30 Okt 2010

[Bergambar] Tsunami Mentawai Menggoncang Lagi Hari Ini

Bukan sahaja Gunung Merapi meletus lagi, malah tsunami Mentawai turun menggoncang semula. Sebuah gempa berkekuatan 5,1 skala richter kembali menggoncang Mentawai. Lokasi gempa berada di 108 Km Barat Daya Pagai Selatan, Mentawai, Sumatera Barat.

Berdasarkan maklumat dari laman web Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG), gempa ini terjadi pukul 01.05 WIB, malam tadi.

Pusat gempa berada di kedalaman 27 km dan berkoordinat 3.45 LS – 99.42 BT. BMKG menulis gempa ini tidak berpotensi menimbulkan tsunami.

Sebelumnya, Mentawai dilanda gelombang tsunami pada 25/10 lalu. Tsunami ini melanda beberapa daerah hingga rata dengan tanah.

Berdasarkan data terakhir dari BPBD, pukul 20.30 WIB, semalam, tercatat 413 orang meninggal, dan 298 hilang. 270 orang cedera serius. 162 cedera ringan dan 12, 935 orang terpaksa berpindah.














.

Ansari, Bakal Ketua Menteri Sabah Satu Hari Nanti

Patah Sayap Terbang Jua, Terkehel Tangan Berjuang Juga

Dango Mamamat menulis di blognya dengan tajuk Terima kasih Pak Ansari: Tahniah teman kepada calon PKR di PRK Batu Sapi, Pak Ansari. Pak Ansari telah berjaya mendedahkan kedaifan kerajaan BN Sabah.

Dua kali BN Sabah dimalukan oleh Pak Ansari. Tidak payah buka dokumen, tidak payah repot polis. Hanya meniti di titi reput dan ambil risiko basah kuyup. Biarkan BN gelak, biar mereka kata apa-apapun.

Janji rakyat dapat melihat dengan mata sendiri betapa rakyat Sabah yang selama ini begitu setia dengan BN telah diabaikan oleh Kerajaan 1 Malaysia. 1Malaysia tahu yang rakyat miskin ini bukan minta tanah, mereka hanya minta titi ...

Adalah dijangka bahawa dua peristiwa ini akan merupakan satu petanda yang memungkinkan Pak Ansari memenangi PRK Batu Sapi. Selepas hari penamaan calon, calon PKR dilabel sebagai kacau daun kepada BN dan SAPP. Tetapi dengan peristiwa dua kali titi patah, rakyat tanpa mengira status dan kedudukan mula mempertimbangkan semula calon mana yang harus diundi.

Calon mana yang hampir dengan rakyat? Calon BN? Jangan harap. Jikalau mendiang suaminya semasa menjadi wakil rakyatpun tidak menyedari ada titi reput di kawasannya, apakah datinnya akan memperjuangkan nasib rakyat?

Yong Teik Lee? Lagi tak boleh pakai. Pernah jadi KM Sabah. Ketika berkuasa dia tidak ambil pedulipun pasal rakyat miskin yang minta titi baru. Takkan dalam keadaan tidak berkuasa dia mampu mengadakannya.

Sama ada Pak Ansari menang atau kalah, selepas ini titi yang patah akan diganti dengan yang baru. Kerajaan Musa Aman tidak mungkin sanggup dimalukan lagi. Jikalau titi tidak diganti sebelum PRU13, rakyat akan menjauhi BN. Tetapi di hati kecil rakyat kita boleh mendengar kata-kata mereka, terima kasih Pak Ansari.

Kepada semua pengundi di PRK Batu Sapi, selamat mengundi.

Ulasan GB

Ramai yang mentertawakan calon PR yag jatuh ke laut. Dan banyak pula andaian-andaian nakal ekoran dari peristiwa itu. Ada yang menyatakan suwehnya nasib Ansari.

Apakah rahsia di sebalik kejadian tersebut lansung tidak diteroka dan dibaca.

Ansari bakal kalah kali ini. GB juga turut menerimanya. Tetapi jangan tersekat di situ cuma.

Namun daripada peristiwa dua kali jatuh ke laut, ia adalah petunjuk besar dari Ilahi bahawa orang yang bernama Ansari ini perlu "dibenamkan" di dalam laut Sabah - bermaksud Ansari perlu bergelumang dengan rakyat Sabah. Benar-benar bergelumang sehingga dua kali berada di lautan rakyat.

Kemudian Ansari bangkit dari lautan rakyat itu - dengan penuh sedar dan keinsafan bahawa rakyat Sabah memang perlukan pembelaannya. Hanya Ansari yang mampu membawa perubahan. Dan hanya Ansari dipilih Tuhan untuk dijatuhkan ke dalam laut Sabah itu.

Kedua, orang yang bersama dengan Ansari ketika itu ialah MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Apakah petunjuk dari peristiwa itu? Nasib Ansari akan mengikuti apa yang telah dilalui Khalid. Khalid kalah di Ijok di dalam pilihanraya kecil. Dihina, dicaci, ditohmah dan pelbagai lagi. Tetapi kemudiannya beliau menang besar di Ijok dan menang juga di Parlimen. Diangkat menjadi Menteri Besar Selangor. Ya, Ansari akan menerima nasib yang serupa dengannya.

Pemerhatian GB: Ansari bakal Ketua Menteri Sabah satu hari nanti.


Ahmad Maslan Hina Sultan Kelantan

Umno: Nampak sangat PAS tak boleh selesai masalah

Ketua penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai kedatangan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V ke satu kawasan di Gua Musang sebelum ini.

Kedatangan Sultan Muhammad sebelum ini dipercayai berkaitan masalah tanah yang dihadapi sekumpulan masyarakat di kawasan tersebut.

"Tapi kalau sultan sendiri kena datang selesai, nampak sangat kerajaan negeri tak boleh selesaikan (masalah)," kata Ahmad ketika bercakap kepada pemberita di bilik gerakan BN di Bukit Cekati hari ini.

Beliau menjawab soalan berkenaan yang sebenarnya diajukan kepada calon BN Abdul Aziz Yusof.

Turut ditanya ialah sebab kedatangan Sultan Muhammad V ke kawasan itu sebelum ini, yang ketika itu bergelar Tengku Mahkota Muhammad Faris Petra.

Isu mengenai kedatangan Sultan Muhammad V ke kawasan pilihan raya kecil DUN Galas timbul semalam apabila desas-desus mengenainya dikutip oleh sebuah blog.

Pengelola istana Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad semalam bagaimanapun menafikan desas-desus bahawa Sultan Kelantan akan menyertai kempen pilihan raya kecil DUN Galas.

Ulasan GB

Apa yang diucapkan oleh Ketua Penerangan UMNO itu adalah sesuatu yang biadab dan sikap tidak hormat kepada Sultan Kelantan.

Beliau (Ahmad Maslan) sendiri mengakui tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku sedangkan Sultan Kelantan sebenarnya adalah seorang yang berjiwa rakyat, yang mahu turun ke padang bersama rakyat, sentiasa menyelami masalah rakyat dan sentiasa berada bersama rakyat.

Contoh, apakah apabila Sultan Kelantan sendiri menyembelih lembu misalnya disebabkan oleh "masalah rakyat" yang takde seorang pun pandai sembelih lembu? Tidak samasekali! Tetapi adalah kerana Sultan Kelantan merasakan dirinya sebagai sebahagian anggota rakyat dan apa yang dilakukan oleh Sultan Kelantan itu amat disenangi dan disayangi oleh rakyat Kelantan sendiri.

Bgitulah halnya dengan apa-apa juga dengan tindakan Sultan Kelantan termasuk datang ke Gua Musang untuk menyampaikan geran tanah. Ia adalah kehendak Sultan sendiri yang ingin bersama rakyat, yang ingin melihat senyum wajah rakyat di bawah naungannya.

Bukan macam kamu di dalam UMNO yang sebat segala hak rakyat, yang suka melihat rakyat menderita.



Batu Sapi: Kemiskinan Melampau Era BN

Senario di Sandakan, setelah 47 tahun Sabah dalam Malaysia, terdapat di Batu Sapi keadaan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pemimpin-pemimpin kerajaan BN terlepas pandang?

Yang gantung-gantung gambar atas, dalam tube plastik tu kicap, minyak masak, gula, bawang goreng dan macam-macam lagi dengan harga 20 sen setube. Mengikut mereka membeli dengan cara begini sahaja yang mereka mampu, cukup untuk sekali masak dimakan bersama famili! Bayangkan ramai kita makan ala buffet dengan makanan yang melimpah luah kerapkali berlebihan pula tu! -batusapi

Biar gambar-gambar ini berbicara mengapa calon PKR dua kali jatuh ke laut.








[Bergambar] Kunjungan Tok Guru Bersama Calon PAS Ke Hospital Gua Musang

Ramai terkejut kunjungan Tok Guru, Dr Zul ke hospital

GUA MUSANG, 29 Okt: Kehadiran Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama calon PAS Dun Galas, Dr Zulkefli Mohamed ke Hospital Gua Musang pagi tadi mengejutkan banyak pihak termasuk pesakit.

Ramai pesakit terkejut dengan kehadiran Menteri Besar pada jam 8.45 pagi dan sempat melawat pesakit di wad dengan ditemani pegawai perubatan.

Malah pada kesempatan itu juga beliau dan Dr Zul menziarahi anak seorang kakitangan Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada awal pagi.

Tuan Guru tidak sempat hendak menziarahi lebih ramai pesakit kerana terpaksa bergegas pulang bagi menghadiri program penutup Pesta Air Kelantan di Kota Bharu pada sebelah petang.

Dr Zul ketika ditemui berkata, beliau melahirkan rasa terharu di atas sokongan padu seorang ulama terkenal ketika saat-saat genting bagi menghadapi pilihan raya kecil Dun Galas pada 4 November ini.

“Saya amat terharu di atas sokongan Tok Guru yang sanggup berulang alik dari Kota Bharu ke Gua Musang. Saya sangat terharu di atas komitmen tinggi beliau biar pun dalam keadaan kepenatan namun tetap datang ke sini,” katanya.

Sementara itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz memberitahu kehadirannya ke hospital dilakukan pada bila-bila masa sahaja kerana menziarahi pesakit sedikit sebanyak dapat meredakan perasaan mereka.

“Ajaran Islam sendiri amat menuntut umatnya menziarahi sesiapa sahaja yang sakit dan kalau ada kematian, kita juga disuruh membantu keluarga tersebut sehinggalah ke tanah perkuburan,” ujar beliau.

Selepas lawatan tersebut beliau bergegas ke RPT Sungai Terah menghadiri program Cakna Rakyat kemudian menunaikan solat di Masjid Batu Papan.

Pada sebelah petang menziarahi kematian seorang penduduk. Manakala sebelah malam menghadiri ceramah di Markas Penerangan dan Pasti Lepan Tupai. -harakahdaily







Wajibkan Lulus Matapelajaran "Sejarah" Untuk Kepentingan UMNO

Wajib lulus Sejarah untuk Kepentingan politik Umno?

PETALING JAYA: Ahli Sejarah, Profesor Emeritus Khoo Kay Kim (gambar) hari ini menyifatkan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini untuk memertabatkan mata pelajaran Sejarah dalam sistem pendidikan negara amat wajar.

Namun begitu, beliau tidak menolak keraguan sesetengah pihak yang mendakwa langkah ini diambil bertujuan menyelamatkan kepentingan politik parti pemerintah dan bukanlah semata-mata demi kepentingan sejarah itu sendiri.

Keraguan ini memang mempunyai asasnya jika dilihat kembali terhadap usaha-usaha yang telah dijalankan oleh ahli-ahli akademik khasnya untuk memertabatkan Sejarah yang selama ini dilihat sepi oleh kerajaan.

Hanya setelah kedudukan politik parti pemerintah ini dalam kedudukan genting, barulah kepentingan Sejarah dibangkitkan mereka.

Berbanding dengan usaha yang telah lama dijalankan oleh ahli akademik yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi.

"Kami, para akademik memang telah lama mengharap dan kemukakan usul agar Sejarah dijadikan salah satu mata pelajaran utama dalam sistem pendidikan negara ini.

"Tetapi nampaknya ia hanya boleh terlaksana apabila ada perwakilan Umno yang menyuarakannya dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini," demikian luahan Profesor Khoo ketika dihubungi FMT hari ini.

"Ahli politik bukanlah orangnya yang patut membuat keputusan tentang Sejarah dan dasar-dasar dalam sistem pendidikan negara.

"Perkara ini harus diputuskan oleh ahli-ahli akademik yang telah membuat penyelidikan begitu lama tentang sesuatu dasar yang ingin dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara.

Ahli sejarah tulen

"Dalam konteks melibatkan Sejarah, keputusan harus melibatkan ahli sejarah yang tulen, yang tidak boleh dipengaruhi oleh agenda mana-mana parti politik," kata beliau lagi.

Menurut beliau lagi, matlamat untuk memperkasakan mata pelajaran Sejarah hanya boleh terlaksana jika pihak-pihak terbabit jujur untuk melaksanakannya dengan mengambil kira beberapa syarat.

"Guru-guru yang mengajar subjek Sejarah haruslah diberikan latihan semula. Mesti guru yang benar-benar memahami Sejarah, Undang-undang dan Perlembagaan Negara. Mereka haruslah memahami bagaimana negara ini ditubuhkan.

Beliau turut memberikan syarat sukatan mata pelajaran Sejarah dan buku teks Sejarah perlu dikaji dan ditulis semula.

"Penulis buku teks Sejarah haruslah di kalangan ahli sejarah yang benar-benar membuat penyelidikan tentang sesuatu Sejarah.

Bukannya menulis dengan jalan mudah, sekadar mengutip fakta dimana-mana buku, internet dan sebagainya," kata beliau lagi.

"Tindakan ‘menghitamkan’ dan ‘memutihkan’ sesuatu bahagian Sejarah adalah tindakan yang dibuat oleh bukan ahli sejarah tulen".

Sebelum ini, ketika menggulung perbahasan oleh Muhyiddin dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, beliau mengumumkan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus sebagai syarat lulus dalam peperiksaan SPM. -FMT

Nampak Kepala Rakan Tercabut Depan Mata

Nampak kepala rakan tercabut di hadapan mata

BENTONG – Nasib tidak menyebelahi 44 belia dari Persatuan Belia 4B Kampung Siong, Baling apabila terlibat dalam kemalangan yang berlaku lewat petang semalam.

Kejadian berlaku di Kilometer 38 Lebuhraya Karak – Kuala Lumpur apabila rombongan terbabit bersama seorang pemandu bas dan pemandu kedua dalam perjalanan turun dari Genting Highlands.

Seorang mangsa yang cedera ringan, Abdul Hafiy Suhaimi, 20, berkata, mereka semua dalam rangka lawatan 3 hari 2 malam melibatkan lawatan ke Genting Highlands dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, mereka bertolak dari Baling kira-kira jam 11 malam dan sampai di Genting Highlands kira-kira jam 4.00 pagi kelmarin.

“Selepas seharian bermain dan bergembira di sana, kami semua menaiki bas turun kira-kira jam 7.00 petang di mana menurut perancangannya kami akan singgah bersembahyang di Gombak.

“Semasa menuruni bukit, bas berada dalam keadaan laju dan secara tiba-tiba, pemandu bas memaklumkan, terdapat masalah brek,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Hafiy berkata, selepas dimaklumkan mereka semua diminta berjaga-jaga dan dalam masa sama mengejutkan rakan-rakan yang tidur.

Menurutnya, keadaan bas yang laju menyebabkan keadaan terumbang-ambing sebelum merempuh pembahagi jalan lalu terbalik.

“Pada masa itu saya hanya mampu beristighfar dan dalam keadaan cemas itu, rakan-rakan cuba membantu antara satu sama lain.

“Ketika menyelamatkan diri saya nampak ada rakan-rakan yang tidak bernyawa dan saya ternampak salah seorang rakan tercabut kepalanya,” katanya.

Abdul Hafiy berkata, walaupun sedih melihat rakan-rakan yang tidak terselamat namun dia bersyukur kerana terselamat dan hanya cedera ringan.

Sementara itu, Saiful Idham, 14, berkata, ini merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidup kerana melihat enam rakan meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku di hadapan mata.

Menurutnya, walaupun pertama kali mengunjungi pusat peranginan Genting Highlands namun ia menjadikan dia fobia untuk berkunjung ke situ lagi akibat nahas yang berlaku.

“Rakan-rakan yang meninggal dunia tidak menunjukkan perubahan ketara semasa kami semua bergembira di Genting Highlands.

“Walaupun ketika kejadian saya cuba membantu rakan-rakan lain namun ada juga yang tidak dapat diselamatkan,” katanya sedih.

Saiful yang cedera di bahagian kaki berkata, dia sudah memaklumkan kejadian itu kepada keluarga di Baling. -SH






[Bergambar] 3 Lagi Letusan Gunung Merapi Berlaku Semalam

Tiga lagi letusan menghasilkan awan panas berlaku semalam di Gunung Merapi yang menghasilkan percikan lava dan satu daripadanya turut disusuli gempa bumi berukuran 3.2 skala Richter.

Letusan kali ini ternyata membimbangkan kerana muntahan awan panas berlaku lebih lama iaitu kira-kira 20 minit sebelum dibawa angin ke arah barat dan utara.

Berikutan itu, lebih 20,000 penduduk sekitar Gunung Merapi termasuk 10,000 yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara dalam jarak 20 kilometer diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Tinjauan di pusat pemindahan sementara Umbulharjo yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Gunung Merapi mendapati kira-kira 5,000 mangsa yang ditempatkan di situ mula bimbang dengan letusan terbaru itu.

Pengarah Operasi Badan Mencari dan Menyelamat (SAR) Nasional, Rochimali, berkata angka korban kini sudah meningkat kepada 35 orang. “Anggota SAR kini sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan kita akan menggunakan peralatan khas dan akan melakukan pemindahan kecemasan jika Gunung Merapi terus meletus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Daerah Sleman, Drs Sri Purnomo yang ditemui di Pusat Pemindahan Utama di Pakam, kira-kira 20 kilometer dari Gunung Merapi berkata, mereka kini kekurangan bekalan keperluan untuk mangsa yang menetap di situ.

“Antara barang yang menjadi keperluan adalah untuk golongan wanita serta bayi seperti tuala wanita, susu, minyak tanah, sabun, selimut, tilam, lampu kecemasan dan ubat gigi.

“Hanya barang keperluan asas itu yang menjadi keutamaan buat ketika ini kerana bekalan makanan yang diperuntukkan badan pengurusan logistik sudah mencukupi,” katanya. -hm


Letusan Merapi: Terperangkap dalam debu
Oleh Hadzlihady Hassan

YOGYAKARTA: “Dua anak saya terperangkap dalam awan panas ketika mereka berpatah balik dan cuba memanggil penduduk supaya melarikan diri.

“Kedua-duanya tidak sempat pergi ke motosikal kerana terus rebah akibat tidak tertahan dengan kesan debu panas yang membakar tubuh,” kata Bejo Mulyo, 46, menceritakan detik cemas ketika dua anaknya terperangkap dalam letusan Gunung Merapi, Selasa lalu.

Menurutnya yang juga Ketua Kampung Umbulharjo, dua anaknya itu sanggup berpatah balik untuk memanggil penduduk kerana rasa tanggungjawab yang dipikul mereka.

“Sebagai anak ketua kampung, dua anak saya berasa bertanggungjawab untuk memanggil menyelamatkan diri.

“Pengorbanan dilakukan mereka itu ternyata amat besar kerana sanggup menggadaikan nyawa sendiri,” katanya yang ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Rumah Sakit Umum Pusat (RSUP) Dr Sardjito, semalam.

Menurutnya, dia dan isteri pada mulanya menyangkakan dua anak kesayangan itu sudah meninggal dunia meninggalkan mereka.

“Bagaimanapun, saya bersyukur apabila dua anak saya itu ditemui pasukan penyelamat dalam keadaan masih hidup, namun melecur teruk.

“Namun, keadaan mereka kini sudah beransur sembuh,” katanya.

Menurutnya, kejadian yang menimpa dua anak lelakinya itu iaitu Arip Candra,23, dan Wahyu Nur Irawan, 16, membuatkan isterinya, Sri Murwani, 41, kini menjadi trauma.

“Isteri saya lebih banyak mendiamkan diri dan selera makannya agak berkurangan sejak berlakunya kejadian yang mengakibatkan dua anak kami cedera.

“Kedua-dua mereka mengalami kesan melecur hingga hampir 50 peratus di badan dan muka,” katanya.

Sementara itu, dua lagi lelaki yang juga ditempatkan di hospital sama, Bp Bilal, 52, dan Ny Ratmi, 52, turut mengalami kesan melecur teruk.

Kedua-duanya dikatakan enggan melarikan dan hanya bersembunyi dalam rumah selain percaya Juru Kunci Gunung Merapi, Mbah Marijan dapat menyelamatkan mereka.









Ini Iblis. Bukan Sekadar Binatang

7 tahun dicabul bapa

BUKTI...Kamisah menunjukkan laporan polis mengenai pencabulan anak saudaranya.

KUALA LUMPUR: “Sudah tujuh tahun anak saudara saya yang berusia 14 tahun dicabul bapanya sendiri, tapi baru kini rahsia itu terbongkar sebelum kami membuat laporan di Balai Polis Rawang, Rabu lalu,” kata Kamisah Jamal, 31, ibu saudara kepada seorang remaja perempuan yang mendakwa dicabul bapanya sejak tujuh tahun lalu.

Beliau berkata, setiap hari mangsa sering bermuram kerana trauma dengan apa yang berlaku selain tidak menyangka bapa kandungnya yang juga penagih dadah tergamak mencabul kehormatannya sejak kecil.

“Melalui cerita anak saudara saya, dia memberitahu ketika berusia tujuh tahun, bapanya selalu bermain dengan kemaluannya dengan tangan tetapi sejak dua tahun lalu selepas cukup umur, bapanya semakin berani melakukan perkara yang lebih buruk.

Bapa mangsa yang juga abang kandung saya, sering mengambil peluang menceroboh masuk ke bilik anaknya itu apabila semua ahli keluarga lain tidur dan ada kalanya pada sebelah pagi ketika ibunya pergi bekerja hingga dia tidak terdaya untuk melawan,” katanya ketika datang ke Balai Berita, semalam.

Menurutnya, kejadian itu berlanjutan menyebabkan anak saudaranya itu trauma.

“Selepas membuat laporan, saya membawanya ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan dan pihak hospital mengesahkan ada kesan menunjukkan anak saudara saya itu dicabul.

“Saya hanya mahu ayahnya ditangkap kerana sanggup melakukan perbuatan terkutuk ke atas anak sendiri,” katanya.

Akibat perbuatan terkutuk itu, anak saudaranya itu juga dikatakan sudah beberapa kali cuba membunuh diri.

Kamisah juga tidak berpuas hati apabila kakak iparnya merancang untuk menarik balik laporan yang dibuat kerana tidak mahu suaminya ditangkap.

Saya hanya minta anak saudara dan dua adik perempuannya dilindungi bagi mengelak kejadian buruk berlaku.

“Mereka masih muda dan mempunyai masa depan yang panjang untuk dilalui,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kes cabul berkenaan dan akan membuat siasatan lanjut sebelum melakukan sebarang tangkapan.


Benarkah Zaid Mendahului?

Zaid dahului Azmin, Mustaffa pengundian hari pertama

Zaid dinampakkan menguasai enam daripada sembilan cabang yang mengundi semalam.

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Datuk Zaid Ibrahim mendahului dua calon lain bagi jawatan timbalan presiden pada hari pertama pengundian pemilihan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan di dua negeri hari ini.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Zaid, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan menguasai enam daripada sembilan cabang yang melangsungkan pengundian di bawah sistem pemilihan langsung yang julung kali diadakan selepas parti itu meminda perlembagaannya tahun lalu.

Kedua-dua Zaid dan Naib Presiden Azmin Ali dipercayai berhadapan dengan saingan sengit. Seorang lagi calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub, yang juga naib presiden, berada di kedudukan ketiga.

Daripada lapan cabang yang diketahui keputusan pengiraan undi, yang berakhir sekitar 10 malam tadi, Zaid memperoleh 573 undi berbanding 311 undi buat Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Daripada lima cabang di Kedah, Zaid memperoleh 282 undi manakala Azmin pula 238 undi.

Sementara itu bagi jawatan naib presiden, daripada 17 calon yang bertanding Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh, Pengarah Strategi Tian Chua, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dikatakan mendahului calon-calon lain.

“Ada beberapa calon yang memperoleh undi yang rapat jumlah mereka,” kata seorang pemimpin yang dihubungi The Malaysian Insider malam ini.

Sembilan cabang yang mengadakan pengundian hari ini ialah Tumpat, Kota Baru, Rantau Panjang dan Pengkalan Chepa di Kelantan sementara di Kedah pula Alor Setar, Langkawi, Pokok Sena, Kuala Kedah dan Kubang Pasu.

Baki 59 cabang akan melangsungkan pengundian esok dan lusa, yang bakal mengubah senario dan meningkatkan persaingan bagi jawatan-jawatan yang dipertandingkan.

Bagi jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan, daripada enam cabang yang diumumkan keputusan tidak rasmi, Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai “Chegubard” mendapat 109 undi berbanding penyandang jawatan Shamsul Iskandar Mohd Akin sekitar 80 undi.

Bagaimanapun Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin dikatakan mendahului cabaran jawatan itu.

Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengekalkan kedudukannya tanpa cabaran.

Dalam pada itu, laporan Bernama yang memetik Timbalan Pengerusi PKR Kedah Wan Salleh Wan Isa berkata, bagi cabang Langkawi, untuk jawatan timbalan presiden, Azmin mendapat 116 undi manakala Zaid 74 undi Mustaffa tiga undi, dengan undi rosak 13.

Bagi Naib Presiden, Fuziah di tempat teratas mendapat 129 undi, Tian Chua (104), Mansor (73), Nurul Izzah (66) dan Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan (44).

“Daripada jumlah 17 itu, dua calon mendapat kurang daripada 10 undi manakala enam kosong (tidak mendapat undi langsung),” katanya.

Katanya beliau masih menunggu keputusan untuk empat lagi cabang.


Pemilihan PKR: Hari Pertama Diselubungi Kontroversi

PETALING JAYA: Pemilihan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bermula semalam nampaknya tidak berjalan lancar sepertimana yang diharapkan sebaliknya berhadapan dengan masalah logistik dan teknikal - sekaligus mengundang kritikan dan desakan agar ia ditangguhkan.

Mereka dari pasukan calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim misalnya dengan segera mengeluarkan kenyataan yang mendesak agar pengundian dihentikan segera kerana kertas undi sampai lewat malah beberapa kertas undi tidak mempunyai senarai calon yang lengkap.

Jurucakap kepada Zaid, Rashid Azan Khan berkata, terdapat juga aduan mengenai ahli-ahli yang baru mendaftar semalam dibenarkan untuk mengundi.

Rashid berkata, oleh kerana proses pengundian di Kedah dan Kelantan bermula lewat hari ini ramai anggota parti yang tidak dapat menunggu lama sementara menanti jawatankuasa pemilihan menyediakan tempat mengundi kerana mereka terpaksa tergesa-gesa meninggalkan dewan untuk menunaikan sembahyang Jumaat.

Ini katanya adalah satu situasi yang tidak adil bukan sahaja kepada calon-calon tetapi juga kepada ahli-ahli PKR sendiri.

"Ramai ahli yang balik kerana kecewa tidak dapat mengundi malah Bahagian Kota Baru sendiri tidak dapat mengundi kerana kertas undi untuk jawatan Ketua Wanita tidak ada.

"Di Tumpat, walaupun kertas undi hanya tiba pada waktu tengah hari, kotak undi masih tidak disediakan. Semua ahli tiada masa untuk menunggu kerana perlu menunaikan solat Jumaat," katanya.

Pemilihan pucuk pimpinan PKR - yang pertama untuk sebuah parti politik membuka peluang kepada setiap ahli menentukan kepimpinan nasional - bermula semalam di Kedah dan Kelantan.

Cabang-cabang di Kedah yang mengundi ialah Langkawi, Kubang Pasu, Alor Star, Kuala Kedah dan Pokok Sena.

Manakala di Kelantan ialah Tumpat, Kota Baru, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Pengkalan Chepa.

Rashid turut mendakwa pihaknya menerima pelbagai aduan tentang kepincangan dan menggesa jawatankuasa pemilihan segera menghentikan proses pengundian atau mengadakannya semula.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Pengkalan Chepa, Azhar Hassan turut mengesahkan ramai ahli pulang tanpa mengundi kerana kertas undi yang tiba lewat di lokasi pengundian.

"Hanya 30 ahli yang mengundi," katanya sambil menegaskan bahagian itu mempunyai 464 ahli.

Dalam pada itu, Rashid berkata, beliau turut menerima aduan sama mengenai kepincangan persediaan proses pengundian di kedah selain pengundian dijalankan serentak dengan pendaftaran ahli baru di Langkawi.

"kelihatan ahli baru turut dibenarkan mengundi, selepas mendaftar sebagai ahli," ujarnya.

Kata Rashid, pihaknya telah memanjangkan kesemua aduan tersebut kepada Pengarah Jawatankuasa Pemilihan PKR, Dr Molly Cheah.

"Beliau (Dr Cheah) ternyata kecewa dengan aduan itu malah memaklumkan bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai taklimat yang diadakan untuk calon pada Khamis malam sedangkan beliau mengetuai jawatankuasa pemilihan parti," kata Rashid.

Bagaimanapun, ketika dihubungi, Dr Cheah enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

"Semua perkara berkaitan dijaga oleh Setiausaha Pemilihan, Radin (Shamsulkamar Radin Shamsudin)," kata Dr Cheah lagi.

Menurut Dr Cheah, beliau telah memberitahu Radin untuk menguruskan semua aduan yang dibuat oleh ahli-ahli termasuk dari cabang. -mstar



Ulasan GB

Benarkah Datuk Zaid mendului? Benar, tetapi bukan sebanyak itu yang sepatutnya diraih oleh beliau.

Wujudnya konspirasi dari peringkat tertinggi pimpinan PKR untuk "menjatuhkan" Datuk Zaid adalah amat jelas sekali. Mungkin, Zaid cuma menang di peringkat awal, sama seperti waktu pencalonan dulu.

Anwar, Saifuddin dan lain-lain tokoh tertinggi PKR termasuk beberapa YB sengal PKR sebelum ini ternyata mempunyai agenda tersebut.

Mengapa GB dilihat terlalu membela Datuk Zaid Ibrahim? Tanya beberapa sahabat yang dekat dan yang jauh.

Jawapannya: GB memperjuangkan kebenaran dan keadilan, menentang segala bentuk kezaliman dan ketidak-adilan.

Mengapa GB sebagai orang luar PKR sibuk-sibuk dengan pemilihan PKR? Sebab PKR adalah parti komponen Pakatan rakyat. Apa-apa yang pincang di dalam PKR akan memberi kesan kepada PR secara umumnya.

Kita perlu perjuangkan kebenaran dan keadilan di dalam lingkungan kita sebelum kita berjaya memperjuangkan kebenaran dan keadilan sejagat.

GB pernah dihina, dikutuk, dicaci dan dimaki kerana menentang idea UG di dalam PAS dulu. Yang mengutuk bukan orang lain, sahabat yang paling hampir dengan kita. Kononnya GB tidak ada wala', kononnya GB tidak ada kepatuhan di dalam berjemaah dan seumpamanya. Tetapi demi kebenaran dan keadilan, ia terpaksa ditempuhi dan dilalui. Kebenaran itu ada di penghujung jalan. Dan akhirnya alhamdulillah, UG tidak menjadi. Pemuka-pemuka UG akhirnya kini tiba-tiba cuba mennonjolkan bahawa merekalah penentang UMNO yang paling ulung sekalipun sebelum ini pelbagai alasan diberikan untuk mereka bersama dengan UMNO.

Begitu juga DAP. GB tidak ragu-ragu untuk mendedahkan kepincangan mereka apabila beberapa pimpinan mereka dengan terang dan nyata menentang hukum hudud.

Sedangkan kita telah menyatakan berkali-kali, ia hanya untuk umat Islam. Mereka belum lihat samada hukum hudud itu berjalan membawa keadilan atau disebaliknya, mereka sudah menentangnya.

Peluang untuk menjalankan hukum kepada umat Islam sendiri tidak sepatutnya disekat. Tidak ada pemaksaan dilaksanakan ke atas bukan Islam untuk peringkat awal. Jika mereka telah nampak bahawa benar hukum Islam itu mendatangkan keadilan untuk semua, dan mereka bersetuju untuk dilaksanakan ke atas bukan Islam juga, barulah nanti kita bincangkan fasa seterusnya.

Berbalik kepada PKR.

Demokrasi ala PKR banyak yang perlu diperbaiki. PKR lansung tidak mempunyai rangka sebenar "adab berjemaah". Pilihan pimpinan tertinggi dan wakil rakyat mereka misalnya tidak ditentukan oleh mana-mana majlis syura. Ia ditangan Ketua Umum sepenuhnya. Sehingga orang yang layak tercicir, yang tidak layak pula diangkat, akhirnya terlihatlah sana sini katak-katak melompat-lompat.

Orang-orang yang berpengetahuan agama, lansung tidak diberikan ruang dan tempat sebagai wakil rakyat. Orang-orang seperti Mustaffa Kamil Ayub dan Mohd Nor Manuty misalnya yang terdiri dari kalangan bersih di dalam parti diketepikan. Tidak diberikan peranan untuk menaburkan khidmat baktinya untuk rakyat.

Di dalam pemilihan pimpinan kali ini pula, peranan JPP terlalu senget. Tetapi oleh kerana mereka dari kalangan muka tebal dan jenis tak tahu malu, sekalipun telah ditegur dan dikritik hebat, masih enggan meletak jawatan untuk teruskan konspirasi berjalan. Hanya sekitar 10% yang mengundi, Setiausaha Agong, Saifuddin Nasution berkata, pemilihan lancar, karut betul. GB kata, konspirasi yang lancar bukan pemilihan.

Cukuplah. GB dapat merasakan bahawa selepas ini PKR akan kehilangan majoriti di kalangan komponen PR di parlimen. (Pun dah hilang, sekarang ini cuma ehsan DAP mengekalkan jawatan Ketua Pembangkang kepada PKR). Di dalam PRU13 akan datang GB meramalkan PKR akan menerima kekalahan yang teruk. Termasuk beberapa kerusi kuatnya dari Gombak ke Machang.

DAP juga begitu. Beberapa pemuka yang menentang hukum Islam secara lantang akan kehilangan kerusinya. Mereka berhak untuk tidak bersetuju hukum Islam dijalankan ke atas bukan Islam (kerana mereka belum memahaminya dan belum melihat keadilannya) tetapi mereka tidak boleh menyekat ianya dilaksanakan di lingkungan masyakat Islam sendiri.

Bagi PAS pula, beberapa kerusi juga akan terbang. Terutama mereka yang dikaitkan dengan UG terutama di Selangor dan di Pahang. Ramai yang tak suka pemimpin sebegini. Membelakangkan perjuangan sebenar parti seperti digariskan di dalam Perlembagaan Parti.

Kemudian, tanya seorang lagi, bila masanya PR nak memerintah jika semuanya dah bermasalah?

Kerja Tuhan tak perlu disoal-soal. Dia Maha Tahu dan Maha Berkuasa untuk meletakkan PR sebagai penguasa negara ini sekalipun tanpa orang-orang hebat tetapi berlagak takbur dan lupa diri.

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar dari kesalahan-kesalahanmu.” (QS. As Syura, 42 : 30)

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (QS. Ali-Imran :26)


Apa Jadi Dengan Hal Siti Balqis Semalam?

Siti Balqis mula bengis

JERTIH: Siti Balqis Mohd Nor, 22, yang didakwa sering ghaib dan mengalami gangguan makhluk halus kini berubah sikap apabila berperangai bengis serta enggan makan dan minum selain tinggal dalam bilik khas yang dihias kain kuning serta berbau harum.

Ibunya, Norizan Said, 47, berkata perubahan sikap anaknya itu disedari selepas dibawa pulang dari Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan, kelmarin dan puncanya mungkin kerana emosi tertekan akibat gangguan berterusan dialami gadis berkenaan.

"Saya akan berusaha apa saja kaedah perubatan supaya dia dapat kembali menjalani kehidupan normal. Saya juga akan membawanya mendapatkan pemeriksaan dengan pakar psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu, esok,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar, berkata kerajaan negeri sedia membantu gadis itu mendapatkan rawatan di mana-mana hospital kerajaan, tambahan pula Siti Balqis adalah pesakit Thalassaemia (Penyakit Sel Darah Merah).

“Penghidap penyakit ini memerlukan sokongan dan perhatian serius keluarga kerana jika dibiarkan pesakit boleh menjadi tertekan dan emosi yang tidak terkawal,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pakar psikiatri berpendapat Siti Balqis perlu dibawa berjumpa pakar bidang berkenaan bagi mendapatkan penilaian jelas secara saintifik agar gadis itu tidak mengalami tekanan perasaan yang boleh membahayakan termasuk mencederakan diri sendiri.

Pakar Runding Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari, berkata penilaian dengan pakar psikiatri membolehkan mas-alah sebenar Balqis diketahui, sekali gus membantu gadis itu mendapatkan penjelasan keseluruhan dengan cara saintifik apa yang berlaku terhadapnya.

Kisah Balqis dari Kampung Gong Nangka, di sini menggemparkan negara apabila dilaporkan ‘ghaib’ di beberapa tempat termasuk gua dan kubur. Terbaru keluarganya mendakwa Balqis disorok ‘jin Islam’ di Gunung Jerai, Kedah, tetapi dia kemudian ditemui polis di rumah seorang kenalannya di Kuala Klawang, Negeri Sembilan, kelmarin.

Gadis itu juga sebenarnya keluar seorang diri dari rumahnya di Jertih dan menaiki bas ekspres ke Shah Alam sebelum ke Seremban dan meneruskan perjalanan menaiki teksi ke Kuala Klawang.

Pakar Psikiatri yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nik Shaliza Hussin, berkata berjumpa pakar psikiatri tidak bermakna Balqis mempunyai masalah mental, tetapi untuk mengetahui jenis bantuan untuk gadis itu.

“Andai kata Balqis mempunyai masalah psikologi dan tidak diberikan rawatan sepatutnya, pelbagai perkara boleh berlaku seperti berputus asa, murung, putus semangat serta kompilasi dengan diri sendiri. Keluarganya boleh meneruskan rawatan tradisional tetapi pada masa sama perlu mendapatkan khidmat psikologi,” katanya. -BH

Ulasan GB

MasyaAllah, apa pulak tinggal dalam bilik khas yang dihias kain kuning serta berbau harum?

Ini menjelaskan bahawa sebenarnya bukan Siti Balqis saja yang "disukai oleh jin" tetapi ibubapanya juga. Memberi ruang dan laluan untuk tipudaya syaitan berterusan. Kaedah perubatan tradisional seperti perbomohan yang belum disemak kaedahnya hanya akan lebih mengusutkan keadaan.

Tidak ada sebab mengapa perlu dilayan sedemikian rupa. Tiada ada dalil aqli atau naqli untuk berbuat seperti itu. Kecuali untuk mewujudkan aura "jin itu kononnya raja" yang hendak menyesatkan lagi umat manusia.

GB merasakan ada hal yang disembunyikan oleh kedua ibubapa yang menyebakan anaknya jadi begitu kerana sebelum ini, yang terlalu gembira melihat wujudnya permata yang konon turun ke rumahnya adalah tidak lain ibunya sendiri.


Noziran, ibu Balqis menunjukkan konon adanya batu permata yang jatuh di rumahnya. Tiba-tiba batu permata itu hilang pula pada keesokannya.


Apa lagi yang boleh kita cakap jika ajaran (seruan) untuk kembali ke pangkal jalan tidak mahu dituruti? Kita seru agar berpegang kepada kalimah tauhid. Tidak ada yang lebih tinggi dan mulia daripadanya.

GB dah ulas perkara ini semalam.

Nak terus-terusan hidup ditipu dan menipu.

Pencak terakhir kita berhadapan dengan kedegilan melampau, kita bacakan hujung Surah At-Taubah supaya Allah singkapkan segala kebenaran:

لَقَدْ جَاءكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ
فَإِن تَوَلَّوْاْ فَقُلْ حَسْبِيَ اللّهُ لا إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ

"Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, penderitaanmu terasa berat olehnya, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. Jika mereka berpaling dari keimanan, maka katakanlah, 'Cukuplah Allah bagiku. Tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Hanya kepadaNya aku bertawakal, dan Dia Rabb yang memiliki Arsy yang agung'." (At-Taubah: 128-129).

[Bergambar] 6 Maut 21 Cedera Selepas Bas Pelancong Terbabas Di Genting Highlnds

Bas Pelancongan Terbabas: Enam Maut, 21 Cedera

Enam maut manakala 21 lagi dilaporkan cedera selepas sebuah bas pelancongan yang membawa para belia terbabas lalu terbalik di Km38 Genting Sempah dekat sini kira-kira 7.50 malam ini.

Kemalangan yang melibatkan bas yang membawa 44 penumpang yang terdiri daripada ahli Belia 4B Kampung Siong, Baling dan dua pemandu bas berlaku ketika kenderaan itu menuruni Genting Highlands.

Bas tersebut yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas lalu terbalik di laluan bertentangan, demikian menurut PenolongPengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail.

Penumpang bas berkenaan bermalam di Genting Highlands semalam.

Beliau berkata bomba Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.51 malam daripada bomba Bentong yang memaklumkan mengenai insiden itu.

Tujuh jentera bomba termasuk dari Bentong, Kuala Lumpur, Selayang dan Taman Melawati berada di tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa antaranya yang mautkerana tersepit di bawah bas.

Mangsa-mangsa dibawa ke Hospital Bentong, Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur.

Berikut ialah senarai enam penumpang bas ekspres yang membawa ahli Belia 4B dari Kampung Siong, Baling, Kedah yang maut dalam kemalangan di Km 38 Genting Sempah dekat ini pada 7.05 malam ini.

Mereka dikenali sebagai:-

Mohamad Khairy Mohamad Mazuki, 14;
Mohd Amirul Muhamat Isa, 13;
Mohamad Firdaus Rosedi, 16;
Mohammad Yussof A. Akhit, 16;
Mohd Ridzuan Husin, 17;
Muhd Fahmi Abdul Mustaffa, 17.- BERNAMA