22 Feb 2009

SPRM Lenyapkan Ratusan Laporan Rasuah Ke Atas Pimpinan UMNO-BN

Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan kenyataan politik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah bertindak menghukum Tan Sri Khalid sebelum sebarang pendakwaan dan perbicaraan bersabit dengan kenderaan dan juga lembu.

Beliau berkata: "Sikap pilih kasih dan pendakwaan selektif yang begitu ketara ini sangat menjijikkan, tatkala puluhan, malahan ratusan laporan polis serta laporan rasuah yang dikemukakan kepada SPRM melibatkan pimpinan UMNO-BN, dibakulsampahkan dan senyap sunyi tanpa berita!"

"Reformasi apa yang dijanjikan kini? SPRM ghairah memperjuangkan kes lembu, walhasil mereka menampakkan diri mereka ibarat lembu dicucuk hidung," tambah Anwar di dalam blognya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata kelmarin bahawa SPRM ada keterangan kukuh untuk mendakwa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berhubung salah guna wang bagi penyelengggaraan kereta mewah dan pembelian lembu korban.

Akhbar Mingguan Malaysia yang selama ini cukup resah dengan kebangkitan rakyat menentang UMNO / BN dan tegar menentang pakatan Rakyat pada hari ini pula telah dengan cepat dengan cepat memberi respons kepada kenyataan SPRM dan mendesak supaya Tan Sri Khalid Ibrahim didakwa.

Anwar berkata bahawa cara jelek sebegini pastinya satu percaturan yang diatur bagi memenuhi agenda peribadi Datuk Seri Najib untuk memastikan suara rakyat dilenyapkan.

"KeADILan dan Pakatan Rakyat ingin menegaskan bahawa kita komited dengan agenda membanteras rasuah ke akar umbi dan menentang sistem yang rakus dan zalim," tegas Anwar di dalam tulisannya.


Tiada ulasan: