31 Mac 2010

Campur Tangan Apco Penjajahan Bentuk Baru

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menganggap campur tangan Apco Worldwide dalam urus tadbir negara, sebagai satu bentuk penjajahan jenis baru.

Demi mempertahankan kedaulatan tanah air, AMK Pulau Pinang membuat laporan bagi menggesa siasatan menyeluruh terhadap firma perunding yang didalangi Yahudi Israel berfahaman zionis.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah Timur Laut berikutan pendedahan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam yang membangkitkan kebimbangan rakyat terhadap keselamatan di negara ini.

Semalam, Anwar mendedahkan peranan APCO Worldwide di Malaysia sudah bermula sebelum firma itu menandatangani perjanjian dengan kerajaan UMNO-Barisan Nasional dengan menggunakan nama syarikat Mind Team Sdn Bhd.

Kerajaan mahupun firma berkenaan cuba merahsiakan hakikat itu malah cuba mengelirukan rakyat berhubung tarikh sebenar firma itu mula campur tangan dalam urus tadbir negara.

APCO Worldwide bukan sebuah syarikat perunding yang biasa, sebaliknya didalangi individu berpengaruh termasuk penasihat antarabangsa kepada APCO adalah bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan Israel.

Naib Ketua Angkatan Muda Pulau Pinang, Ahmad Azrizal Tahir menegaskan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel tapi dibenarkan menjadi penasihat kerajaan Malaysia sekali gus mendedahkan Negara kepada risiko keselamatan.

Beliau menolak sekeras-kerasnya penjajahan jenis baru ini dan menyeru rakyat Malaysia bangkit menentang “Neo-Colonialism” tajaan Zionis-Israel. -TVS



Tiada ulasan: