20 Feb 2009

NGO Serah Memorandum Rakyat Kepada DYMM Sultan Perak

KUALA KANGSAR, 19 Feb. : Tepat jam 3:00 petang tadi satu gagasan NGO yang dikepalai oleh Tuan Azmi Abdul Hamid (Presiden TERAS) telah mengetuai pakatan NGO telah mmengadakan satu majlis penyerahan Memorandum, Referendum Rakyat kepada DYMM Sultan Perak di pejabat DYMM Sultan Perak bersebelahan Istana Iskandariah.

Antara objektif utama penyerahan memorandum tersebut ialah untuk menyampaikan suara rakyat berkenaan dengan isu politik terkini yang sedang bergolak di Perak.

Didalam memorandum tersebut juga disertakan bersama sejumlah 20,000 tandatangan sokongan dari rakyat Perak dan kami difahamkan bahawa terdapat lebih dari 100,000 lagi tandatangan penanda sokongan dari rakyat Perak bakal menyusul selepas ini.

Majlis penyerahan berjaalan dengan cukup lancar dan memorandum berkenaan tekah selamat diterima oleh wakil dari Pejabat DYMM Sultan Perak.

Selepas selesai majlis penyerahan memorandum, satu sidang akhbar telah diadakan untuk menjelaskan kepada umum sebab-sebab memorandum diserahkan (transkrip dan rakaman sepanjang majlis berlangsung dan juga sidang akhbar akan disiarkan kemudian selepas selesai kerja-kerja editor).

sya~reformis








Najib, Kamulah Punca Semua Ini

Sebelum naik sebagai PM, Najib perlu membuktikan kebolehannya. Dia perlu dilihat lebih hebat daripada Abdullah. Apa yang menimpa Umno dalam PRU yang lalu seolah-olah menjadi ‘hujah’ kepada Najib bahawa Abdullah perlu diganti. Namun begitu kekalahan Umno dalam dua PRK selepas itu kembali memudarkan imej Najib.

Dengan kekalahan itu, Abdullah dilihat punya hujah semula untuk kekal kerana Najib dikira gagal membuktikan kebolehannya. Tun Dr M berkata, bukan suatu kemestian Presiden Umno adalah PM. Abdullah akan berundur, tetapi bukan sebagai PM, cuma sebagai Presiden Umno. Presiden Pas ‘dinasihati’ Muhyidin apabila membangkitkan perkara ini di parlimen.

Muhyidin tumpang bimbang kalau-kalau ‘nasihat’ Abdul Hadi itu diterima pakai oleh Abdullah. Dia yang dipromosi oleh Najib sebagai timbalannya tentu kempunan. Justeru, dia perlu memintas cepat supaya nasihat Abdul Hadi tidak terpakai.

Bukan menjadi rahsia umum bahawa krisis di Perak berpunca daripada rencana Najib. Boleh saja Najib menafikannya, tetapi penafian itu memperkukuhkan lagi sangkaan itu. Najib ingin membuktikan selepas kegagalan rancangan 916 bikinan Anwar, bahawa dia juga boleh melakukannya. Dia menjadikan rencana Anwar sebagai alasan tindakannya.

Sedari awal Perak diserang. Nasarudin dijadikan umpan. Tajol Rosli menjadikan alasan Nasarudin menyertai PKR untuk melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perak. Sebaik sahaja jawatan itu disandang Najib, ramai yang sudah dapat menghidu rencana itu. Berlakulah apa yang berlaku.

Bila Anwar menyebut bahawa dia mempunyai rakaman CCTV berkaitan tindakan membeli dan merasuah wakil rakyat PKR terlibat, sangkaan umum bahawa Najib terlibat dengan semua ini menjadi bertambah kuat.

Najib tidak berseorangan dalam rencananya ini. Dia membela banyak ‘hantu raya’. Hantu-hantu ini diberi makan secukupnya. Disebut-sebut bahawa ‘hantu-hantu raya’ ini adalah bekas-bekas orang kuat PKR yang menyertai Umno terutama bekas pimpinan angkatan mudanya.

Mereka bergerak dari satu negeri ke satu negeri yang dikuasai PR. Bermula dengan Perak, Kedah dan Selangor turut diserang. Hantu-hantu raya ini datang dengan dua senjata, ugut dan duit. Ada yang berjaya ditewaskan dengan duit dan ada yang ditewaskan dengan ugut.

Najib tidak bermasalah untuk membela semua hantu itu kerana dia memang menjaga perbendaharaan negara. Ditambah pula hantu-hantu yang dibela Najib itu pun memang bermasalah kewangan semenjak menyertai PKR. Maka keupayaan Najib apabila digabungkan dengan keperluan hantu-hantu itu, rencana menjadi lancar dan berhasil.

Sebulan lebih sedikit sahaja lagi Najib akan jadi Presiden Umno tapi belum tentu dia jadi PM. Mungkin itu mustahil pada perkiraan orang Umno tetapi tidak mustahil dalam roda politik. Najib perlu membuktikan bahawa dia bukan sekadar layak jadi Presiden Umno tetapi layak juga jadi PM.

Untuk itu dia perlu melakukan lebih banyak onar untuk menonjolkan dia lebih ‘brutal’ daripada Abdullah. Sasaran onar itu tentulah negeri-negeri PKR. Ingat Najib, kamulah punca semua ini. Tunggu kamu akan dihukum oleh rakyat. Kalau rakyat berani menghukum Tun Dr M, mengapa tidak kamu?

Cuma, kalau Najib belum cukup hantu raya, dia boleh ambil orang ini sama. Siapa orang itu? Cuba teka.


Zolkarnain Abidin
bongkarsauh.blogspot.com

Derhaka Tuah dan Derhaka Jebat

Saya kira semua tahu hikayat Hang Tuah dan Hang Jebat dan kisah kesudahan persahabatan mereka yang menyaksikan Tuah membunuh Jebat. Ia berpunca dari fitnah terhadap Tuah yang menghasilkan tindakan melulu Sultan Melaka menghukum Tuah dibunuh tanpa usul periksa. Keputusan Sultan pada ketika itu telah pun menyebabkan beberapa tindakan derhaka berlaku. Bendahara derhaka kerana tidak membunuh Tuah, sebaliknya menyembunyikan Tuah. Tuah derhaka kerana tidak memastikan dirinya dibunuh, walaupun titah Sultan supaya dia dibunuh. Akhirnya Jebat menderhaka kerana telah membantah keputusan yang dibuat oleh Sultan Mansur Shah. Semua derhaka!

Derhaka Bendahara dipuji Sultan kemudiannya, Tuah diampun dan diterima kembali, sedangkan derhaka Jebat dimurkai baginda Sultan. Namun hakikatnya ketiga-tiga watak utama telah menderhaka. Derhaka Jebat tidak diampunkan kerana berterangan dan mencabar Sultan. Derhaka Bendahara dan Tuah diampunkan kerana diketahui Sultan pada ketika ianya mendatangkan manfaat kepada baginda Sultan.

Ahli sastera dan cendiakawan Melayu sering membahaskan siapa yang lebih mulia, Tuah yang taat kepada Sultan sehingga sanggup membunuh Jebat atau Jebat yang bangun membela sahabatnya yang dizalimi. Ada yang berpandangan Tuah yang ‘hero’, ada yang mengatakan Jebat. Namun kedua-dua pandangan bersetuju bahawa keputusan melulu yang kurang bijak yang dibuat oleh Sultan adalah punca segala-galanya. Mereka juga bersetuju bahawa pencacai dan pemfitnah Hang Tuah-lah yang merupakan musuh sebenar Negeri Melaka pada ketika itu!

Samada Tuah hero atau Jebat hero pada pandangan saya adalah soalan kedua. Persoalan utamanya ialah, apakah ikhtibar yang boleh kita perolehi untuk mengelak tragedi yang sama berulang? Yang jelas Sultan mesti mampu membuat keputusan yang bijaksana. Alangkah baiknya sekiranya keputusan membunuh Tuah dihindarkan pada ketika itu? Maka Melaka tidak akan melihat tragedi seperti itu dan persahabatan dua sahabat karib akan berpanjangan. Melaka akan terus mendapat khidmat pendekar Jebat yang jelas mempunyai kehebatan seni pertarungan dan pertahanan diri sehingga akan tersebarluas lagi kehebatan Negeri kesultanan Melayu itu.

Dalam menganalisa tragedi ini kita tidak boleh mengelak diri dari berkata, “Alangkah baiknya sekira Bendahara mampu membela Tuah sehingga tidak sampai dikenakan hukuman bunuh?” Atau rakyat menzahirkan sokongan terhadap Tuah dan menuntut supaya bukti yang kukuh dikemukakan sebelum Laksamana mereka dihukum. Tuah juga seharusnya dibenarkan membela diri, dan pada masa yang sama pencacai itu dibawa ke depan supaya dikenal pasti siapa gerangan orangnya yang membawa cerita ini. Adakah orang yang berwibawa ataupun sebaliknya? Ada udang disebalik batu ataupun ada agenda tersendiri? Kalau semua ini dilakukan, mungkin tragedi ini tidak berlaku.

Pengalaman sejarah Melayu seperti ini seharusnya membawa orang Melayu untuk berfikir bagaimana tragedi sebegini tidak akan berulang. Kerana bukankah itu antara sebabnya kita mengkaji sejarah? Bukan sekadar melihatnya sebagai satu cerita penglipurlara yang tidak mempunyai pengajaran yang boleh digunapakai pada masa ini. Sebagai contoh berhubung dengan politik Perak dewasa ini.

DS Nizar dituduh telah hilang sokongan majoriti ADUN di Perak. Adakah tuduhan ini benar? Tiga ADUN lompat tidak lagi merupakan ADUN kerana Speaker telah menerima surat perletakkan jawatan mereka dan telah pun mengumumkan kerusi-kerusi mereka telah kosong. Ini bererti 28 kerusi DUN sekarang berada dengan PR dan 28 kerusi yang lain bersama BN. Ini bererti BN juga tidak mendapat majoriti.

Apabila Sultan mendengar pertuduhan ini, Sultan seharusnya mengesahkan dahulu kedudukan ketiga-tiga ADUN yang menjadi punca timbulnya fitnah ini, jangan terima bulat sandiwara fitnah yang ditaburkan pencacai dan pemfitnah BN. Adakah para ADUN ini bercakap benar, adakah mereka orang yang lurus dan berintegriti? Ini semua sepatut diambil kira oleh Sultan sebelum membuat keputusan.

Kedudukan ketiga-tiga ADUN ini adalah hak Speaker menetapkannya. Ini adalah apa yang telah ditetapkan oleh undang-undang tubuh Negeri Perak dan SPR tiada hak menyanggahnya. Sekiranya ADUN berkenaan tidak berpuas hati, mereka boleh bawa kes mereka ke mahkamah tetapi sambil itu SPR mesti memulakan proses untuk mengistiharkan Pilihan Raya kecil untuk Behrang, Cangkat Jering dan Jelapang. Sekiranya mahkamah mendapati ada kes, mahkamah boleh mengarahkan Pilihan Raya kecil ditangguhkan sehingga selesai perbicaraan tetapi sambil itu kerajaan dan MB yang sedia ada boleh terus mentadbir negeri Perak sehingga isu ini ditentukan oleh mahkamah. Ini apa yang sepatutnya berlaku.

Sekiranya Sultan menerima nasihat yang kurang tepat berkenaan perkara ini, kita berkewajipan menasihati Sultan supaya menjamin tragedi yang lebih besar tidak menimpa Negeri Perak. Sepertimana dalam kes Melaka, kesilapan yang tidak diperbetulkan mengakibatkan natijah yang buruk berpanjangan terhadap semua.

Namun, disebabkan hasutan pihak pencacai dan pemfitnah BN (jelas watak ini telah wujud sejak sekian lama), serta kehadiran 3 ADUN lompat itu di hadapan Sultan, maka Sultan percaya segala dakwaan mereka ini dan DS Nizar diminta letak jawatan! Oleh yang demikian, berdasarkan pengalaman sejarah Laksamana Melayu yang diketahui umum ini, adakah wajar orang Melayu dipatuk dari lubang yang sama buat kali yang entah keberapa?

khalid samad

19 Feb 2009

Najib Bakal Menangis Lagi?

Sepertimana biasa Najib mencabar pihak pembangkang supaya mengemukakan bukti terhadap dakwaan mereka bahawa Barisan Nasional (BN) terlibat dalam penyebaran gambar bogel Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat Elizabeth Wong baru-baru ini.

Sambil menegaskan BN tidak terlibat sama sekali dalam insiden itu, Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata pembangkang sewajarnya tidak menuduh sembarangan jika tidak mempunyai bukti, lapor Bernama.

Sama seperti kes terdahulu, Najib telah pernah membuat penafian beliau terbabit dengan laporan kes liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan terhadap ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tetapi apabila diunjukkan foto Saiful bersama pegawainya yang berlatarbelakang pejabat TPM akhirnya Najib mengaku bahawa kehadiran Saiful pada 12 Februari lepas untuk mendapatkan sokongan permohonan biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pelajaran.

Persoalan kini sampai bila Najib boleh menipu?

Sama seperti beberapa orang ADUN PKR yang "hilang" dan "ghaib" yang tiba-tiba muncul bersama beliau tatkala mengumumkan rampasan kuasa di Perak.

Najib yang tertekan akibat dari kekalahan demi kekalahan pilihanraya kecil di Permatang Pauh dan Kuala terengganu setelah "bercakap besar" sewaktu berkempen perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan maruahnya dari terus menerima aib. Entah berapa juta peruntukan digunakan untuk tujuan itu hanya Allah saja yang tahu.

Tetapi malang bagi Najib, kali ini di Perak situasinya berbeza. Segala pekung terdedah. Hubungannya dengan pihak istana juga dibongkar habis-habisan oleh rakyat. Gambarnya dipijak-pijak oleh rakyat Perak. Itu baru bayangan yang dia sudah mula dihina di dunia. Malah ada yang menunggu ketibaan Najib di Perak dengan sepatu buruk.

Budaya "mafia" yang digunakan oleh Najib tidak mungkin bertahan lama. Kerosakan yang dibawa olehnya sebelum menduduki kerusi PM lagi sudah menunjukkan bahawa Najib adalah seorang pemimpin yang jahat lagi tidak bermaruah.

Hukum alam akan berlaku juga, yang zalim akan pasti mendapat balasan.

Patah tangan kerana accident yang menimpa seorang timbalan menteri baru-baru ini sekalipun beliau tidak zalim pada zahirnya sepatutnya menyedarkan mata Najib bahawa nasib sedemikian boleh menimpanya apatah lagi kalau pada yang terang-terangan telah berlaku zalim. Doa orang yang terkena zalim terlalu makbul. Hukum Allah menetapkan pula jika tidak menerima hukuman di sini, di sana pasti perolehi jua.

Nizar Akan Dapat Semula Perak

1-Perkara pertama yang menjadi petanda Ir Nizar akan mengambil balik Perak ialah keyakinan pada wadah perjuangan. Perjuangan beraspirasikan rakyat akan dapat balik ke tangan pemimpin rakyat.

2-Walau kes ini sudah berada di mahkamah tapi takdir Tuhan belum tentu lagi bak kata orang makanan dalam mulut pun boleh keluar!

3-Hujah dangkal Umno yang sedang bertongkat di dagu raja dan Umno tidak tahu mereka adalah batu api sehingga rakyat mencabar istana. Daulat tuanku!

4-Melihat kepada perubahan geraklaku rakyat melalui demonstrasi di Perak baru-baru ni boleh kita kata rakyat sebenarnya tidak takut tapi rakyat bertahan dengan iman dan minda.

5-Ir Nizar setahu pengetahuan saya, adalah pemimpin yang adil dan kita semestinya tidak taksub padanya tapi kita mesti memberi kepercayaan pimpinan Islam yang adil pada semua kaum.

6-Mahkamah sedang diperhatikan semua. Adakah wujud "hero"baru dalam mewujudkan keadilan dalam kes di Perak? Kita doa sama-sama.

7-for me, Ir Nizar walau tidak sampai setahun di Perak, kerajaan Perak dilihat satelit pada kerajaan pimpinan Pas Kelantan.

8-Insyallah, kita akan mampu mengambil balik Perak!

prostrategik




Altantuya Bakal Menerima Nasib Serupa Norita?

Mahkamah Tinggi kelmarin memutuskan nasib Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar yang dituduh terlibat dalam pembunuhan Altantuya Sharibuu akan ditentukan pada 9 April ini. Sebelum itu Koperal Sirul, meminta dia dibebaskan ataupun sebagai alternatif, mengisytiharkan sebagai kesilapan perbicaraan bagi membolehkan ia didengar semula membabitkan kesemua tiga tertuduh.

Awal bulan ini, Sirul berkata, dia telah "menjadi kambing hitam yang harus dikorbankan untuk melindungi rancangan dan niat jahat seseorang"

Sirul yang juga tertuduh kedua dalam kes pembunuhan Altantuya berkata, dia tidak mempunyai sebab untuk mencederakan apatah lagi mengambil nyawa mangsa dengan begitu kejam.

"Saya tidak pernah mengenali mangsa di dalam kes ini dan tidak pernah mempunyai sebarang urusan peribadi atau sebaliknya dengannya. Saya juga tidak mengenali Abdul Razak Abdullah Baginda dan tidak mempunyai urusan. Saya merayu kepada mahkamah ini untuk mengambil kira sepanjang perbicaraan kes ini, saya mengikuti prosiding dan menyaksikan bagaimana beberapa saksi penting pendakwaan terutama dari D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen yang mereka cerita, tidak bercakap benar dan sentiasa mengubah cerita apabila disoal balas," katanya seperti yang dipetik dalam mStar.

Razak telah dibebaskan. Jika Sirul dan Azilah juga dibebaskan, ia tidak akan menimbulkan rasa hairan pemerhati biasa yang tidak ada latar belakang guaman seperti saya. Ini kerana sejak permulaan penghakiman, kita tidak nampak dan tidak diyakinkan oleh mahkamah, apa motif kedua-dua pegawai polis pangkat rendah ini membunuh Altantuya dengan bahan peledak C4. Tidak nampak motif langsung! Jadi jika mereka dibebaskan, ia keputusan yang tidak mengejutkan.

Tapi jika kedua-dua yang dituduh atau salah seorang daripada mereka dihukum, ia juga tidak akan menimbulkan rasa hairan sesiapa, kerana seperti kata Sirul mereka harus dikorbankan bagi 'melindungi niat jahat seseorang.' Bagi ramai orang, sama ada Sirul dan Azilah dihukum atau tidak adalah tidak penting kerana yang mereka ingin tahu ialah apa motif Altantuya dibunuh dengan begitu kejam dan mengapa "seseorang" yang berniat jahat itu tidak diheret ke muka pengadilan?

