Kepimpinan Masa Depan Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata pelan peralihan kuasa yang dirancang setakat ini berjalan mengikut perlembagaan parti.

"Bagaimanapun, apa yang membimbangkan ialah terdapat banyak politik wang yang berlaku dan jika ada peralihan (kuasa) tetapi kalau pemimpin yang dipilih terdiri daripada mereka yang mengamalkan rasuah, Umno tidak akan dapat meraih sokongan rakyat," katanya.

Beliau berkata penggunaan wang rasuah juga boleh menidakkan kebaikan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, jadi perwakilan mesti bijak memberikan sokongan mereka kepada pemimpin yang bersih dan mampu memimpin negara.

"Adalah lebih baik kita musnahkan parti daripada menghidupkan pemimpin rasuah untuk memimpin parti," katanya.

Mahathir juga meminta SPRM menyiasat urusniaga MV Augusta oleh Proton. Beliau mempersoalkan kebijaksanaan Proton untuk menjual pengeluar motosikal Itali MV Agusta Motors pada harga satu euro, sambil menyatakan pengeluar kereta negara itu rugi sejumlah 75.99 juta euros atau RM348 juta dengan berbuat demikian.

Katanya Proton telah membeli pegangan 57.75 peratus dalam MV Agusta pada harga 70 juta euro dalam Dis 2004 semasa beliau masih berkhidmat dengan pengeluar kereta negara itu.


Tiada ulasan: