12 Okt 2015

Pakatan Harapan Perlu Segera Bentuk Sekretariat & Majlis Presiden

Amanah syor seketariat, majlis presiden Pakatan Harapan segera dibentuk

Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mengesyorkan supaya seketariat dan majlis presiden Pakatan Harapan segera dibentuk supaya persoalan dasar bersama dan kaedah pengurusan perbezaan pandangan dapat ditetapkan untuk dipersetujui dan didukungi bersama.

Menurut pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad, amalan bermusyawwarah demi mencapai kata sepakat dalam mengangani semua persoalan tetap merupakan dasar yang perlu diamalkan.



“Amanah mengalu-alukan pendirian PKR untuk memantapkan Pakatan Harapan dan bersetuju untuk membuka keahlian Pakatan kepada semua yang berminat untuk menyertainya.

“Namun, disiplin dan kejujuran dalam berpakat perlu ditekankan supaya pihak lawan tidak akan berjaya melaga-lagakan anggota Pakatan sepertimana mereka berjaya terhadap Pakatan Rakyat.

“Setiap anggota Pakatan hendaklah komited kepada Pakatan Harapan dan jelas berhubung siapa kawan dan siapa lawan,”
katanya dalam satu kenyataan sebagai respons kepada pengumuman Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR semalam.

MPP PKR semalam mengumumkan resolusi memperluaskan keahlian Pakatan Harapan untuk cuba memasukkan PAS, Parti Sosialis Malaysia (PSM), serta parti pembangkang dari Sabah dan Sarawak.

Beliau pada masa sama, memuji kematangan dan kebijaksanaan barisan kepimpinan PKR di bawah kepimpinan presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam menguruskan perbezaan pandangan.

“Amanah mengucapkan tahniah kepada saf kepimpinan PKR atas kemampuan mereka mencapai kata sepakat dalam suasana yang digambarkan begitu mencabar sehingga ada yang meramalkan PKR boleh berpecah 2,” katanya.

Katanya, pihaknya berpendirian pembinaan gabungan pembangkang yang kukuh adalah antara keutamaan ke arah penyelesaian krisis negara.

“Ini berpaksikan keyakinan yang kerajaan BN perlu digantikan dan oleh itu usaha ke arah menyatupadukan pembangkang tidak boleh dilengah-lengahkan.

“Rakyat ingin melihat satu gabungan pembangkang yang mampu berkerjasama dan sanggup mengenepikan perbezaan dalam usaha menyelesaikan krisis negara yang semakin meruncing,” kata Khalid. -TMI


Cerita di belakang mesyuarat khas MPP PKR Oleh Mohamad Yasir Yasin

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang berlangsung semalam 11 oktober berakhir sebagai suatu anti klimaks.

Mesyuarat menyokong kepimpinan presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan seterusnya mengeluarkan resolusi empat perkara.

Pertama, PKR akan meneruskan usaha membina barisan pembangkang yang kukuh dan bersatu.

Kedua, PKR komited memantapkan Pakatan Harapan dan keanggotaannya akan diperbesar kepada rakan politik yang lain. Ketiga, PKR menggesa semua parti menghentikan perbalahan terbuka dan keempat, PKR boleh mengadakan kerjasama dua hala dengan parti-parti politik lain bila mana ada keperluan.

Bermula dengan petisyen yang ditandatangani 25 ahli MPP yang pro faksi timbalan presiden Azmin Ali menuntut presiden Dr Wan Azizah mengadakan mesyuarat khas, “build up” menjelang mesyuarat itu membayangkan PKR berdepan ancaman perpecahan dalaman.

Timbul anggapan kumpulan 25 ini memulakan gugatan terhadap kepimpinan Dr Wan Azizah. Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yang dilantik Dr Wan Azizah berhadapan dengan usul disingkirkan daripada jawatan.

Sasaran sebenarnya ialah Dr Wan Azizah tetapi dibuat secara ‘pukul anak sindir menantu’.

Ada dua bentuk mesyuarat di dalam PKR. Mesyuarat MPP bulanan dan mesyuarat MPP Khas. Amalan selama ini jika ada isu-isu besar dalam parti seumpama isu menteri besar Selangor, pendirian parti dalam ‘isu hudud’, diskusi strategi pilihan raya dan sebagainya seringkali MPP Khas diadakan.

Memadai dengan membuat permohonan lisan kepada presiden dan setiausaha agung parti dan notis mesyuarat pun dikeluarkan. Kehadiran juga dibuka kepada pimpinan lain yang bukan anggota MPP. Tujuannya supaya penyertaan lebih luas dan maklumat boleh diperturunkan ke bawah dengan lebih pantas dan tepat.

Timbul persoalan apa perlunya kumpulan 25 menghantar petisyen menuntut diadakan MPP Khas sejurus Dr Wan Azizah mengumumkan penubuhan PH?

Memohon diadakan MPP Khas bukannya isu, namun sehingga sampai mengumpul tanda tangan dan yang menurunkan tanda tangan pula terdiri dari faksi penyokong timbalan presiden, Azmin?


Difahamkan tidak pernah Dr Wan Azizah tidak bersetuju dibuat MPP Khas. Jadi kenapa sehingga perlu menghantar petisyen? Lebih aneh apabila Azmin sendiri tidak menandatangan petisyen tersebut. Malah naib presiden Shamsul Iskandar yang juga penyokong Azmin juga turut tidak menurunkan tandatangan. Tidak ubah pepatah melayu 'Baling batu sembunyi tangan’.

Perkara penubuhan PH dikatakan sebagai punca pertentangan dalaman dalam PKR. Benarkah begitu?

Ada dua pandangan di kalangan pimpinan PKR menyentuh perkara ini. Pertama kalangan yang berpendapat perlunya diwujudkan segera sebuah gabungan parti-parti pembangkang setelah PR berpecah.

Ada kekosongan kepimpinan dan kekosongan ‘wadah’ yang menemukan semua parti pembangkang. Menangguhkan penubuhan gabungan ini tidak dianggap suatu yang bijaksana.

Alasan tunggu sehingga PAS bersetuju tidak masuk akal ketika mana semua petunjuk setakat ini mencerminkan ketidaksediaan PAS untuk ikut serta. Wujudkan dahulu PH dan pintu perundingan masih terbuka.

Termasuk kemungkinan mengadakan ‘electoral pact’ dengan PAS pada pilihan raya akan datang dengan kesedaran perlu mengelakkan pertembungan 3 penjuru. Sementara itu berlaku maka parti-parti pembangkang yang bersedia bolehlah membentuk gabungan bersama.

Kedua, kalangan yang berpegang tidak boleh ada gabungan baru pembangkang sehingga PAS dilibatkan sama. Harus sabar menunggu dan terus memujuk PAS untuk ikut serta. Abaikan sahaja segala kenyataan-kenyataan pimpinan PAS yang tidak mahu bersama. Berikan mereka masa. Tanpa PAS gabungan pembangkang sukar menarik undi sokongan Melayu.

Undi bukan Melayu sudah dalam tangan. Tiada apa yang perlu dibimbangkan. PKR hanya perlu bekerja untuk menambah sokongan Melayu. Ini sukar tanpa PKR bekerjasama dengan PAS. Justeru itu, PH yang diumumkan Dr Wan Azizah tempohari adalah kerja gopoh.

Apabila Dr Wan Azizah membuat keputusan pada akhir persidangan mejabulat dengan mengumumkan penubuhan PH, maka Azmin dan penyokongnya dalam MPP membantah. Sasaran mereka ialah setiausaha agung, Rafizi. Rafizi diserang - membelakangkan MPP, engkar ‘arahan’ Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mempergunakan presiden.

Sementara Azmin sendiri tidak tandatangan, 25 ahli MPP yang lain diminta menandatangan petisyen menuntut diadakan MPP Khas untuk membincangkan pertama, isu penubuhan PH dan kedua untuk MPP mengeluarkan arahan baru kepada presiden! Niat tersirat terserlah sudah.

Apabila kandungan petisyen dan nama-nama kumpulan 25 bocor pada khalayak, perbincangan dan perbahasan terbuka berlaku, ada pro dan kontra. Namun umumnya berpendapat tindakan menghantar petisyen suatu yang tidak wajar.

Mood rakyat ialah mahukan sebuah gabungan pembangkang. Kelahiran PH dianggap tepat pada masanya. Pintu untuk PAS terus terbuka. Begitu parti-parti pembangkang yang lain. Melengahkan penubuhan gabungan pembangkang meresahkan rakyat. Azmin dan kumpulan penyokongnya gagal membaca sentimen ini.

Dr Wan Azizah membuat keputusan yang tepat. Buktinya apabila mesyuarat MPP Khas semalam menyokong penubuhan PH. Kedudukan Rafizi juga tidak tergugat. Bahkan difahamkan resolusi yang diterima MPP Khas itu disediakan Azmin.

Kalau sekadar itu resolusinya yakni menyokong kepimpinan Dr Wan Azizah dan bersetuju penubuhan PH, mengapa perlu riuh rendah menghantar petisyen mendesak presiden?


Bolehlah disimpulkan beberapa perkara. Pertama, Azmin kini menyedari Dr Wan Azizah ada kelebihan tersendiri – kesabaran, ketenangan, ketahanan, pengorbanan, keihlasan dan gaya kepimpinan yang berterus terang tanpa muslihat dan agenda tersembunyi. Mencabar dan menggugatnya biarpun secara ‘baling batu sembunyi tangan’ akan hanya mendedahkan niat tidak elok.

Justru Azmin akhirnya akur menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah, sementara Rafizi kekal sebagai sasaran serangan penyokong Azmin.

Kedua, alasan ‘arahan’ Anwar diengkari tidak dapat dipertahan bila mana Dr Wan Azizah tegas dengan kenyataan 'mana mungkin saya mengkhianati perjuangan yang diasaskan suami saya’.

Ketiga, Azmin gagal untuk merungkai penubuhan PH. MPP Khas sebaliknya menyokong keputusan Dr Wan Azizah.

Keempat, Rafizi kekal sebagai setiusaha agung tanpa perlu bertutur sepatah perkataan pun dalam mesyuarat MPP Khas disebalik serangan keras penyokong Azmin semalam.

Hujah Dr Wan Azizah, ‘Rafizi saya anggap macam anak saya sendiri’ menggambarkan keyakinan beliau terhadap Rafizi.

Sesungguhnya bukan soal PH yang melahirkan pergolakan dalam PKR. Sebaliknya suatu pertembungan kuasa atau ‘power balance’ yang memenatkan dan hasilnya sangat tidak produktif. Cuma satu pesan saya kepada pimpinan PKR, jangan dipandang rendah ‘kebijaksanaan rakyat’.

Selamat berjuang!

* Penulis adalah anggota PKR dan pemerhati politik yang mengikuti dekat perkembangan PKR seawal penubuhan sehingga sekarang.


14 ulasan:

Unknown berkata...

Sepatutnya wajar di 'mudahkan' penubuhan PH...Amanah dan DAP sudah 'mudahkan' kerja mereka dan sudah bersedia melangkah kehadapan..
Tapi PKR, sebahagian sudah kedepan dan sebahagian lagi masih teraba-teraba cari tongkat..Geng Azmin harus ingat rakyat memerhati dan rakyat sebenarnya tak mahu pun jenis politik yang berpusing-pusing tak tentu arah...
Sudahlah di 'susahkan' dengan perlakuan parti hj Hadi, dan sekarang geng azmin pula nak bermain dengan kesabaran rakyat yang menyokong PH...nanti 'yang dikejar tidak dapat,yang dikendong berciciran' pula....

Tanpa Nama berkata...

persoalan bagaimana PH mampu menarik undi melayu tanpa pas adalah soalan dari jenis pemimpin retorik yang penuh dengan teori alasan. Ini jenis pemimpin yang menghabiskan boreh rakyat.

kita mudah mengenali seseorang itu apabila kita lihat pemimpin yang mereka ikut.
selain menjadi pemimpin, Azmin itu juga seorang pengikut. Betulkan?

biar aku ajar kamu.
lain kali kalau nak jadi pemimpin untuk rakyat,

tanya begini: kenapa PH ditubuhkan?

macan mana aku tahu?

tentulah aku tahu. sebab aku dulunya penyokong parti agama retorik.

aku tak salahkan kamu kerana sistem persekolahan di negera ini lebih mementingkan pelajar memberi jawapan.
Sedangkan menjana soalan adalah lebih penting sebelum kau pergi mencari jawapan.
itu pasal lah kau selalu memberi jawapan yang tidak menyelesaikan masalah.
sebab kau selalu salah soalan.

pop kuiz: adakah soalan ini retorik (13markah)
kenapa kita perlu jadi seperti najib memberi 13 jawapan untuk satu soalan?

Tanpa Nama berkata...

Saya ingin menarik perhatian PKR kepada jumlah pengundi yang berjaya di raih oleh 3 parti gabungan PR pada PRU13 lalu:

PKR - 2,254,328 undi
DAP - 1,736,267 undi
Pas - 1,633,389 undi

Jelas PKR mendapat undian tertinggi walau pun mendapat tempat kedua dari segi kerusi. 620,939 undi melebehi dari yang diperolehi oleh parti yang mendakwa dirinya parti Melayu kedua terbesar.

Kita sangat berharap kepada PKR dalam bertindak samaada dalam urusan dalaman parti atau urusan antara parti dalam gabungan PH atau dengan parti lain di luar PH, PKR perlu utamakan jumlah 620,939 undi ini tidak merasa meluat kepada PKR.

Sekiranya PKR tidak berhati-hati, 620,939 akan jadi kosong.

Kami di luar sudah jemu, jelak, mual, loya tidak terkira dah dengan kelakuan buruk Pas. Janganlah pula PKR juga mengulangi tabiat buruk Pas mencipta masaalah dalaman dalam masa kami masih ada saki baki keyakinan kepada PH untuk memulihkan erak kerja menjatuhkan Umno.

Usaha PKR untuk memujuk Pas menyertai PH tidak menjadi masaalah. Yang kami minta ialah jangan sama-sekali meniru cara Pas menimbulkan krisis dalaman parti, yan mengakibatkan PR porak peranda.

Tanpa Nama berkata...

Masalah pkr cuma satu = Azmin... Singkirkan azmin selesai masalah...mcm pas juga..masalah utama pas= Hadi...sehingga pas terbelah 2...Harap2 pemimpin2 utama pkr cepat2 la selesaikan Azmin lps tu blh fokus ke putrajaya...

Tanpa Nama berkata...

Azmin sekarang adalah liabiliti PKR sama mcm hadi yg menjadi biawak hidup kpd pas dan disokong oleh biawak2 lain dlm saf pimpinan pas...jgn ingat rakyat bodoh...tunggulah akibatnya dlm pru 14 nanti.

Benbrahem berkata...

DNA Pekembar masih berselirat dalam tubuh Azmin. Pegang kata2 Brutus ini (disesuaikan)" Not that I loved Pas less but that I loved PKR more"!

Tanpa Nama berkata...

pakatan harapan (ph) patut ambil kesempatan.
menangguklah di air yang sedang keruh.
mahathir, muhyiddin dan geng sudah lawan najib.
bantah pasal lokap khairuddin dan chang.
ph harus apikan lagi sentimen yang sedia ada.
kabulkan impian khairuddin nak lihat najib digari.
buat demontrasi bebaskan khairuddin dan chang.
bukannya krisis krisis krisis tak berkesudahan.

mohd shahran berkata...

bukn susah amin menangkerna sokongan undi cina.undi cina bikot tersungkur lah azmin

Tanpa Nama berkata...

Next pru jgn undi Azmin lagi

Tanpa Nama berkata...

Memang anti klimaks. Bukan main riuh rendah. Last2 kata sokong. Azmin mungkin tau apa perancangan PAS. Tapi taknak join PAS. Dlm satu artikel dlm blog KDL, seorg penulis bkata Dr Mahathir pernah bkata Umno menang bnyk PRU lepas krn org Melayu takut undi PR. Mrk takut bila PR perintah DAP akn brkuasa. Mungkin atas sbb ini PAS putus dgn DAP utk dpt undi melayu semasa umno sedang lemah. Sbb itu PAS cukup yakin mrk lebih kuat bila brsendirian. Mungkin itu juga sbb mrk nak btanding di semua kerusi. Wallahualam.

Tanpa Nama berkata...

dan juga jangan lupa.
buat demontrasi aman sokong
kenyataan majlis raja-raja melayu
yang mahu supaya isu 1mdb
diselesaikan secepat mungkin.
bank negara pun dah beri green light.
ngo-ngo prihatin sila mulakan.
jangan biarkan si luncai
terjun dengan labu-labunya.
jahanam malaysia nanti.

Tanpa Nama berkata...

Azmin ni kalo dlm UMNO mcm KJ la... Jenis ada muslihat n cita2 sendiri...Anwar n DSWA tahu perangai si Azmin mcm Najib tau perangai KJ. Tp. Tu la.. Bijak politik tu satu hal.. Tp.. 4 the long run... Org akan meluat.. Rakyat melihat! Perlu dikendurkan ketegangan... Itu psl kamarudin jaafar n muhd taib join... Utk neutralkan Azmin n the gang ni...kita tgk next round macamana...psl pas tu... Lantak lah.. Ada tak bertambah..tak der tak berkurang...tp strategy politik camtu la... Kena mulut manis skit...

Tanpa Nama berkata...

Setuju himpun ramai-ramai di depan Bank Negara.
Sokong Zeti Akhtar Aziz.
Setuju himpun ramai-ramai di depan Istana Negara.
Sokong Raja-Raja Melayu.
Inilah masanya...

Tanpa Nama berkata...


Semua komen terbaik. Well done.

Kalau geng Azmin baca, dia orang mesti terkejut dan sekiranya kesemua komen tersebut di jadikan satu bentuk artikel, mahu kecut geng Azmin.

Politik Azmin tidak sehebat mana? Politik retro yang di ulang-ulang. Sekiranya DSWA menangguhkan pembentukan PH, Azmin akan mengatakan sebaliknya iaitu mengapa lambat ?

Mereka yang menanda-tangani petisyen tersebut bukan nya pemimpin tetapi 'macai' pada Azmin. Mereka sanggup menanda-tangani petisyen tanpa tanda-tangan Azmin. Siapa kah ketua atau jurucakap untuk kumpulan 25 ?