3 Mac 2015

Mustafa Ali Lancarkan Perang Psikologi Pemilihan Menjelang Muktamar


Hadi dijangka menang tanpa bertanding pemilihan PAS, Mat Sabu dicabar

Setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali yakin Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan kekal sebagai presiden PAS tanpa bertanding pada pemilihan parti Jun ini.

Mustafa berkata setakat ini, tidak ada mana-mana pemimpin dalam parti itu yang akan mencabar Hadi.

"Setakat yang saya tahu tidak ada pertandingan bagi jawatan presiden," katanya kepada pemberita selepas Majlis Kutipan Dana Pasca Banjir di Kota Baru, hari ini.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob merasmikan majis tersebut yang turut dihadiri Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Hassan Mohamood.

Mengenai jawatan timbalan presiden yang disandang Mohamad, Mustafa berkata jawatan itu dijangka akan berlaku pertandingan.

Mustafa berkata Mohamad juga akan dipanggil dalam tempoh terdekat ini oleh jawatankuasa khas siasatan parti berhubung wujudnya komplot menjatuhkan Hadi.

Sementara itu, mengulas perkara sama, Hassan yakin Hadi akan kekal sebagai presiden tanpa dicabar oleh mana-mana pihak.

"Sekarang ini tidak ada tokoh untuk menandingi dia (Hadi). Setakat ini Abdul Hadi adalah yang terbaik di kalangan kita. Kekuatan PAS ialah Islam, pemimpin tertinggi (presiden) mesti orang yang menguasai Islam dari segi ilmunya, bahasa Arab, berwibawa dan mampu mentadbir," katanya. – Bernama

ULASAN GB

Nampaknya "Perang Psikologi" untuk mempengaruhi pencalonan Jawatankuasa PAS Pusat menjelang muktamar kawasan-kawasan sudah dilancarkan oleh Setiausaha Agong sendiri sekalipun belum ada satu pun kawasan yang bermesyuarat.

Yang menarik ada dua perkata, pertama katanya Hj.Hadi dijangka menang tanpa bertanding. Senyum saja kita membacanya. Habis yang kata nak siasat Mat Sabu dan Hatta kerana nak guling Presiden itu pula halnya? Bukankah tuduhan itu sendiri merupakan signal jelas menunjukkan jawatan presiden itu bakal ditandingi?

Kedua nak menjatuh dan merendahkan kredibiliti Mat Sabu dan Hatta apabila menyatakan mereka berdua akan disiasat dalam isu "penggulingan Hj Hadi" dan katanya lagi Mat Sabu bakal dicabar.

Mustafa Ali memang tidak berkredibiliti malah berat sebelah di dalam perkara "siasatan". Kita lihat bagaimana aduan-aduan mengenai tingkah laku dan akhlak kumpulan pro-ulamak ... lansung tak disiasat. Mustafa Ali hanya menempelak Zuhdi Marzuki sebagai bermulut cirit, mengkritik Mokhtar Senik di dalam isu demontrasi di Pejabat Agung PAS... tetapi sekadar itu. Tetapi jika terhadap golongan yang tidak pro-ulamak akan segera disiasat dan dihebahkan besar-besaran. serangan terang-terangan ke atas Mat Sabu dan golongan profesyenal di dalam PAS tak pernah diambil kisah. Sedangkan mereka juga adalah dipilih oleh Muktamar.

Yang menariknya siapa agaknya yang nak mencabar Mat Sabu di dalam pemilihan nanti?

Di dalam pemilihan yang lalu, Nik Amar kalah di tangan Mat Sabu. Apakah mungkin Nik Amar akan dicalon semula untuk mencabar Mat Sabu? Kita tunggu nanti pencalon dari kawasan-kawasan.

p/s Susah-susah apa kata Mustafa Ali sendiri bertanding cabar Mat Sabu? Saya berharap ada kawasan yang pro-ulama yang berbuat demikian untuk melihat setakat mana penerimaan ahli terhadap Mustafa Ali. Amacam?

Ungkapan "BARUA" Itu Akan Kembali Kepada Penuturnya


Hanipa: Siapa agaknya 'barua' PAS itu?

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mempersoalkan siapakah golongan “barua” yang dimaksudkan oleh ahli jawatankuasa PAS Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dalam parti itu.

“Tanya (Nik) Abduh-lah, sebab dia yang cakap. Kalau dia kata ada barua dalam PAS, dia kena buktikan.

“Setahu saya tidak ada barua dalam PAS. Saya pun nak tahu (siapa). Kita sama-sama nak tahu,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Nik Abduh mendakwa terdapat "barua” di kalangan ahli PAS yang lebih taat setia kepada Pakatan Rakyat berbanding kepada parti itu sendiri.

Nik Abduh yang juga anggota parlimen Pasir Mas mendakwa, kelompok itu juga cuba memisahkan pemikiran Hadi Awang dengan arwah ayahnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hanipa hari ini menjelaskan, apa yang berlaku dalam PAS hanya perbezaan pendapat seperti lazimnya dalam mana-mana parti politik.

"Bila berlaku pemilihan ia semakin rancak.

“Muktamar ini macam perlawanan persahabatan, kadang-kadang ada yang main kasar kena juga kad merah. (Ini) normallah dalam parti,”katanya.

Hanipa ketika ditanya sama ada menjadi antara individu yang mahu menggulingkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menjawab “tidak mahu melayan khabar angin”. -mk


Ada 'barua' dalam PAS, kata Nik Abduh

Terdapat golongan yang dilabelkan sebagai “barua” di kalangan ahli PAS, kata Ahli Jawatankuasa PAS Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.

Dakwanya lagi kelompok itu lebih wala' (taat setia) kepada Pakatan Rakyat berbanding kepada parti Islam itu sendiri, lapor Sinar Harian hari ini.

Beliau mendakwa kelompok itu juga cuba memisahkan pemikiran Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan arwah ayahnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Lebih kurang 5 tahun dahulu saya pernah menulis satu artikel kontroversi yang bertajuk 'Kerja-kerja bodoh dalam PAS' sewaktu arwah ayah saya berada di Mekah.

"Ia menjadi kecoh di seluruh negara sehinggakan ada pihak menelefon arwah ayah supaya mengarahkan artikel saya ditarik balik.

"Sebenarnya tujuan artikel itu ditulis ialah bagi memberi gambaran kepada kesemua ahli PAS terhadap kewujudan usaha memisahkan golongan ulama dan golongan profesional dengan pelbagai cara, termasuk lemparan fitnah 'kerajaan perpaduan' terhadap presiden PAS," beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.
-mk


ULASAN GB

Keceluparan Nik Abduh menjadi-jadi setelah ayahandanya pergi. Kali ini terus tercetus perkataan "BARUA" dari mulutnya... (teringat GB perkataan BARUA yang dikeluarkan oleh Presiden PAS sendiri semasa di muktamar tahun lalu)

Hukum kebenaran dan keadian akan berjalan. Tutur yang baik akan menerima hal yang baik sementara turtur yang buruk akan menerima hal yang buruk kepada si penuturnya.

Nabi berpesan "Kullu Kalam Addua" - setiap ucapan itu adalah DOA.

Apabila anda mengungkapkan perkataan BARUA, apatah lagi terhadap ahli jemaah sendiri dan yang dituduh itu bukan Barua di sisi Tuhan, maka sebenarnya perkataan itu akan kembali kepada diri anda sendiri. Sama dengan kes Najib dengan perkataan HARAMJADAHnya dulu yang ditujukan kepada peneroka FELDA... akhirnya apa jadi? Najib yang ditimpa HARAMJADAH berkali-kali. Saham FGV merudum, Najib dinobatkan PM Kangkong, MH370 hilang, MH17 ditembak dan banyak lagi...

Presiden PAS juga pernah menuturkan BARUA di dalam Muktamar yang lalu. Lalu apa jadi? BARUA menimpanya - beliau diheret ke kandang orang salah di dalam satu kes saman fitnah pil kuda dan walaupun beliau bebas dari tuduhan itu tetapi Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan "kata-kata yang disebut Abdul Hadi dalam ucapannya pada malam berkenaan adalah sebagai kata-kata yang berunsur fitnah". Dengan automatik jatuh maruahnya kerana telah diisytiharkan "seorang yang mengeluarkan perkataan yang berunsur fitnah". Itulah hukum kebenaran dan keadilan yang berjalan... BARUA menimpa sipenuturnya.

Begitulah juga dengan penutur-penutur JEBON, MUNAFIK HARAKI, SYAITAN, BABI dan sebagainya.... usah bimbang ia akan kembali menimpa si penuturnya... kerana demikianlah hukum kebenaran dan keadilan (sunatullah) berjalan .. dan Allah berjanji sunnatullah itu tidak berubah ...

Sebagai suatu sunnatullah yang telah berlaku sejak dahulu, kamu sekali-kali tiada akan menemukan perubahan bagi sunnatullah itu. [QS. AL FATH 48:23]


p/s nak maki GB, makilah... kalau nak test samada makian itu berbalik tidak kepada diri sendiri...


2 Mac 2015

Berapa Banyak Wang Rakyat Digunakan Tanggung Dua Musibat Ini?


Ahli perniagaan Low Taek Jho, atau lebih dikenali Jho Low, didakwa merancang usaha sama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International pada 2009 bagi melarikan AS$700 juta dari syarikat pembangunan strategik itu, dakwa portal Sarawak Report.

Laman berpusat di Britain itu mendedahkan bayaran balik hutang syarikat usaha sama 1MDB-PetroSaudi sebanyak AS$700 juta kepada PetroSaudi pada 2009 hanyalah bagi mengaburi mata, sedangkan wang itu disalurkan kepada Good Star Limited, sebuah syarikat yang didakwa dimiliki Low.

Peruntukan pinjaman AS$700 juta itu merupakan sebahagian perjanjian usaha sama di antara Petro Saudi International dan 1MDB, kata Sarawak Report, yang turut menyebut dokumen yang diperolehinya dan menerbitkannya bersama pendedahan tersebut.

“Apa yang ditunjukkan melalui bukti ini ialah muslihat penting bagi menyalurkan 'pinjaman' dan 'premium' AS$700 juta kepada Jho Low berlaku sejurus selepas perjanjian (antara PetroSaudi dan 1MDB) dimeterai pada 29 September – dan Jho Low juga terlibat dan dimaklumkan setiap langkah,” kata Sarawak Report.

Menurut salinan perjanjian pinjaman PetroSaudi seperti diperolehi Sarawak Report, AS$700 juta dipinjamkan daripada PetroSaudi Cayman Holdings kepada syarikat usaha sama 1MDB-PetroSaudi pada 25 September, 2009.

"Bagaimanapun, tiada bukti menyokong 'pinjaman' itu melainkan ia sekadar sesuatu transaksi yang dirancang antara dua sayap PetroSaudi, sebuah syarikat dengan modal kerja yang amat kecil.

“Tiga hari kemudian, 1MDB terpaksa membayarnya balik secara tunai," kata laman tersebut.

Pada 29 September, 2009, ketua pegawai eksekutif (CEO) PetroSaudi Tarek Obaid mengeluarkan surat kepada 1MDB PetroSaudi Limited menuntut AS$700 juta dimasukkan ke dalam akaun bernombor 11116073, RBS Coutts Bank Ltd di Zurich, Switzerland.

Sarawak Report mendakwa akaun tersebut berdaftar di bawah nama syarikat Good Star Limited.

“Ini bermakna, wang yang dinyatakan dibayar balik kepada PetroSaudi sebagai memenuhi syarat perjanjian usaha sama, sebenarnya dipindahkan Tarek Obaid kepada pihak ketiga yang berasingan, Good Star Limited.”

Tambahnya, dana AS$700 juta itu dibayar balik oleh 1MDB secara bersendirian memandangkan PetroSaudi tidak menyalurkan sesen pun ke dalam usaha sama berkenaan dan hanya bersetuju dengan penilaian asetnya.

Good Star kemudiannya membayar Tarek Obraid "yuran broker AS$85 juta” pada hari sama surat tuntutan itu ditulis, menurut laporan itu lagi.

Sarawak Report mendakwa keseluruhan perjanjian usaha sama 1MDB-PetroSaudi itu didalangi Low dan pasukannya pada 8 September, 2009, tidak sampai sebulan sebelum ia dimeterai.

Selain Low, ia menamakan ahli perniagaan Britain, Patrick Mahony; rakan Low, Seet Li Lin; dan peguam Tiffany Heah, sebagai mereka yang terlibat dalam perbincangan awal.

Mahony bekerja dengan kumpulan pelaburan Ashmore yang membiayai operasi utama PetroSaudi, sementara Seet merupakan ketua pegawai pelaburan Good Star Limited dan naib presiden syarikat Low, Jynwel Capital, menurut Sarawak Report.

Laman itu berkata, ketika dihubungi bagi meminta beliau mengulas mengenai peranannya di Good Star, Seet menafikan mengetahui perkara itu sebelum "mematian telefonnya".

Melalui emel, Mahony memberitahu Low beliau memahami Low mahu menggunakan PetroSaudi International untuk "berdepan perjanjian tertentu" dan "kami sukacita untuk melakukannya".

Sarawak Report berkata CEO 1MDB, Shahrol Halmi dan rakannya dari Malaysia hanya terlibat dalam perbincangan pada 15 September atas initiatif Low yang memulakan panggilan telesidang di antara pihak terlibat.

Laman tersebut juga menerbitkan semula sebuah emel yang didakwa dari Shahrol, yang menunjukkan betapa 1MDB tidak tahu perniagaan sebenar PetroSaudi International, kerana Shahrol masih belum menerima profil syarikat itu beberapa hari sebelum perjanjian usaha sama dimeterai.

Pada 21 Februari lepas, 1MDB mendakwa menerima keuntungan AS$488 juta hasil usaha samanya bersama PetroSaudi.

Dalam kenyataan di laman web syarikat itu, presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy turut berkata wang pelaburannya dalam usaha sama itu ditukar balik dalam bentuk nota Murabaha selepas rancangan itu tidak diteruskan.

“Pada 2009, 1MDB mengadakan perjanjian usaha sama dengan PetroSaudi, yang ditubuhkan bagi menjalankan pelaburan dalam projek tertentu.

“Kedua-dua pihak kemudian memutuskan tidak meneruskan usaha sama berkenaan dan wang pelaburan kami ditukar kepada nota Murabaha.

“Nota Murabaha ini dibayar balik sepenuhnya, dengan 1MDB mencatat keuntungan AS$488 juta, pada 2013,” kata Arul dalam kenyataan itu. -TMI

Berapa bekas bos APCO Malaysia dibayar untuk nasihat JPM?

Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri Najib Razak menjawab di Parlimen mengenai status sebenar, skop kerja dan bayaran kepada bekas bos APCO Malaysia Paul Stradlen.

Kit Siang merujuk pendedahan Sarawak Report bahawa bos APCO itu dibayar sekurang-kurangnya RM 3 juta bagi setiap dasar komunikasi.

Manakala yang terbaru adalah berhubung kenyataan kontroversi mengenai hukuman penjara oleh Mahkamah Persekutuan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Najib diinta memberi penjelasan mengenai laporan Sarawak Report itu.

“Adakah Paul Stadlen bertanggungjawab terhadap kenyataan 10 Februari lepas memuji keputusan Mahkamah tidak menerima rayuan Anwar Ibrahim, hanya beberapa minit selepas hukuman dijatuhkan?

“Ini menimbulkan banyak persoalan,” ujar Kit Siang.

Menurut Sarawak Report, gaya hidup mewah Paul Stadlen yang gemar berparti menimbulkan persoalan, sama ada dia dibiaya duit pembayar cukai melalui jawatannya sebagai pegawai di Pejabat Perdana Menteri.


“Adakah tidak ada pakar perhubungan awam dan komunikasi yang boleh menjadi orang di belakang Najib sehingga harus mengambil firma Paul Stadlen sehingga dibayar RM 3 juta?

“Firma itu juga diberi tanggungjawab dalam projek berhubung 1Malaysia Development Berhad(1MDB),”ujar Kit Siang.

“Adakah kita sudah sampai ke peringkat di mana PM sudah tidak percaya lagi kepada pakar-pakar tempatan sehingga terpaksa mengambil ‘Guru PR’(perhubungan awam) dari luar?”Soal Kit Siang lagi.

Dalam masa sama Kit Siang turut mempersoalkan sikap berdiam diri Pejabat Perdana Menteri yang tidak menjawab mengenai peranan, skop tugas dan bayaran kepada Paul Stadlen.

“Kenapa teragak-agak pula (menjelaskan isu ini)? soal Kit Siang.

Pada 10 Februari lalu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan dipercayai disiapkan pegawai perhubungan Paul Stadlen, yang dilihat pencerobohan kuasa eksekutif ke atas mahkamah.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sebelum selesainya semua “proses menyeluruh dan komprehensif’.

Kenyataan itu diumumkan selang beberapa minit sahaja selepas hukuman keatas Wnar dijatuhkan.

“Ini adalah enjata eksekutif (diwakili Najib dan Paul) untuk melanggar doktrin pemisahan kuasa dan cuba untuk masuk campur dalam urusan mahkamah.

“Kumpulan komunikasi Najib nampaknya jadi tersangat laju demi mempertahankan keputusan Mahkamah Persekutuan, walaupun sebelum proses mahkamah belum lagi selesai,” kata Kit Siang.
– Roketkini




Ustaz Dihukum Gantung Sampai Mati


Alor Setar: Seorang ustaz yang juga warden asrama dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap tuduhan menyebabkan kematian pelajar berusia 11 tahun, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di Arau, Perlis empat tahun lalu.

Hukuman berkenaan diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab terhadap tertuduh, Hanif Muhammad Ali, 31, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Tertuduh yang berasal dari Teluk Intan, Perak bagaimanapun kelihatan tenang sebaik keputusan itu dibacakan.

Hanif sebelum ini dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh namun dipinda kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan asal di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, keputusan di akhir pembelaan mendapati tertuduh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 KK dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Perlis Badius Zaman Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shakir Khairi.

Dalam kejadian pada 31 Mac 2011, Saiful Syazani yang ketika itu berusia 7 tahun koma selama tiga hari sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini, 5.40 pagi pada 3 April 2011 dipercayai akibat dipukul warden asrama terbabit ketika menyiasat satu kes kecurian di asrama Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau, Perlis. -HM

ULASAN GB

Kes ini berlaku pada tahun 2011. Baca Kes Murid Mati Dipukul Guru: Hukuman Mati Jika Sabit Kesalahan. GB pernah mengulas. Petikan:

Pengajaran keras untuk sekalian guru/ustaz.

Jika tak sanggup pikul amanah,
jika tak mampu untuk mengawal nafsu ammarah,
jika nafsu mengatasi ilmu dan akal,
jika tak mampu untuk mendidik dan
jadi contoh teladan yang baik untuk murid
maka,
letak jawatan sebagai guru/ustaz dan cari kerja lain

Ada yang bekata "jangan hina kaum guru/uztaz"
sebab dengan mereka kamu boleh mengeja dan membaca

kepala hotak punya dogma!
semua hamba adalah sama di sisi Allah
yang membezakan hanyalah yang bertaqwa

seorang guru, seorang ulama, seorang petani, seorang menteri, seorang tukang sapu, seorang polis, seorang pekerja TNB, seorang PM, seorang peniaga kantin, seorang penarik beca, seorang wartawan, seorang blogger, seorang Presiden PAS, seorang bendahari persatuan kompang, seorang jurugambar, seorang Rosmah, seorang askar, seorang peon, seorang juruterbang, seorang anggota FRU, seorang nelayan, seorang CEO, seorang pereka fesyen, seorang imam di Masjid Negara, seorang jaga, seorang makmum berbangsa bangla, seorang tukang gunting rambut, seorang gurusilat, seorang pegawai kastam, seorang peniaga kaki lima, seorang hakim mahkamah atau sesiapa juga ...asalkan dia bernama manusia:

semua sama di sisi Allah.

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mengenal" (QS. 49:13).

Taqwa itu bukan duduk di serban dan janggut, tapi taqwa itu di dalam hati.

Jari kelingking dengan jari hantu dengan jari telunjuk dengan jari manis dengan ibu jari, semua ada tugas dan kelebihan masing-masing. Tiada beza, mereka adalah jari-jari belaka.

Renungkan: Jika guru membuat aku pandai mengeja, petani itu lebih penting, membuat aku dapat memakan nasi untuk teruskan kehidupan. Jika guru itu penting kerana membuat aku pandai menulis dan mengeja, maka pekerja TNB itu juga penting dengannya lampu bernyala untuk menyuluhi rumahku dari gelap gelita.

Dan GB juga seorang guru / lecturer, tapi GB tak suka orang melebihkan GB dengan orang yang berprofesion bukan-guru. Tiada beza diantara sesama kita di sisi Allah. GB seperti orang-orang lain yang juga sebenarnya adalah guru setidak-tidaknya untuk diri sendiri yang wajar hidup berpesan-pesan dan menerima pesan dari yang lain berimbaukan firman Allah s.w.t.:

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.[Surah Al-'Asr Ayat 1-3]



[BERGAMBAR] Penemuan Manusia Raksasa Kaum ‘Ad Umat Nabi Hud a.s.


Aktiviti eksplorasi gas wilayah selatan gurun pasir Arab telah menemui tengkorak manusia bersaiz raksasa sangat mengejutkan. Wilayah di gurun pasir Arab selatan ini disebut “Penempatan kosong” (Empty Quarter atau Rab al-Khaliy). Fosil manusia raksasa itu ditemui oleh Pasukan The Aramco Exploration.

Demi keselamatan tapak arkeologi tersebut, tentera Arab Saudi telah menjaga kawasan penemuan ini dan tidak seorang pun dibenarkan memasuki lokasi kecuali para pegawai eksplorasi Aramco.

Ada sesetengah pihak yang cuba menafikan penemuan ini dengan mengatakan bahawa gambar ini adalah ‘super impose’. Ini adalah cubaan penafian dari pihak yang ingin menentang kebenaran sejarah yang sebenarnya. Mereka lebih gemar dan taksub kepada sejarah yang mengatakan manusia hasil dari evolusi monyet dan beruk. Jadi apa pandangan anda?


Kemurkaan Allah Terhadap Kaum ‘Ad Umat Nabi Hud AS

Allah s.w.t. telah merakamkan dalam al-Qur’an sebuah kisah yang amat mengerikan dan dahsyat pernah berlaku di atas muka bumi ini. Kisah ini juga merupakan mesej untuk memberitahu betapa murkanya Allah s.w.t. terhadap sikap dan tindakkan manusia yang menentang kebenaran dan melampau sehingga menyebabkan kerosakan di muka bumi.

Kaum ‘Aad merupakan kaum yang mahir dalam seni bina sehingga mereka mampu mendirikan bangunan dan gedung-gedung indah di setiap tempat tinggi dengan harapan mereka dapat hidup selama-lamanya.


Allah s.w.t. mengutus kepada kaum ‘Aad seorang Nabi yang dilantik daripada kalangan mereka iaitu Nabi Hud a.s. untuk memberi peringatan. Malangnya kaum ‘Aad menolak dan mendustakan Nabi Hud a.s.

Allah s.w.t. merakamkan kisah tersebut dalam al-Qur’an :

“Dan (Hud berkata) : ‘Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa.’

Kaum ‘Aad membalas : ‘Hai Hud, kamu tidak mendatangkan kepada kami suatu bukti yang nyata, dan kami sekali-kali tidak akan meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana perkataanmu, dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kamu. Kami tidak mengatakan melainkan bahawa sebahagiaan sembahan kami telah menimpakan penyakit gila atas dirimu’.”

Allah s.w.t. menjelaskan bagaimana kaum ‘Aad dibinasakan dalam firman-Nya :

“Adapun ‘Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin rebut yang kencang , yang melampau kencangnya, yang diarahkan menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus menerus. (Kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati , seolah-olah mereka , batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang. Dengan yang demikian dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)?” (Surah al-Haaqqah ayat 6-8)

Kajian geografi menunjukkan bahawa tempat tinggal kaum ‘Aad ialah di bumi Ahqaf yang terletak di sebelah utara Hadramaut. Disebelah utaranya terletak Ar Rab’ Khali, manakala timurnya ialah Oman . Mereka ialah kaum yang menyembah berhala, antaranya yang bernama Waddn, Suwa’an, Yaghus, Ya’uq dan Nasran. Kaum ‘Aad yang dibinasakan ialah kaum ‘Aad yang terdahulu (pertama). Adapun kaum ‘Aad yang terkemudian (kedua) mereka menetap di Yaman.

Menurut cerita daripada penduduk Hadramaut . Sesungguhnya Nabi Hud a.s menetap di Hadramaut selepas kaum ‘Aad di binasakan sehingga baginda wafat dan dikebumikan ditimur Hadramaut iaitu dua marhalah daripada bandar Turim berhampiran lembah (Barhut)

Allah s.w.t. telah menyebutkan kehebatan kaum ‘Aad dalam firman-Nya yang bermaksud : “Tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu lakukan terhadap kaum ‘Aad (yang kufur derhaka). Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya (sesuai dengan penduduknya.) (Surah al-Fajr ayat 6-7)

Seorang ahli arkeologi bernama Nicholas Clapp telah menemui lokasi lagenda purba itu. Daripada penemuan arkeologi tersebut didapati bahawa menara dan tiang-tiang yang disebutkan dalam al-Qur’an begitu mengagumkan dan mempunyai bentuk-bentuk khas . Catatan sejarah mendapati kaum ‘Aad adalah kaum yang terkaya di dunia. Mereka sangat maju dalam pertanian ‘frankincence’ , salah satu tanaman yang paling berharga pada waktu itu. Manakala hasil daripada penggalian , telah ditemui sisa runtuhan sebuah kota yang amat luar biasa. Kota tersebut dikelilingi dinding memiliki ukuran begitu luas dan istananya merupakan bangunan yang sangat menakjubkan. Tiang-tiangnya memiliki teknologi arkitektual yang tinggi, berbentuk bulat dan disusun dalam serambi yang melengkung, berlapis emas atau perak. Ruang-ruang di antara tiang-tiang tersebut sangat mengagumkan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Adapun kaum ‘Aad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar , serta berkata : “Siapakah yang lebih kuat daripada kami?” Dan (mengapa mereka bersikap demikian?) tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka (daripada tiada kepada ada) adalah lebih besar kekuatan-Nya daripada mereka? Dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahui.) (Surah al-Fushilat ayat 15)

Begitulah sikap kaum ‘Aad sehingga mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t . Akibatnya mereka dibinasakan dengan taufan. – (Dipetik dari tulisan Ustaz Mohd Wahid Abd. Hanif dari Majalah Solusi 05/2009)


Penemuan Manusia Raksasa Kaum 'Ad - 4 Penemuan Arkeologi di Kota Iram

Pada awal tahun 1990 muncul keratan akhbar dalam beberapa surat khabar yang terkemuka di dunia yang menyatakan “Kota Legenda Arabia yang Hilang Telah Ditemui”, “Kota Legenda Arabia Ditemukan”, “Ubar, Atlantis di Padang Pasir.” Yang membuat penemuan arkeologi ini lebih menarik adalah kenyataan bahawa bandar ini juga disebut dalam Al-Quran. Ramai orang, yang sejak dahulu beranggapan bahawa kaum ‘Ad sebagai-mana diceritakan dalam Al Quran hanyalah sebuah legenda atau beranggapan bahawa lokasi mereka tidak akan pernah ditemui, tidak dapat menyembunyikan kehairanan mereka atas penemuan ini. Penemuan bandar ini, yang hanya disebutkan dalam cerita lisan Suku Badwi, membangkitkan minat dan rasa ingin tahu yang sangat mendalam.

Nicholas Clapp, seorang arkeolog amatur yang menemui kota legenda yang disebutkan dalam Al Quran ini. Sebagai seorang Arabophile dan pembuat filem dokumentari berkualiti, Clapp telah menjumpai sebuah buku yang sangat menarik selama penelitiannya tentang sejarah Arab. Buku ini berjudul Arabia Felix yang ditulis oleh seorang peneliti Inggeris bernama Bertram Thomas pada tahun 1932. Arabia Felix adalah wakil Rom untuk bahagian selatan semenanjung Arabia yang sekarang ini merangkumi Yaman dan sebahagian besar Oman. Bangsa Yunani menyebut daerah ini “Eudaimon Arabia”. Sarjana Arab abad pada pertengahan menyebutnya sebagai “Al-Yaman As-Sa’idah” 20.

Semua nama tersebut bermaksud “Arabia yang Beruntung “, kerana orang-orang yang hidup di daerah tersebut di masa lalu dikenali sebagai orang-orang yang paling beruntung pada zamannya. Jadi apakah yang untung itu?

Keberuntungan mereka sebahagian berkaitan dengan kawasan mereka yang strategik menjadi perantara dalam perdagangan rempah ratus antara India dengan tempat-tempat di utara semenanjung Arab. Di samping itu, orang-orang yang berdiam di daerah ini menghasilkan dan mengedarkan “frankincense” sejenis getah wangi dari pokok langka. Kerana sangat disukai oleh masyarakat kuno, tanaman ini digunakan sebagai dupa dalam berbagai upacara keagamaan. Pada saat itu, tanaman tersebut sekurang-kurangnya sama berharganya dengan emas.

Thomas memaparkan tentang suku-suku yang “beruntung” ini dengan panjang lebar dan menyatakan bahawa ia telah menemui jejak sebuah bandar purba yang dibina oleh salah satu dari suku-suku ini. Itulah bandar yang dikenali suku Badwi dengan sebutan “Ubar”. Pada salah satu perjalanannya ke daerah tersebut, orang-orang Badwi yang hidup di padang pasir itu menunjukkan pusat-pusat usang dan menyatakan bahawa pusat-pusat tersebut mengarah ke bandar kuno Ubar. Thomas, yang sangat berminat dengan perkara ini dan mahu mengkaji lebih dalam lagi.

Clapp, setelah mengkaji tulisan Thomas, yakin akan kewujudan bandar yang hilang tersebut. Tanpa banyak membuang masa, beliau memulakan penelitiannya. Clapp membuktikan kewujudan Ubar dengan dua cara. Pertama, ia menemukan pusat-pusat yang menurut suku Badwi benar-benar ada. Ia meminta NASA (Badan Luar Angkasa Nasional Amerika Syarikat) untuk menyediakan foto satelit daerah tersebut. Selepas rundingan yang panjang, beliau berjaya memujuk pihak yang berkuasa untuk memotret daerah tersebut.

Clapp meneruskan mempelajari pelbagai manuskrip dan peta kuno di perpustakan Huntington di California. Tujuannya adalah untuk menemukan peta dari daerah tesebut. Setelah melalui penelitian singkat, ia menemukannya. Yang ditemuinya adalah sebuah peta yang dilukis oleh Ptolomeus, ahli geografi Yunani-Mesir pada tahun 200 M. Pada peta ini ditunjukkan lokasi sebuah bandar tua yang ditemui di daerah tersebut dan jalan-jalan yang menuju ke kota tersebut.

Sementara itu, beliau menerima khabar bahawa NASA telah melakukan pemotretan. Dalam foto-foto tersebut, beberapa pusat kafilah dapat di lihat, suatu hal yang sulit untuk dicari dengan mata kasar, tetapi boleh dilihat sebagai satu kesatuan dari luar angkasa. Dengan membandingkan foto-foto ini dengan peta tua yang di tangannya, akhirnya Clapp menjumpai kesimpulan yang ia cari: pusat-pusat dalam peta tua sesuai dengan pusat-pusat dalam gambar yang diambil dengan satelit. Tujuan akhir dari jejak-jejak ini adalah sebuah tapak yang luas yang ditengarai dahulunya merupakan sebuah bandar.

Akhirnya, lokasi bandar legenda yang menjadi subjek cerita-cerita lisan suku Badwi dijumpai. Tidak berapa lama kemudian, penggalian bermula dan peninggalan dari sebuah bandar mulai tampak di bawah gurun pasir. Demikianlah, bandar yang hilang ini disebut sebagai “Ubar, Atlantis di Padang Pasir”.

Lalu, apakah yang membuktikan bandar ini sebagai bandar kaum ‘Ad yang disebutkan dalam Al Quran?

Begitu runtuhan-runtuhan mula digali, diketahui bahawa bandar yang hancur ini adalah milik kaum ‘Ad dan berupa tiang-tiang Iram yang disebutkan dalam Al Quran, kerana di antara pelbagai struktur yang di-gali terdapat menara-menara yang secara khusus disebutkan dalam Al-Quran .

Dr. Zarins, seorang ahli pasukan kajian yang memimpin penggalian mengatakan bahawa kerana menara-menara itu disebut sebagai bentuk khas bandar ‘Ubar, dan kerana Iram disebut mempunyai menara-menara atau tiang-tiang, maka itulah bukti terkuat setakat ini, bahawa tapak yang mereka gali adalah Iram, bandar kaum ‘Ad yang disebutkan dalam Al Quran:

“Apakah kamu tidak memperhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka). Iaitu penduduk “Iram” yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya). Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)?.” (Surah Al-Fajr 89: 6-8)


Hanya Allah Yang Maha Tahu samada kisah di atas berserta fotonya benar atau palsu. -hasnulhadiahmad.com

1 Mac 2015

Ust Ahmad Awang: Multaqa, Kempen Menjatuhkan Pihak Lain..


Ulama bukan tiket dapat pujian, jawatan’

ULASAN Bhgn 2 Agenda apa sebenarnya yang diutamakan oleh multaqa ini? Mengusahakan perpecahan PR atau pengukuhannya? Mengusahakan kesatuan saf dalaman PAS atau merenggangkannya?

Yang dilihat, ianya dianjurkan hanya pada tahun pemilihan. Yang dilihat ia menghasilkan usul pecah-belah dan persengketaan.

Adakah benar persepsi sebahagian bahawa program liqa’, neqad, ijtima’ dan multaqa itu sendiri adalah tidak lain melainkan usaha kempen untuk menjatuhkan pihak tertentu dan menaikkan yang lain?

Amat malanglah sekiranya ia benar sehingga tumpuan usaha ulama yang dibawa dari seluruh negara adalah untuk memburuk-burukkan pimpinan tertentu dan menjatuhkan mereka dan menaikkan golongan sendiri.

Politiking sempit sebegini tidak layak bagi ulama, apatah lagi dengan menggunakan nas-nas al-Quran dan hadis yang tidak kena pada tempatnya.


Harapan ahli supaya Multaqa Ulama II bebas dari politiking yang sebegini dan persidangan ini akan mengeluarkan usul mengutuk tadbir urus kerajaan Umno-BN yang rosak dan tempang, dasar ekonominya yang membebankan rakyat, politiknya yang rakus dan zalim serta salah guna kuasa yang terang dan nyata.

Harapan ahli supaya multaqa ini menjadi pendorong untuk meningkatkan usaha menjatuhkan Umno-BN supaya Islam boleh bebas membangun. Dengan itu juga saf yang telah sengaja direnggangkan oleh golongan tak bertanggungjawab dapat dirapatkan kembali.

Tetapi tidak demikian. Agenda perubahan bagaikan hilang dengan tiupan bayu dan alunan lagu "perpaduan Melayu" yang di mainkan Umno dan konco-konconya terutama selepoas musibah "tsunami kecil" di Kelantan pada akhir tahun lalu.

Maka yang tinggal hanya perbalahan dalaman PAS dan Pakatan Rakyat. Adakah golongan Ulama PAS sudah hilang fokusnya dan tidak mampu memimpin perubahan ke arah keadilan dan negara berkebajikan?

Ingatan buat golongan ulama

Saya sebagai mantan ahli Majlis Syura Ulama (MSU) berbelas tahun merasa dukacita dan kesal ia tidak menzahirkan kehebatan dan kepimpinan ulama sepertimana yang saya harapkan.

Saya tertanya-tanya apakah tokoh multaqa yang lebih sepuluh orang pembentang dan pembahas itu terlupa pada perintah Allah seperti yang terkandung dalam firmannya yang bermaksud:

"Maka berkat rahmat Allah, engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkan lah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakkal." ( Surah Ali Imran ayat 159)

Hadis Rasulullah SAW: "Al-Ulama' warasatul anbiayaa" atau ulama adalah pewaris para Nabi bukan merupakan tiket untuk mendapat pujian dan dokongan serta kedudukan dan jawatan.

Ia sebaliknya merupakan amanah dan wawasan yang perlu dipenuhi dan dicapai oleh mereka yang digelar ulama. Supaya mereka akan ke depan memimpin masyarakat dengan ilmu dan ketaqwaan.

Kepimpinan ini pula bukan untuk dituntut atau ditagih atas alasan "saya ulama", tetapi sebaliknya diperolehi dan dimenangi melalui proses perjuangan bersama rakyat sehingga kelebihan seseorang ulama terserlah.

Itu jugalah proses yang dilalui Rasulullah SAW yang akan mampu menyerlahkan diri manakala ulama dunia, walau panjang mana senarai ijazahnya, akan terpinggir dan ditinggalkan. Ini kerana ilmunya tidak dihayati mencorakkan diri dan kehidupannya.

Pada masa yang sama, hendaklah sentiasa diingati bahawa ilmu dan kefahaman berhubung agama Allah ini ianya adalah milik Allah. Allah boleh memberi kefahaman mengenai agama kepada sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya.

Ilmu bukan pada sijil, ijazah

Ketahuilah oleh itu bahawa ramai yang telah bersama PAS, walaupun tidak mempunyai kelulusan rasmi dari institusi pendidikan agama, sememangnya berilmu dan bukan dari golongan juhala' (orang yang jahil).

Ilmu itu bukan semata-mata terletak pada sijil atau ijazah universiti, tetapi terletak pada hujah keilmuan dan intelektual. Oleh itu segala yang ingin diusahakan perlu dikemukakan dan dihujahkan dengan jelas dan tersusun.

Jangan dituntut ketaatan atau wala' dengan secara membuta tuli atau taqlid tetapi perjelaskan dan pertingkatkan ilmu dan kefahaman masyarakat.

Jangan perlekehkan mereka yang tidak berpendidikan agama secara rasmi, sedangkan mereka mungkin memahami banyak persoalan dengan lebih mantap. Didikan yang telah mereka perolehi adalah didikan amali haraki bersama perjuangan Islam yang dipimpin ulama' muktabar.

Adalah diharapkan bahawa golongan ulama akan membebaskan diri mereka dari amalan ‘politiking’ sempit dan sebaliknya membina imej mereka sebagai badan yang bebas dari kepentingan jawatan dan pangkat atau kepentingan duniawi.

Mereka perlu memperlihatkan ulama' sebagai kumpulan ilmuan yang memimpin arus perubahan dengan menentang kezaliman dan penyelewengan.

Dengan itu mereka akan diterima sebagai pemimpin ummah dan melayakkan diri ke status ‘warasatul anbiyaa’. Zahirkan ketajaman keilmuan dengan membedah permasalahan kontemporari dan mengemukakan penyelesaiannya sambil menjadi pihak yang berdiri teguh di pihak keadilan dan kebenaran.

Itulah proses yang dimulakan pada 1982 apabila konsep kepimpinan ulama mula-mula diutarakan dengan tertubuhnya Majlis Syura Ulama. Proses ini masih lagi dalam perlaksanaannya dan MSU itu sendiri perlu terus diperkasakan. Jangan golongan ulama’ hilang fokus.


Tidak ada ketaatan mutlak kepada ulama Oleh Mustaffa Fikri

Bersaing kuasa

Tanpa berselindung Ustaz Ahmad Awang, mantan naib presiden PAS dan mantan presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang menzahirkan kekecewaannya terhadap Multaqa (Pertemuan) Ulama II yang diadakan baru-baru ini.

Pertemuan ulama PAS ini sepatutnya dimanfaatkan untuk membincangkan masalah “…tadbir urus kerajaan UMNO-BN yang rosak dan tempang, dasar ekonominya yang membebankan rakyat, politiknya yang rakus dan zalim serta salah guna kuasa yang terang dan nyata…”, malangnya bertukar menjadi medan “…untuk memburuk-burukkan pimpinan tertentu dan menjatuhkan mereka dan menaikkan golongan sendiri,” tegas Ahmad Awang merujuk kepada dua kumpulan yang bersaing kuasa di dalam PAS, iaitu kaum ulama dan profesional.

PAS memperkenalkan konsep kepimpinan ulama pada 1982 dengan melantik Yusuf Rawa sebagai mursyidul am yang pertama dan kemudiannya digantikan oleh Nik Aziz Nik Mat.

Di bawah Nik Aziz Nik Mat, PAS mengambil pendirian tegas menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan UMNO.

Pada masa sama sikap kesederhanaan dan keterbukaan Nik Aziz telah membuka ruang untuk golongan intelektual dan profesional terlibat dengan PAS dan sebahagiannya berjaya menduduki jawatan tertinggi dalam hiraki parti.


Ulama kehilangan arah?

Insiden pemecatan Anwar Ibrahim dari Umno pada 1998 menyemarakkan lagi penyertaan golongan intelektual profesional di dalam PAS.

Golongan profesional dalam PAS dilihat bertegas untuk mempertahankan landasan politik untuk kekal bersama Pakatan dan menolak kerjasama politik dengan UMNO sepertimana yang telah digariskan oleh Nik Aziz.

Golongan ulama pula, menurut Ahmad Awang bagaikan kehilangan arah “…dengan tiupan bayu dan alunan lagu ‘perpaduan Melayu’ yang dimainkan UMNO dan konco-konconya terutama selepas musibah ‘tsunami kecil’ di Kelantan pada akhir tahun lalu”.


Beliau turut mempersoalkan usul pertemuan kali ini yang sama seperti usul pertemuan ulama dua tahun lepas yang meminta agar kerjasama politik ini dikaji semula.

Ulama tegur ulama

“Tetapi setelah ditegur dan dikritik, maka diperjelaskan bahawa ‘kajian semula’ itu bermaksud ‘kaji semula ke arah memperbaiki dan memperkukuhkan lagi!’ Kalau benar itulah yang dimaksudkan pada ketika itu, maka di mana hasil kajiannya?” soalnya.

Teguran Ahmad Awang selaku tokoh PAS yang disegani yang pernah menjadi ahli Majlis Syura Ulama selama belasan tahun dan memimpin Persatuan Ulama Malaysia ini dijangka akan membuka ruang perdebatan yang lebih luas, tajam dan sengit tentang hala tuju dan garis kepimpinan yang akan menerajui PAS.

Teguran terhadap golongan ulama daripada seorang yang juga bergelar ulama sudah tentu mengundang pelbagai persepsi dan pertanyaan tentang kedudukan dan peranan ulama dalam PAS dan Islam secara keseluruhannya.

Khalayak awam Muslim di Malaysia serta di negara-negara Muslim yang lain umumnya memandang dan menggelar para lulusan pengajian Islam dan bahasa Arab dari pusat-pusat pengajian Islam tradisional dan moden di dalam dan luar negara seperti di Indo-Pakistan dan Timur Tengah sebagai ulama.

Sebahagian lulusan agama ini pula dengan mudah akan membenarkan dan mengiyakan gelaran yang diberi, lantas menyandarkan ucapan dan pemikiran Islam serta diri mereka sebagai tergolong dalam hadis Rasulullah SAW, ‘al-‘ulama warasatul anbiayaa’ atau ‘ulama adalah pewaris para Nabi’, sekali gus memiliki autoriti agama yang tidak boleh dibantah.

Gelaran ulama bukan tiket

Gelaran “…ulama adalah pewaris para Nabi bukan merupakan tiket untuk mendapat pujian dan dokongan serta kedudukan dan jawatan”, dan “Kepimpinan ini pula bukan untuk dituntut atau ditagih atas alasan ‘saya ulama’ ”, tegas Ahmad Awang.

Jika kita menelusuri sejarah perjalanan Islam dan agama-agama Ilahi kita akan menemui bahawa cuma segolongan kecil atau segelintir insan pada setiap kurun yang benar-benar mampu memikul dan meraih gelaran ulama sejati ini, bukan secara en masse atau borong sepertimana yang didakwa oleh ribuan lulusan agama pada hari ini.

Mereka ini adalah insan-insan berjiwa kental yang telah diuji ilmu, iman dan amalnya sepertimana besi disepuh dengan api.

“Itu jugalah proses yang dilalui Rasulullah saw yang akan mampu menyerlahkan diri manakala ulama dunia, walau panjang mana senarai ijazahnya, akan terpinggir dan ditinggalkan. Ini kerana ilmunya tidak dihayati mencorakkan diri dan kehidupannya,” tulis beliau lagi.

Selain memberikan teguran pedas kepada golongan ulama, Ahmad Awang juga secara jujur mengingatkan, “…hendaklah sentiasa diingati bahawa ilmu dan kefahaman berhubung agama Allah ini ianya adalah milik Allah.

Autoriti mutlak

Allah boleh memberi kefahaman mengenai agama kepada sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya. Ketahuilah oleh itu bahawa ramai yang telah bersama PAS, walaupun tidak mempunyai kelulusan rasmi dari institusi pendidikan agama, sememangnya berilmu dan bukan dari golongan juhala’ (orang yang jahil)”.

“Ilmu itu bukan semata-mata terletak pada sijil atau ijazah universiti, tetapi terletak pada hujah keilmuan dan intelektual. Jangan dituntut ketaatan atau wala’ dengan secara membuta tuli atau taqlid tetapi perjelaskan dan pertingkatkan ilmu dan kefahaman masyarakat”.


Tidak dapat dinafikan salah satu hambatan terbesar bagi pencerahan dan pemecahan kebuntuan pemikiran umat Muslim pada hari ini adalah budaya taqlid dan mengikut kata-kata ulama secara mutlak dan membuta tuli di kalangan orang awam.

Malahan akal seorang Muslim profesional yang berilmu dan berpendidikan yang telah diasuh untuk mencerap pemikiran dan hujah logikal, kritikal dan saintifik akan lesu dan longlai apabila berdepan dengan dogma dan fatwa ulama, sedangkan mereka ini juga tidak mempunyai sebarang jaminan untuk terlepas dari berdepan dengan pengadilan Ilahi di Akhirat nanti.

Apa yang sepatutnya dinilai dan dipertimbangkan adalah hujah-hujah keilmuan dan kefahaman baik dari golongan yang bergelar ulama, ilmuan, sarjana, intelektual dan profesional berdasarkan nas-nas Quran dan Rasulallah SAW yang memiliki autoriti mutlak di atas agama Ilahi ini.

Selain Baginda SAW adakah insan-insan lain yang memiliki autoriti yang setara?
-FMT


Laporan sebelum ini: Ust Ahmad Awang: Multaqa Nak Kukuh Atau Nak Pecahkan Pakatan Rakyat?

Apa Agenda Najib Mahu Saman Harakahdaily?


Saman saya dulu sebelum ugut orang lain, Rafizi cabar Najib

Susulan kenyataan Datuk Seri Najib Razak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Harakahdaily berhubung laporan yang mengaitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan keluarganya, Rafizi Ramli hari ini mencabar perdana menteri menyaman beliau terlebih dulu.

Ahli Parlimen PKR itu berkata, beliau terkejut membaca laporan media yang Najib sekali lagi mengugut memfailkan saman, kali ini terhadap lidah rasmi PAS iaitu Harakah.

"Bukan saja saya terkejut kerana kelakuan sebegitu tidak pernah ditunjukkan oleh mana-mana perdana menteri sebelum ini, saya lebih terkejut kerana Najib belum lagi menyaman saya walaupun pernah mengugut untuk berbuat begitu baru-baru ini.

"Oleh itu, saya menasihati Najib supaya menyaman saya dulu sebelum mengugut untuk menyaman pihak lain.

"Saya juga menggalakkan lebih ramai pihak mengkritik Najib dan jangan takut dengan ugutan saman kerana sehingga sekarang beliau masih belum menyaman sesiapa pun, lebih-lebih lagi pengkritik nombor 1 beliau iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Khamis, Utusan Online melaporkan, Najib bakal menyaman portal Harakahdaily kerana didakwa memfitnahnya dan anak tirinya Riza Aziz dalam isu 1MDB melalui satu artikel bertajuk “Dana 1MDB biaya syarikat filem Riza Aziz (Bhg 2)'.

Semalam, Najib menyifatkan artikel tulisan Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakub itu, yang mempersoalkan sama ada Riza mendapat manfaat daripada 1MDB, satu "fitnah pihak tidak bertanggungjawab yang tidak lebih daripada sekadar pembohongan".

Rafizi berkata, memandangkan masih tiada tindakan undang-undang dikenakan Najib terhadapnya yang mengkritik keborosan kerajaan sehingga katanya memaksa pentadbirannya memotong subsidi, ia bermakna kenyataannya itu adalah betul.

Naib presiden PKR itu berkata, beliau pernah menerima surat undang-undang dari peguam Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor pada 4 Disember tahun lepas berhubung satu ceramah dibuatnya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

"Ceramah saya itu mengkritik keputusan menghapuskan subsidi minyak dalam keadaan perbelanjaan kerajaan terus boros dan skandal 1MDB yang menelan dana rakyat.

"Saya menjawab surat undang-undang itu pada 9 Disember, 2014 dengan menegaskan isu subsidi dan keborosan perbelanjaan negara adalah isu berkepentingan awam," katanya.

Bagaimanapun, sehingga kini, Setiausaha Agung PKR itu berkata, beliau masih belum mendapat maklumbalas dari Najib berhubung perkara itu.

"Saya agak kecewa kerana sebelum itu teruja agar peguam saya boleh menyoal balas Najib dan Rosmah di kandang saksi," katanya. –TMI

ULASAN GB

Akhbar Utusan Malaysia semenjak dua menjak ini memberikan liputan yang meluas kepada PAS - terutama kepada golongan pro-Ulama. Multaqa Ulama yang baru lalu misalnya diberikan liputan yang cukup hebat. Tokoh-tokoh pro-ulama turut mendapat "sanjungan dan pembelaan" sementara golongan profesyenal dihentam oleh media massa UMNO berkenaan.


Tiba-tiba semalam Utusan mengeluarkan laporan bahawa Najib bakal menyaman portal Harakahdaily, sebuah organ PAS kerana didakwa memfitnahnya dan anak tirinya Riza Aziz dalam isu 1MDB.

Apa agenda sebenar UMNO disebalik semuanya itu?

Di satu masa memuji melambung kumpulan pro-ulama sementara di satu masa yang lain mengeluarkan kenyataan Najib mahu saman harakahdaily?

Ia tidak lain tidak tidak bukan untuk "memaksa dan menekan PAS" untuk bekerjasama dengan UMNO. UMNO kini sedang tenat sehingga keluar kenyataan dari tokoh-tokoh tertentu menyatakan UMNO dan PAS perlu bersatu untuk "masadepan Melayu".


Tidaklah mungkin di saat dan ketika UMNO mengajak untuk PAS bersatu, tiba-tiba Najib hendak menyaman Harakdahdaily kecuali ada maksud yang tersirar dari yang tersurat.

Yang nyata UMNO sangat memerlukan PAS untuk terus berkuasa. Harakahdaily ditekan supaya beri kerjasama usaha "kerajaan perpaduan" yang sedang diusahakan, tidak menjadi media yang mempromosi dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Satu grand design dalam usaha mewujudkan Kerajaan Perpaduan dan mengenepikan golongan profesyenal yang kuat hendak perkukuhkan Pakatan Rakyat didedahkan oleh Mujahid Yusof Rawa:



'Tangan tersembunyi mahu guling progresif dalam PAS'

Kempen bagi pemilihan barisan kepimpinan PAS Jun ini mungkin dilihat persaingan antara golongan konservatif dan pro-reformis dalam parti itu, tetapi seorang pemimpin tertingginya kini mendakwa ia turut membabitkan "kuasa ketiga".

Perwakilan PAS berhimpun setiap dua tahun untuk mengundi memilih barisan kepimpinan baru, dan kempen untuk jawatan biasanya mulai hangat enam bulan lebih awal daripada tarikh muktamar berlangsung.

Ahli jawatankuasa pusat PAS Datuk Mujahid Yusof Rawa mendakwa kempen yang panas menjelang muktamar itu nampaknya didorong oleh apa yang disifatkannya sebagai "struktur yang lebih besar".

Beliau tidak menolak terdapat “tangan tersembunyi” musuh politik PAS, iaitu Umno, di sebalik kempen untuk mencemarkan pemimpin yang dipanggil progresif dalam PAS seperti Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan ahli jawatankuasa pusat, Dr Hatta Ramli.

Mujahid mendakwa kempen tersebut menjadi tidak bersih kerana ia bukan lagi di antara golongan ulama dan progresif dalam PAS.

Beliau menegaskan demikian ketika ditemui di majlis sambutan Tahun Baru Cina oleh biro perpaduan nasional PAS Pulau Pinang di Bayan Lepas malam tadi.
-mk




28 Feb 2015

Ust Ahmad Awang: Multaqa Nak Kukuh Atau Nak Pecahkan Pakatan Rakyat?


Multaqa PAS 'bagai simbah minyak ke api'

Terlebih dahulu saya ingin ucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur atas berlangsungnya program Multaqa Ulama II yang baru sahaja selesai diadakan.

Usaha untuk menghimpunkan keseluruhan ahli PAS yang berlatarbelakang pendidikan agama melalui suatu multaqa adalah satu usaha besar yang sudah pastinya penuh cabaran.

Mungkin tidak salah kalau dikatakan ianya merupakan usaha menghadirkan keseluruhan kekuatan dan kemampuan ulama’ PAS dari seluruh negara demi menzahirkan peranan dan pengaruh ulama’ di dalam PAS.

Oleh kerana ia digambarkan sebagai ‘program mega’ yang begitu sifatnya, maka tidak salah kalau dikatakan bahawa harapan rakyat, dan ahli PAS khususnya, pasti begitu tinggi.

Mungkin diharapkan bahawa ia akan menjelaskan lagi arah tuju PAS sebagai rakan Pakatan Rakyat, yang sambil bergerak dalam kerangka gabungan ini, dapat mencapai aspirasi perjuangannya.

Sudah pasti seluruh rakyat mengharapkan kemelut yang berterusan dalam Pakatan, entiti politik yang dilihat sebagai harapan rakyat untuk menggantikan BN, akan dapat ditamatkan atau paling kurang dilunturkan hasil multaqa ini.

Kemungkinan diharapkan bahawa golongan ulama’ akan memberi nasihat dan tunjuk ajar yang berpaksikan carian mereka daripada khazanah keilmuan Islam yang begitu luas sehingga segala masalah dan perbalahan dapat diatasi berlandaskan al-Quraan dan sunnah.

Bagi ahli PAS pula, pastinya harapan yang tinggi bahawa perbalahan dalaman yang seolah-olah tidak terurus, sehingga mengusutkan lagi perasaan ukhuwwah dan silaturrahim dalam PAS itu sendiri, akan akhirnya dapat ditangani melalui kata-kata permata yang akan dihasilkan dari multaqa ini.

Kerana semestinya golongan ulama’ yang berkumpul melalui multaqa ini akan dapat melihat dan merasai keperluan menyelesaikan perbalahan yang semakin meruncing.

Di mana hasilnya?

Sewajarnya golongan ulama’ akan memberikan peringatan berhubung soal ukhuwwah dan persaudaraan dalam Islam. Sudah pasti kesan dari multaqa ini adalah penyatuan hati dan merapatkan saf, bukan sebaliknya.

Malangnya, apa yang diharapkan jelas tidak tercapai. Rakyat yang mengharapkan pembelaan kerana bakal ditimpa berbagai corak tekanan, sama ada ekonomi, sosial mahupun politik sudah pasti berasa hampa dan kecewa.

Bukan sekadar tidak memenuhi harapan bahawa Pakatan dapat dikukuhkan dan ditunjukkan jalan ke arah kerjasama yang lebih mantap dan bermakna, malah diungkitkan pula permasalahan-permasalahan yang dihadapi dan kemungkinan tergadainya prinsip Islam dengan penyertaan PAS dalam Pakatan.


Secara umum ia merupakan usul yang sama seperti usul multaqa ulama’ yang dianjurkan dua tahun lepas yang meminta tahalluf siyaasi (kerjasama politik) ‘dikaji semula’.

Tetapi setelah ditegur dan dikritik, maka diperjelaskan bahawa ‘kajian semula’ itu bermaksud “kaji semula ke arah memperbaiki dan mempekukuhkan lagi”!

Kalau benar itulah yang dimaksudkan pada ketika itu, maka di mana hasil kajiannya? Tidakkah hasil kajian itu patut dikemukakan dalam Multaqa II, lebih-lebih lagi dalam keadaan suasana perbalahan yang dihadapi dewasa ini?

Sudah pasti cadangan-cadangan dari Multaqa Ulama II ke arah pengurusan perbalahan dan penyelesaiannya amat sangat dialu-alukan. Malangnya, cadangan sedemikian rupa tidak sama sekali dikemukakan. Sebaliknya diulang kembali kekhuatiran dan ketakutan yang sama.

Begitu juga hampa dan kecewa pastinya ahli PAS yang sedang melihat perbalahan dalaman yang semakin meruncing.

Pecahkan atau kukuhkan Pakatan?

Multaqa ulama tidak menyediakan kata-kata hikmah serta kaedah bijaksana bagaimana ianya perlu diurus dan ditangani. Apa yang dilakukan sebaliknya adalah menyimbah lagi minyak ke atas api yang sedang membara, tidak mendatangkan penyelesaian tetapi sebaliknya merumitkan lagi.

Ia seolah-olah mengesahkan tuduhan-tuduhan liar bahawa ada pihak yang membawa fahaman sekular liberal dalam PAS, adanya usaha menjatuhkan presiden dan sebagainya.

Sedangkan itu semua pertuduhan yang bersifat rambang. Adakah perlu majlis sebesar dan sepenting Multaqa Ulama II membincangkannya tanpa pernah dibuat “tabayyun” dan membawa bukti lalu terus menjatuhkan hukuman?

Agenda apa sebenarnya yang diutamakan oleh multaqa ini? Mengusahakan perpecahan Pakatan atau pengukuhannya? Mengusahakan kesatuan saf dalaman PAS atau merenggangkannya?

Yang dilihat, ia dianjurkan hanya pada tahun pemilihan. Yang dilihat multaqa menghasilkan usul pecah-belah dan persengketaan.

Adakah benar persepsi sebahagian bahawa program-program liqa’, neqad, ijtima’dan multaqa itu sendiri tidak lain melainkan usaha kempen untuk menjatuhkan pihak tertentu dan menaikkan yang lain?

Amat malanglah sekiranya ia benar sehingga tumpuan usaha ulama’ yang dibawa dari seluruh negara adalah untuk memburuk-burukkan pimpinan tertentu dan menjatuhkan mereka dan menaikkan golongan sendiri.


Politiking sempit sebegini tidak layak bagi ulama’, apatah lagi dengan menggunakan nas-nas al-Quran dan hadis yang tidak kena pada tempatnya.

[VIDEO & GAMBAR] Logi Sisa Toksid Di Sendayan Terbakar, Kualiti Alam Kawasan Sekitar Terancam


Empat Gudang Simpan Sisa Toksik Di Sendayan Terbakar

Empat gudang menyimpan sisa toksik jenis Forest Chemical di Pusat Pengurusan Sisa Berjadual Kualiti Alam di Bukit Nanas, Sendayan dekat sini, terbakar kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.

Kejadian itu menyebabkan kepulan asap hitam tebal menyelubungi kawasan kebakaran.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 ketika dihubungi Bernama berkata usaha mengawal kebakaran setakat pukul 5.30 petang ini masih dijalankan bagi mengelak api merebak ke kawasan lain.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini," katanya.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 1.41 tengah hari dan sebanyak dua jentera bersama-sama 14 anggota bergegas ke lokasi kejadian, katanya.

Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dan Perkhidmatan Perubatan Penyelamat Kecemasan (EMRS) turut dikejarkan ke lokasi kejadian, katanya.

Menurutnya operasi memadamkan kebakaran turut dibantu sebuah jentera bersama-sama enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seremban.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.- BERNAMA




Haji Hadi Wajar Dilantik Mursyidul Am PAS, Lepaskan Jawatan Presiden


PAS Batu mahu Abdul Hadi jadi Mursyidul Am

Di tengah-tengah kemelut PAS dengan PasMa tiba-tiba ada satu bahagiannya menyarankan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengosongkan kerusi presiden.

PAS Kawasan Batu melalui Yang Dipertuanya, Ishak Surin mahu Abdul Hadi berbuat demikian pada pemilihan Muktamar PAS ke 61 Mei ini.

Katanya, ia bagi memberi laluan kepada tokoh baharu untuk mengepalai parti Islam terbesar itu.

“Saranan ini tidak bermaksud PAS Kawasan Batu mahu mengetepikan beliau dalam arus perdana politik tanahair, sebaliknya mencadangkan tokoh karismatik PAS ini diangkat lebih tinggi mengetuai Majlis Syura Ulama (MSU) sebagai Mursyidul Am bagi mengggantikan murabbi ummah, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada 13 Februari lalu,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Ishak seterusnya memberitahu, sesuai dengan kedudukan Abdul Hadi di peringkat antarabangsa selaku Naib Kesatuan Ulama Sedunia, menjulangnya sebagai Mursyidul Am adalah sangat tepat, efisyen dan mampu membawa PAS menangani pelbagai isu dalaman, tempatan dan antarabangsa, lapor MalaysiaGazette.

PAS Kawasan Batu juga bersikap terbuka dalam pemilihan pucuk pimpinan parti yg diizinkan oleh Perlembagaan PAS dan tidak mustahil boleh berlaku pertandingan pada semua jawatan utama termasuk kerusi nombor satu PAS pada pemilihan kali ini, katanya.

“Bagi menjaga keutuhan jemaah dan mengecilkan sikap berpuak-puak yang mula menular ketika ini, maka PAS Kawasan Batu mohon Tuan Guru Abdul Hadi mempertimbangkan saranan ini dan melihat ianya sesuatu yang positif dalam jaringan mata rantai perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS,” ujarnya.

Untuk rekod, jawatan Mursyidul Am PAS diwujudkan pada era kepimpinan ulama, dan Yang DiPertua Agong Pas ketika itu, Haji Yusuf Rawa menjadi Mursyidul Am yg pertama sebaik melepaskan jawatan Yang DiPertua Agong (Presiden) pada masa tersebut.

Tempat kosong yang ditinggalkan oleh Yusuf itu kemudiannya diisi oleh Fadzil Mohd. Noor sebagai Presiden.

Setelah Yusuf Rawa meninggal dunia, jawatan Mursyidul Am diamanahkan pula kepada Nik Aziz.

Sehubungan itu, PAS Kawasan Batu berkeyakinan penuh, jika diterima saranan itu, kepimpinan Abdul Hadi mampu memperkasakan MSU sebagai badan yang berwibawa dalam memandu jemaah berada pada landasan yang tepat, progresif, dirahmati dan mendapat limpahan redha Allah. -FMT


SARAN TG ABDUL HADI BERI LALUAN TOKOH BAHARU ISI KERUSI PRESIDEN, PERKASAKAN MSU JADI MURSYIDUL AM PAS

1. Pas Kawasan Batu menyarankan agar Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengosongkan kerusi Presiden pada pemilihan Muktamar Pas ke 61, Mei ini, bagi memberi laluan kepada tokoh baharu untuk mengepalai parti Islam terbesar ini.

2. Saranan ini tidak bermaksud Pas Kawasan Batu mahu mengetepikan beliau dalam arus perdana politik tanahair, sebaliknya mencadangkan tokoh karismatik Pas ini diangkat lebih tinggi mengetuai Majlis Syura Ulama (MSU) sebagai Mursyidul Am bagi mengggantikan murabbi ummah, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang meninggal dunia pada 13 Februari lalu.

3. Sesuai dengan kedudukan Tuan Guru Abdul Hadi di peringkat antarabangsa selaku Naib Kesatuan Ulama Sedunia, menjulangnya sebagai Mursyidul Am adalah sangat tepat, efisyen dan mampu membawa Pas menangani pelbagai isu dalaman, tempatan dan antarabangsa.

4. Pas Kawasan Batu juga bersikap terbuka dalam pemilihan pucuk pimpinan parti yg diizinkan oleh Perlembagaan Pas dan tidak mustahil boleh berlaku pertandingan pada semua jawatan utama termasuk kerusi nombor satu Pas pada pemilihan kali ini.

5. Bagi menjaga keutuhan jemaah dan mengecilkan sikap berpuak-puak yang mula menular ketika ini, maka Pas Kawasan Batu mohon Tuan Guru Abdul Hadi mempertimbangkan saranan ini dan melihat ianya sesuatu yg positif dalam jaringan mata rantai perjuangan Islam yg dibawa oleh Pas.

6. Untuk rekod, jawatan Mursyidul Am Pas diwujudkan pada era kepimpinan ulama, dan Yang DiPertua Agong Pas ketika itu, Haji Yusuf Ar Rawa menjadi Mursyidul Am yg pertama sebaik melepaskan jawatan Yang DiPertua Agong (Presiden) pada masa tersebut.

7. Tempat kosong yg ditinggalkan oleh Hj Yusuf Ar Rawa itu kemudiannya diisi oleh Tuan Guru Dato' Fadzil Mohd Noor sebagai Presiden. Setelah Hj Yusuf Ar Rawa meninggal dunia, jawatan Mursyidul Am diamanahkan pula kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

8. Sehubungan itu, Pas Kawasan Batu berkeyakinan penuh, jika diterima saranan ini, kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi mampu memperkasakan MSU sebagai badan yang berwibawa dalam memandu jemaah berada pada landasan yang tepat, progresif, dirahmati dan mendapat limpahan redha Allah SWT.

KENYATAAN MEDIA,
HAJI ISHAK BIN SURIN
Yang DiPertua Pas
Kawasan Batu, Kuala Lumpur
26 Februari 2015


ULASAN GB

Alhamdulillah.

GB sudah lama mengusulkan supaya TGHH diangkat menjadi Mursyidul Am PAS, iaitu sebelum TG Nik Aziz kembali ke rahmatullah lagi. Di dalam satu entri pada 26 Ogos 2014 GB telah menulis "Haji Hadi Perlu Diangkat Mursyidul Am PAS, Lepaskan Jawatan Presiden." Petikan ulasan GB ketika itu:

Haji Abdul Hadi, dengan kedudukannya di peringkat dunia sudah diakui sebagai Naib Presiden Majlis Ulamak Sedunia, beliau hendaklah diangkat menjadi Mursyidul Am PAS menggantikan TG Nik Aziz yang kelihatan sudah uzur. Dengan kedudukan itu beliau akan menentukan dasar perjuangan PAS dan institusi Majlis Syura Ulama di dalam PAS dapat diperkasakan.

Jawatan "Presiden" parti hendaklah digalas oleh orang lain. Ia memerlukan pemimpin yang boleh bekerjasama dengan semua pihak di dalam Pakatan Rakyat, tidak bermuka-muka dan tidak hanya memenuhi aspirasi orang-orang tertentu di dalam parti. Soalnya siapa? Ramai yang masih layak. Ustaz Ahmad Awang, Ust Abd Ghani Shamduddin... diantara nama-nama yang boleh dicalonkan.

Perubahan perlu dilakukan. Ahli-ahli PAS perlu berani untuk melakukannya!

Kemudian dalam pada itu ada pula yang tak mahu TGHH lepas kan jawatan Presiden sekalipun nanti dilantik menjadi Mursyidul Am. Cukup takut dia orang lain menjadi Presiden PAS. Apakah agaknya baginya cuma Haji Hadi saja seorang yang berstatus ulamak? Orang lain tak boleh jadi pemimpin utama PAS? Itu bukan lagi wala namanya, tetapi TAKSUB melampau.


Jika demikian Haji Hadi hendak juga dijadikan Presiden walaupun telah dilantik sebagai Mursyidul Am, lebih baik Hj Hadi dilantik juga memegang jawatan-jawatan Ketua Ulamak, Ketua Pemuda & Ketua Muslimat jika takut keputusan-keptusan mesyuarat J/K PAS Pusat tidak memihak kepada kehendak mereka!

Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor sendiri menyatakan bahawa jawatan Presiden PAS tidak semestinya dipegang oleh seorang yang berstatus ulamak.


Semuga kata-kata Allahyarham tersebut menjadi kenyataan...

27 Feb 2015

[MENARIK] Khalid Samad Jawab Mokhtar Senik Siri I & II


Jawapan YB Khalid Samad di bawah ini terhadap tohmahan golongan ulamak yang diwakili oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, Mokhtar Senik di bawah ini sangat menarik. Bacalah....

Adakah Kau Lupa? (Bahagian I & II)

Beberapa hari yang lepas saya telah diforwardkan sebuah tulisan melalui WhatsApp yang kononnya datang dari Mokhtar Senik iaitu Ketua Dewan Ulama PAS Pahang. Dalam tulisan ini nama saya telah disebut beberapa kali sebagai salah seorang yang ingin memalukan TGHH dengan tujuan menjatuhkannya. Saya harap tulisan itu bukan datangnya dari Mokhtar Senik dan saya yakin beliau sebagai Ketua Dewan Ulama Pahang tidaklah sebodoh itu. Ianya tulisan yang hanya layak dikeluarkan oleh seorang Ketua Dewan Juhala’ bukan Ketua Dewan Ulama’.

Namun demikian, walaupun saya yakin ianya bukan dari Mokhtar Senik, biarlah saya jawab tuduhan tersebut satu persatu. Dan untuk memudahkan, biarlah saya gunakan gelaran ‘MS’ semasa menjawab. Ianya tidak ditujukan kepada Mokhtar Senik kerana saya tidak tahu dengan pasti ianya tulisan beliau, walaupun setakat ini masih tiada sebarang penafian yang dikeluarkan oleh beliau.

1. KENYATAAN 10 AHLI PARLIMEN MENYOKONG KENYATAAN TGNA

Peristiwa ini berlaku pada bulan Julai 2009. TGNA telah mengeluarkan kenyataan menolak sebarang usaha kerjasama dengan UMNO/BN termasuk Unity Government dan menyeru PAS mengukuhkan PR sepertimana yang diputuskan dalam Muktamar 2009 yang baru sahaja belalu. Menyahut seruan TGNA, maka 10 Ahli Parlimen membuat kenyataan menyokong seruannya.

Mengikut Mokhtar Senik (MS), kenyataan menyokong TGNA adalah bertujuan memalukan TGHH. Maka MS seolah-olah mendakwa beliau kasyaf dan tahu niat sebenar 10 Ahli Parlimen PAS tersebut, iaitu bukan untuk menyokong TGNA sangat tetapi untuk memalukan TGHH! Tidak sangka saya, keluarkan kenyataan menyokong TGNA pun dianggap salah! Dan sekiranya menyokong kenyataan TGNA memalukan TGHH, maka adakah dimaksudkan TGNA juga ingin memalukan TGHH melalui kenyataannya! Dakwaan bodoh!

Adakah kau lupa, wahai MS, apa yang telah berlaku sebelum itu, iaitu pendedahan Abdullah Badawi bahawa adanya rundingan rahsia dengannya oleh wakil PAS; permohonan maaf Dato Mahfuz kepada semua ahli PAS kerana membuat penafian adanya rundingan dengan UMNO, sedangkan ada; dan sebagainya. Akhirnya Nasharuddin dan Mustapha Ali, kalau tidak silap saya, dimarahi TGNA dan mereka berdua memohon maaf. Tiada pula TGHH dianggap terbabit. (Sila tonton video di bawah ini).


Bagaimana MS mengaitkan isu ini dengan TGHH saya pun tidak tahu. Kalau TGHH terlibat maka sudah pasti TGHH pun turut minta maaf dan beliau akan pertahankan Nasharuddin apabila digugurkan dari Majlis Syura Ulama. Akan tetapi tidak. Tiada siapa mengaitkan TGHH dalam isu ini kecuali MS. Oleh itu, bukan kami yang ingin memalukan TGHH tetapi sebaliknya MS sendiri dengan mengaitkan TGHH dalam isu ini.

Hakikat bahawa kisah yang berlaku pada 2009 turut diungkit kembali menunjukkan betapa terdesaknya MS untuk membuat ‘kes pertuduhan’ terhadap saya dan 9 orang Ahli Parlimen. Itu pun atas hujjah bodoh iaitu kesalahan menyokong kenyataan TGNA! Kalau bawa ke mahkamah bebas, sudah pasti dibuang kes. Lagipun sejak 2009, TGHH telah menang tanpa bertanding jawatan Presiden dalam muktamar 2011 dan 2013. Maka bagaimana ingin dikaitkan dengan dakwaan adanya usaha menjatuhkan DS Presiden sejak 2009 lagi? Sekiranya benar dakwaan tersebut, tidakkah sepatutnya pada 2011 ada yang mencabar Presiden?

2. SEMINAR KHAS UNTUK PERLEKEHKAN DS PRESIDEN

MS sebut juga satu seminar khas yang dakwanya diadakan khas untuk memperlekehkan dan memalukan DS Presiden. Ianya diadakan pada 2009 juga dan di Dewan KUIZM, Markas PAS Taman Melewar. Pembentang kertas kerja adalah Professor Dr. Abu Hassan dan Professor Dr. Aziz Bari. Kedua-dua pembentang kertas kerja mendedahkan kelemahan DS Presiden di depan ahli PAS secara terbuka dan amat sangat memalukan DS Presiden.

Adakah kau lupa, wahai MS, seminar itu merupakan seminar tertutup. Khas untuk pimpinan sahaja. Tiada wartawan dan tiada media. Ianya seminar khas bertujuan mengenal pasti kelemahan PAS dan pimpinannya dari kaca mata masyarakat umum. Ianya bertujuan untuk mengenal pasti kelemahan PAS yang perlu diatasi supaya PAS boleh berperanan dengan lebih cemerlang lagi sehingga menjadi pemimpin kepada PR. Maka penerimaan terhadap PAS oleh masyarakat umum dikemukakan berdasarkan culaan yang dilakukan dan seterusnya tindakan yang perlu diambil.

Dalam erti-kata lain, sememangnya PAS ingin mendengar kritikan dan teguran supaya kita dapat perkukuhkan kedudukan kita. Oleh itu kita tidak bolehlah merasa terkejut atau tersentak dengan laporan yang diterima. Namun, apa yang dilaporkan tidak semestinya kesemuanya dipersetujui.

Saya tahu, MS jenis yang tidak biasa mendengar kritikan dan teguran. MS lebih selesa sekiranya terus dan sentiasa disajikan halwa telinga iaitu puji-pujian dan dilambung tinggi. Gelaran ulama’ dan waris para nabi sentiasa ingin diulang-ulangkan. Maaf, walaupun itu mungkin kesukaan MS tetapi bagi kami, mencari formula yang boleh melonjakkan imej PAS sebagai parti Islam yang membela semua golongan yang tertindas di dalam masyarakat adalah lebih penting. Oleh itu teguran dan kritikan lebih bernilai dan diinginkan dari pujian yang melambung-lambung. Berhati-hati dengan puji-pujian.

Saya masih ingat bahawa walaupun TGHH sememangnya tersentak dengan sikap berterus-terang dua pembentang kertas-kerja tersebut, namun beliau tetap setia menulis segala yang ditegur mereka. Beliau tidak melihatnya sebagai serangan peribadi tetapi teguran berhubung kelemahan yang perlu diatasi. Ada yang diterima dan digunapakai, ada juga yang ditolak atas sebab tertentu.

Walau apa pun, peristiwa seminar ini lebih menaikkan imej DS Presiden di kalangan pimpinan yang hadir dari menjatuhkan imej beliau. DS Presiden dilihat sebagai pemimpin yang sanggup mendengar teguran dan kritikan, sebahagiannya berhubung diri DS Presiden sendiri dan ini adalah sifat yang terpuji bukan sifat yang keji. Tapi MS tidak akan mampu faham hujjah ini.

Bagi otak yang semacam MS, hanya puji-pujian sahaja yang bernilai. Sesiapa menegur dan mengkritik, dia musuh dan mesti dijatuhkan walaupun melalui fitnah yang keji. Fitnah menjadi halal dan diharuskan MS menjadikan PAS parti yes-man, pembodek dan pengampu? Buatlah parti sendiri, jangan rosakkan PAS. Sejak bermulanya kepimpinan ulama dalam PAS pada 1982, PAS telah menjadi parti yang sentiasa terbuka untuk ditegur dan dikritik. Itulah hasil latihan ulama sebenar.

Sekali lagi peristiwa yang sudah berlalu hampir 6 tahun lepas yang diungkitkan. Ini jelas membuktikan betapa terdesaknya golongan ini untuk mencanangkan propoganda palsu bahawa ada komplot tersusun rapi sejak 2009 untuk menjatuhkan DS Presiden. Sambil mereka pula adalah penyokong DS Presiden yang tulin. Maka undilah mereka demi DS Presiden!

3. HARAKAH MENYIARKAN TULISAN DR. AZIZ BARI

Turut dibangkitkan oleh MS adalah sokongan saya dan Hanipa Maidin terhadap penulisan Dr. Aziz Bari yang ‘menghentam’ Presiden dan penyiaran artikel beliau di dalam Harakah. Saya pun sebenarnya tidak ingat bila saya pernah menyuarakan sokongan kepada tulisan Dr. Aziz Bari. Mungkin MS boleh ingatkan. Atau dia sekadar menembak semberono sahaja.

Tetapi, Adakah kau sudah lupa wahai MS, bahawa Harakah itu di bawah pengurusan pihak lain, bukan kami berdua. Maka apa kena-mengena kami berdua dengan penyiaran tulisan Dr. Aziz Bari dalam Harakah dengan kami?

Adakah yang dimaksudkan MS ialah Harakah juga terlibat dalam usaha menjatuhkan DS Presiden, sedangkan Lembaga Harakah turut dipilih dan diputuskan beliau? Adakah dilihat begitu lemah kepimpinan DS Presiden sehingga menguruskan akhbar parti pun TGHH tidak mampu? Sehingga terpaksa dicampuri oleh orang seperti MS? Sekali lagi saya tanya, MS ingin bela DS Presiden atau menjatuhkan imejnya?

Sememangnya Harakah akhbar parti. Namun ianya ingin mempunyai sikap yang terbuka. Yang mengkritik dan memuji turut disiarkan. Ianya bukan akhbar propoganda macam akhbar parti kommunis. Itu dasar yang mungkin telah diputuskan dan dipersetujui semua, termasuk DS Presiden. Saya tidak tahu kerana saya bukan ahli lembaganya.

Sepertimana yang telah saya nyatakan sebelum ini, tidak semestinya teguran dan kritikan dilihat sebagai sesuatu yang negatif. Malahan ianya boleh membantu seseorang untuk menjadi lebih baik dan lebih berkesan. Ahli pun akan memahami pandangan orang lain terhadap PAS dan salah faham mereka terhadap apa yang sedang diusahakan.

4. SAFWAN ANANG DAN LENSA

Seterusnya dikisahkan memorandum dari NGO yang bernama LENSA yang dibawa pemimpinnya iaitu Safwan Anang. Memorandum itu mengkitik peranan PAS yang dilihat banyak menimbulkan perbalahan dalam PR sehingga menjadi liabiliti kepada PR. Maka memorandum itu meminta PAS keluar dari PR.

Saya tidak nampak mengapa ini dikaitkan juga dengan usaha menjatuhkan DS Presiden. Itu pandangan sebuah NGO. Hak merekalah untuk untuk menyerahkan memorandum dan menyuarakan pandangan mereka. Walaupun Safwan Anang itu ahli PAS, tetapi memorandum itu atas nama NGO yang bukan milik PAS. Dalam LENSA itu pun tidak semestinya semua ahlinya merupakan ahli PAS. Itu pandangan mereka maka perlu diterima memorandum tersebut dan buktikanlah sebaliknya.

Dan, adakah kau sudah lupa, wahai MS, bahawa memorandum itu bukan ditujukan kepada Presiden seorang tetapi PAS keseluruhannya? Termasuk juga pimpinan lainnya. Kenapa MS menujukannya hanya kepada DS Presiden dan sebagai usaha menjatuhkan DS Presiden?

5. HANIPA MAIDIN DAN ISU PILIHAN RAYA PBT

Turut juga ditimbulkan isu pilihan raya PBT yang mana pandangan Hanipa Maidin berbeza dengan pandangan DS Presiden. Ini dianggap memalukan Presiden dan bertujuan menjatuhkan DS Presiden.

Saya melihat seolah-olah MS beranggapan bahawa perbezaan pendapat dalam PAS tidak boleh dizahirkan. Sekiranya ianya dizahirkan, maka semestinya niatnya adalah untuk memalukan dan menjatuhkan Presiden.

Saya ingin bertanya MS, kalau begitu, bagaimana ingin diyakinkan masyarakat bahawa perbezaan pendapatan diraikan PAS dan diterima sebagai sesuatu yang membina? Mengapa sikap positif ini perlu disembunyikan dan sebaliknya ingin dizahirkan sikap negatif pada masyarakat iaitu perbezaan pendapat tidak dibenarkan? Bagaimana PAS mahu didik masyarakat agar saling menghormati perbezaan pendapat dan menzahirkan amalan ‘adaabul ikhtilaf’?


Adakah dianggap ketiadaan perbezaan itu satu kekuatan? Adakah kau sudah lupa wahai MS, bahawa dalam Seerah Rasulullah (SAW) dan khulafah Ar-Raasyidiin, persoalan khilaf dan perbahasan berhubung khilaf diketahui dan sering dizahirkan? Tidakkah sepatutnya segala khilaf dan perbahasan itu ditutup Allah sekiranya ianya merosakkan imej Rasulullah (SAW) dan para khulafah Ar-Raasyidiin? Oleh kerana ianya bukan bukti kelemahan dan sebaliknya kekuatan, maka itulah sebab mengapa wujudnya khilaf dizahirkan Allah.

Ada yang mengatakan cara tulisannya menghina Presiden. Saya membaca tulisan Hanipa yang ditulis beliau semasa di luar negara, agak tertib dan beradab. Malangnya beliau menulis dalam Bahasa Inggeris dan mungkin oleh kerana itu MS tidak mampu memahami sepenuhnya. Hanipa bermula dengan “I beg to differ...” yang bererti “Saya memohon dengan penuh rendah diri untuk berbeza pandangan..” Kalimat ‘beg’ itu bererti ‘memohon, merayu, mengemis’ dan ‘begger’ iaitu orang yang ‘beg’. Beggar bermaksud peminta sedekah.

Begitu juga dengan kalimat “with the greatest of respect..” membawa erti “dengan penghormatan yang setingginya..”.

Tulisan Hanipa, setakat yang saya ikuti tiada menggunakan istilah ‘munafik haraki, jebon, pengkhianat dan sebagainya yang malangnya banyak digunakan oleh golongan lain.

Oleh itu apa sebenarnya masalahnya dengan tulisan Hanipa?

6. DEMONSTRASI FADHLI IBRAHIM

Akhirnya ditulis berhubung demonstrasi Fadhli Ibrahim. Maka ingin digunakan lima peristiwa di atas sebagai justifikasi untuk diadakan demonstrasi tersebut. Kononnya ianya sama.

Adakah kau sudah lupa, wahai MS, yang lima di atas merupakan teguran dan kritikan serta perbezaan pandangan yang kesemuanya ada kaitan dengan imej PAS di kaca mata masyarakat. Fadhli Ibrahim bukan membuat sesuatu yang merupakan teguran atau kritikan atau perbezaan pandangan. Fadhli Ibrahim membawa tuduhan pengkhianatan dan konspirasi. Ianya merupakan permasalahan dalaman yang hanya mendedahkan wujudnya kelemahan dan perbalahan dalaman parti kepada pihak luar. Melalui pendedahan ini tiada sebarang manfaat diperolehi parti dan ia hanya memungkinan perbalahan dalaman dieksploitasi oleh pihak luar.

Yang dibawa Fadhli Ibrahim sebenarnya tidak perlu kepada demonstrasi atau sidang media. Ia hanya memerlukan surat yang ditujukan kepada DS Presiden, SUA dan Pengerusi JK Disiplin. Dan disertakan semua bukti untuk tindakan mereka selanjutnya. Atau adakah JK Disiplin juga tidak dipercayai MS?

Kalau semua ‘organ’ PAS tidak dipercayai, termasuk yang dilantik dan dipantau DS Presiden sendiri, maka tidakkah sebenarnya MS sedang ‘mengkondemkan’ kepimpinan DS Presiden sendiri sebagai lemah dan tidak berkesan? Atau sebenarnya MS sendiri tidak faham implikasi dari apa yang diucapkannya?

Sekiranya selepas menyerahkan surat aduan, tiada apa-apa tindakan selepas beberapa minggu, dan kelihatan macam ianya ingin ditutup sahaja kesnya, maka dalam keadaan begitu demonstrasi mungkin boleh dilakukan. Itu pun tanpa memberi butiran terperinci kepada media tetapi sekadar meminta tindakan penyiasatan diambil. Ini adalah kerana, dikhuatiri orang yang dituduh berdasarkan mesej whatsapp dan bukti sampingan (circumstantial evidence) ada hujjahnya maka akhirnya memburukkan nama orang tersebut secara pre-mature (atau terlalu awal).

Tidak boleh dinafi, ada juga yang menganggap sememangnya itulah tujuannya. Yang tertuduh ingin diburukkan namanya sebelum pemilihan tahun ini. Dan dinaikkan juga barisan nama lain sebagai ‘hero’ pembela DS Presiden. Iaitu mereka yang hadir bersama semasa demonstrasi tersebut. Diharapkan bukan begitu niatnya....

KESIMPULAN

Tulisan ‘masihkah anda ingat’ yang dikeluarkan atas nama Mokhtar Senik sebenarnya mengunakan hujjah yang pada hakikatnya lemah dan tidak bernilai. Diungkitkan peristiwa silam yang tiada niat buruk terhadap DS Presiden tetapi ditafsirkan melalui hati yang berpenyakit sehingga didakwa sebaliknya. Dilakukan itu dengan tujuan untuk ‘memutihkan’ tindakan demonstrasi Fadhli Ibrahim yang merupakan tindakan kurang bijak dan tiada manfaat kepada parti. Kalau ada manfaat pun, ianya sekadar untuk memburukkan nama tertentu dan menonjolkan nama tertentu yang lain.

Oleh yang demikian, Ana benar-benar berharap agar tulisan tersebut bukan dari Ketua Dewan Ulama’ PAS peringkat Negeri kerana jelas ianya bukan kelas Ulama' sama sekali.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD


Masihkah Anda Ingat

1. Masihkah anda ingat ...

Pada 18 Jun 2009, seramai 10 orang Ahli Parlimen PAS mengadakan satu Sidang Media Khas di Parlimen kononnya untuk berdiri teguh dibelakang Tuan Guru Nik Abdul Aziz bagi "memalukan" Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang difitnah kononnya mahu membawa PAS masuk Barisan Nasional.

Antara 10 Ahli Parlimen itu ialah Dr Hatta Ramli, Khalid Samad, Dr Mariah, Dr Dzulkefli Ahmad, Kamarudin Jaafar, Dr Mujahid Rawa dan lain - lain. Mereka secara terbuka menolak gagasan Presiden PAS Tuan Guru Hj Abdul Hadi dan membawa fitnah kononnya Presiden PAS mahu bergabung dengan UMNO dengan gagasan yang dikemukakan iaitu Kerajaan Perpaduan (Unity Government) atau disebut sebagai Kerajaan Tanpa Pembangkang.

2. Masihkah anda ingat ...

Pada 7 Nov 2009, Mereka mengadakan Seminar Politik di Taman Melewar dengan membariskan Dr Abdul Aziz Bari dan Dr Abu Hassan Hasbullah untuk "memalukan" Presiden PAS Tuan Guru Hj Hadi Awang dengan kritikan pedas secara terbuka terhadap Tuan Guru Presiden dihadapan ahli - ahli PAS. Presiden PAS seperti "dibicarakan" oleh mereka dihadapan ahli PAS sendiri. Mereka mendedahkan segala kelemahan Tuan Guru Presiden dengan menggunakan lidah ahli akademi kononnya dan ia dilakukan secara terbuka.

3. Masihkah anda Ingat ...

Sebahagian pimpinan PAS Pusat seperti Khalid Samad dan Hanipa Maidin memberi sokongan dan menerima baik Dr Abdul Aziz Bari dalam beberapa siri penulisan beliau "menghentam" Tuan Guru Presiden PAS kepada khalayak ramai, termasuk memuatkan artikel menghentam Presiden dan PAS dalam Harakah sedang Harakah adalah lidah rasmi parti telah dijadikan alat untuk menjatuhkan air muka Presiden parti sendiri.

4. Masihkah anda Ingat ...

Pada 30 Sept 2014, Seorang ahli PAS bernama Safwan Anang (AJK Jabatan Ketua Pemuda PAS Malaysia) dengan menggunakan nama Ngo LENSA menyerahkan memorundum di hadapan Pejabat Agong PAS lalu mengadakan sidang media secara terbuka mendesak supaya PAS keluar daripada Pakatan Rakyat kerana menganggap PAS menjadi liabiliti kepada Pakatan Rakyat dan punca kepada perpecahan dalaman Pakatan Rakyat.

5. Masihkah anda Ingat ...

Pada 25 Jan 2015 , AJK PAS Pusat Hanipa Maidin mengeluarkan kenyataan terbuka di media menyanggahi kenyataan Tuan Guru Presiden PAS mengenai isu Pilihanraya Kerajaan Tempatan menggunakan nama demokrasi untuk bebas menyanggah secara terbuka.

Nota :
Semua mereka dianggap hero. Sebahagian terus menang dan dipilih sebagai AJK PAS Pusat. Kononnya mereka penegak demokrasi. Berani dan pembawa idea bernas menuju pembentukan PAS Baru.

Malang apabila Ustaz Fadhli Ibrahim Ketua DPP Kawasan Kuantan tampil menyerahkan memorundum kepada Setiausaha Agong PAS Pusat bersama bukti yang kukuh disokong dokumen akuan bersumpah mengenai penglibatan Group Hawaii Five O yang turut dianggotai oleh Dr Hatta Ramli sebagai Pengarah Pilihanraya PAS Pusat dalam melancarkan geraksaraf menjatuhkan sesama sendiri termasuklah ..

1. Dr Hatta bocorkan secara terperinci apa yang dibincang dalam mesyuarat PAS Pusat.
2. Dr Hatta arahkan serang 4 exco dan bela dua ADUN yang melompat.
3. Dr Hatta arah sabotaj keputusan Presiden dan Majlis Shura.
4. Aiman Athirah minta lakukan serangan saraf kepada Istana Selangor.
5. Aiman Athirah arah buat kempen gantikan pemimpin PAS (Presiden).
6. Mazhar suruh lancarkan kempen jatuhkan Cikgu Pa.
7. Mazhar arah sebar semula video lucah yang cuba dikaitkan dengan Cikgu Pa.
Dan lain-lain lagi. Disebab ini SD, mereka yang nama didedahkan boleh saman.

Persoalan ...

Kenapa Ust Fadhli Ibrahim dianggap pesalah? dianggap memecahkan PAS sedang ia berusaha mahu menyingkirkan pengkhianatan dalam PAS. Kenapa tidak beri hak serupa kepada Ust Fadhli dalam mengemukakan memonya kepada pucuk pimpinan ?

Atau apakah kerana dakwaan Ust Fadhli itu terkena batang hidung mereka sendiri maka ia anggap salah ? Sementara tindakan dari group mereka untuk dihempaskan kepada Presiden parti dan PAS itu sendiri , maka ia adalah benar dan berlunaskan demokrasi ?

Mokhtar bin Senik
Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang.


ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan telah, sedang dan akan terus berjalan.

Yang nyata: geng yang mendakwa dan mendabik dada sebagai pro-ulamak dan pembela TGHH telah terpukul dan dipukul oleh TGHH sendiri dan Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali.



Amacam?