8 Apr 2014

Lagi Dibiarkan UMNO BN Memerintah Lagi Cepat Negara Bankrap


Laporan Audit: Ketirisan terus berlaku

Pendedahan ketirisan dalam Laporan Ketua Audit Negara saban tahun tidak mendatangkan sebarang kesan positif berikutan tiada kesungguhan daripada kerajaan untuk mengatasi masalah itu, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.

Ahli Parlimen Batu itu berkata, ketirisan kali ini melibatkan lima kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri hanya pendedahan maklumat semata-mata.

“Mereka (kerajaan) tidak ada kesungguhan untuk mengurangkan masalah yang berlaku walaupun laporan audit kali ini mencatatkan pengurangan permasalahan daripada tahun lepas, tapi kita tak nampak semua tu (ketirisan diselesaikan),


“Yang kita tahu, ketirisan terus berlaku dengan sengaja seperti pembinaan empangan bernilai RM343.55 juta diberikan kepada pengusaha yang tidak mempunyai pengalaman, tapi sampai sekarang kita tak nampak pun hasil,” ujarnya merujuk pembangunan Empangan Paya Peda di Besut, Terengganu yang lewat 18.49 peratus berbanding jadual asal.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini berkata, lima kementerian tersebut akan dipanggil selepas Laporan Ketua Audit Negara 2013 (LKAN) dibentangkan hari ini.

Menurut Nur Jazlan, sebanyak 71 peratus audit berkenaan menyentuh penambahbaikan manakala 29 peratus lagi membabitkan penyelewengan, salah guna kuasa, salah laku dan kecuaian di kementerian berkenaan.

Sementara 121 kes dibawa untuk diambil tindakan, 92 kes diselesaikan manakala 29 kes lagi belum selesai di peringkat PAC.

Tambahnya lagi, Jabatan Kerja Raya dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan turut dipanggil apabila semua kementerian yang terlibat selesai berdepan dengan PAC.


Kerugian Negara Yang Didedahkan Dalam Laporan Ketua Audit Negara Puluhan Bilion Ringgit, Tapi Tiada Tindakan !

Hasrat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memanggil lima kementerian berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2013 janganlah sekadar satu formaliti sahaja, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin.

"Rakyat tidak mahu lagi ulang tayang apa yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini di mana tindakan PAC memanggil pihak-pihak yang ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara nampak sangat sekadar untuk melengkapkan siri tindakan formal sahaja dan selepas itu tidak kedengaran sebarang tindakan," katanya.

Semalam Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya akan memanggil lima kementerian untuk memberikan penjelasan dalam waktu terdekat berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Katanya, kelima-lima kementerian berkenaan adalah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan.

Salahuddin berkata, ramai yang masih ingat pengakuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa pihaknya hanya mengemukakan dua kes sahaja ke mahkamah ekoran pelbagai kes yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

"Susah hendak dibayangkan apa tindakan berkesan yang mampu dibuat oleh PAC kalau SPRM pun hanya dapat mengemukakan dua kes sahaja ke mahkamah sedangkan kerugian negara yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 dahulu bernilai puluhan bilion ringgit," katanya.

Begitu juga, kata Salahuddin, apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meminta menteri-menteri yang diperlihatkan gagal dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 meletak jawatan.

"Di Jepun bila kapal terbang terhempas di landasan, menteri pengangkutan meletakkan jawatan. Di Malaysia jika kemalangan kapal terbang, itu bukan masalah saya.

"Saya berharap untuk melihat lebih banyak peletakan jawatan,"
Dr Mahathir dilaporkan berkata.

Salahuddin menambah, bukan sahaja tidak berlaku sebarang perletakan jawatan seperti diharapkan Dr Mahathir, malah tindakan yang diambil berikutan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 itu amat mengecewakan rakyat.

Ketika menyatakan hasratnya untuk memanggil lima kementerian itu, Pengerusi PAC berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu dipanggil berhubung kelewatan Empangan Paya Peda di Besut, sementara Kementerian Pendidikan perlu memberikan penjelasan mengenai pembinaan kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang didapati tidak mengikut spesifikasi mengakibatkannya gagal mendapat sijil layak menduduki (CF).

"Kementerian Kesihatan perlu menjelaskan isu perolehan serta penyimpanan rekod aset dan pengurusan program pembelian makanan manakala KDN akan diminta memberi penjelasan berhubung isu pengurusan Rela dan peralatan untuk Rela khususnya sepatu anggota," katanya.

Nur Jazlan berkata demikian dalam sidang media pembentangan Laporan Ketua Audit 2013 Siri 1 selepas bermesyuarat dengan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang di bangunan Parlimen semalam.

Jelasnya, Kementerian Pendidikan perlu memberi penjelasan mengenai dana penyelidikan asas untuk hasilkan teori, konsep dan idea baharu kerana berlaku ketirisan apabila dana berkenaan dibelanjakan namun tidak ada kajian yang dihasilkan.

Tambah Nur Jazlan selain kelima-lima kementerian berkenaan, PAC akan turut memanggil Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika waktu mengizinkan.

"Kementerian Sumber Manusia perlu memberikan penjelasan mengenai pusat latihan belia sementara Kementerian Pertahanan perlu menjelaskan isu pengurusan Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.

"Biarpun KWSP mempunyai prestasi yang baik, jumlah pelaburan antarabangsanya adalah besar dan bertambah dari tahun ke tahun.

PAC perlu penjelasan daripada KWSP mengenai perancangan dan langkah-langkah kurangkan risiko dalam pelaburan antarabangsa," jelas beliau.

Mengenai hasil Laporan Ketua Audit Negara 2012 Siri 1, 2 dan 3 yang dibentangkan tahun lepas, Nur Jazlan berkata 71 peratus audit melibatkan penambahbaikan peraturan dan prosedur proses kerja sementara 29 peratus daripada audit melibatkan salah guna kuasa dan salah laku serta kecuaian dalam pelaksanaan tugas.

Jelas beliau, daripada 29 peratus kes punitif, sebanyak 121 kes dibawa untuk tindakan dengan 92 kes sudah selesai dan 29 kes belum selesai.

"Daripada 92 kes yang selesai,26 kes melibatkan prosiding tatatertib dikenakan ke atas pegawai sementara 53 kes tidak ada unsur 3P (pemantauan penyampaian perkhidmatan)," kata Nur Jazlan.

Mereka yang diambil tindakan melibatkan 152 orang dengan 76 orang dijatuhkan hukuman, seorang dibuang kerja, 41 dikenakan surcaj, dua didenda, 32 diberi amaran dan 76 lagi masih dalam prosiding tatatertib, katanya.
-HD


Audit tegur projek empangan lewat

Ketua Audit Negara menegur projek Empangan Paya Peda di Besut, Terengganu dengan kos RM348 juta yang disifatkan tidak memuaskan kerana hanya 65.21 peratus siap.

Dalam laporannya, audit turut menegur kontraktor untuk projek Kementerian Pertanian dan Sumber Asas Tani itu yang mungkin tidak berpengalaman untuk menjalankan projek besar itu.

Kontraktor itu juga didapati tidak mengikuti syor yang ditetapkan dalam laporan Penilaian Impak Alam Sekitar.

Kementerian itu melantik syarikat JAKS Resources Berhad dan Pembinaan Sujaman Sdn Bhd secara usaha sama melalui surat kelulusan bertarikh 12 September 2008.

Kementerian juga melantik Jurutera Perunding Zaaba Sdn. Bhd. sebagai perunding projek, yang melakukan kerja meliputi merekabentuk empangan, kajian kejuruteraan dan teknikal, penyediaan dokumen tender dan penyeliaan pembinaan.

Menurut laporan itu, kontraktor sepatutnya menjalankan ujian untuk mengesan mineral arsenik, yang boleh memudarakan keselamatan awam. Perkara itu didapati tidak dijalankan oleh kontraktor.

Audit mendapati, projek yang bermula 1 Jun 2010 hingga 30 November 2013 memakan masa terlalu lama disebabkan kontraktor gagal menepati terma kontrak yang ditetapkan.

Kelewatan itu didapati berpunca dari tindakan kontraktor yang tidak mematuhi sepenuhnya syarat dalam kontrak pembinaan, dengan mengurangkan bilangan jentera dan pelantikan subkontraktor tanpa kebenaran.

Ia seterusnya menegur kementerian kerana membuat bayaran berlebihan sebanyak lebih RM500,000 kepada satu syarikat juruukur tanah.

Laporan itu menyatakan, kelewatan boleh dielakkan jika kontraktor melaksanakan projek seperti yang dirancang dan pelantikan kontraktor berpengalaman dan berpengetahuan mengikut prosedur yang betul.

Dalam laporannya, audit menyebut Empangan Paya Peda mula dicadangkan pada 1995 dan hanya dilaksana bawah Rancangan Malaysia Kesembilan untuk membekal 1,120 juta liter air sehari kegunaan isi rumah, pertanian dan pembangunan di daerah itu.

Projek untuk Skim Pengairan Besut di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara itu juga dirancang sebagai struktur kawalan risiko banjir di hilir Sungai Besut. -mk


Komputer milik PTPTN disimpan berhabuk dalam stor, dedah laporan audit

Kira-kira lebih 100 komputer milik Perbadanan Tinggi Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disimpan berhabuk dalam stor menyebabkan sejumlah wang sewa RM100,000 dibayar sia-sia.

Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 2013 menemui 104 komputer peribadi disimpan dalam stor cawangan PTPTN seluruh negara.

Lawatan kumpulan audit ke cawangan di Pahang, Sarawak, Perak dan Negeri Sembilan menemui 49 komputer dan tujuh komputer riba disimpan dalam bilik stor.

Laporan mendedahkan agensi tersebut tidak menyatakan polisi pemulangan dan pengiraan semula perjanjian pajakan perjanjian yang dimeterai dengan MSTi Corporation Sdn Bhd dan Innovative Swift Sdn Bhd pada bulan April 2012 dan Januari tahun lepas, masing-masing menyewa 520 komputer dan 2,000 komputer riba kos sebanyak RM5.94 juta.

Innovative Swift merupakan pembekal utama, memajak sebanyak 2,000 komputer bernilai RM4.54 juta.

"Analisis audit mendapati sekiranya komputer yang ditemui tidak digunakan tersebut dipulangkan kepada pembekal, PTPTN boleh menjimatkan RM101,000 pembayaran sewa selama 13 bulan, daripada tarikh ia diterima pada 18 Disember 2012 hingga 31 Disember tahun lepas," kata laporan tersebut.

Tabung pendidikan tersebut memberi pegawainya komputer untuk digunakan, langkah yang disifatkan asing oleh pihak Jabatan Audit Negara.

"PTPTN perlu pertimbangkan semula sama ada pemberian dua komputer kepada setiap pegawainya itu praktikal atau munasabah. Pegawai hanya wajar diberikan laptop yang boleh digunakan di pejabat dan luar pejabat.

"Ini boleh menjimatkan RM1.4 juta untuk tiga tahun," kata laporan itu.

Dalam jawapan balas bertarikh 20 Januari tahun ini, PTPTN berkata 87 daripada 104 komputer tersebut dipasang secara berperingkat untuk kegunaan urusan pejabat sokongan di cawangan dan 17 unit digunakan untuk memudahkan percetakan kad deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional di setiap kaunter PTPTN.

Innovative Swift juga bersetuju menangguhkan penempatan 600 unit komputer riba pada April tahun depan hingga April 2018.
-TMI


482 peralatan bernilai RM2.58 juta di dua hospital dikategori sebagai ‘asset not found’

Sebanyak 482 peralatan bernilai RM2.58 juta di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, dan Hospital Tunku Fauziah (HTF), Kangar, dikategorikan sebagai 'asset not found' (V4L) atau peralatan tiada dilokasi.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, sehingga 31 Ogos 2013 sejumlah RM9,346 yuran masih dibayar bagi 26 peralatan V4L dan baki 419 peralatan tidak dapat disahkan status yurannya, sementara yuran untuk peralatan berstatus sama di HTF dihentikan.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan pihak audit tidak dapat mengesahkan status peralatan itu kerana tiada daftar selenggara bagi memantau peralatan V4L.

"Semakan lanjut terhadap 26 peralatan V4L yang masih dibayar di HTAR mendapati Notis Untuk Mula/Tamat Perkhidmatan (SNF) telah dikeluarkan bagi 12 peralatan.

"Bagaimanapun, bayaran yuran bagi peralatan itu masih diteruskan dan jumlah lebih dibayar bagi peralatan berkenaan dalam tempoh antara lapan hingga 38 bulan ialah RM4,497," kata laporan itu, dan menambah 14 lagi tidak dapat disahkan kerana tiada salinan SNF dikemukakan untuk semakan.

Sehubungan itu, laporan itu berpendapat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu membuat laporan awal dan laporan polis setelah peralatan yang dilaporkan sebagai V4L tidak dapat dikesan selepas tempoh 30 hari seperti ditetapkan.

Kementerian juga perlu memastikan SNF dikeluarkan bagi peralatan itu untuk menghentikan pembayaran yuran peralatan berkenaan, selain pemeriksaan aset perlu dibuat secara berkala.

Berdasarkan maklum balas kementerian yang disertakan dalam laporan audit sama, 31 aset dijumpai semula di HTF manakala di HTAR sebanyak 218 peralatan dikenal pasti tiada di lokasi dan laporan polis telah dibuat, 218 peralatan dilupuskan, tiga peralatan dipindah keluar dan enam peralatan dijumpai dan masih digunakan.

Selain itu, semakan audit terhadap semua senarai “variation order” (VO) mendapati yuran perkhidmatan “Biomedical Engineering Maintenance Service” (BEMS) bagi 19 peralatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanank (HWKK) Sabah dan 37 peralatan di HTAR telah dituntut sebanyak dua kali, dan berdasarkan perkiraan jumlah yuran lebih bayar ialah RM43,650.

Justeru itu, laporan itu mengesyorkan supaya tuntutan balik dibuat dengan segera, manakala Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa Jawatankuasa Siasatan Dalaman ditubuhkan dan sehingga 4 Februari lalu, sejumlah RM10,037.70 dikutip balik.

Semakan audit juga mendapati sejumlah RM5.74 juta yuran tambahan bagi 482 peralatan kurang dibayar kepada syarikat konsesi kerana tarikh mula pembayaran yuran “during warranty” dan “post warranty” lewat daripada tarikh sepatutnya.

Manakala, RM1.49 juta didapati lebih dibayar kementerian bagi pembatalan atau penamatan perkhidmatan 367 peralatan.

Sehubungan itu, kementerian disyorkan untuk memastikan tarikh mula pembayaran atau penamatan dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian bagi memudahkan pemantauan, mengelakkan terlebih atau terkurang bayaran selain membantu KKM merancang peruntukan atau perbelanjaan sebenar.

Kementerian Kesihatan pula dalam maklum balas menjelaskan bahawa yuran lebih atau kurang dibayar berlaku disebabkan “verification of variations forms” (VVF) lewat dikemukakan pihak konsesi dan dokumen sokongan bagi yuran perkhidmatan tidak lengkap.
– Bernama


ULASAN GB

Budaya "ketirisan" sudah semacam sinonim dengan kerajaan UMNO BN yang memerintah. Ia lebih parah dengan kewujudan gejala "kronisme" dan ketidak-sungguhan kerajaan untuk memerangi rasuah yang mengakibatkan rakyat menjadi mangsa apabila wang negara hilang begitu banyak.

Tidak mustahil negara menjadi bankrap lantarannya. Dan rakyat tiada pilihan iaitu menukarkan kerjaan yang ada Hukum kebenaran dan keadilan tetap berjalan. kerajaan yang khianat akan tetap terhukum akhirnya.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salah satu punca pemborosan ialah, apabila seuatu peruntukan diserahkan kpd badan pelaksana, peruntukan itu perlu dipergunakan semaksima mungkin. Sekiranya terdapat banyak lagi lebihan tidak digunakan dlm tempoh tertentu, badan pelaksana itu dikira tidak cekap pula menggunakan peruntukan. Natijahnya banyaklah perbelanjaan tidak perlu terpaksa dibuat, guna mengelak drp dikategorikan sbg tidak cekap.

BaDiN berkata...

Majoriti projek diberikan berdasarkan siapa yg paling kuat umnonya.Kekuatan kabel dan berapa banyak sogokkan memainkan peranan penting di belakang tabir.Ydp Majlis Daerah,Ketua Jabatan lebih tunduk kpd JKKK apatah lagi majoriti pemegang lesen kontrak adalah dari Kalangan Pemuda Umno,Pengerusi JKKK,Anak buah YB BN,Ugutan daripada aktivis umno/Bn kpd menteri/exco/Yb Bn untuk memboikot dan merajuk lebih melayakkan seseorang itu memperolehi sesuatu projek.Sebagaimana DSAI bongkar tetapi kesan kpd Umno/Bn tidak diambil peduli.yg parahnya melayulah paling ramai sokong Bn seolah2 segala penyelewengan ini direstui oleh mereka.

Tanpa Nama berkata...

Mengapa x audit sama syarikat APCO
YG d lantik sebagai penasihat gov.
Ada untung atau rugi dgn membayar kpd APCO...
70 juta tu.....

Tanpa Nama berkata...

Inilah bezanya cara orang melayu memerintah dgn cara Islam ajar...hakikatnya melayu yg memerintah itu bangsat...

Tanpa Nama berkata...

Makamah ditipu atau makamah rela ditipu ?