12 Feb 2015

[VIDEO & GAMBAR] Laungan "REFORMASI" Bergema Di Solidariti Bersama Anwar


Beratus penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di pintu pagar Penjara Sungai Buloh malam tadi sebagai tanda solidariti dengan ketua pembangkang itu yang menjalani hukuman penjara di situ.

Mereka memegang kain rentang dan lilin sambil dengan penuh bersemangat melaungkan slogan seperti "Reformasi" dan "Bebas Anwar".

"Kuat lagi!" laung Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad, apabila tiba giliran beliau untuk berucap, "supaya Anwar dapat mendengar suara anda."

Sekitar 300 penyokong mula tiba sejurus sebelum jam 9 malam, dan kira-kira 20 pengawal penjara yang lengkap dengan perisai dan cota, membentuk barisan di hadapan pintu penjara itu.

Manakala beberapa anggota polis turut memantau perhimpunan aman itu.

Perhimpunan ini berlangsung selama kira-kira dua jam tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, kecuali pokok di depan penjara itu terbakar akibat api lilin tetapi segera dipadamkan oleh peserta.

Anwar dihantar ke Penjara Sungai Buloh pada hari Selasa, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful.

Namun, Anwar tetap bertegas bahawa beliau tidak bersalah dan mendakwa tuduhan terhadapnya bermotifkan politik.










"Guling" Hadi: Mustafa Ali Tempelak Zuhdi Marzuki & Geng Mokhtar Senik


PAS akan siasat demo, Mustafa minta Zuhdi tidak ‘cirit birit’ mulut

PAS akan menyiasat memorandum dan demonstrasi di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur Ahad lalu, kata Datuk Mustafa Ali, yang turut meminta pengarah operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP) agar jangan "cirit birit mulut dan tulisan" dalam menjalankan tugasnya.

Setiausaha Agung PAS itu berkata beliau meminjam kata-kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan mengingatkan Dr Mohd Zuhdi Marzuki agar "jangan selalu sangat cirit birit mulut".

"Ini kerana, Zuhdi bukan sahaja cirit birit mulut, tetapi tangan pun, kerana ada tulisan dan cakapnya yang berikan persepsi negatif kepada PAS,"
kata Mustafa kepada The Malaysian Insider.

Zuhdi dalam kenyataannya semalam mempertikaikan tindakan Mustafa dan Naib Presiden PAS Salahudin Ayub yang menafikan adanya komplot menggulingkan presiden PAS itu.

Menurut Zuhdi, beliau sudah bersemuka dengan Ketua Pemuda PAS Kuantan Noorzazilafadli Ibrahim dan melihat dakwaan dalam bentuk akuan berkanun dan bukti daripada aplikasi Whatsapp berhubung perkara itu.

Beliau menggesa supaya PAS membuka siasatan terhadap kes itu.

"Penafian simplistik Salahuddin dan Mustafa yang tiada komplot untuk menggulingkan presiden PAS, sedikit pun tidak menjejaskan kredibiliti dakwaan ini.

"Lebih daripada itu, penafian kedua tokoh pimpinan kanan PAS ini hanya dilihat seperti ‘menutup bangkai gajah dengan nyiru', disebabkan dakwaan itu dalam bentuk akuan berkanun dan setiap helaian bukti-bukti print screen ini ditandatangani di depan Pesuruhjaya Sumpah," kata Zuhdi dalam kenyataan medianya semalam.

Mustafa dalam kenyataannya hari ini mengaku beliau memberi jawapan "tiada konspirasi" ketika diajukan persoalan itu.

"Memang saya jawab tiada konspirasi. Apakah Zuhdi nak cadang saya kata ada konspirasi? Kalau saya jawab ada, ia jawapan paling bodoh dari segi akademik dan politiknya sebab ia memang tiada konspirasi,"katanya.

Mustafa berkata, apa yang beliau sebut dan dilaporkan itu tepat, iaitu tindakan demonstrasi tidak bagus untuk PAS.


"Belum berlaku lagi orang guna cara ini sejak kepimpinan ulama hingga kini, untuk tegur pemimpin. Takkan ini kita nak ikut.

"Tindakan ini tidak ikut semangat kepimpinan ulama yang bertindak secara profesional dan bukan emosi. Memang saya tak setuju cara ini," kata Mustafa.

Walaupun begitu, katanya, beliau mengarahkan Penolong Setiausaha Agung Khairul Faizi Ahmad Kamil menerima memo itu "dan apabila memo diterima, ia menjadi kewajiban saya menelitinya dan membuat penyiasatan".

"Ini adalah proses yang perlu diambil. Memo sudah ada pada saya sekarang," kata Mustafa.

Mustafa berharap tegurannya diterima baik Zuhdi dan berharap beliau menumpukan kepada amanah yang ditugaskan kepadanya iaitu sebagai pengarah operasi PPP.

Bagi beliau, setiap pemimpin PAS ada bidang tugas yang diberikan parti dan tidak perlu mengambil kerja yang bukan dipertanggungjawabkan ke atasnya.

Ahad lalu, ketika pemimpin PAS tiba di ibu pejabat parti di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur itu untuk bermesyuarat, sekumpulan pemuda dan ulama PAS dipimpin Noorzazilafadli dan disertai Ketua Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik berdemonstrasi di pintu masuk.

Mereka menaikkan kertas pemidang menuduh ketua pengarah pilihan raya PAS Dr Hatta Ramli sebagai dalang konspirasi menggulingkan Hadi.

Turut dituduh ialah Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Datuk Husam Musa dan Ketua Penerangan Dewan Muslimat Aiman Athirah al-Jundi.

Dalam memorandum yang disampaikan, mereka mendakwa lebih separuh dari AJK PAS tidak menyokong presiden PAS. – 11 Februari, 2015.

ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan pun berjalan lagi...

Sebelum ini GB telah mengulas:

Imej PAS terus tercemar dengan insiden-insiden di atas. Apatah lagi ianya disertai dengan beberapa pimpinan ulamak seperti Mokhtar Senik, Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, yang pernah satu ketika dikaitkan dengan gerakan Al-Maunah yang diharamkan dan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak, Nor Azli Musa yang pernah diberi gelaran Ustaz Taliban.

Sekali lagi GB meminta agar PAS mengambil sikap yang serius terhadap hal ini sebelum parti terus menjadi hancur binasa akibat gejala samseng yang dilakukan oleh golongan pro-ulama ini.

Budaya liar dan keterlaluan ini wajar dibenteras sebelum ia menjadi lebih parah. Kita khuatir akan tiba di suatu masa, budaya liar ini menjadi dominan di dalam PAS sama seperti PERKASA dan yang sewaktu dengannya.

Sekarang Setiausaha Agong sendiri dapat melihat dan dapat merasakan keceluparan dan kesamsengan mereka ini.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca



11 Feb 2015

[BERGAMBAR] Keluarga Anwar Lantik Dr.Hatta Ketuai "March To Freedom"


Beri Dr Wan Azizah ruang, kami teruskan perjuangan, kata Nurul Izzah

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu diberikan ruang yang selesa selepas mengharungi perjuangan reformasi sejak 17 tahun lalu, kata anaknya, Nurul Izzah Anwar.

Naib presiden PKR itu berkata, kini anak-anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia meneruskan perjuangan ibu bapanya kerana masing-masing sudah meningkat dewasa.

"Sudah 17 tahun Dr Wan Azizah terpaksa mengharungi mendepankan diri. Pada saya anak-anak sudah besar dan dewasa. Kalau Nurul Hana pada 1998 hanya 6 tahun, tetapi sekarang dapat membantu dengan lebih aktif.

“Berilah beliau (Dr Wan Azizah) ruang untuk bersendiri sekurang-kurangnya ruang yang selesa mungkin. Berdepan media bukan benda yang mudah untuk dilakukan walaupun semua baik sehingga kini.

“Saya fikir ini apa yang dimahukan keluarga. Dan sudah tentu ia perjuangan yang panjang, dan banyak sidang media lain yang kita boleh lihat beliau,” katanya di kediaman Anwar di Bukit Segambut hari ini.

Sementara itu, seorang lagi anak Anwar mengumumkan pelancaran satu inisiatif kebangkitan bagi menuntut keadilan terhadap bapanya yang dipanggil “March to Freedom”.

Nurul Nuha berkata, kempen itu ialah kesinambungan perjuangan untuk membebaskan Anwar dan memberi suara kepada rakyat yang menghadapi kezaliman di Malaysia.

“Marilah bersama kami dalam perjuangan ini. Sama-sama kita hentikan kezaliman," katanya pada sidang media itu.

Nurul Nuha berkata, tujuan utama kempen ialah bagi menyatakan yang Anwar menjadi mangsa keadaan sistem di negara ini.

Katanya, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli akan menjadi ketua sekretariat kempen “March to Freedom” itu. Perincian tentangnya akan diumumkan kemudian setelah sekretariat itu dibentuk.


“Bagi pihak keluarga kami, saya dengan penuh rasa rendah diri ingin menyampaikan rasa terharu dan bersyukur ke hadrat Ilahi dengan sokongan dan semangat solidariti daripada rakan serta penyokong di dalam dan luar negara.

“Semalam merupakan sebuah hari yang penuh dengan ujian. Harapan kami untuk tertegaknya keadilan musnah sama sekali,” kata Nurul Nuha, 31.

Katanya, selepas 17 tahun mereka bergelumang dengan tekanan, fitnah, gangguan dan penganiayaan, semuanya kini berakhir dengan Anwar dihukum penjara.

Sepanjang tempoh itu, kata Nurul Nuha, Anwar menunjukkan kesungguhan, erti keberanian, perjuangan, sifat belas kasihan dan yang paling utama, erti kasih sayang.

“Dialah contoh terbaik seorang yang berjuang menongkah arus melawan kezaliman. Nilai-nilai ini akan kekal bersama kami sehingga ke akhir hayat.

“Sebagai anak-anak, kami perlu mengambil alih, dan meneruskan perjuangan, harapan serta cita-cita ayahanda kami. 17 tahun yang lepas merupakan sebuah tempoh yang lama.

“Kita tidak tahu berapa lama lagikah perjuangan ini akan berterusan, tetapi kami akan bersama-sama dengan ayahanda kami sehingga nyawa berada di hujung badan,” katanya. – 11 Februari, 2015.

ULASAN GB

Tahniah Dr Mohd Hatta. Demikianlah hukum kebenaran dan keadilan berjalan. Meskipun dihentam oleh ahli PAS sendiri yang terdiri dari golongan pro-ulama minggu lepas malah disuruh letak jawatan dan dipijak gambarnya, namun ada orang yang di luar PAS yang mengakui dan menghargai jasa dan pengorbanan Dr.Mohd Hatta selama ini di dalam mengukuhkan Pakatan Rakyat, sesuai dengan resolusi Muktamar PAS bertahun-tahun.



Anwar Yang Dipenjara, Najib Yang Tak Akan Tidur Lena


Selepas Anwar ke Penjara, Adakah Kedudukan Najib Makin Selamat?

Setelah muktamad hukuman penjara lima tahun dijatuhkan keatas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Persekutuan hari ini, kesedihan rakyat hampir dapat dirasai di mana-mana.

Jika sebelum ini, ramai seperti tak kisah mengenainya, barangkali kerana yakin beliau akan dibebaskan, tetapi suasana perbualan amat berbeza sekali selepas hukuman itu dijatuhkan.

Di sebuah cawangan bank yang dipunyai oleh adik Najib Razak, beberapa kakitangannya turut meluahkan kesedihan dengan nasib yang menimpa Anwar dan keluarganya. Mereka terbuka tumpang kasihan dan menyatakan tidak wajar hukuman itu dijatuhkan.

Di sebuah kedai buku yang terkenal di ibukota, hukuman yang diterima Anwar turut menjadi perbualan ramai dan rata-rata tidak menyangka hukuman itu bakal diterima oleh Anwar.

Di sebuah jabatan kerajaan pula, ramai kakitangannya menyatakan rasa sedih yang sama. Ketika berkunjung ke sebuah cafe kemudiannya, tajuk perbualan juga tertumpu kepada hukuman lima tahun penjara itu.

Adalah dipercayai, sejak tengahari tadi, meskipun ada kelompok lain bergembira dengan hukuman keatas Anwar itu, tetapi secara umumnya rakyat dan pengundi biasa di mana juga berkongsi perasaan yang sama.

Luahan rasa sedih dan kasihan atas nasib yang diterima oleh Anwar dan penanggungan oleh keluarganya boleh didengari hampir di mana saja. Kebanyakannya bukan saja menempelak Najib, UMNO dan kerajaan atas hukuman itu, bahkan seperti tidak ternampak tanda-tanda pemenjaraan Anwar menyebabkan kembalinya sokongan rakyat.

Meneliti sejak awal kes liwat ini yang terlalu banyak dicemari dengan unsur-unsur politik, ia akhirnya menutup tirainya dengan sesuatu yang bersifat politik juga.

Dengan dipenjara selama lima tahun, ia bukan saja menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang turut perlu diganti dengan calon lain, ia juga hampir menutup sama-sekali peluangnya untuk kembali aktif dalam politik.

Jika dalam PRU 14 akan datang beliau dijangka masih berada dalam penjara, tidak boleh bertanding selama lima tahun lagi selepas keluar penjara kerana sekatan undang-undang yang turut menyebabkan Anwar terlepas peluang bertanding dalam PRU 15 nanti.

Dengan usianya ketika ini 67 tahun, beliau hanya mungkin boleh bertanding semula dalam PRU 16 dan ketika itu usianya barangkali sudah tentu terlalu tua.

Dalam hal ini Najib dianggap berjaya "mengkafan" dan "menyemadikan" karier dan cita-cita politik Anwar yang sebelum ini tidak berjaya dilakukan oleh Mahathir Mohamad apabila ketika era kepimpinan Pak Lah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan daripada penjara kemudiannya.

Tetapi persoalan yang masih menjadi tanda-tanya ialah apakah dengan pemenjaraan Anwar yang kini mengetuai PR dan dianggap sebagai musuhnya, kedudukan Najib, UMNO dan BN akan bertambah kukuh selepas ini?

Adakah sokongan rakyat, terutama generasi muda akan berarak berbondong-bondong kepada BN atau menyebabkan kebangkitan serta penolakan lebih gagah lagi?

Bagaimana pula dengan kedudukan PR dan PKR, apakah bakal berpecah atau bertambah kukuh?

Apakah ungkapan Anwar sebelum ini bahawa jika beliau dipenjara, undi popular rakyat kepada PR akan meningkat daripada 52 peratus dalam pilihanraya lalu kepada 60 peratus benar-benar menjadi kenyataan?

Lebih penting dari itu, apakah dengan memenjarakan Anwar ini juga menyebabkan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang sebelum ini sudah menarik balik sokongannya kepada Najib, akan kembali menyokong atau terus mengasak dengan lebih kuat lagi?

Jika kembali menyokong, adakah ini bermakna Mahathir sanggup melupakan penentangannya mengenai 1MDB dan BR1M yang menjadi antara asasnya menarik balik sokongan kepada Najib itu?

Jika Mahathir terus mengasak pula, bagaimanakah nasib Najib seterusnya? Siapakah yang akan menyelamatkannya? Mampukah beliau terus bertahan untuk melawan Mahathir bersama barisan kabinetnya yang ada sekarang?

Atau adakah selepas ini Najib lebih mudah lagi disingkirkan oleh gerakan yang sudah dimulakan oleh Mahathir sebagaimana yang pernah berlaku kepada Pak Lah dahulu?

Sebenarnya begitu banyak persoalan mengenai "apa berlaku selepas ini" berikutan dengan hukuman penjara lima tahun yang diterima Anwar ini.

Pilihanraya kecil Permatang Pauh yang akan diadakan dalam tempoh terdekat dan siapa Ketua Pembangkang yang baru akan menentukan sejauh mana kebangkitan rakyat dapat dilihat dalam menuju PRU 14, manakala pendirian Mahathir selepas ini pula akan menjadi kayu pengukur sejauh mana Najib masih boleh bertahan lagi dalam UMNO.

Walaupun Anwar mungkin lebih "damai" dipenjara, Najib sebaliknya belum tentu "aman" juga. -shahbudindotcom

ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan.

Apa yang dapat dirasakan ialah satu hari Najib BAKAL merasai apa Anwar rasakan kini, malah lebih teruk lagi. Kerana demikianlah roda kehidupan berputar. Sunnatullah: Yang zalim itu akan tetap terhukum juga...

Hari Najib akan tetap tiba nanti...

.... hari ini hari kau (najib).... pinjam dialog dalam 3 Abdul

Dan UMNO akan lebih cepat bungkus...

[TERKINI] KEADILAN Kecam Penghakiman Kes Fitnah 2, Perilaku Hakim Ke Parlimen


KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya penghakiman kes Fitnah 2 hari ini. Kes Fitnah 2 ini jelas adalah satu konspirasi politik yang bertujuan untuk melemahkan kebangkitan rakyat yang semakin hari semakin mengancam kedudukan Umno-Barisan Nasional.

Dapatan mahkamah (court finding) bahawa Saiful Bukhari adalah seorang saksi yang berwibawa jelas bertentangan dan tidak konsisten dengan kesemua bukti yang dibentang dan dihujah pihak pembelaan.

Keputusan hari ini memusnahkan keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman.

Pemenjaraan saudara Anwar Ibrahim tidak akan melemahkan semangat dan daya juang kami. Malah KEADILAN akan memperkukuh kepimpinan dan jentera parti untuk meneruskan perjuangan melaksanakan agenda rakyat demi Malaysia yang lebih baik. Kami juga tekad untuk memperkukuhkan permuafakatan dalam Pakatan Rakyat.

Oleh itu, dalam masa terdekat, KEADILAN akan:

1) memfailkan usul di Parlimen untuk mengkritik perilaku hakim-hakim Mahkamah Persekutuan di dalam kes Fitnah 2 yang memenjarakan saudara Anwar Ibrahim

2) menggalakkan orang ramai untuk menyertai perhimpunan solidariti (vigil) di luar Penjara Sg Buloh setiap hari, bermula malam esok (Rabu, 11 Feb 2015)

3) mengatur solat hajat pada hari Khamis malam Jumaat ini di setiap Cabang KEADILAN seluruh negara.


KEADILAN istiqamah dan komited untuk tidak mensia-siakan pengorbanan saudara Anwar.

Seperti saudara Anwar, KEADILAN juga tidak akan sekali-kali mengalah. “We will never surrender!”

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
10 Februari 2015

10 Feb 2015

[VIDEO] Kata-kata Terakhir Anwar Di Mahkamah Setelah Dijatuhi Hukuman Penjara...


Hukuman penjara lima tahun Anwar kekal

Hukuman penjara lima tahun atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dikekalkan Mahkamah Persekutuan hari ini, menamatkan kerjayanya sebagai ketua pembangkang dan ahli Parlimen Permatang Pauh.

Mahkamah mengenepikan permohonan pihak pembela yang meminta hukuman lebih ringan dari yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan sebelum ini dan pada masa sama menolak permohonan pihak pendakwa yang mahu hukuman ditingkatkan.

Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan, Anwar menyerang panel lima hakim yang mensabitkan beliau bersalah hari ini, menuduh mereka "tunduk kepada tuan politik dan menjadi rakan jenayah dalam pembunuhan sistem kehakiman."

Anwar memberitahu panel diketua Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria yang kenyataan lengkap dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri beberapa minit selepas penghakiman disampaikan.


"Dalam menunduk kepada tuan politik, mereka memalukan diri sendiri dan menjadi rakan jenayah dalam pembunuhan sistem kehakiman," katanya sebelum Arifin meminta ketua peguam bela Datuk Gopal Sri Ram menyuruh Anwar berhenti.

Bagaimanapun, Gopal memberitahu Arifin, anak guamnya berhak bercakap di mahkamah, dijawab Arifin, "ya, (beliau berhak) bercakap mengenai rayuan, bukan mengutuk mahkamah."

Tetapi, Anwar terus mengecam kehakiman sambil menambah: "Anda mempunyai peluang untuk membetulkan kesilapan tetapi anda pilih untuk terus berada di pihak yang gelap."

Ketika ini, Arifin dan semua yang duduk di panel hakim keluar meninggalkan kamar mahkamah.

Anwar terus bercakap dan berteriak di mikrofon: "Saya akan, lagi, untuk kali ketiga, masuk penjara, tetapi dengan bangga."

"Saya tidak akan berdiam dan akan berjuang mendapatkan pembebasan dan keadilan dan saya tidak akan menyerah kalah," katanya.

Peguam terdahulu mengatakan, berdasarkan faktor usia, Anwar mungkin dipenjarakan untuk sehari sahaja ataupun diikat mahkamah di bawah hukuman bagi Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Pendakwaan yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah merayu hukuman penjara lebih lama, sehingga 20 tahun.

Mitigasi dan penjatuhan hukuman terhadap Anwar, yang genap 68 tahun Ogos ini, bermula dengan Gopal memberitahu panel Mahkamah Persekutuan, tidak ada alasan yang kukuh meningkatkan hukuman ke atas Anwar.

Beliau juga berkata, mahkamah mempunyai kuasa mengikut undang-undang, menggunakan budibicaranya menjatuhkan hukuman yang yang lebih ringan.

"Beliau (Anwar) bukan orang biasa. Sumbangannya kepada negara ketika beliau berada dalam kerajaan sangat banyak dan meluas."

"Malah di dalam pembangkang pun, beliau membuat sumbangan yang signifikan terhadap memajukan prinsip demokrasi dan menimbulkan kesedaran majoriti rakyat Malaysia," kata Gopal meminta hukuman lebih ringan.


Sementara itu, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini akan menjadi pembakar semangat Pakatan Rakyat (PR) menentang salah laku regim Barisan Nasional (BN), kata Mohamed Azmin Ali.

Menteri besar Selangor itu berkata, PR akan mengadakan pertemuan secepat mungkin bagi menentukan siapakah ketua pembangkang yang baru.


"Saya percaya ini akan mengukuhkan hubungan PR bagi meneruskan perjuangan," katanya kepada pemberita di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini.

"Kita akan bermesyuarat secepat mungkin. Kita akan tentukannya nanti".



Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pula menyifatkan pengekalan hukuman bersalah terhadap Datuk Seri Anwar merupakan satu penghinaan kepada sistem kehakiman negara.

"Saya berdoa kepada Allah SWT semoga keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim (diberi) kekuatan dalam menempuh dugaan yang mencabar ini," katanya dalam akaun Twitter miliknya.

Ketua menteri Pulau Pinang yang juga setiausaha agung DAP dalam Twitternya menyifatkan hari ini sebagai hari sedih buat rakyat Malaysia.

"@anwaribrahim didapati bersalah. Sedang menunggu hukuman. Hari yang sedih untuk semua!" katanya.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pula dalam Twitternya berkata: "Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami di saat yg teramat kelam ini".


Statement by Anwar Ibrahim upon the judgement of the Federal Court on 10th February 2015

I maintain my innocence of this foul charge - this incident never happened.

This is complete fabrication- coming from a political conspiracy to stop my political career.

You have not given proper consideration to the case presented by my counsel from day one - that this incident never happened at all.

I can go on and on but I see from your statement today that it will be fruitless - it appears as i have been condemned again as I was in the court of appeal. only here we went through a facade of an 8 day hearing!

It is not a coincidence how the of the PM was able to release a full written statement on your decision barely minutes after you handed your judgment today even before sentencing.

In bowing to the dictates of the political masters, you have become partners in crime for the murder of judicial independence and integrity. You have sold your souls to the devil, bartering your conscience for material gain and comfort and security of office.

You had the best opportunity to redeem yourselves – to right the wrongs of the past and put the judiciary on a clean slate and carve your names for posterity as true defenders of justice.

But instead you chose to remain on the dark side and drown your morals and your scruples in a sea of falsehood and subterfuge. Know you not that you are now wallowing in filth and foulness and the stench of your injustice will permeate through every nook and cranny of this so-called Palace of Justice and I do pity you all.


Yes, you have passed judgement on me – and I will, again for the third time, walk into prison but rest assured my head will be held high. The light shines on me.

But the shame is on you for you will be judged by history as the great cowards of humanity. Sitting on that high horse of judicial power, you have stooped so low to become the underlings of the political masters.

Students of law and professors of jurisprudence will scrutinise your judgments and as they dissect your reasoning and your decision, your credibility and integrity will be torn to tatters. And you will be exposed as the fraudsters who don the robe of judicial power only to pervert the course of justice.


Do not forget that, as all of us will have to, you too will have to answer to your Maker. You will have to answer why you turned your backs on the principles that you had so solemnly sworn to uphold.

People who come into your court have to bow their heads and address you as ‘My Lords’ but don’t you know that you too will have to answer to your Lord one day? By then you will need more than bowing and prostration to justify why you wilfully transgressed Allah’s command as ordained in Surah an-Nisaa, verse 58

Going to jail, i consider a sacrifice i make for the people of this country.

I have fought most of my life on behalf of the people of this country - for the people I am willing to go to jail or face any other consequence.

My struggle will continue, wherever I am sent and whatever is done to me.

To my friends and fellow Malaysians let me thank you from the bottom of my heart for all the support you have given me. And Allah is my witness. I pledge and I will not be silenced, I will fight on for freedom and justice and I will never surrender!

Anwar Ibrahim
10 Feb 2015









Laporan sebelum ini
klik untuk baca


[LIVE] VIDEO & GAMBAR: Anwar Dipenjara 5 Thn, Dibawa Ke Sungai Buloh


Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerajui gabungan yang mendapat 52% undi popular buat pertama kalinya pada pilihan raya tahun 2013, disabitkan bersalah oleh mahkamah tertinggi Malaysia hari ini.



Sebaik keputusan selesai dibacakan, Anwar memeluk isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kemudian menoleh kepada anak lelakinya yang dilihat menganggukkan kepalanya mendengar apa yang diperkatakan bapanya.


Anwar kemudiannya mencium cucu-cucunya.

"Ingat apa Tok beritahu, kamu mesti pergi sekolah," kata Anwar kepada cucunya, bibirnya bergetar. Anwar juga memeluk anak-anak perempuannya yang kesemuanya mengalirkan air mata.

Anwar terus meyakinkan keluarganya dan pemimpin Pakatan Rakyat lain yang memeluknya, mengatakan beliau dalam keadaan baik.

Beliau kedengaran memberitahu salah seorang dari mereka, "Saya dah jangka keputusan akan buruk." Ramai penyokongnya kelihatan menangis di dalam mahkamah.

Penaung Negara-ku, Datuk Ambiga Sreenevasan dilihat memujuk Dr Wan Azizah sementara Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberi Anwar pelukan tanda sokongan.

Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria, dalam menegakkan keputusan Mahkamah Rayuan tahun lepas dan menolak rayuan sabitan berkata, terdapat bukti kukuh Anwar meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

LANGSUNG

3.10pm Wan Azizah keluar daripada Istana Kehakiman menuju ke keretanya. Pihak media diminta ke ibu pejabat PKR di Petaling Jaya untuk perkembangan lanjut.

2.43pm: FRU mengeluarkan amaran kedua tetapi orang ramai masih enggan beredar.

2.30pm: Polis mengiring keluar Anwar dari bilik mahkamah tetapi pergerakannya tersekat-sekat akibat kumpulan penyokong yang berebut-rebut memeluk beliau sebelum dibawa ke penjara.

Anwar mohon beliau ditahan di penjara Sungai Buloh, tempat beliau dipenjarakan selama lima tahun sebelum dibebaskan pada penghujung 2004.

Loceng pasukan pencegah rusuhan dibunyikan dan anggota pasukan itu dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, Anwar masih berada di mahkamah bersama peguam utamanya Gopal Sri Ram.

2.10am: Suasana tegang menyelubungi Istana Kehakiman. Penyokong Anwar melaungkan pelbagai slogan menolak keputusan itu.

2pm: Hakim beredar daripada mahkamah. Laungan "reformasi" dan "Allahuakhbar" berkumandang dalam mahkamah. Anwar memeluk penyokongnya.

1.57am: Hakim berkata mahkamah mengekalkan hukuman penjara lima tahun seperti dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini.

1.38pm: Lima hakim yang mendengar rayuan itu meninggalkan tempat duduk mereka sewaktu Anwar membangkitkan konspirasi politik, termasuk mendakwa mereka "tunduk pada tuan politik" mereka.

"Yang arif boleh mengharumkan nama (dalam keputusan ini). Tetapi yang arif tetap memilih menyebelahi kegelapan," tambahnya, mendorong hakim mendesaknya agar berhenti.

Apabila Anwar enggan, semua hakim itu meninggalkan tempat duduk mereka.

1.35pm Pasukan antirusuhan FRU bersedia di kawasan perkarangan Istana Kehakiman. Ia melibatkan dua kenderaan meriam air dan dua buah trak pasukan itu.

Di dalam mahkamah, Anwar mengemukakan hujahnya sekarang. Tokoh PKR itu berkata beliau menerima keputusan ini dengan tenang.

Bagaimanapun beliau juga berkata beliau tetap tidak bersalah dan kes ini suatu konspirasi politik bagi menyekat cita-citanya sebagai perdana menteri.

1.22pm: Ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Shafee Abdullah berkata hukuman maksimum selama 20 tahun tetapi hukuman rotan tidak relevan.

1.18pm: Kira-kira 1,000 penyokong Anwar berkumpul di pintu belakang kompleks mahkamah, sambil melaungkan slogan popular pembangkang “Reformasi” dan “Hidup Anwar”.

1.17pm: Gopal berkata tiada sebab yang baik untuk menambah hukuman berdasarkan fakta kes.

1.12pm: Peguam utama Anwar, Sri Ram menyentuh soal hukuman.

Katanya, mahkamah patut mengambil kira sumbangan Anwar kepada demokrasi Malaysia, termasuk ketika dia bersama kerajaan sebelum ini, sebelum membuat keputusan.

1.08pm: Mahkamah bersambung semula.

1.04pm: Anwar memeluk isteri dan anaknya Nurul Izzah. Suasana penuh emosi.

12.45pm: Anwar memberitahu cucunya supaya rajin-rajin belajar manakala isterinya Wan Azizah berkata anggota keluarga mereka kekal tabah.

12.20pm: Kerajaan Malaysia menyifatkan keputusan mahkamah dibuat selepas mengambil kira semua bukti dengan seimbang dan objektif.

Kerajaan turut menegaskan laporan polis terhadap Anwar dibuat oleh Saiful dan tidak ada kena-mengena dengan pihak kerajaan.

"Sebagai mangsa terhadap keganasan seksual, dia mempunyai hak supaya kesnya dibicarakan di mahkamah," kenyataan itu dipetik.

Kerajaan juga menyeru semua pihak yang terlibat untuk menghormati proses undang-undang dan keputusan hakim. <

12.10pm: Peguam Sri Ram, yang mewakili Anwar, bangun minta penangguhan selama sejam untuk mendapat arahan lanjut daripada anak guamnya.

Mahkamah ditangguh sementara menunggu hukuman.

12.07pm: Hakim berkata terdapat bukti kukuh bahawa Saiful diliwat. Rayuan terhadap sabitan itu ditolak.

11.55am: Hakim berkata Anwar tidak mempertikaikan bahawa beliau berada di kondominium tempat kejadian didakwa berlaku dan dia juga tidak mempertikaikan keberadaan Saiful di situ.

Hakim juga berkata dakwaan terdapat konspirasi politik dalam kes itu “tiada merit”.

“Penafian semata-mata daripada Anwar tidak boleh diterima. (Dakwaan) konspirasi politik kekal tidak berasas,” katanya.

11.50am: Hakim sentuh tentang saksi pembelaan lain.

Ini termasuk keterangan bekas pembantu Anwar yang lain, Najwan Halimi, yang terkejut mendapati Saiful, seorang penyokong BN, berkhidmat untuk ketua pembangkang.

11.45am: Ketika penghakiman dibacakan, di ruang maya ramai mula berspekulasi bahawa Anwar mungkin bersalah.

“Menuju ke arah pensabitan kes,” tulis ketua biro undang-undang PKR Latheefa Koya.

11.40am: Hakim berkata tiada ruang boleh berlaku kesalahan (inferiorly fallible) dalam keterangan ahli kimia.

11.31am: Lebih sejam Hakim Arifin membacakan penghakiman kes liwat Anwar. Seorang anak Anwar kelihatan menitiskan air mata.

11.27am: Anwar memandang kepada isterinya, presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail. Dua anggota polis berdiri kiri dan kanan kandang tertuduh tempat Anwar duduk.

11.25am: Hakim memutuskan bahawa tiada gangguan pada penjagaan sampel dan berkata pegawai penyiasat Jude Periera berhati-hati mengendalikannya.

Oleh itu beliau memutuskan sampel tidak tercemar.

11.05am: Bagi bahan bukti yang diperolehi dari lokap, ketua hakim menyimpulkan Anwar memang menggunakan barang-barang tersebut kerana sel itu sebelumnya kosong.

11.03am: Hakim menyentuh pula keterangan ahli kimia Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon serta bagaimana hakim perbicaraan mempunyai cukup bukti yang saling mengukuhkan antara satu sama lain.

Katanya, kes prima facie berjaya dibuktikan dan Mahkamah Rayuan bersetuju dengannya.

“Saiful bukan bersubahat dan tiada cukup bukti saling mengukuhkan untuk menyokong keterangan itu,” katanya.

11am: Hakim berkata dalam Akta Keterangan, pentahkikan tidak diperlukan. (Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa keterangan ahli kimia tidak mentahkikkan keterangan Saiful). Hakim berkata keterangan pengadu boleh dipercayai tanpa pentahkikan.

10.50am: Hakim Arifin membangkitkan keterangan mengenai pakaian berjenama Brioni. Bagi permaidani yang dirampas, beliau berkata ia bukanlah bukti yang sangat penting.

10.46am: Berkaitan Saiful, hakim berkata pengadu berpegang teguh kepada keterangannya walaupun selepas disoal balas mendalam. Ekoran itu, kata hakim, Mahkamah Rayuan memutuskan keterangannya diterima.10.46am: Berkaitan Saiful, hakim berkata pengadu berpegang teguh kepada keterangannya walaupun selepas disoal balas mendalam. Ekoran itu, kata hakim, Mahkamah Rayuan memutuskan keterangannya diterima.

10.45am: Hakim membacakan pembelaan Anwar yang mempersoal tindakan Saiful membawa pelincir KY Jelly dan dakwaan doktor Pusrawai bahawa objek plastik menembusi duburnya.

Hakim berkata Saiful mendakwa berlaku perhubungan seks dan pasukan pembelaan membangkitkan kenapa dia tidak lari.

10.43am: Hakim kini memberikan tumpuan pada isu kewibawaan keterangan Saiful.

10.42am: Hakim berkata pakar-pakar, yang memberi keterangan bagi pembelaan, sampel itu masih tidak tercemar, maka Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhujah bahawa wujud keraguan munasabah pada sampel tersebut.

10.39am: Hakim kini membacakan testimoni saksi pembelaan Prof David Wells dan Prof Brian Mcdonalds. Hakim berkata pakar bedah tulang belakang Dr Thomas Hoogland berpendapat bahawa Anwar tidak dapat melakukan aksi seks sebegitu kerana masalah belakang.

10.37am: Hakim berkata bahawa Anwar memberikan kenyataan daripada kandang tertuduh yang mendakwa terdapat konspirasi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mempersoal tindakan Saiful.

10.33am: Hakim berkata Anwar ditahan dan dibekalkan dengan tuala, berus gigi dan sebotol air mineral.

Barang itu diambil oleh polis pada hari berikutnya dan sampel daripadanya diserah kepada ibu pejabat polis Kuala Lumpur.

10.27am: Selepas membacakan bagaimana Saiful dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur, di mana sampel diambil.

Hakim Arifin berkata ahli kimia menemui sel sperma daripada calitan dubur tinggi dan rendah.

Beliau juga berkata dapatan awal bahawa tiada tanda-tanda tembusan.

10.20am: Hakim Arifin menceritakan kembali bagaimana Saiful tiba di kondominium dan bagaimana pelincir digunakan dan bagaimana duburnya ditembusi.

Hakim berkata Saiful meletakkan jawatan selepas itu dan ditemani bapa saudaranya ke Hostpital Pusrawi.

10.17am: Hakim Ariffin berkata, persetujuan tidak sepertinya perlu untuk mensabitkan kesalahan.

Ariffin berkata Saiful berkhidmat sebagai sukarelawan dan pembantu peribadi kepada Anwar.

Saiful juga membantu Ibrahim Yaacob, ketua kakitangan pejabat Anwar, untuk menyusun jadual Anwar.

10.12am: Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria mula membacakan penghakimannya.

10.08am: Mahkamah mula bersidang seperti diumumkan pendaftar.

9.56am: Seorang penyokong Saiful, yang mahu dikenali sebagai Syafiq pula berkata, kehadirannya pada hari ini sekadar "ikut orang".

Selain itu, Syafiq juga berkata, dia juga tidak tahu tujuannya hadir ke Istana Kehakiman pada hari ini.

Katanya lagi, dia bersama rakan-rakannya yang lain datang dari Puchong dengan menaiki motosikal.

"Saya ikut orang saja. Tak tahu sebab apa. Kami naik motor ramai-ramai," katanya.

Ketika ditanya sama ada dibayar, dia hanya ketawa dan berkata: "Adalah sikit. Duit minyak."

9.15am: Sekumpulan penyokong Anwar selesai mengadakan solat hajat dan berdoa di luar mahkamah.

Kini kira-kira 1,000 penyokong kini berkumpul sekitar kawasan itu.

9.02am: Anwar sudah tiba di mahkamah.

8.57am: Ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Shafee Abdullah masuk ke mahkamah dengan pasukannya. Seluruh dunia berdebar-debar sama ada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melangkah keluar sebagai manusia bebas atau kembali merengkok dalam penjara.

Keputusan hari ini amat dinanti-nantikan kerana bakal memberi kesan besar kepada perjalanan politik Malaysia.

LANGSUNG (malaysikni dan lain-lain)

Berikut laporan langsung dari Mahkamah Keadilan:

8.40AM: Peguam utama Anwar yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram kini berada di dalam mahkamah. Beliau tampil bertongkat.

Gopal ditemani peguam Sangeet Kaur dan Eric Paulsen.

Pasukan pendakwaan termasuk timbalan pendakwaraya (DPP) Mohd Hanafiah Zakaria, yang juga timbalan ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara juga sudah masuk ke mahkamah.

Begitu juga peguam Saiful, Zamri Idrus.

Timbalan pengarah bahagian Asia Human Rights Watch Phil Robertson juga kelihatan.

8.20AM: Pemberita, pemerhati, anggota parlimen dan sebahagian orang awam dibenarkan memasuki mahkamah.

Pemberita duduk di sebelah kiri mahkamah manakala pihak lain di kawasan tengah dan kanan mahkamah.

Anggota keluarga Anwar belum kelihatan dalam mahkamah.

8.15am: kira-kira 200 penyokong Anwar berarak ke Istana Kehakiman sambil melaungkan "reformasi" , "lawan tetap lawan" dan "bebas Anwar".

Mereka turut membawa sepanduk yang bertulis "rakyat hakim negara".

Selepas itu, Dr Badrul Amin kini berselawat dan penyokong yang beragama Islam sedang bersiap sedia untuk solat hajat.

Setakat ini, kira-kira seribu penyokong Anwar kini telah berkumpul di perkarangan Mahkamah Persekutuan.

7.55am: kira-kira 200 orang penyokong Anwar berkumpul di depan Masjid Besi berhampiran Istana Kehakiman untuk memberi sokongan.

Mereka melaungkan "lawan tetap lawan” dan “hidup Anwar".

Naib presiden PKR Tian Chua memberi ucapan kepada penyokong.

"Kita berkumpul di sini bukan saja untuk Anwar tetapi untuk menyaksikan sama ada hari ini sistem kehakiman bebas atau tidak," katanya.

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad turut berucap.

Penyokong Anwar kemudian berarak ke Istana Kehakiman dengan laungan "Reformasi".

750am: Ramai anggota parlimen Pakatan sudah tiba, termasuk Rafizi Ramli (Pandan), Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena).

Pasukan peguam dilihat memasuki mahkamah melalui pintu depan dan helikopter polis juga sedang berlegar-legar di angkasa memantau perkembangan.

720am : Sebanyak 30 pas masuk dikatakan disediakan kepada anggota keluarga Anwar, 38 pas untuk media dan 20 pemerhati antarabangsa dan 10 lagi untuk pemerhati tempatan.

Kawalan keselamatan di mahkamah ketat.

610am: Kira-kira 20 bas penyokong Anwar berkumpul di Masjid Sultan Zainal Abidin untuk memulakan solat Subuh..









Ustaz Ahmad Awang: Fahami Awlawiyyat Politik, Perkukuhkan Pakatan Rakyat


Veteran PAS tegur 'perosak' Pakatan

Saya mengikuti dengan penuh kehairanan dan kebimbangan, perkembangan mutakhir hubungan antara anggota parti-parti Pakatan Rakyat.

Ia kelihatan seolah-olah perbalahan antara ketiga-tiga parti lebih diutamakan pemimpin-pemimpin tertentu berbanding dengan berbalah dengan Umno/BN!

Sedangkan Umno/BN adalah merupakan musuh bersama, yang mana untuk menghadapi mereka, Pakatan dibentuk.

Saya tidak tahu sama ada perbalahan bersama ini ditimbulkan atas sebab adanya agenda tertentu mereka yang berbalah, atau atas sebab mereka menganggap perbalahan adalah cara terbaik untuk mengukuhkan Pakatan.

Sekiranya mereka berbalah dengan penuh kesedaran bahawa perbalahan ini akan merosakkan Pakatan, maka saya anggap mereka gagal memenuhi tugasan mereka sebagai pemimpin yang bijak dan berhemah.

Sebagai pemimpin tanggungjawab dan kewajipan utama kita, dalam suasana politik semasa, adalah untuk mengukuhkan Pakatan.

Ini adalah kerana usaha membebaskan rakyat dari penindasan dan kezaliman Umno/BN akan hanya mampu dilaksanakan melalui Pakatan buat masa ini.


Ini kerana Pakatan adalah entiti gabungan politik yang mampu mencabar Umno/BN.

Kekuatan Pakatan tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak dan ia diakui Umno/BN sendiri.

Dan membawa perubahan pemerintahan adalah bukan sekadar harapan dan kehendak tetapi keperluan rakyat yang amat mendesak.

Cengkaman Umno

Saya menyeru semua pimpinan Pakatan untuk menumpukan kepada usaha mengukuhkan Pakatan dan seterusnya menjadi pembela nasib rakyat.

Rakyat sentiasa dilaga-lagakan oleh Umno/BN melalui fahaman perkauman mereka sehingga rakyat sentiasa dihantui oleh ancaman perbalahan kaum dan ketidakamanan.

Pada tahun 1999 apabila majoriti orang Melayu inginkan perubahan, Umno/BN tanamkan ketakutan di kalangan bukan Melayu dan kekal berkuasa melalui sokongan majoriti bukan Melayu.

Pada 2008 dan 2013, apabila bukan Melayu pula inginkan perubahan, Umno/BN pula menakut-nautkan orang Melayu sehingga melalui perasaan ini, mereka sekali lagi mengekalkan kekuasaan.

Ini merupakan bukti bahawa soal kaum hanya merupakan alat dalam percaturan politik Umno/BN.

Kebebasan dari cengkaman Umno/BN akan membebaskan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu yang beragama Islam, dari minda assobiyyah qaumiyyah (perkauman) yang ditolak Rasulullah SAW.

Inilah sebabnya PAS selama ini hendak menjatuhkan Umno/BN supaya politik orang Islam tidak lagi berasaskan politik Melayu yang memperalatkan Islam, tetapi politik Islam yang membela nasib Melayu dan seluruh kaum di negara kita!

Oleh itu, amat pelik sekiranya ada yang menganggap Pakatan tidak menguntungkan PAS dan perjuangan politik Islam.

Sebaliknya saya beranggapan bahawa demi menyemarakkan kefahaman politik Islam di kalangan umat Islam, maka PAS pihak paling beruntung dengan kekalahan Umno/BN.


Pada masa yang sama, kebebasan dari cengkaman Umno/BN akan juga bermakna segala kerosakan yang menimpa negara daripada sudut politik, ekonomi, pendidikan dan sosial akhirnya dapat dibenteras.

Menjelang GST

Ia tidak dapat diatasi selagi Umno/BN memerintah kerana mereka melaksanakan dasar-dasar yang membawa kerosakan ini.

Maka saya menyeru kepada pimpinan Pakatan, dan pimpinan PAS khususnya, untuk utamakan penyelesaian masalah rakyat dengan menggandakan usaha mengukuhkan gabungan itu.

Rakyat bakal ditimpa kos kehidupan yang semakin mencengkam dengan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Mereka akan terus kehilangan berbilion-bilion ringgit melalui dasar kronisme dan rasuah – amalan Umno/BN sehingga ekonomi yang sepatutnya memecut pantas ditimpa bebanan, menyebabkan hanya mampu berjalan terhingguk-hingguk.


Rakyat akan ditimpa sistem perundangan yang semakin mencekik kebebasan dan hak melalui penggunaan sewenang-wenangnya akta hasutan dan akta antikeganasan.

Sambil campur tangan eksekutif dalam urusan kehakiman menjadi semakin ketara hingga Malaysia dijadikan bahan lawak dunia!

Rakyat tidak mahu melihat harapan mereka untuk perubahan ini berkecai dan mereka tidak akan memaafkan kita yang diamanahkan sebagai pemimpin sekiranya tindak tanduk kita menjadi sebab utama Pakatan berpecah atau hilang keyakinan rakyat.

Mereka semakin bosan dengan perbalahan dan percanggahan antara pimpinan parti-parti Pakatan yang seolah-olah tidak lagi mengutamakan penyelesaian masalah rakyat.

Sebaliknya hanya sanggup mengutamakan perbalahan dan percanggahan demi politik jangka masa pendek.

Ini yang paling menyeronokkan Umno/BN dan tidak hairanlah bagaimana Umno/BN masuk campur dan berperanan untuk melaga-lagakan kita satu sama lain.

PAS sepatutnya menjadi parti yang memahami awlawiyyat atau keutamaan politik dan menzahirkannya kepada rakan-rakan Pakatan.

Adab beza pandangan

PAS sepatutnya menjadi rakan yang pertama mengenepikan perbalahan dan sengketa sampingan demi mengutamakan persoalan yang perlu diutamakan.

Zahirkan kebijaksanaan politik Islam supaya terus membina kekuatan pengaruh dalam Pakatan dan di kalangan rakyat sepertimana dilakukan selama ini sejak tahun 90-an!

Melalui kebijaksanaan mengenali keutamaan ini, PAS berjaya berada di arus perdana politik Malaysia dan tidak lagi berperanan hanya di kawasan Pantai Timur semata-mata.

Pada masa yang sama, saya ingin menyeru pimpinan PAS untuk membina kembali kesatuan dan semangat ukhuwah dan persaudaraan dalam parti itu sendiri.

Tidakkah pimpinan menyedari bagaimana perbalahan dalaman PAS semakin meruncing sehingga menghasilkan suasana berpuak-puak dan saling benci membenci sesama ahli?

Perbalahan dalaman PAS ini akan melemahkan dirinya sendiri dan apabila ini berlaku maka Pakatan akan turut terjejas.

Apabila Pakatan terjejas maka rakyat akan merasai bahawa PAS adalah punca mereka gagal diselamatkan daripada penindasan dan penganiayaan Umno/BN.

Pada masa yang sama kelebihan Islam yang mengutamakan ukhuwah sesama Islam tidak mampu dizahirkan oleh PAS.

PAS seolah-olah menjadi parti yang memperjuang ‘Islam dan syariatnya’ tetapi tanpa adanya akhlak yang mulia di kalangan ahli-ahlinya.

Amalan adabul ikhtilaf (adap berbeza pandangan) serta ‘berlemah-lembut dan kasih sayang’ antara orang-orang yang beriman akan hanya menjadi ungkapan kosong yang tidak mampu dihayati.

Perancangan Yusuf Rawa, Fadhil Noor

‘Islam tanpa akhlak’ sebegini tidak akan mampu memikat hati manusia dan sebaliknya akan menjadi sebagai penghalang kepada manusia lain mengenali kebenaran Islam.

Saya harap pimpinan akan bertindak segera membetulkan suasana ini dan mengembalikan akhlak jemaah Islam sepertimana yang pernah wujud dulu.

Keadaan ini hasil kemasukan budaya asing selepas 2008.

Pengaruh perosak ini perlu dibendung oleh pimpinan PAS supaya PAS boleh terus maju mengikut perancangan yang ditetapkan pimpinan terdahulu, khususnya almarhum Yusuf Rawa dan Datuk Fadhil Mohd Noor.

Matlamat dan wawasan mereka untuk menjadikan PAS sebuah jemaah Islam yang kukuh, bersatu padu dan berperanan di tengah-tengah masyarakat membela seluruh rakyat perlu sentiasa diusahakan.

Hanya dengan itu akan pengaruh PAS bertambah kukuh dan PAS menjadi parti yang dihormati dan disegani.


Kehormatan dan kedudukan mulia di mata masyarakat perlu diusahakan, diperjuangkan bukan dituntut.

Saya dengan ini menyeru pimpinan PAS untuk memenuhi kewajipan mereka terhadap PAS dan masyarakat jelata dengan penuh keikhlasan dan bertanggungjawab.

Saya juga menyeru semua pimpinan Pakatan, terutamanya pimpinan PAS, berusaha bersungguh-sungguh untuk membina kembali kesatuan dan kekuatan Pakatan demi membela keadilan dan kepentingan rakyat.

AHMAD AWANG mantan naib presiden PAS dan mantan presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM).