1 Apr 2010

Model Ekonomi Baru (MEB) Adalah Kitaran Semula Penswastaan Untuk Bantu Kroni

.Model Ekonomi Baru yang dicanang oleh Perdana Menteri Najib Razak tidak lebih daripada satu lagi kitaran pengswastaaan yang hanya menguntungkan pemimpin dan kroni UMNO Barisan Nasional tapi meminggirkan rakyat keseluruhannya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar terbaru Najib sekali lagi meminjam kerangka Agenda Ekonomi Malaysia yang didokong oleh Pakatan Rakyat tetapi tidak mengisinya dengan program-program untuk membela rakyat.

Anwar menyifatkan MEB tajaan Najib itu sebagai tidak lebih daripada satu lagi cubaan cetek yang digubal dengan bantuan syarikat perunding yahudi APCO untuk memulihkan imej Najib dan kerajaan pimpinannya.

MEB yang dibawa oleh Najib menjanjikan banyak benda tetapi tidak memberikan butiran untuk sebarang program bagi membendung rasuah, ketirisan dana atau merombak institusi- institusi awam.

“Jadi kita pertikai sama ada frasa atau ayat yang digunakan tapi persoalannya, persamaan kenyataan pada pada kenyataan. Tidak pada program yang konkrit, tidak ada perubahan besar pada dasar, tidak ada komitmen untuk merubah institusi awam.”

“Model itu juga tidak menyentuh usaha membanteras rasuah awam yang menyebabkan kehilangan berpuluh billion ringgit yang merupakan musuh ekonomi negara. Ternyata Barisan Nasional dalam konteks ini dengan nasihat APCO, hanyalah untuk memperbaiki taktik perhubungan awam,” kata Anwar.

Antara aspek MEB yang pastinya menimbulkan keresahan rakyat ialah langkah untuk memberikan kumpulan wang simpanan pekerja peranan lebih rancak untuk melabur dan membeli syarikat- syarikat tertentu.

Anwar berkata tindakan itu dikhuatiri akan digunakan sekali lagi untuk mengggunakan simpanan rakyat bagi mengkayakan atau menyelamatkan pihak tertentu yang berkait rapat dengan pemimpin UMNO- BN.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat Malaysia untuk berjaga- jaga dan memantau apa- apa keputusan pelaburan atau pembelian KWSP selepas ini, kerana kita pasti ada tangan-tangan yang cuba memaksa dan mempengaruhi keputusan KWSP,” tambahnya lagi.

Anwar menyelar kerajaan UMNO BN kerana tidak ada langkah kukuh diambil dalam membina kredibiliti dan kewibawaan beberapa institusi kerajaan, dasar kerajaan dan amalan pelaksanaan hingga mendorong kepada kerapuhan ekonomi.

Sebaliknya Najib hanya bertindak menciplak dasar- dasar asas MEB dari AEM Pakatan Rakyat, tanpa rancangan komprehensif untuk membina ketelusan serta urus tadbir yang baik dan beramanah.

“Ini menjadi tema dan ulasan Pakatan Rakyat sepanjang sesi parlimen kebelakangan ini. Pakatan Rakyat mengemukakan AEM dan melihat bahawa banyak pandangan yang kita kemukan dicedok dalam MEB ini,” kata Anwar.



Kaki Judi Peralat Ayat Al-Quran

Bentong – Gerak hati seorang pengusaha kedai makan dekat sini, melihat cebisan kertas ditinggalkan pelanggan di atas meja makan ‘membongkar’ perkara sebelum ini mungkin tidak diketahui umum.

Pengusaha kedai, Jamariah Ahmad, 57, berkata, pada mulanya dia ingin membuang kertas itu kerana mengandungi catatan nombor bercetak dipercayai nombor ramalan.

Menurutnya, namun selepas diperiksa dengan teliti di bahagian belakangnya terdapat tulisan ayat al-Quran dan ia begitu mengejutkan dirinya.

“Saya benar-benar terkejut melihat kertas itu kerana di bahagian depan dicetak banyak nombor tetapi di belakang tertera ayat al-Quran.

“Kebiasaannya, apabila ada pelanggan meninggalkan cebisan kertas dan sampah di meja, saya terus membuangnya, tetapi kali ini tergerak hati untuk melihat kertas itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, sebagai umat Islam, dia sedih atas kejadian itu kerana ia seolah-olah satu penghinaan memandangkan ayat suci kitab itu tidak sepatutnya dipermainkan sebegitu rupa.

Kamariah berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti mencemar kesucian agama Islam ini perlu diambil tindakan sewajarnya supaya tidak terus berlarutan.

“Saya percaya, mungkin masih banyak lagi perkara sebegini berlaku dan pemantauan pihak berkuasa perlu dilakukan.

“Sekurang-kurangnya, kesucian agama Islam tetap terpelihara, lebih-lebih lagi al-Quran adalah kitab suci umat Islam,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Agama Islam Daerah Bentong, Abdul Aziz Abdul Karim ketika diminta mengulas berhubung perkara itu berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan berkaitan ayat al-Quran yang dicetak bersama nombor ramalan, namun pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau berkata, tindakan mencampuradukkan perkara baik dan kurang baik itu perlu dielakkan bagi mereka beragama Islam.

“Kita perlu menjauhi perkara ini kerana banyak lagi perkara lain yang boleh mendatangkan pahala. -SH

Najib Bayar A$420,000 Kepada APCO Untuk Khidmat Nasihat 6 Bulan

Kerajaan Umno-Barisan Nasional didakwa telah membayar A$420,000 (RM1.6 juta) kepada firma antarabangsa APCO Worldwide yang dikaitkan dengan rejim Zionis Israel untuk khidmat runding selama enam bulan.

Dalam surat yang bertarikh 15 Julai 2009 dengan menggunakan kepala surat rasmi Jabatan Perdana Menteri dan dialamatkan kepada Paul Stadlen, kerajaan Malaysia mengesahkan terma yang dipersetujui pada mesyuarat yang diadakan bersama APCO pada 10 Julai 2009.

Salinan surat tersebut yang dimuatnaikkan dalam blog dan internet didakwa telah ditandatangani oleh Samsuri Mohd Nor, Setiausaha Bahagian Kewangan dan Pembangunan di Jabatan Perdana Menteri.Surat Penerimaan setebal lima mukasurat itu menggariskan bidang kerja APCO kepada kerajaan Malaysia di bawah tajuk 'Public Affairs and Goverment Affairs Services' atau Perkhidmatan Perhubungan Awam dan Kerajaan.

"Dengan penerimaan kerajaan terhadap tender yang dikemukakan oleh pihak tuan, adalah dimaklumkan bahawa kini wujud ikatan kontrak antara kerajaan dan pihak tuan.

"Satu perjanjian yang lebih lengkap yang memasukkan semua terma dalam tender akan ditandatangani. Pihak tuan akan dimaklumkan apabila dokumen kontrak siap untuk ditandatangani," kata surat tersebut.

Surat itu yang juga ditandatangani oleh Paul Stadlen yang mewakili Mind Teams Sdn Bhd dan APCO Worldwide sebagai kontraktor serta Ronald Barnetto dari England sebagai saksi antara lain menggariskan empat bidang kerja utama berkaitan hubungan awam yang menjadi sasaran khidmat runding APCO kepada kerajaan Malaysia.

Mereka menandatangani surat penerimaan itu pada 21 Julai 2009.

Stadlen kini adalah Pengarah Urusan APCP Worldwide cawangan Malaysia.

Ini termasuk penyelidikan, pembangunan strategi dan mesej utama, pencapaian serta perundangan dan pematuhan.

Di bawah bidang penyelidikan, APCO dikehendaki mengenalpasti bidang kerjasama antara kerajaan Malaysia dan pemerintah Amerika Syarikat yang signifikan dan selari, membangunkan mesej komunikasi dengan pembuat dasar Amerika Syarikat dan tokoh penting masyarakat sivil serta mengenalpasti pegawai kerajaan, 'think tank', wartawan, NGO yang relevan kepada hubungan Malaysia-Amerika Syarikat.

Dalam sektor pembangunan strategi dan mesej utama pula, APCO akan memberi khidmat sokongan kepada Kedutaan Malaysia di Washington dan kerajaan Malaysia dalam melaksanakan program bagi mengukuhkan hubungan dan persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Bagi khidmat pencapaian pula APCO akan membantu mengeratkan hubungan dengan 'think tank', melaksanakan kempen mempromosi Amerika Syarikat bersama sektor perniagaan penting di Malaysia dan melaksanakan kempen media bebas Amerika Syarikat. -SK

22 Pelajar IPTA/IPTS Dihadapkan Ke Mahkamah Syariah Shah Alam

Di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, 22 remaja lelaki dan 3 gadis yang juga pelajar IPTA/IPTS didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral pada 15 November tahun lalu.

Hakim Syarie Kamaruzzaman Ali menjatuhkan hukuman denda antara RM2000-RM3000 terhadap 10 remaja lelaki selepas mereka mengaku bersalah manakala 12 remaja lelaki dan 3 gadis yang mengaku tidak bersalah dibebaskan dengan ikatjamin antara RM1500 hingga RM2500 dengan seorang penjamin.

Kes ini akan disebut semula 7 Julai ini.

Mahkamah juga turut memerintahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap 6 remaja lelaki dan empat gadis kerana gagal hadir ke mahkamah.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 29 (1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Semua mereka ditahan oleh penguatkuasa agama Islam Selangor pada jam 2.30 pagi 15 November tahun lalu di sebuah bilik di Intekma Resort Shah Alam Selangor.



31 Mac 2010

Campur Tangan Apco Penjajahan Bentuk Baru

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menganggap campur tangan Apco Worldwide dalam urus tadbir negara, sebagai satu bentuk penjajahan jenis baru.

Demi mempertahankan kedaulatan tanah air, AMK Pulau Pinang membuat laporan bagi menggesa siasatan menyeluruh terhadap firma perunding yang didalangi Yahudi Israel berfahaman zionis.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah Timur Laut berikutan pendedahan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam yang membangkitkan kebimbangan rakyat terhadap keselamatan di negara ini.

Semalam, Anwar mendedahkan peranan APCO Worldwide di Malaysia sudah bermula sebelum firma itu menandatangani perjanjian dengan kerajaan UMNO-Barisan Nasional dengan menggunakan nama syarikat Mind Team Sdn Bhd.

Kerajaan mahupun firma berkenaan cuba merahsiakan hakikat itu malah cuba mengelirukan rakyat berhubung tarikh sebenar firma itu mula campur tangan dalam urus tadbir negara.

APCO Worldwide bukan sebuah syarikat perunding yang biasa, sebaliknya didalangi individu berpengaruh termasuk penasihat antarabangsa kepada APCO adalah bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan Israel.

Naib Ketua Angkatan Muda Pulau Pinang, Ahmad Azrizal Tahir menegaskan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel tapi dibenarkan menjadi penasihat kerajaan Malaysia sekali gus mendedahkan Negara kepada risiko keselamatan.

Beliau menolak sekeras-kerasnya penjajahan jenis baru ini dan menyeru rakyat Malaysia bangkit menentang “Neo-Colonialism” tajaan Zionis-Israel. -TVS



Hakikatnya MCA Sudah Hancur Dan Berkubur

Akhirnya, pemilihan semula MCA melabuh tirai. Tetapi, adakah perebutan kuasa dalaman akan dibubuh noktah? Biarpun begitu, bilakah pula perebutan kuasa dalaman seterusnya akan berlaku?

Apakah perebutan kuasa ini adalah babak terakhir untuk MCA? Selagi MCA masih berada di dalam Barisan Nasional, atau selagi BN mengekalkan model politik yang sedia ada, maka tanda penutup kata pergelutan hari ini akan berputar menjadi tanda pembuka kata pergelutan babak baru.

Untuk ahli MCA, ia kedengaran seperti sumpah yang terkutuk. Namun, dari perspektif yang lain, analisa dari strukturnya adalah lebih "murah hati", kerana tertumpu kepada bagaimana percaturan politik kini menyekat pemimpin MCA, dan bukannya memperbesarkan kualiti, ciri-ciri yang ada pada individu perseorangan.

Secara umumnya, perebutan kuasa dalam parti dilihat sebagai sesuatu yang negatif. Wajib kita persoalkan terlebih dahulu, apakah itu perebutan kuasa? Seandainya ia sekadar pergelutan kuasa dalam parti, maka ia bukanlah sesuatu yang negatif. Pada hakikatnya, persaingan bakal memperkasa sesebuah parti. Pemilihan awal Presiden dalam Parti Demokratik US antara Barack Obama dengan Hillary Clinton, biarpun sengit, namun cukup memberangsangkan, sehingga pemenangnya berjaya tampil sebagai Presiden US. Dengan kata lain, persaingan parti berkemungkinan memperkasakan parti.

Oleh itu, masalah MCA bukanlah pergelutan kuasa, tetapi pergelutan kuasa yang sering berakhir dengan perpecahan. Persoalannya, mengapa MCA semakin lemah? Kerana sistem politik yang tempang.

Sumber yang terhad

Kejayaan kemuncak untuk seseorang pemimpin MCA adalah menjadi menteri. Namun, dalam jangka puluhan tahun ini, MCA kekal dengan peruntukan empat jawatan menteri, sama ada kuat ataupun lemah. Pada tahun 2008, MCA hanya memenangi 15 kerusi parlimen daripada 40 yang dipertandingkan. MCA tetap diperuntukkan empat jawatan menteri sungguhpun ia mencapai prestasi yang paling teruk sejak tahun 1969.

Pada tahun 2004, MCA mencatat prestasi yang terbaik dalam sejarah, dengan kemenangan 31 kerusi parlimen. Dengan kata lain, seandainya pemimpin MCA bercita-cita untuk menyandang jawatan Menteri, maka ia bukan tercapai dengan menerokai gelanggang yang lebih luas, tetapi menggulingkan rakan separtinya dari jawatan Menteri.

Keadaanya tidak berbeza dalam politik peringkat tempatan. Untuk pemimpin akar umbi yang tidak terjangkau sebagai calon ahli parlimen mahupun ADUN, maka prestasi yang paling kemuncak atau cenderahati yang paling penting untuk mereka adalah menjadi ahli majlis tempatan.

Namun, kuota ahli majlis tempatan kepada MCA jugalah tetap, tidak menambah walaupun pengaruh MCA mengembang, dan jarang berkurang kerana penyusutan pengaruh MCA. Oleh yang demikian, kunci untuk menjadi ahli majlis tempatan bukanlah melalui perkhidmatannya untuk meluaskan pengaruh, tetapi memastikan diri agar berada dalam puak yang "betul", supaya nama dirinya tertera dalam senarai cadangan parti.

Dari atas hinggalah ke bawah, pemimpin MCA terpaksa melangkah mayat rakan seperjuangannya untuk mendaki ke puncak kuasa. Apakah ini tidak cukup untuk menjelaskan mengapa berlakunya kacau-bilau setiap tiga tahun, huru-hara setiap lima tahun dalam parti?

Pergelutan kuasa yang berlanjutan untuk 18 bulan ini adalah akibat daripada terlucutnya jawatan dalam kerajaan oleh sebahagian besar pemimpin MCA. Sumber dalam kerajaan tidak mencukupi, maka sumber parti menjadi mustahak. Malah, peluang bertanding dalam PRU ke-13 merupakan penentu hidup matinya nyawa politik masing-masing. Jadi, bagaimana perebutan kuasa boleh dielakkan? Perang dalaman ini pada hakikatnya untuk menentukan siapa si-kalah, agar pemenangnya memperolehi lebih sumber, supaya survive hingga PRU yang akan datang.

Pengagihan sumber

Sebelum dan selepas pemilihan, semua puak membincangkan penyatuan. Namun, seandainya semua orang diterima sebagai satu pasukan, mengapa pula tikam-menikam sesama sendiri sepanjang ini? Sungguhpun pimpinan tertinggi sudi untuk menerima semua puak, namun pembesar-pembesar di akar umbi dijangka tidak akan mengangguk kepadanya.

Chua Soi Lek memenangi kerusi Presiden dengan undi 38%, malah kedua-dua puak yang lain turut mendapat tempat masing-masing, dari jawatan Timbalan Presiden hinggalah AJK Pusat. Jadi, bersekutu dengan salah satu puak adalah satu-satunya pilihan.

Antara Ong Ka Ting dengan Ong Tee Keat, dendam Chua terhadap Ong Ka Ting lebih mendalam berikutan daripada DVD seksnya. Lebih-lebih lagi, puak Ong Ka Ting lebih ramai orangnya. Seandainya Chua bersekutu dengan Ong Ka Ting, sudah tentu sumber tidak cukup untuk diagihkan. Apakah pengikut Chua yang taat setia sepanjang ini akan berpuas hati?

Dalam keadaan sedemikian, mungkin Chua akan memilih untuk bersekutu dengan Ong Tee Keat, kemudian menarik beberapa pengikut Ong Ka Ting untuk meleraikan empayarnya. Jikalau begitu, adakah sekutu puak Chua Soi Lek - Ong Tee Keat akan berkekalan sehingga pemilihan parti pada tahun depan, seandainya pemilihan parti tidak ditunda atas alasan PRU?

Adakah puak Ong Ka Ting akan kembali untuk bertanding semula setahun kemudian? Lain kata jikalau Chua Soi Lek mampu mengagihkan sumber secara adil dalam masa yang singkat, agar perwakilan menerima "pengagihan kuasa" oleh "pimpinan kolektif". Jikalau keadaan ini tidak berlaku, maka pemilihan akan datang bakal menyaksikan pertarungan sengit.

Namun, nasib MCA dalam PRU ke-13 nampaknya bukan ditentukan sama ada MCA bersatu-padu atau berpecah-belah, tetapi lebih kepada sejauh manakah MCA respon kepada senario baru selepas dilanda "tsunami politik". Punca kepada malapetaka pergelutan MCA adalah UMNO yang mereka dan mengekalkan sistem politik yang tertutup ini, menurut analisa pergelutan di atas dari strukturnya. Namun, pihak yang harus dipersalahkan ialah pemimpin MCA yang bergantung dan ketagih kepada sumber.

Selagi MCA gagal membebaskan diri daripada kebergantungan terhadap sumber, maka MCA tidak mungkin berkata "tidak" kepada UMNO, malah gagal menukar peraturan yang ditetapkan oleh UMNO. Dilema MCA yang tidak terdaya mahupun tidak berani untuk menolak UMNO, adalah cabaran yang wajib diatasi MCA selepas PRU ke-12.

Ringkasnya, kemelut dalaman dan luaran MCA sebenarnya saling berkaitan, begitu juga dengan puncanya. Kebergantungan kepada sumber kerajaan mengakibatkan MCA tidak berani untuk mencabar kuasa UMNO, termasuk peraturan pengagihan sumber. Pemimpin MCA bukannya tidak menyedari masalah ini, cuma tidak terdaya untuk berbuat apa-apa.

Ong Ka Ting ketika menerajui tampuk pimpinan MCA telah mengehadkan tempoh untuk menyandang jawatan dalam parti. Langkah ini bertujuan untuk memecahkan jawatan, sumber yang ada kepada unit yang lebih kecil, untuk mengatasi masalah keperluan melebihi sumber yang sedia ada.

Oleh yang demikian, Kempen Pembelajaran Sepanjang Hayat, program kebajikan, yang melimpah semasa zaman Ong Ka Ting tidak terlari daripada logik pengagihan sumber ini. Oleh kerana Ong Ka Ting hanya menumpu kepada "pengurusan sumber", dan tidak berani untuk respond kepada kuasa UMNO, maka retorik politiknya untuk menutup kelemahan diri telah ditolak oleh pengundi. Lantaran itu, jawatan MCA berkurangan, mencetus perang perebutan sumber yang berlanjutan selama 18 bulan.

Ong Tee Keat telah menemui pasaran keperluannya, iaitu mencabar UMNO. Maka beliau menggunakan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) untuk menonjolkan diri sebagai wira. Namun, cara pengagihan sumbernya terlalu lemah. Ia berakhir sebagai pemancung Chua Soi Lek dalam EGM, dan dirinya nyaris-nyaris dipancung. Kegagalan Ong Tee Keat mententeramkan parti menjurus kepada kesudahan dirinya tersungkur dalam pemilihan semula parti. Sama ada beliau mampu bertahan pada jawatan menterinya untuk memainkan peranan "menangkis serangan luar", sebenarnya terpulang kepada perancangan Chua Soi Lek selanjutnya.

Cara pentadbiran Ong Tee Keat sungguhpun tidak cukup halus, tetapi imejnya yang lantang bersuara tetap mendahului pemimpin MCA lain, sama ada persepsi di kalangan Melayu atau bukan Melayu.

Chua Soi Lek pula terbeban dengan skandal seksnya. Seandainya beliau gagal mempamerkan kemampuan yang setanding ketika pemilihan parti dalam hal pengendalian hubungan antara MCA dengan UMNO, proses pendemokrasian negara dan sebagainya, maka pesaingnya akan menuduh bahawa beliau tunduk kepada UMNO kerana DVD seksnya. Undi 39% yang diperolehinya akan menjadikannya Presiden yang tempang, dan pergelutan kuasa parti akan kembali setahun kemudian.

Sesetengah media menggelar Chua Soi Lek sebagai "come-back kid", tetapi mungkinkah MCA menjadi "come-back kid" selepas tsunami politik PRU ke-12? Ia bergantung sama ada MCA yang dipimpin Chua Soi Lek mampu menggarap imaginasi orang ramai, misalnya mengambil pendirian yang tegas dalam Model Ekonomi Baru, atau menjadi parti komponen BN pertama yang menyokong pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan.

Seandainya Chua Soi Lek sekadar versi "Ling Liong Sik yang lebih bijak" dalam persepsi ramai, dan jikalau pemilihan ditundakan sehingga selepas pilihan raya umum yang lain, maka kemungkinan besar perebutan kuasa kali ini bakal menjadi pergelutan parti yang terakhir. Ini kerana tiada makna lagi untuk bertelagah di dalam MCA yang sudah terkubur dalam PRU ke-13. -merdeka review

Matthias, Bekas SU Politik Mahathir Enggan Bayar Denda, Pilih Masuk Penjara

Matthias Chang, bekas setiausaha politik kepada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, akan menjalani hukuman penjara sebulan selepas enggan membayar hukuman denda RM20,000 atas kesalahan menghina mahkamah minggu lepas.

Khamis lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu dan memberi tempoh seminggu untuk Chang membayar denda tersebut.

Chang didakwa menghina mahkamah selepas gagal memohon maaf kepada mahkamah selepas berbalah dengan hakim dan seorang peguam semasa soal balas dalam kes saman fitnahnya terhadap American Express (Malaysia) Sdn. Bhd.

Chang, 60, bersama penyokongnya, menunggu di Mahkamah Sivil Kuala Lumpur mulai jam 3 petang ini untuk mendapat perintah menyerahkan ke penjara disampaikan kepadanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendaftar K.Pavanni hanya memaklumkan kepadanya pada kira-kira jam 4.15 petang bahawa tempoh seminggu yang diarahkan oleh Noor Azian hanya tamat lewat petang ini.

Menurut prosedur mahkamah, perintah menyerahkan masuk ke penjara hanya boleh dikeluarkan pagi esok.

Jumaat lepas, Noor Azian juga membatalkan samannya dengan menyatakan Chang gagal membuktikan kes selepas mendengar keterangan saksi dari kedua-dua belah pihak serta penghujahan.

Chang, seorang peguam, telah menyaman American Express kerana melanggar perjanjian dan memfitnah kerana kad kreditnya digantung.

Dalam pembelaannya, American Express berkata tidak ada keterangan atau bukti mengenai pelanggaran perjanjian atau fitnah seperti didakwa oleh Chang.

Terdahulu itu, dalam sidang akhbar, Chang berkata beliau bersedia untuk dipenjarakan walaupun ahli Gabungan Persatuan Kwang Siew Malaysia telah mengumpul RM20,000 untuk membayar denda itu.

"Ini soal prinsip. Saya sanggup masuk penjara bagi membuktikan bahawa hakim tidak harus terlepas daripada sikap yang tidak beretika dan kelakuan yang tidak dapat diterima," katanya.

Chang mendakwa Noor Azian enggan menarik balik beberapa komen menghina terhadap peguamnya dalam saman sivil itu apabila mereka cuba menarik perhatian hakim kepada undang-undang relevan. - Bernama



Calon PKR tanding di Hulu Selangor: Anwar

Pakatan Rakyat akan meletakkan calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau akan berunding terlebih dahulu dengan kepimpinan tertinggi Pas dan DAP sebelum menamakan calon itu dalam masa terdekat.

"Ia (pemilihan calon) masih terbuka... itu proses biasa dalam parti, kita kena dengar dari cabang negeri, masyarakat tempatan, kemudian kita bincang dengan rakan-rakan pimpinan PKR serta rujuk kepada pimpinan Pas, DAP dan kita bertanding itu atas nama Pakatan Rakyat," katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Parlimen di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Jumaat ini untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR Khamis lalu akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum 2008, Zainal Abidin menewaskan penyandang kerusi itu ketika itu, Datuk G Palanivel daripada Barisan Nasional dengan majoriti 198 undi.


Majlis Peguam hantar memorandum kepada polis berhubung insiden penahanan Benjy

Majlis Peguam hari ini menghantar memorandum bantahan kepada Polis Diraja Malaysia kerana mendakwa seorang peguam dihalang melakukan tugas dan ditahan dalam insiden penahanan semula pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 25 Mac lalu.

Peguam terbabit, Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Benjy, mendakwa insiden itu berlaku di bahagian luar pejabat kaunter pembayaran sejurus sahaja ibu Benjy, dramatis dan pelakon terkenal Azean Irdawaty, selesai membayar wang ikat jamin berjumlah RM2,000.

"Kira-kira 10 orang berpakaian biasa mengerumuni saya dan anak guam saya dan mengarahkan beliau mengikut mereka.

"Mereka ini berkata mereka anggota polis tetapi tidak menunjukkan dokumen pengenalan atau bukti lain ketika menemui Benjy," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Amer Hamzah berkata, seorang lelaki kemudian menunjukkan satu kad menyerupai kad pengenalan polis sambil memberitahu bahawa dia akan menahan Benjy semula untuk siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan dan Kawalan Khas).

Amer Hamzah turut mendakwa beberapa orang lelaki kemudian memegang tangannya dan menahannya supaya diasingkan daripada Benjy dan selepas itu barulah beliau dilepaskan selepas lelaki terbabit membawa Benjy ke ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Katanya, ekoran itu beberapa orang lelaki terbabit telah menahan dan menghalangnya daripada melakukan tugas sebagai peguam.

Seramai 50 orang peguam serta adik Benjy, Elza Irdalyna, berhimpun di perkarangan masuk ke Bukit Aman selama satu jam sejak 12 tengah hari bagi menyerahkan memorandum bantahan itu.

Memorandum itu kemudian diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, Asisten Superintendan Anuwal Abdul Wahab. -Bernama

700 Ahli AMK Ipoh Barat Keluar Parti Satu Pembohongan

Kenyataan media arus perdana yang mengatakan seramai 700 ahli Angkatan Muda KEADILAN Ipoh Barat keluar parti hanya propoganda Umno yang sudah kehabisan modal politik.

Setiausaha Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Perak, Anwar Zakaria menegaskan kenyataan tersebut adalah pembohongan dan hanya mainan Umno ketika pilihan raya diadakan.

"Saya ingin menyatakan pada hari ini, apa yang telah dikeluarkan oleh media sebelum ini berkenaan dakwaan 700 ahli Ipoh Barat keluar parti adalah tidak benar sama sekali. Saya sebelum ini adalah bekas Ketua AMK Perak dan saya tahu aktiviti AMK kawasan di situ tidak begitu aktif. Macam mana pula keahlian AMK Ipoh Barat boleh mencecah sebegitu ramai?

"Saya ingin mencabar Subramaniam (Ketua AMK Ipoh Barat) memberikan kepada saya senarai nama mereka yang keluar parti itu kerana kita nak kepastian tentang dakwaan tersebut, selain mempermudahkan kita mengemaskini nama ahli.

"Ini adalah kerja agen Umno yang diketuai oleh Ezam Mohd Nor dan beberapa pengikutnya. Kenyataan yang dikeluarkan itu dilakukan sewaktu program yang diadakan di Ipoh. Dari gambar yang kita ada hanya beberapa sahaja ahli yang keluar tetapi kerana ingin menampakkan ramai, mereka telah meletakkan warga negara Nepal yang bekerja di situ.

"Saya berpesan kepada Ezam jika ingin menjadi pencacai Umno jangan sampai menggunakan warga asing, ini nampak sangat taktik kotor mereka," jelas Zainal dalam satu sidang media.

Beliau menjelaskan tujuan sebenar Subramaniam ingin keluar parti adalah kerana masalah peribadinya.

"Semalam saya telah menelefon Subramanian dan beliau juga merupakan Ketua AMK Ipoh Barat, tindakan beliau keluar parti kerana tidak puashati dengan Ketua Cabang di sana bukan pasal kepimpinan KEADILAN sekarang," kata beliau lagi.

Sebelum ini AMK Muar juga menafikan laporan media arus perdana berhubung tindakan keluar parti oleh 50 anggota AMK cbang itu.

Pemangku Ketua AMK Muar, Ahmad Anwar Asyraf Ismail berkata hanya tiga ahli yang melompat dan bukannya 50 seperti yang digembar-gemburkan sambil menyifatkan laporan tersebut sebagai tindakan terdesak Umno-Barisan Nasional.

"Perkara ini merupakan satu bentuk fitnah jahat yang bertujuan untuk menjatuhkan kredibiliti dan kekuatan AMK Muar yang semakin hari semakin mantap dan dipercayai oleh rakyat Muar untuk memimpin harapan mereka.

"Ini merupakan usaha terdesak Umno-Barisan Nasional Muar yang semakin hari semakin ditolak rakyat," kata Asyraf.

Beliau mencabar supaya pihak membuat dakwaan tersebut tampil menunjukkan bukti bahawa 50 yang melompat tersebut adalah anggota berdaftar AMK Muar.

Kes bunuh Syafiah, Pemandu Teksi Akan Didakwa di Mahkamah Tinggi Shah Alam

Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes pemandu teksi yang didakwa membunuh kanak-kanak berusia tiga tahun pada Februari lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Majistret Zuraida Zakaria kemudian menetapkan 22 April ini untuk sebutan kes itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorjidah Mohd Jusan, semasa mengemukakan permohonan itu turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa semua laporan kimia dan bedah siasat telah siap sepenuhnya.

Mohd Fazli Azri Jamil, 28, didakwa membunuh Syafiah Humairah Sahari di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama Batang Kali, Selangor, pada 6.30 petang, 25 Februari lalu.

Tertuduh yang diwakili peguam P Kumar didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mohd Fazli yang ditahan di Penjara Tapah sejak ditangkap pada 26 Februari lalu dibawa ke mahkamah pada 9.15 pagi dengan diiringi beberapa anggota polis.

Turut kelihatan di mahkamah sejak awal pagi ialah ibu bapa dan saudara terdekat tertuduh. - Bernama


ADUN PR Keluar Dewan Bantah Perlanggaran Peraturan

Seperti yang dijangka perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri Perak yang berlangsung bagi hari kedua tidak selancar yang dirancangkan hasil kegagalan Menteri Besar 'Mahkamah' dan Speaker "Haram' yang enggan bermesyuarat dengan anggota Dewan Pakatan Rakyat sehari sebelum sidang bermula.

Keadaan kecoh timbul apabila Ahli-ahli DUN Pakatan Rakyat bertikam lidah dengan ADUN Barisan Nasional berhubung beberapa aspek perjalanan sidang yang dianggap melanggar peraturan Dewan oleh Pakatan Rakyat.

Pertelingkahan bermula dengan dakwaan Speaker 'haram', Datuk R. Ganesan yang mendakwa menerima hanya tujuh daripada 216 soalan yang dihantar oleh 28 ADUN Pakatan Rakyat kepada Setiausaha Dewan sehinggalah pertikaian mengenai keabsahan Ganesan sendiri sebagai Speaker.

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir secara 'unilateral' membentangkan usul kepercayaan kepada Ganesan yang disokong sepenuhnya oleh ADUN BN sementara kesemua ADUN Pakatan Rakyat menolak sebulat suara.

Malah mikrofon pada meja ADUN Pakatan Rakyat dipadamkan untuk menghalang mereka daripada bercakap.

Semua ADUN Pakatan Rakyat juga bersepakat mengenakan pakaian serba hitam sebagai tanda bahawa demokrasi telah mati di negeri Perak.

Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin bertindak keluar Dewan apabila Ganesan tidak menghiraukan bantahan beliau mengenai peraturan mesyuarat.

Ini diikuti pula oleh ADUN Pakatan Rakyat lain sebagai membantah perjalanan sidang yang dikongkong serta disalahgunakan oleh Ganesan dan BN.

"Kita telah bertegang leher kerana kita ingin jelaskan bahawa Ganesan tidak layak menjadi Speaker. Walaupun beliau tidak menghormati kita namun kita cuba beri kerjasama. Selain itu sesi soal jawab hanya dari jam 10.10 pagi hingga 10.49 pagi habis, ini tidak pernah berlaku.

"Sebab lain kami keluar ialah dalam agenda tidak ada perbahasan titah Tuanku dan dibantah oleh Speaker Sivakumar. Saya dengan Datuk Ngeh bantah dan tidak ada jawapan.

"Maka kami ambil keputusan keluar dewan kerana dengan beberapa alasan kuat tersebut.

"Kami mencabar Zambry dan Ganesan, kalau ada perbahasan kami akan hadir esok. Malangnya selepas keluar tidak dapat disahkan samada Zambry ada usulkan titah ucapan, namun sudah tersangat terlewat. Kalau ada sekarang itu sudah terlewat," tegas Nizar pada sidang media selepas keluar dari Dewan.

Media juga dihalang daripada membuat liputan sepenuhnya dengan ditempatkan dalam bilik khas bercermin gelap.Nizar memohon maaf kepada media dia atas tindakan keterlaluan BN terhadap petugas media.

"Saya merasa kesal dan memohon maaf kepada semua rakan media yang telah dinafikan hak untuk membuat liputan secara bebas sepanjang sidang DUN kali ini.

"Sedangkan sebelum ini semasa Pakatan Rakyat memerintah kita telah memberi kebebasan sepenuhnya kepada rakan media , malahan mengadakan siaran langsung setiap kali sidang berlangsung," kata Nizar lagi.

Beliau juga berkata semua talian internet dan pengunaan talipon untuk mengakses twitter, facebook dan pautan internet yang lain telah disekat -SK/Edisi 7


Ganesan Bohong Terima Tujuh Soalan Sahaja Daripada PR
Oleh Faizal Ezzany Suara keadilan

IPOH 31 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat kesal dengan tindakan Speaker 'haram', Datuk R. Ganesan yang mendakwa menerima hanya tujuh soalan daripada 216 soalan yang dihantar.

Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata ADUN Pakatan telah menghantar soalan mengikut syarat yang telah ditetapkan.

"Kita telah menghantar soalan bertulis kepada Setiausaha Dewan, kita juga telah mengikut arahan surat yang dihantar oleh Setiausaha Dewan yang mengarahkan semua soalan perlu dihantar sebelum 15 Mac.

"Kita mengikut apa yang diarahkan oleh surat tersebut, tetapi kenyataan Speaker haram itu mengatakan beliau hanya menerima tujuh soalan dari ADUN Pakatan. Ini satu pembohongan sedangkan kita telah menghantar semua soalan, kalau tujuh orang sahaja kami nak tahu siapa mereka dan apa soalan tersebut.

"Disini timbul persoalan, Speaker sepatutnya tidak menerima soalan, yang terima adalah Setiausaha Dewan tetapi kenyataan yang diberikan oleh Speaker haram itu nampak sangat menipu dan ada unsur tertentu yang tidak mahu soalan-soalan yang dikemukakan oleh ADUN Pakatan dijawab di dalam Dewan," kata Nizar yang juga ADUN Pasir Panjang dalam sidang media semalam selepas sidang ditangguhkan.

Nizar juga menjelaskan soalan yang dikemukakan itu menjurus kepada kepentingan rakyat Perak dan fakta-fakta yang diperlukan.

"Soalan kita semua untuk kebajikan rakyat dan ada juga soalan yang kita perlukan fakta jadi tindakan menafikan soalan itu tidak tepat dengan etika Dewan," tegas Nizar.





Penafian APCO Tidak Meyakinkan.

Firma perunding komunikasi antarabangsa APCO Worldwide yang mengulangi kenyataan awalnya bahawa ia tidak bekerja dengan kerajaan Israel atau membantu mencipta konsep 1 Malaysia sukar diyakini dan dilihat sebagai memenuhi "arahan" kerajaan Malaysia untuk melakukan penafiaan berkenaan.

Semalam APCO mengeluarkan kenyataan bahawa dakwaan yang diulangi terhadap APCO Worldwide di Parlimen Malaysia adalah tidak benar. APCO Worldwide menafikan bekerja untuk kerajaan Israel. Malah mereka menafikan mereka konsep 1Malaysia.

Pada 18 Mac lepas, APCO Worldwide menafikan dakwaan sama Anwar itu.

Semalam, Anwar pada sidang Dewan Rakyat menggesa kerajaan menarik balik kontraknya dengan APCO Worldwide dan menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja untuk menyiasat firma itu, dengan mendakwa ia membawa risiko terhadap keselamatan nasional.

Anwar menimbulkan isu APCO itu ketika memberi penerangan di Dewan Rakyat berikutan usul Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) supaya beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mendakwa bahawa konsep 1 Malaysia ditiru dari slogan “Satu Israel” yang beliau kaitkan dengan APCO Worldwide.

Tetapi kemudiannya APCO berkata: “Dalam tugas kami selaku perunding komunikasi, kami tidak terlibat dalam penggubalan dasar tetapi dalam penyediaan maklumat yang kerajaan ingin perkongsikan dengan orang awam.”

APCO menyatakan pula bahawa mereka bekerja dengan kerajaan-kerajaan yang sedia mendapatkan nasihat kami mengenai ketelusan, demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Dan mereka rasa terhormat dapat terus bekerja dengan kerajaan Malaysia.

Daripada kenyataan tersebut jelas tidak ada apa yang menghalang APCO untuk menggunakan maklumat-maklumat yang dipungutnya daripada diperkongsikan pula dengan negara-negara seperti Israel.

Justeru penubuhan Suruhanjaya Diraja menyiasat penglibatan APCO ini spertimana yang dicadangkan oleh Anwar perlu diberikan perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya.


APCO IN TEL AVIV

dipetik dari SINI

APCO Worldwide in Tel Aviv helps clients navigate the complex international business and regulation arena in Israel. We also assist multinational companies in understanding Israel’s unique political and business climate, which operates in a dynamic setting facing constant changes and challenges.

Our team offers clients a comprehensive range of services. Our understanding of the local market as well as our global expertise gives clients an essential advantage in achieving their business objectives.

Key services include:

market entry:

With offices in the world’s business and political hubs, APCO in Tel Aviv helps Israel’s fast-growing companies ensure a smooth launch into new markets. This includes a thorough assessment of the regulatory framework, potential market and partnership opportunities, as well as advising on an appropriate investment structure.

corporate responsibility:

The Tel Aviv office is recognized as one of Israel’s leading corporate responsibility firms and assists clients in developing environmental, social and governance programs.


issues management:

Leveraging Israel’s time zone and multi-language capabilities, we provide APCO’s clients across the globe with media monitoring, back-desk market research and issue analysis services.

Jewish community networking:

APCO’s Tel Aviv office helps clients navigate the Jewish world. Our staff has extensive experience and close ties to major Jewish and Israeli organizations with a global presence. We offer a comprehensive understanding of Jewish public affairs and help clients make the right contacts and convey their messages creatively and efficiently to Jewish audiences and communities worldwide.



Lebih 100 Bilik Pelacur Di Brickfiels Dimusnahkan

Meskipun telah diserbu empat kali sejak 2007, 18 premis yang dijadikan sarang pelacuran di sekitar Brickfields di sini tidak serik dan terus menjalankan operasi.

Dalam operasi bersepadu terbaru pagi semalam oleh beberapa jabatan kerajaan, pihak berkuasa bertindak merampas pelbagai kemudahan di premis terbabit dan memecahkan sekatan-sekatan yang dijadikan lebih 100 bilik untuk tujuan pelacuran.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Rolan Abd. Rahman berkata kali terakhir premis itu diserbu adalah pada pertengahan tahun lalu.

"Dalam operasi hari ini (semalam) kami merampas kemudahan-kemudahan yang terdapat di premis itu seperti televisyen, kipas dan tilam," katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Operasi itu melibatkan DBKL, polis, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).

Bekalan air dan elektrik ke premis terbabit dipotong oleh Syabas dan TNB.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana operasi semalam itu telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada penyewa premis terbabit.

"Kita beri notis kepada mereka kerana ini arahan daripada Datuk Bandar, Datuk Ahmad Fuad Ismail sebab penyewa membina sekatan untuk dijadikan beberapa bilik dan juga menggunakan premis itu untuk tujuan yang tidak dibenarkan," katanya.

Rolan berkata, pihaknya akan mengesan pemilik premis terbabit untuk menasihatkan mereka agar menyewakan premis bagi tujuan perniagaan lain dan bukannya untuk pelacuran. - Bernama



Janin Sebesar 2 Jari Ditemui Di depan Tokong

Janin sebesar dua jari dijumpai dalam balang plastik bertutup di hadapan pintu pagar, Tokong Foo Yan dekat Jinjang Utara, Jinjang di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, janin yang dipercayai lelaki itu dijumpai seorang lelaki yang juga penjaga di tokong itu kira-kira 11.30 malam ketika dia meronda di tokong itu.

"Janin yang masih bertali pusat dengan panjang kira-kira 10sm itu dianggar empat bulan dan cukup sifat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. Janin itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur. -Bernama