18 Ogo 2015

Dato Husam Boleh Saman Mereka Yang Memfitnahnya...

Salinan surat balas dan soalan tambahan:

YB Dato Haji Hanipa Haji Ahmad,
Pengerusi Baldah Toyyibah (Prasarana) Sdn Bhd.

PELAWAAN LAWATAN BERSAMA KE TAPAK TEBANGAN ULU SAT

Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian YB Dato menjawab surat saya bertarikh 28 Syawal 1436/13 Ogos 2015.

Dari surat itu, saya simpulkan atau memberikan komen seperti di bawah:

A. Tiada Penglibatan YB Dato Husam Musa Dari Pembalakan Lebuhraya Rakyat

Penjelasan YB Dato dalam isu ini sangat saya alukan.

Saya berharap, melalui jawapan rasmi ini, tidak ada mana-mana pihak, termasuk YB Dato atau pegawai Baldah (saya lampirkan terbaru apa yang dicatat oleh Encik Nik Hisham dalam media sosial), memberikan versi tidak rasmi yang lain untuk mengaitkan nama saya secara tidak adil.

B. Adanya Penyitaan dan Tahanan Penebangan

Para E surat YB Dato ada menyatakan : "Penahanan sementara kerja-kerja penebangan di kawasan berkenaan...."

"....... telah ditahan sementara oleh Jabatan...."

dan

"....... 50 tan kayu sahaja yang masih ditahan sementara...."

Dari kandungan para E, membuktikan memang berlaku penahanan tebangan dan penyitaan oleh Jabatan Hutan ke atas kayu-kayu yang ditebang oleh kontraktor Baldah.

Apa yang saya sebutkan bahawa kayu-kayu yang dikeluarkan oleh kontraktor Baldah telah disita adalah benar.

C. Tidak Berlaku Sebarang Kesalahan Hutan di Blok A dan Blok B - Hutan Simpan Ulu Sat?

Dari kandungan para E, YB Dato mengakui adanya sitaan di matau milik Baldah.

Tinggal lagi, YB Dato cuba menjelaskan, sekalipun penahanan berlaku, tiada kesalahan dilakukan oleh kontraktor Baldah.

Ini bermakna, berlakunya penahanan yang salah oleh Jabatan Hutan.

Benarkah berlaku salah penahanan oleh Jabatan Hutan? Sekalipun untuk tujuan siasatan, tanpa kesalahan dilakukan, Jabatan Hutan tidak boleh sewenang-wenang melakukan sitaan.

Adakah semata-mata kerana adanya laporan yang dibuat oleh pihak tertentu ( seperti ayat YB Dato pada baris tiga para E) semata-mata, Jabatan Hutan bertindak menyita?

Adakah pihak tertentu itu membuat laporan palsu dan apakah tindakan yang diambil oleh Baldah atau Jabatan Hutan terhadap pelapor palsu itu?

Jika Jabatan Hutan secara salah menyita, saya cadangkan Baldah mengambil tindakan undang-undang ke atas Jabatan Hutan.

Kerajaan juga hendaklah mengenakan surcaj ke atas kaki tangan dan pegawai Jabatan Hutan yang terlibat atas tindakan salah tanpa selidik yang telah dilakukan. Jabatan Hutan juga boleh diarahkan membayar ganti rugi kepada pihak yang ditahan.

Adakah kerajaan akan bertindak seperti itu?
Jika tidak, kenyataan YB Dato tiada apa-apa kesalahan dilakukan adalah diragukan.

Setakat pengalaman saya, salah tindakan Jabatan Hutan berkait kesalahan membalak di luar sempadan adalah agak mustahil. Ini ialah kerana pengecaman dan tandaan sempadan dilakukan bersama antara kaki tangan Jabatan Hutan dan kontraktor terbabit sebelum lesen diluluskan.

Jika kontraktor merasakan tandaan sempadan adalah salah, mereka boleh melaporkannya kepada Jabatan Hutan. Mereka sama sekali tidak boleh membalak di luar sempadan yang telah ditandakan atas apa jua alasan, termasuk kononnya kawasan itu terletak dalam zon penampan yang diizinkan untuk ditebang.

Apa gunanya dinamakan zon penampan kalau zon itu juga boleh ditebang?

Isu yang saya ingin ketengahkan sekali lagi di sini ialah, ada atau tidak kesalahan hutan khususnya membalak di luar sempadan dilakukan, termasuk di kawasan yang didakwa zon penampan?

Jika ada, siapakah yang melakukan perbuatan itu?

Jika tidak, kenapakah Jabatan Hutan bertindak menyita?

D. Pelawaan Lawatan Bersama ke Tapak Tebangan

Bagi menghilangkan keraguan terhadap penjelasan YB Dato pada mata rakyat, saya mencadangkan lawatan bersama dengan diiringi oleh Jabatan Hutan dapat diatur oleh YB Dato.

Dalam tempoh sekarang, saya yakin tunggul-tunggul kayu - jika ada - yang ditebang di luar sempadan masih boleh dilihat.

Tandaan sempadan juga masih ada kesannya. Selain itu, pusat ikatan untuk mengukur semula sempadan bagi mempastikan tandaan sempadan adalah betul dan tebangan semuanya dilakukan di dalam sempadan, boleh dikesan semula jika perlu.

Dengan cara ini, tidaklah Jabatan Hutan disalahkan tanpa kesalahan yang sebenar dan penjelasan YB Dato dapat diperkukuhkan lagi.

Saya bersedia untuk bersama dalam lawatan itu nanti. Saya berharap, YB Dato tidak keberatan untuk mengaturkannya.

Penjelasan YB Dato bahawa hanya 50 tan/600 tan berbaki di metau juga tidak akan berbangkit jika YB Dato melihat sendiri longgokan balak di metau sekarang. Terdapat 14 longgokan besar dengan 1,280 batang pelbagai saiz yang dianggarkan seberat 968 tan masih disita di situ. Saya sertakan gambar-gambar untuk menunjukkan jumlah yang dinyatakan oleh YB Dato adalah kurang tepat, walaupun ia bukannya isu yang besar.

E. Berapakah Keluasan Kawasan R N R?

Seingat saya, mengikut garis panduan Lembaga Lebuh Raya Malaysia(LLM), kawasan Rehat dan Rawat (R n R) yang ideal hanyalah seluas 20 ekar dan lay-by adalah 10 ekar setiap satu.

Bagi Lebuh Raya Rakyat, R n R dikatakan seluas 10 hektar dan 65 hektar masing-masing. Dengan keluasan 75 hektar atau bersamaan dengan 185 ekar, bermakna enam kali ganda keluasan ideal cadangan LLM.

Mengapakah cadangan keluasannya yang melibatkan hutan simpan adalah begitu luas?

Juga, saya sangsi dengan tebangan ke atas pokok berdiameter 6 inci ke atas kerana konsep asal adalah pokok-pokok besar dikekalkan untuk menghasilkan teduhan dan keindahan semula jadi.

Dari penjelasan YB Dato, ia menjadi terbalik iaitu pokok-pokok besar di tebang dan yang tinggal adalah pokok kecil semata-mata.

Mengenai foto yang dirujuk oleh YB Dato, jika lawatan ke tapak dilakukan sendiri oleh YB Dato, ternyata apa yang dikatakan tebangan terpilih sebenarnya hampir disapu bersih dan yang tinggal hanyalah pokok-pokok kecil tanpa sebarang keindahan semula jadi lagi. Sungai yang dulunya dilindungi kanopi pokok-pokok kini terang benderang tanpa hijauan lagi.

F. Jumlah Pengeluaran Dan Hasil

Saya berpendapat, ada sedikit kekeliruan angka dalam pengiraan yang ditunjukkan oleh YB Dato pada para pertama muka surat tiga.

YB Dato nyatakan keluasan tebangan adalah sejumlah 23 hektar.

Angka ini mungkin tidak tepat kerana Blok A seluas sepuluh hektar telah ditebang semuanya. Bagi Blok B pula, 20% dari 65 hektar telah ditebang, iaitu 13 hektar.

Keluasan 23 hektar ini belum mengambil kira laluan lebuh raya, yang mengikut surat YB Dato : 'jajaran lebuhraya yang sudah tentu ditebang habis...'.

Bermakna, kawasan yang telah ditebang adalah melebihi 23 hektar. Oleh itu, perolehan 2,700 tan adalah dari kawasan yang melebihi 23 hektar, termasuk dari tebangan laluan lebuhraya dan ada kemungkinan di luar kawasan tandaan sempadan yang asal (yang didakwa sebagai kawasan buffer zone yang tiada sekatan untuk tebangan).

Dengan itu, 23 hektar sebagi pembawah adalah tidak tepat.
Jika keluasan sebenar tebangan melebihi 23 hektar dengan mengambil kira laluan tebangan dan zon penampan, dengan sendirinya perolehan RM 8,000 seekar seperti dinyatakan oleh YB Dato akan berubah.

Jika diandaikan kawasan laluan dan tebangan luar kawasan mencapai 20 hektar atau lebih, kadar hasil per ekar akan menjadi hanya RM 4,000 sahaja. Ini tidak banyak bezanya dengan kadar hasil bagi tebangan habis yang diperolehi melalui proses biasa.

Oleh itu, pengiraan kadar hasil per ekar mesti mengambil kira keluasan tebangan keseluruhan dan yang sebenar.

Namun begitu, saya sangat berbangga dengan keinginan Baldah mendapatkan hasil yang tertinggi dan kaedah sebut harga terbuka yang diamalkan. Jika semangat yang sama terpakai untuk agensi lain seperti KPK, rakyat Kelantan akan melihat sesuatu yang berbeza dan lebih baik.

G. Alaf Ulung dan bukannya Lucky Wong

Tidak ada masalah besar antara sama ada Syarikat Lucky Wong atau Alaf Ulung. Apa yang saya pohonkan adalah latar belakang syarikat kontraktor yang dilantik oleh Baldah.

Dalam surat saya, saya namakan Syarikat Lucky Wong. Setelah saya melawat tapak berkenaan, dalam kenyataan media saya pada sebelah petangnya, saya telah tukarkan kepada Syarikat Alaf Ulung seperti tertera di papan tanda di metau.

Kedua-dua surat dan kenyataan media saya dipamerkan di laman FB saya. Saya beranggapan pegawai YB Dato ada membacanya dan melaporkan semula kepada YB Dato.

Soalan-soalan berkaitan seperti siapa pemilik syarikat yang saya tanyakan berkaitan Lucky Wong terpakai untuk Alaf Ulung yang dilantik oleh Baldah, jika YB Dato merasa perlu untuk menjelaskannya.

H. Persoalan Menerusi Media Sosial

Saranan YB Dato dalam para akhir surat YB Dato iaitu untuk tidak menggunakan saluran media sosial kerana dikhuatiri menimbulkan persepsi yang tidak baik bagi kerajaan, rasa saya tidak relevan.

Jika tiada sebarang kesalahan dilakukan oleh kerajaan, tiada sebab untuk imej kerajaan tercalar.

Sebenarnya, melalui media sosial sesuatu isu menjadi lebih berkesan. Saya telah pun meminta penjelasan YB Dato melalui kumpulan Whats App terhad di mana YB Dato turut bersama sejak 8 Ogos 2015 tetapi tiada sebarang respon sehinggalah surat saya tersiar dalam FB saya dan pengguna media sosial yang lain.

Di samping itu, fitnah ke atas saya dalam isu ini adalah secara terbuka oleh pengamal media sosial sejak sekian lama. Ia bukan isu peribadi saya dengan kerajaan tetapi isu saya secara awam dan isu kerajaan dan kepentingan awam juga.

Surat balas YB Dato juga disiarkan melalui Whats App. Nampaknya YB Dato sendiri dan pegawai Baldah tidak mengamalkan saranan YB Dato.

Saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih atas respon YB Dato dan InsyaAllah surat ini juga mendapat respon sekali lagi YB Dato, disamping lawatan ke tapak untuk menjelaskan tiada sebarang penyelesaian belakang tabir diatur antara kerajaan dan Jabatan Hutan.

Sekian. Terima kasih.

Yb Dato Husam Musa

Adun Salor/Yang DiPertua Pas Kubang Kerian, Kelantan
2 Zulkaedah 1436/17 Ogos 2015

s.k:

1. YAB Ustaz Dato Menteri Besar Kelantan Darul Naim
2. YA Berusaha Tuan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan

SURAT DARI YB DATO HAJI HANIPA BIN AHMAD

1 Zulkaedah 1436H bersamaan 16 Ogos 2015

YB Dato’ Hj Husam Musa
Adun Salor/Yang DiPertua Pas Kubang Kerian, Kelantan

Firman Allah swt yang bermaksud “Dan katakanlah: Bekerjalah kamu! Maka Allah dan RasulNya dan orang-orang yang beriman akan melihat pekerjaan kamu, dan kamu akan dikembalikan kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib dan yang ternyata, lalu diberitahukan kamu tentang apa yang kamu kerjakan”
Surah At-Taubah : 105

YB Dato’

PENJELASAN TENTANG KELULUSAN PEMBALAKAN DI HUTAN SIMPAN ULU SAT YANG TERLIBAT DENGAN LALUAN LEBUHRAYA RAKYAT

Saya dengan ini merujuk kepada surat YB Dato’ (tidak bertarikh) yang saya terima pada hari Khamis, 28 Syawal 1436H bersamaan 13 Ogos 2015 jam 12:30 tengahari. Penjelasan adalah seperti berikut:

A. Faedah daripada tebangan hutan berkaitan adalah untuk Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd, Syarikat Tujuan Khas (SPV) Kerajaan Negeri yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perlaksanaan Projek Lebuhraya Rakyat. Ianya adalah antara lain digunakan untuk kos yang berkaitan Projek Lebuhraya seperti bayaran kepada konsultan dan lain-lain termasuk juga untuk kos operasi Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd.

Tiada penglibatan YB Dato’ dalam tebangan balak di kawasan yang diluluskan.

B. Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk mengeluarkan kayu di kawasan berkenaan pada 19 Oktober 2014.

Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah mengeluarkan tawaran sebutharga terbuka pada 23 Oktober 2014. Pada 8 Disember 2014, Lembaga Pengarah Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah bermesyuarat dan bersetuju menawarkan kontrak penebangan kepada syarikat Alaf Ulung Sdn Bhd berdasarkan kepada tawaran syarikat ini yang terendah.

C. Tuduhan bahawa Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah melantik Syarikat Lucky Wong sebagai kontraktor kerja penebangan balak adalah TIDAK BENAR SAMA SEKALI. Kontrak untuk kerja-kerja penebangan telah dibuat secara sebutharga terbuka seperti yang dinyatakan di para B di atas. Lain-lain soalan YB Dato’ berkenaan Syarikat Lucky Wong adalah tidak berkaitan.

Sebanyak 2,300 tan kayu telah ditebang. Hanya sebanyak 1,700 tan telah dijual dengan nilai jualan sebanyak RM1.28juta. Setelah ditolak kos penebangan, cukai kayu, premium dan lain-lain kos Jabatan Perhutanan, hasil bersih ialah sebanyak RM465,000.00.

D. Di dalam kawasan R&R, walaupun kelulusan tebang habis diberi oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd hanya menebang pokok yang berukuran diameter 6 inci keatas, sesuai dengan hasrat Almarhum YAB Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Sila rujuk kepada suratkhabar Sinar Harian, Jumaat 14 Ogos 2015 (mukasurat 38), gambar disebelah atas adalah kawasan R&R yang jelas nampak ada tebangan terpilih. Manakala gambar disebelah bawah adalah jajaran lebuhraya yang sudah tentu ditebang habis bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan lebuhraya dijalankan.

E. Penahanan sementara kerja-kerja penebangan di kawasan berkenaan adalah untuk membolehkan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan menjalankan siasatan hasil dari laporan yang dibuat oleh pihak tertentu. Saya juga mengadakan perbincangan dengan Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan, Pegawai Hutan Daerah Machang dan Ketua Pegawai Operasi Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd supaya siasatan yang rapi dijalankan bagi menangani masalah ini dengan segera. Hasil daripada siasatan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, mereka telah mengesahkan bahawa tiada penebangan dibuat di luar kawasan oleh kontraktor yang dilantik oleh Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd. Maknanya, pihak Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd dan kontraktor yang dilantik tidak terlibat di dalam kes ini.

Sebanyak lebih kurang 600 tan (bukannya 1,000 tan seperti dakwaan YB Dato’) kayu yang telah ditebang tetapi belum dijual, telah ditahan sementara oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tujuan siasatan. Walaubagaimanapun, pada 30 Julai 2015, kebenaran telah diberikan kepada Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd untuk menjual kayu-kayu tersebut sebanyak 550 tan, manakala 50 tan kayu sahaja yang masih ditahan sementara menunggu laporan siasatan dikeluarkan yang dijangka pada minggu hadapan.

Sebagaimana dakwaan YB Dato’ bahawa kawasan ini adalah kaya, bagi memaksimakan perolehan dari sumber yang diamanahkan oleh Kerajaan ini, kawasan ini tidak dijual terus berdasarkan keluasan yang mana hasilnya adalah antara RM2,500 – RM3,000 seekar sahaja. Sebaliknya, kawasan ini telah diusahakan sendiri oleh Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd dengan melantik kontraktor untuk kerja-kerja penebangan sahaja manakala penjualan kayu dilaksanakan sendiri oleh Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd yang mana ianya dibuat secara sebutharga terbuka dengan kelulusan oleh Jawatankuasa Sebutharga Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd.

Dengan hasil bersih sebagaimana yang dinyatakan di Para C di atas, berdasarkan kawasan yang telah ditebang seluas 23 hektar (56.8 ekar), bermakna setakat ini Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah memperolehi keuntungan sebanyak RM8,200/ekar, 3 kali ganda lebih berbanding sekiranya penjualan terus kawasan dibuat.



Pihak Baldah Toyyibah Prasarana) Kelantan Sdn Bhd sedang berusaha untuk membuktikan bahawa mengusahasilkan sendiri kawasan pembalakan oleh agensi Kerajaan akan memberi pulangan yang jauh lebih baik berbanding dengan hanya menjual terus kawasan tersebut.

Sekian, saya berharap agar penjelasan di atas ini dapat memberi pencerahan kepada isu-isu yang YB Dato’ bangkitkan. Sebenarnya saya lebih suka sekiranya ada apa-apa masalah ditanya terus kepada saya, tidak ditulis dalam whatsapp kerana ia boleh mengelirukan dan menimbulkan persepsi yang tidak baik kepada Kerajaan.

Terima kasih.

tt : YB Dato' Hj Hanifa

……………………………………………….
YB Dato’ Hj Hanifa Bin Ahmad
Pengerusi Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd








IKLAN BERBAYAR







9 ulasan:

Unknown berkata...

Salam

Saya sebagai dari keluarga berketurunan pekat/karat umno,biasanya akan menjangkan kecurian balak dan rasuah balak datangnya dari umno/BN, bermula zaman syed kecik ,Fuad sthepen dulu di Sabah mereka kaya raya tak habis cucu -cicit makan.Dan tak lupa di Selangor banyak hutan-simpan digondolkan ,siapa yg jadi dun2 umno kaya raya dulu-dulu.Adalah terlalu JANGGAL bila di negeri yg di so called mempunyai pemerintahan ulama melakukan apa yg dato'dato' kami lakukan dulu.Sesuatu yg mustahil berlaku,kuliah-kuliah,takzirah,majlis ilmu agama di ajarkan dimerata mesjid seluruh negara oleh ustaz2 dari parti islam yg dikatakan non-secular itu.Bagaimana boleh terjadi Aiik???
entahlah tak berani menuduh??kalau tiada angin takkan daun bergoyang??
ada details....dengar cerita ini tapi version umno....masih bersangka baik..

wassalam

Tanpa Nama berkata...

tinggalkan pas
masuk
parti amanah rakyat
atau
parti tindakan rakyat
atau
parti keadilan rakyat
kuburkan pas...

Tanpa Nama berkata...

Husam amat dihormati rakyat kelantan tp satu je masalah beliau lembab dlm btindak keatas pemfitnah2 beliau. Kalau ada org fitnah mcm2 die senyap je x bangkit melawan fitnah.Yg mfitnah pulak beria2 berani.Husam perlu ubah sikap berani dan tegas melawan yg salah.Krjn kelantan skrg buat salah,so bongkarkan kesalahan mereka.Bawa kes ke mahkamah.. ISU banjir berkaitan isu penebangan balak tu isu yg sgt besar.perlu btindak segera.Came on Husam perlu lebih pantas btindak.jgn org nampak lembab dan menyepi diri spt merajuk dsisihkan oleh mb kelantan

Abdul Said berkata...

Amat kasihanlah kita kepada rakyat biasa. Kasihan kepada diri sendiri. Tiada tempat mengadu. Harapkan orang sekular, hmm sama saja dengan penjajah. Kadangkala elok lagi penjajah bak kata bapa saya yang pernah jadi kuli PWD yang duduk di quarters dengan bekalan elektrik dari CEB percuma. Beralih pulak kepada ustaz, lebai dan haji, hmmm sama juga. Diorang pun ada nafsu macam orang lain juga. Kata orang (mungkin lawak atau gurauan) kalau orang lemah iman biasanya iblis hantar pengikut yang paling bawah, yang tak sekolah saja untuk mengoda. Pasti tumbang. Kalau orang banyak ilmu ugama iblis mungkin hantar menteri atau profesornya untuk mengoda. Itu sebab kalau orang berilmu ugama buat kalut akibatnya sungguh hebat hingga tidak terfikir oleh rakyat biasa dan ramai yang tidak akan percaya!! Akhir zaman tiada apa yang pelik apa lagi bila orang menjadi kaya hanya dengan menjaja air lior dimasjid-masjid dan di surau-surau!!Semoga kita semua diampunkan Allah s.w.t. dan tidak menjadi orang yang cenderong kepada orang yang zalim!!!

Unknown berkata...

Sebatang pokok tumbang bukan kerana besi yang menjadi mata kapak, tetapi kerana kayu yang menjadi hulu kapak.

Tanpa Nama berkata...

Unknown, Ini kayu balak bukan pakai kapak tapi pakai gergaji.

Sebagai bidalan boleh diperumpakan nak jatuh kan Najib ialah orang yang melakukan perkara yang sama seperti Najib!!

Tanpa Nama berkata...




Mukadimah surat Hanipa bermula dengan Surah 'Bekerjalah kamu!' , tapi apa dia buat bila saudara sendiri Nik Hisham mengaitkan nama Husam - Fitnah secara terbuka - sehingga Husam terpaksa bertindak menyiar kan surat tersebut dalam FB nya.

Lebih baik Husam mengunakan kaedah begini kerana ada bukti nyata iaitu kenyataan bertulis.

Seperti kata Husam yang sangsi dengan tebangan ke atas pokok berdiameter 6 inci ke atas kerana konsep pokok-pokok besar di kekal kan, kita pun sangsi sebab menebang pokok-pokok besar ini lah yang memusnahkan pokok-pokok kecil termasuk anak pokok balak.

Jika betul anggapan Husam iaitu yang membaca surat dan kenyataan media Husam bukan nya Hanipa tetapi pegawai nya dan melapurkan nya semula kepada nya, maka ada anggapan yang membalas kenyataan dan surat Husam bukan nya Hanipa sendiri tetapi Pegawai nya.

Hanipa juga perlu jelaskan mengapa 50 tan kayu sahaja yang di tahan? Adakah ini bermakna mana-mana syarikat boleh menebang mana-mana pokok balak sesuka hati dan kemudian akan di tentukan oleh Jabatan Perhutanan?? Dan dari 50 tan tersebut berapa banyak pokok yang bawah umur yang telah di tebang? Sudah tentu alasan yang akan diberi pada Jabatan Perhutanan pokok kecil ini tumbang sebab di hempap pokok besar yang kami tebang.

"Bekerjalah kamu! Maka Allah dan RasulNya dan orang-orang yang beriman akan melihat pekerjaan kamu, dan kamu akan dikembalikan kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib dan yang ternyata, lalu diberitahukan kamu tentang apa yang kamu kerjakan” Surah At-Taubah : 105

Adakah ayat ini dipilih kerana ternyata "dan orang-orang beriman akan melihat pekerjaan kamu" ?

Kepada Allah kita kembalikan.

Tanpa Nama berkata...



Pandai-pandai lah minta maaf. Kalau dah nak kena saman baru minta maaf, besuk di akhirat tak selesai lagi. Kalau pun Husam maafkan begitu sahaja, baru selesai dengan Husam belum lagi selesai dengan Tuhan.

Unknown berkata...

Saman je husam