Perbicaraan Altantuya mengingatkan saya kepada kes perbicaraan Norita Samsudin. Akhirnya lelaki yang dituduh membunuhnya dibebaskan kerana terdapat percanggahan bukti. Lalu ramai yang bertanya: siapa pembunuh sebenar Norita?

Mengingatkan soalan itu, saya terkenang perbualan mengenai kes Norita dengan seorang tokoh politik UMNO dari Perlis di Lapangan Terbang Alor Setar kira-kira 4 tahun lepas. Tokoh tersebut yang merupakan orang kuat Radzi Sheikh Ahmad merungut, "Awat polis tak siasat sama orang tu?"

"Orang mana?", tanya saya buat-buat tidak tahu, walaupun dalam hati saya terdetik nama seseorang tokoh politik yang diwar-warkan ada hubungan intim dengan Norita.

"Alah, hang buat-buat tak tau pula...", katanya sambil menyebut nama tokoh politik yang sangat dikenali itu.

Kini kes perbicaraan Altantuya telah hampir tiba ke penghujungnya. Sama ada Sirul dan Azilah dihukum atau dibebaskan, suara-suara di luar mahkamah akan tetap berkata: "awat polis tak siasat sama orang tu?"

Polis boleh menyiasat, mahkamah boleh buat keputusan, tokoh politik kita boleh mengiya dan menafikan sesuatu, tapi kita tidak dapat menghalang orang di luar mahkamah bercakap dan meyakini sesuatu. Dan jangan lupa...seringkali keyakinan terhadap sesuatu itu terbawa-bawa hingga ke kotak undi!!

pendikargunung

Bahagian Isi. Ini adalah bagian yg hanya muncul jika link 'Baca selanjut' diklik.

Khir Toyo "cakap tak serupa bikin"

Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo didakwa mengamalkan sikap "cakap tidak serupa bikin" apabila mendesak Elizabeth Wong melepaskan jawatan exco kerajaan Selangor dan wakil rakyat susulan penyebaran foto kurang sopannya.

Bekas menteri besar itu berpeluk tubuh apabila dimaklumkan tentang dakwaan skandal Senator Datin Paduka Norhayati Onn beberapa tahun lalu, kata suami pemimpin Wanita Umno itu, Mohd Suffian Abdul Aziz.

"Wajarkah Datuk Seri Khir meminta YB Elizabeth meletakkan jawatan sedangkan semasa beliau menjadi menteri besar, kenapa beliau abaikan kes Norhayati?

"Saya sendiri pernah berjumpa Datuk Seri Khir di pejabat menteri besar, mengadu masalah (dakwaan) hubungan sulit saya dengan (bekas) ahli parlimen Gombak," kata Mohd Suffian.

Bekas ketua penerangan Umno Klang itu mengulas desakan ketua pembangkang Selangor itu selepas tersebar foto-foto Elizabeth yang dirakam tanpa kerelaannya dan sewaktu wakil rakyat PKR itu sedang tidur.

Mohd Suffian, yang menemui Malaysiakini hari ini, berkata Dr Mohamad Khir tidak membuat sebarang tindakan terhadap aduannya dan sebaliknya meminta beliau "menyelesaikan sendiri" isu rumahtangganya "sedangkan segala bukti termasuk rakaman suara, mesej SMS, video dan foto" diserahkan kepadanya.

"Tetapi tiada tindakan daripada Datuk Seri Khir. Bila timbul isu (foto) YB Elizabeth, dia (Dr Khir) bercakap," kata Mohd Suffian.

"Saya hairan kenapa kes Norhayati tidak disiasat walaupun sembilan laporan polis dibuat oleh saya? Bahkan Norhayati dilantik semula sebagai senator walaupun adalah masalah moral."

Jawatan Norhayati sebagai senator disambung bagi penggal kedua pada Oktober lepas walaupun kontroversi mengenai membuak sejak 2007.

Norhayati, yang juga ketua Wanita bahagian Klang, berhasrat mempertahankan jawatannya sebagai exco Wanita Umno pada pemilihan parti bulan depan.

malaysiakini


Bahagian Isi. Ini adalah bagian yg hanya muncul jika link 'Baca selanjut' diklik.

Pemimpin UMNO/BN Mula Berkuak

Apabila tersentak dan terpukul dengan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V.Sivakumar, maka berteriaklah beberapa pemimpin UMNO/BN yang mempersoalkan tindakan Speaker berkenaan kononnya Sivakumar telah melakukan tindakan yang bersifat kelakar, menyalahgunakan kuasa, menderhakai Sultan dan seumpanya. Tak lebih dari sekadar berkuak umpama katak-katak selepas hujan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Abdul Aziz menyifatkan tindakan Speaker berkenaan sebagai kelakar dan seluruh episod itu adalah satu "komedi" kerana keputusan oleh Sivakumar itu "amat tidak masuk akal".

"Speaker bertindak sendiri menjadi hakim dan juri sedangkan beliau tidak langsung mempunyai bidang kuasa itu."

Sekadar itu. Tiada hujjah lain yang mampu diketengahkan. Tetapi Nazri melupakan tindakan Speaker Dewan Rakyat yang sebelum ini begitu banyak membuat keputusan-keputusan yang lebih "kelakar gila". Rujuk kembali episod penggantungan ahli-ahli parlimen dari pembangkang oleh Speaker Dewan Rakyat yang kadang-kadang bersifat lebih emosional dan "bias".

Jadi jika Speaker dari BN kalau lakukan tak apa, jika dari Pakatan Rakyat, tak boleh?

Ahmad Shabbery Chik pula menyifatkan tindakan Sivakumar sebagai bukti penyalahgunaan kuasa yang begitu teruk.

"Kebiasaannya, jawatankuasa itu mencadangkan kepada dewan untuk mengambil tindakan, dan akhirnya yang mengambil tindakan adalah semasa sidang DUN atau Dewan Rakyat," tambahnya.

Itu persoalan "kebiasaannya". Terdapat banyak ketika dimana Speaker boleh mengambil tindakan di luar kebiasaan asalkan ia masih di dalam lingkungan had-kuasanya.

Sekarang terbeban ke atas Shabbery untuk berhujjah dari perspektif undang-undang bagi membuktikan penyalahgunaan kuasa yang dimaksudkan yang ada dilakukan oleh Sivakumar.

Hal yang sama dilakukan oleh Ketua Pemuda Umno Perak, Zainol Fadzi Paharudin yang berkata, laporan polis akan dibuat terhadap Sivakumar mengikut Akta Hasutan.

Manakala laporan kepada SPRM dibuat atas dakwaan Sivakumar menyalahguna kuasanya sebagai Speaker DUN Perak.

Tidak ada asas, tidak ada merit untuk diterima perkataannya. Ia hanya satu gimik untuk menegakkan benang basah setelah kerajaan BN yang naik melalui rampasan kuasa mendapati mereka kini di dalam suasana begitu kalut dengan tindakan Speaker berkenaan.

Sekali lagi Pemuda UMNO cuba menjadi "pembela istana" apabila mendakwa tindakan Speaker itu sebagai telah menderhaka kepada Sultan Perak dan beliau tidak memperakui titah Sultan.

Perlu diingat bahawa sebarang kerajaan yang dibentuk selain dari pilihan rakyat adalah dengan sendirinya bertentangan dengan Perlembagaan. Saya ingin memetik titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan pada mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen Ke-12:

Perlembagaan Persekutuan juga adalah undang-undang tubuh dan tertinggi di negara ini yang telah dipersetujui oleh semua pihak semasa negara mencapai kemerdekaan. Oleh itu, beta ingin mengingatkan supaya kesepakatan tersebut dihormati dan tidak ada sebarang percubaan untuk mewujudkan undang-undang lain yang bertentangan dengan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Mesej dari titah Yang Dipetuan Agong adalah jelas. Jangan cuba mencari jalan lain untuk menegakkan kerajaan kecuali apa yang telah ditetapkan di dalam Perlembagaan. Rampasan kuasa apatah lagi dengan taktik dan teknik yang kotor ala mafia sepatutnya ditentang habis-habisan.

Itu sebab mengapa kita meminta supaya pilihanraya diadakan semula di Perak supaya biarlah rakyat yang menentukan kerajaan mana yang dipilih untuk mentadbir negeri Perak.

Kenapa takut sangat nak menghadapi rakyat? Bukankah berani kerana benar takut kerana salah?

Perak: Tindakan Speaker Betul dan Menasabah

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak bertindak di dalam lingkungan kuasa yang ada padanya apabila beliau menghalang Menteri Besar Datuk Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco dari menghadiri sidang dewan undangan negeri akan datang, demikian kata seorang pakar undang-undang hari ini berhubung dengan langkah terbaru ekoran krisis perlembagaan di Perak.

Abdul Aziz Bari, seorang professor undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa berkata kuasa Speaker adalah luas di dalam hal-hal yang melibatkan peraturan dewan.

“Ia termasuklah memuktamadkan pentafsiran sebarang peruntukan di dalam Perintah Tetap -peraturan yang digunakan untuk mengawal perjalanan dewan,” tambahnya.

Peguam veteran, Karpal Singh, menyetujuinya.

Karpal, yang juga Pengerusi DAP, menyatakan meskipun V Sivakumar adalah seorang Speaker yang baru, beliau mempunyai kuasa untuk betindak sepertimana yang telah dilakukan hari ini.

Sivakumar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini menggantung Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir daripada menghadiri sidang dewan selama 18 bulan, manakala kesemua enam exconya digantung selama 12 bulan.

Beliau dan enam exconya dirujuk ke jawatankuasa itu berhubung dakwaan mereka telah menghina DUN apabila mengangkat sumpah jawatan Selasa lalu.

Enam exco berkenaan ialah Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (Chenderiang).

Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Perkara 72(3) Perintah Tetap DUN Perak.

Prof Abdul Aziz menyatakan di peringkat persekutuan juga, Speaker Dewan Rakyat telah banyak melakukan beberapa “keputusan yang tidak logik dan kabur — contohnya di dalam menolak usul dan menggantung ahli parlimen”.

“Sekerang masanya BN merasai hal yang sama,” tegasnya.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyatakan bahawa beliau masih seorang menteri besar Perak yang sah kerana beliau belum meletakkan jawatannya atau diberikan undi tidak percaya oleh majoriti ahli dewan undangan negeri.

Mahkamah Tinggi telah menetapkan Isnin ini bagi sebutan untuk mempertimbangkan tiga isu yang dibangkitkan pada hari pertama prosiding undang-undang yang difailkan oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mencabar pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Abdul Aziz menyatakan Nizar mempunyai hak untuk melakukan tuntutan di mahkamah erdasarkan “kesahihan kerajaan BN yang dipimpin dubious position of Zambry”.

Beliau menambah kerajaan negeri “bergantung kedudukannya” kepada sokongan majoriti di dalam dewan undangan negeri.

“Ini masalahnya kerana kita tak pasti samada Zambry faham ataupun tidak,” kata Prof Abd Aziz lagi.

Hal yang sama juga telah disuarakan oleh seorang peguam, Asmuni Awi.

Zambry seperti yang dipetik dari Berita Harian bagaimanapun menegaskan jawatankuasa dipengerusikan Speaker DUN dari Pakatan Rakyat, V Sivakumar, membuat keputusan itu tanpa mengendahkan kuasa Sultan Perak yang memperkenankan pelantikannya sebagai Menteri Besar dan barisan Exco berkenaan.

Beliau berkata, tindakan jawatankuasa itu juga subjudis kerana isu pelantikannya sebagai Menteri Besar sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh bekas Menteri Besar dari Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Ramai pengamal undang-undang menolak kenyataan Zambry itu kerana tindakan Sultan Perak yang memperkenankan perlantikannya sebagai Menteri Besar adalah stau hal yang berbeza. Keseluruhan cara bagaimana BN mendapat kuasa dan perlantikan Menteri Besar dan barisan exco oleh Sultan Perak adalah jelas tidak mengikuti Perlembagaan, justeru itu ia tidak mempunyai sebarang penguatkuasaan undang-undang.

"Peruntukan undang-undang ialah Sultan hanya boleh memanggil parti yang difikirkan telah memperolehi suara majoriti rakyat untuk membentuk sebuah kerajaan. Apa yang berlaku di Perak ternyata konspirasi pihak tertentu terutama Najib selaku Timbalan Perdana Menteri yang mengatur strategi untuk merampas kuasa dan Sultan memperkenannya disamping menolak permohonan Menteri Besar yang sah untuk membubarkan dewan undangan negeri supaya memboleh satu pilihanraya diadakan semula," tegas pengamal undang-undang tersebut.

"Soal subjudis terhadap pelantikannya sebagai Menteri Besar sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh bekas Menteri Besar dari Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin juga adalah hal yang berbeza. Itu adalah tindakan Nizar untuk mendapatkan haknya yang tidak ada kena-mengena dengan tindakan Speaker berkenaan," tambahnya.



Kelab GB sebelum ini telah mengulas kuasa Speaker di sini dan di sini.

Ulasan Berita Hangat 19 Feb 2009

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan Isnin ini bagi sebutan untuk mempertimbangkan bebeberapa isu yang dibangkitkan pada hari pertama prosiding undang-undang yang difailkan oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mencabar pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak

1) Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Ariff Md. Yusof hari ini mendedahkan bahawa beliau pernah menjadi penasihat undang-undang kepada parti Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Pendedahan mengenai jawatan Penasihat Undang-Undang Pas dan PKR yang dibuat oleh Mohamad Ariff sendiri adalah bagi pertimbangan sama ada beliau patut menarik diri daripada mendengar kes itu atau sebaliknya merupakan antara tiga perkara yang ditimbulkan dalam kes itu hari ini.

2) Kedudukan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid sama ada beliau patut mewakili Zambry dan sama ada kes itu wajar dirujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan persoalan undang-undang yang timbul. Menurutnya, Zambry sepatutnya melantik peguam mewakilinya kerana saman itu dibuat bukan atas kapasiti Zambry sebagai Menteri Besar Perak, sebaliknya sebagai individu.

3) Pesuruhjaya Kehakiman itu turut menimbulkan isu sama ada persoalan undang-undang mengenai Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak yang dibangkitkan dalam saman itu harus dirujuk ke Mahkamah Persekutuan. Kes saman itu sepatutnya didengar oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak dengan alasan kedua-dua pemohon dan responden menetap di Ipoh serta melibatkan rakyat dan kerajaan negeri Perak. Peguam Nizar, Sulaiman sebaliknya berkata, memandangkan kes itu melibatkan kerajaan dan rakyat negeri Perak maka sebab itulah ia harus didengar oleh mahkamah di luar Perak bagi mengelakkan timbulnya sentimen kepada semua pihak terlibat.

ISU GAMBAR BOGEL ELIZABETH WONG: HILMI DICARI POLIS UNTUK BANTU SIASATAN

Sepasukan pegawai dan anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor membuat siasatan selama dua jam di rumah Ahli Exco Selangor, Elizabeth Wong Keat Ping di Jalan Gasing di sini semalam, berhubung kes penyebaran gambar separuh bogelnya.

Mereka tiba di rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan itu kira-kira jam 12 tengah hari dan turut mengambil gambar sekitar rumah itu termasuk tempat gambar separuh bogelnya dirakamkan.

"Pasukan itu menjalankan proses biasa seperti mengambil gambar dan melihat keadaan dalam rumah itu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan Adun itu serta empat wartawan, masing-masing dua dari The Malay Mail dan The Sun bagi membantu siasatan kes itu.

Polis juga sedang mencari dua orang "rakan" Elizabeth yang boleh membantu siasatan termasuk teman lelaki Elizabeth Wong bernama Hilmi Hazimin Malek, 34 (gambar) dipercayai mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan itu.

Bekas teman lelaki Elizabeth itu, seorang ahli PKR, adalah bekas pembantu kepada ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.

Ramai berpendapat bahawa isu ini adalah satu konspirasi politik dan berandaian Malik "telah dilarikan" oleh pihak tertentu, sama modus operandi yang digunakan seperti kehilangan beberapa ADUN Perak sebelum ini yang mengisytiharkan diri keluar PKR dan pengakuan Saiful terhadap tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar.

Polis menasihatkan orang ramai yang memiliki gambar ini supaya memusnahkannya serta-merta atau mengemukakannya kepada pihak polis.

MB SELANGOR SAMAN KHIR TOYO

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memfailkan dua saman fitnah terhadap bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berhubung kenyataannya mengenai Abdul Khalid bulan lalu berhubung isu pembelian kereta Lexus dan pembelian 46 ekor lembu korban.

Kedua-dua saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada jam 11.57 pagi melalui firma guaman S N Nair & Partners.

Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Khalid mendakwa Dr Mohamad Khir telah mengucapkan atau membuat dua kenyataan berunsur fitnah yang telah diterbitkan di dalam suratkhabar The New Straits Times bertajuk "Lexus is my own, says Khalid" pada 15 Januari lalu dan di dalam suratkhabar Utusan Malaysia bertajuk "Lepaskan Jawatan MB" pada 23 Januari lalu.

Menteri Besar itu mendakwa kedua-dua artikel itu secara langsung dan tidak langsung merujuk kepada beliau yang bermaksud antara lain bahawa beliau adalah seorang tidak jujur, tidak beretika dan sengaja menyalahgunakan kedudukannya untuk kehidupan peribadi dan jawatan awam.

Abdul Khalid mendakwa tindakan Dr Mohamad Khir itu antara lain didorong oleh niat jahat untuk mencetuskan kebencian dan kemarahan terhadap beliau serta merendahkan taraf beliau pada pandangan umum.

Ia juga berniat untuk memperkecilkan beliau dalam kapasiti persendirian dan rasmi, termasuk kapasiti beliau sebagai Menteri Besar, anggota Parlimen Bandar Tun Razak dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Ijok, dakwanya.

18 Feb 2009

Zambry dilarang hadir DUN 18 bulan, 6 Exco 12 bulan

Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir digantung sertamerta dan dilarang daripada menghadiri sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selama 18 bulan.

Sementara enam Anggota Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri digantung selama 12 bulan daripada menghadiri sesi DUN juga berkuatkuasa hari ini.

Speaker DUN Perak V. Sivakumar mengumumkan keputusan itu selepas Zambry dan enam Exco berkenaan tampil di hadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN di sini hari ini.

Kesemua tujuh Adun BN itu sebelum ini diberi notis saman supaya tampil di hadapan jawatankuasa itu berikutan aduan Adun Canning (DAP), Wong Kah Woh, bahawa majlis angkat sumpah jawatan mereka bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, belum meletak jawatan secara rasmi.

Sivakumar berkata setelah meneliti aduan tersebut, beliau mendapati satu kes prima facie terhadap Zambry (Adun Pangkor), Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (Chenderiang).

"Keputusan ini diambil selepas mendapati kesemua mereka gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan hari ini.

"Mereka telah gagal menawarkan sebarang penjelasan atas tindakan mereka yang menghina Dewan Undangan Negeri," kata Sivakumar dalam satu kenyataan akhbar empat perenggan di sini lewat petang ini.

Selain Sivakumar, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN dianggotai Husin Din (Pas-Selingsing), Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai), Ong Boon Piow (DAP-Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (DAP-Kepayang) dan Sum Chok Leng (DAP-Bercham), manakala wakil tunggal Barisan Nasional (BN) ialah Datuk Hasbullah Osman (Temenggor).

Sebelum itu, kesemua tujuh Adun terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan pada pukul 3 petang di Bilik Mesyuarat Bahagian Kewangan, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Zambry dan enam Exco itu yang dilihat keluar dari bilik mesyuarat itu pada kira-kira 3.30 petang enggan memberikan sebarang komen kepada pemberita yang menunggu.

Sementara itu, Zambry Abdul Kadir berkata beliau dan enam Exco kerajaan negeri akan mengambil tindakan susulan mengikut peraturan dan undang-undang berhubung tindakan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang menggantung dan melarang mereka daripada menghadiri sesi DUN.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan apakah tindakan susulan itu.

Zambry berkata jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Speaker DUN Perak V. Sivakumar tidak boleh membuat keputusan itu dengan sewenang-wenangnya tetapi sebaliknya perlu membawanya ke sidang DUN terlebih dahulu.

"Keputusan jawatankuasa itu juga adalah menidakkan kuasa Sultan Perak yang membuat pelantikan Menteri Besar dan barisan Exco berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Katanya tindakan jawatankuasa berkenaan juga adalah subjudis memandangkan isu pelantikan beliau sebagai Menteri Besar telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang ingin mencabar kesahihan pelantikan berkenaan. Menteri Besar berkata Sivakumar juga telah melakukan satu penipuan yang besar apabila mendakwa di dalam kenyataan akhbarnya hari ini bahawa Zambry dan enam Exco berkenaan telah gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan petang tadi.

Menurut Zambry, beliau dan Exco berkenaan telah memberikan penjelasan kepada jawatankuasa tersebut dan turut mengemukakan bantahan awal dengan mengemukakan sebab-sebab mengapa beliau dan enam exco berkenaan tidak boleh dikenakan tindakan terhadap pertuduhan yang dikenakan.

"Oleh itu dakwaan Speaker bahawa kami telah gagal menawarkan sebarang penjelasan merupakan satu penipuan paling serius yang dilakukan oleh seorang speaker," katanya. BERNAMA

.

Hubungan Sultan - Rakyat : Hanya Pilihanraya Jawapannya

Hubungan pihak Istana Perak dengan rakyat Perak tiba-tiba menjadi semakin tegang dan renggang ekoran dari episod kemelut politik Perak yang telah menyaksikan satu rampasan kuasa paling jijik di dalam sejaran negara.

Tidak sukar untuk menuding jari siapa penyebabkany kerana semua rakyat negara ini mengetahuinya kerana masing-masing mengikuti perkembangan kemelut ini sejak dari detik permulaan ia berlaku.

Dan apabila terjadi rampasan kuasa yang menobatkan Zambry Abd Kadir sebagai menteri Besar bagi sebuah kerajaan BN yang tidak dibentuk melalui sistem pemilihan oleh rakyat, tetapi sekadar penonjolan dari "orang yang tamak kuasa" serta mendapat perkenan pula dari pihak Istana, rakyat Perak hampa dan kecewa.

ADUN-ADUN yang melompat yang pada awalnya begitu ceria di waktu pengumuman oleh di perampas kuasa, tiba-tiba kini mendapati diri mereka menjadi sasaran penghinaan penduduk dan pengundi mereka sendiri menjadikan mereka sebagai manusia yang sudah tidak mempunyai nilai harga diri - satu trauma yang tak pernah dialami di sepanjang hidup mereka dan seluruh keluarga mereka kini menjadi sasaran kutukan dan hinaan yang tiada tara dasyatnya.

"Khianat" - satu perkataan setajam sembilu tetapi yang teramat tepat menjelaskan sikap mereka yang melompat.

Berdasarkan perkembangan yang ada, tidak mungkin mereka dapat bertahan lebih lama di kerusi yang mereka duduki kini, kerana segala-galanya sudah tidak bererti lagi apabila singgah di warung kopi pun mereka "terasa sendiri" yang diri mereka diejek oleh makhluk-makhluk sekeliling.

"Hey bedebah", "hoi pengkhianat", "manusia hipokrit" dan pelbagai panggilan jelek terngiang-ngiang di telinga mereka - tiada siapa yang menjerit begitu tetapi ia datang dari hati mereka sendiri - sebagai hukuman terhadap apa yang mereka telah lakukan.

Bagi istana, yang menjadi kegusaran baginda satu ketika dulu tetiba kini persis menjadi nyata.

Raja Nazrin pernah bertitah:

Islam juga telah membawa Raja Melayu kepada dua konsep murni, adil dan muafakat. Konsep adil dapat dibuat tafsiran lanjutan kepada perjanjian di antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba yang dijadikan 'magna carta' orang Melayu. Konsep keadilan politik Melayu dibayangkan oleh kata-kata 'Raja adil Raja disembah - Raja zalim Raja di-sanggah'. Konsep taat setia rakyat kepada Raja tidak bererti bahawa Raja boleh melakukan apa sahaja menurut sesuka hati. Konsep muafakat menekankan kepada semangat bermesyuarah.

Titah itu tiba-tiba menjadi batu ujian pula kepada takhta yang baginda sendiri apabila tidak menjangka sudah ada jebat-jebat yang tidak lagi khuatir untuk dihukum sula.

Dengan senario yang ada, hanya ada satu jalan yang boleh menjembatani semula hati rakyat kepada pihak istana - itulah pilihanraya.

Jika tidak hubungan mesra yang terpupuk selama ini akan terus mencuka.


Kes "MB vs MB" Ditetapkan Isnin

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan Isnin ini bagi sebutan untuk mempertimbangkan tiga isu yang dibangkitkan pada hari pertama prosiding undang-undang yang difailkan oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mencabar pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Tiga isu itu ialah sama ada
1)Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof patut menarik diri daripada mendengar saman itu,
2)kes itu patut dirujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk penentuan daripada segi persoalan undang-undang
3)mengenai kedudukan Penasihat Undang-undang Negeri Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid untuk mewakili Dr Zambry dalam saman itu.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan hari ini selepas Mohammad Nizar memfailkan saman itu Jumaat lepas.

Hadir di mahkamah ialah Mohammad Nizar, yang diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai Sulaiman Abdullah.

Bantahan Sulaiman berasaskan fakta bahawa Zambry disaman pada kapasiti peribadinya dan bukan sebagai MB Perak dan oleh itu tidak berhak untuk menggunakan hak kerajaan megeri termasuklah Penasihat Undang-undang Negeri Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Dr Zambry diwakili oleh Ahmad Kamal manakala See mewakili Pejabat Peguam Negara dan Datuk Mohd Hafarizam Harun adalah peguam pemerhati bagi Umno.

Mohammad Nizar memohon semakan kehakiman untuk mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah dan bagi injunksi untuk menghalang Dr Zambry atau ejennya daripada menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Besar.

Video akan menyusul.

Ahli Parlimen Bidas Menteri & Timbalannya

Dewan Rakyat digemparkan dengan gelagat menteri dan timbalannya yang lansung tidak ambil peduli untuk menghadirkan diri di sidang Dewan Rakyat pada pagi ini.

Ahli Parlimen BN Seri Gading, YB Datuk Mohamad Haji Aziz membidas sikap menteri dan timbalan-timbalan menteri yang tidak memandang penting perbahasan ahli parlimen terhadap menjunjung kasih titah ucapan Yang di Pertuan Agong.

Hanya seorang sahaja Timbalan Menteri yang hadir pagi ini sementara menteri-menteri dan timbalannya yang lain membiarkan kerusi mereka di dewan rakyat kosong.

Sikap menteri-menteri dan timbalan menteri berkenaan jelas tidak menghormati Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Kinabatangan juga menyelar sikap tidak ambil peduli menteri dan timbalannya yang katanya menyebabkan Barisan Nasional kalah di dalam pilihanraya.

Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, YB Mahfuz Omar sambil menyindir bahawa menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir di persidangan Dewan Rakyat kerana sibuk dengan urusan lain terutama untuk mendapatkan sokongan kerana terlibat di dalam pemilihan (UMNO) yang bakal menjelang.

Perbahasan mengenai hal ini juga turut mengundang Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu, YB Abdul Wahid Endut yang bangun buat julung kali dengan menyatakan bahawa seorang timbalan menteri baru ditewaskan di Kuala Terengganu.

Beliau menambah di dalam pilihanraya akan datang Pakatan Rakyat akan "kerjakan" semua menteri dan timbalannya, tegasnya semasa melahirkan kehampaannya dengan melihat ketidak-hadiran tidak ada seorang pun menteri kabinet di Dewan Rakyat kali ini.



Khir Toyo Disaman MB Selangor

Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini memfailkan dua saman terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Saman tersebut difailkan oleh peguam plaintif, S.N. Nair pada pukul 12.15 tengah hari.

Kedua-dua saman tersebut dibuat berhubung perkataan yang didakwa memfitnah Abdul Khalid seperti yang disiarkan dalam laporan akhbar mengenai pembelian 46 ekor lembu korban dan 15 kereta Toyota Camry.

Dalam pernyataan tuntutan itu, plaintif tidak menyatakan berapakah jumlah pampasan yang diminta dan sebaliknya memohon mahkamah memutuskan jumlah ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Selain itu, plaintif memohon injunksi untuk menegah Mohd. Khir yang juga merupakan defendan daripada melafaz, bercakap, menulis atau menerbitkan artikel yang memfitnahnya.

Awal tahun ini Khir mendedahkan yang beliau mempunyai salinan minit mesyuarat bertarikh 28 November tahun lepas yang disahkan Menteri Besar yang mengarahkan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNs), Selangor Incorporated Corporation (SIC) membiayai RM110,400 untuk pembelian 46 ekor lembu bagi ibadah korban dan peruntukan itu perlu ditanggung anak syarikat kerajaan negeri yang lain.

Bekas Menteri Besar Selangor itu juga mendakwa mempunyai resit pembayaran bagi lembu berkenaan berjumlah RM110,400 bertarikh 16 Disember dan memberitahu kesemua bukti itu telah diposkan kepadanya.

Ditanya sejauh mana kebenaran dakwaan Dr. Mohamad Khir itu, Abdul Khalid berkata: "(Dakwaan) Tidak berapa betul kerana saya hanya beri senarai surau di Bandar Tun Razak apabila PKNS putuskan untuk serah lembu di kawasan itu setelah mendermakan lembu di seluruh kawasan Selangor."

"PKNS dan anak syarikatnya hanya menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya sahaja," kata beliau.

Khalid pada 4 Feb 2009 telah menyerahkan surat tuntutan kepada Khir Toyo supaya beliau memohon maaf dan menarik balik pernyataan fitnah yang dibuatnya.

Khalid telah menyerahkan surat tuntutan itu melalui firma guaman Sankara Narayanan Nair & Partners.

Sankara Nair berkata, surat tuntutan itu dibuat berdasarkan arahan anak guamnya yang mahukan Mohd. Khir menarik balik kenyataan yang telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia, 23 Januari lalu berkaitan salah guna wang kerajaan negeri membeli 46 ekor lembu korban.

Satu lagi notis tuntutan dibuat berdasarkan laporan News Straits Times 15 Januari lalu yang bertajuk Lexus is my own, says Khalid.

'Kedua-dua artikel yang diterbitkan itu telah mencemarkan imej anak guam saya yang terbukti bahawa kenyataan Khir Toyo adalah berbaur hasutan dan surat tuntutan telah dihantar kepadanya supaya menarik balik segala tohmahan dalam masa tujuh hari," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Sankara Nair memberitahu, anak guamnya hanya mahukan Mohd. Khir menarik balik dan memohon maaf di atas kenyataannya di dalam kedua-dua akhbar tersebut secara terbuka.

Beliau berkata, arahan daripada anak guamnya itu hanya mahukan bekas Menteri Besar Selangor bertanggungjawab di atas kenyataan tersebut selain membersihkan dirinya daripada tuduhan yang tidak berasas.

"Kita memberi tempoh kepada Mohd. Khir untuk menarik balik dan memohon maaf dan jika beliau enggan berbuat demikian kita akan meneruskan saman terhadapnya," ujarnya.

Dan hari ini apabila surat tuntutan itu tidak diindahkan, maka saman ke atas Khir diteruskan.