24 Jul 2013

[VIDEO & GAMBAR] Siaran Lansung: Pengundian PRK Kuala Besut Bermula -updated


Selepas 12 hari masa berkempen, hari ini pemilih di Kuala Besut akan menentukan, antara dua 'anak kampung' BN dan PAS, siapakah yang akan menjadi pilihan mereka untuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Nasib calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, seorang jurutera dan calon PAS, ahli perniagaan, hari ini akan ditentukan oleh 17,713 pemilih di kawasan berjiran dengan negeri Kelantan itu.

Jika Tengku Zaihan memang, status quo akan kekal.

Bagaimanapun, jika keadaan sebaliknya, situasi baru yang tidak pernah terjadi akan disaksikan apabila BN dan Pakatan Rakyat masing-masing mempunyai kerusi sama banyak dalam DUN.

Keadaan itu, oleh kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, membolehkan segala kemungkinan.

Peti undi dibuka pada jam 8 pagi. Keputusan paling awal akan diketahui pada jam 10 malam ini, selepas umat Islam selesai menunaikan solat tarawih.

Berikut laporan langsung oleh wartawan Malaysiakini di lapangan:

5.27pm: Seramai 13,188 pengundi atau 79.76 peratus keluar mengundi pada PRK Kuala Besut

5pm: Baki tujuh pusat mengundi telah ditutup.

Sementara itu kira-kira 100 orang penyokong dan perayu undi PAS berhimpun berdekatan sekolah kebangsaan Kg Baharu sambil membaca doa dan melaung takbir beberapa kali.

Petugas parti PAS memberitahu Malaysiakini bahawa calon parti itu mendahului dengan majoriti lebih 100 undi di peti undi Kg Baharu yang mempunyai kira-kira 2,400 pengundi.

Malaysiakini juga difahamkan bahawa BN menang di pusat mengundi Pulau Perhentian.

4.40pm: Menjelang 20 minit Sekolah Kebangsaan Nail, Sekolah Kebangsaan Alor Peroi dan Sekolah kebangsaan Kampung Nangka, hanya perayu undi PAS sahaja yang masih terus merayu undi berdekatan pondok panas mereka.

Sementara sekumpulan Wanita Umno dilihat masih merayu di Sekolah Keb Alor Peroi.

Mereka dilihat dalam keletihan dan hanya sekadar mengibarkan poster calon kepada kenderaan yang lalu lalang di situ.

4.15pm: Suasana pengundian semakin lembab di pusat mengundi di SK Kuala Besut dan SMK Kuala Besut.

Di kedua-dua sekolah, hanya tinggal sekumpulan perayu undi PAS sahaja yang masih giat menjalankan tugas mereka.

Manakala perayu undi BN tidak kelihatan kecuali beberapa orang dalam pondok panas berhampiran.

Turut hadir di situ 'Aunty Mei' turut berkempen untuk calon PAS Che Long sambil memegang banting calon PAS.

"Saya sudah sampai empat hari. Tinggal bersama Muslimat PAS. Saya naik bas datang sini seorang diri," katanya

3pm: Setakat ini, seramai 12,207 orang (73.93 peratus) telah membuang undi. Jumlah keseluruhan, termasuk undi awal sebanyak 911, menjadikan seramai 13,127 orang (74.24 peratus) keluar mengundi.

Sementara itu, Pusat pengundian Pulau Perhentian ditutup. Pulau Perhentian merupakan satu daripada lapan daerah mengundi di DUN Kuala Besut. 1:00pm: Setakat jam 1 petang, jumlah keluar mengundi sebanyak 10,160 orang (61.45 peratus), termasuk undi awal 911, sebanyak 11,072 (62.61 peratus)

Sementara itu, di SK Kampung Baharu I, di luar pusat mengundi itu, masih ramai lagi penyokong PAS berbaris di kiri dan kanan jalan raya untuk merayu undi.

Penyokong BN pula kini kebanyakkan berada di pondok panas.

Di pusat mengundi SK Kampung Nangka, kedua-dua penyokong tidak lagi merayu undi berbanding gelagat mereka di sebelah pagi. Sebaliknya, hampir keseluruhannya bersurai, mungkin keletihan memandangkan bulan Ramadan.

12.30pm Menurut seorang pegawai SPR, peratus keluar mengundi setakat jam 12 tengah hari, seramai 9,022 pengundi atau 54.57 peratus sudah keluar mengundi.

11.50am Setakat jam 11 pagi, seramai 7,356 orang (44.49 peratus) sudah keluar mengundi.

Jika dicampur undi awal, jumlah keseluruhannya 8,268 (46.76 peratus).

10.45am Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata jumlah keluar mengundi setakat jam 10 pagi cukup tinggi.

"Saya harap ia berterusan," katanya dalam sidang media.

10.30am: SK Nail - 'Kempen sihat' kelihatan di Kampung Nail apabila terdapat penyokong PAS mengambil peluang bergambar dengan calon BN Tengku Zaihan.

"Saya tiada masalah, ini kempen sihat," kata seorang penyokong PAS dari Dungun yang enggan dinamakan.

10.20 am - Peratus keluar mengundi setakat ini sebanyak 31 peratus atau 6,039 orang

10.00 am - Sehingga pukul 9 pagi, jumlah keluar mengundi ialah seramai 2,406 atau 15 peratus.

9.48am: Jeti Kuala Besut - Ketika suasana di pusat pengundian makin panas, sekitar kawasan jeti masih kekal tenang. Orang ramai kelihatan kurang berbanding hari-hari lain.

Pelancong seperti biasa bersarapan dan bersedian menaiki feri ke Pulau Perhentian.

Sementara itu, laman Facebook rasmi pilihan raya kecil Kuala Besut PAS melaporkan, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat juga turun melawat di unit peti undi Kg Nangka sebentar tadi.

9.15 amMalaysiakini melaporkan: Pemilih enggan kerusi roda disorong MB.

Ahmad Said cuba membantu menyorong seorang warga emas yang berkerusi roda memasuki pusat mengundi tetapi dibantah oleh seorang penyokong parti, menyebabkan perselisihan kecil.

Akhirnya, setelah ditenangkan, Ahmad membatalkan hasratnya itu dan memasuki kawasan sekolah itu. Warga emas kemudian disorong oleh individu lain.

Di SK Kg Nangka - Calon PAS Che Long beredar daripada pusat pengundian itu, selepas 20 minit meluangkan masa membuat lawatan di situ dan beramah mesra dengan pengundi.

Tidak berapa lama kemudian, menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said turut beredar daripada pusat pengundian itu.

Sementara kedua-dua penyokong berbaris di luar kawasan sekolah di tepi jalan sambil memegang dan menunjukkan poster calon masing-masing kepada pengundi yang berjalan ke pusat pengundian dan kenderaan yang lalu lalang di situ.

Sementara itu, di SM Kuala Besut, Naib Ketua Wanita MCA Heng Seai yang berdiri di depan sekolah itu berkata, perjalanan hari mengundi setakat ini nampak aman dan harmoni.

"Walaupun mereka daripada parti yang berbeza, tetapi mereka saling mengenali antara satu sama lain, ini budaya yang sangat berbeza," katanya.

Terdapat 148 pengundi Cina di Kuala Besut, tidak sampai 1 peratus daripada jumlah pemilih keseluruhan.

Seramai 114 daripada mereka akan mengundi di Sebarang Barat dan selebihnya di Bukit Puteri.

9.08am: SMK Kuala Besut - Beberapa penyokong PAS memasuki kawasan kawasan 50 meter dekat pusat pembuangan undi yang tidak dibenarkan tetapi tiada pihak yang tampil memberhentikan mereka setakat ini.

Penyokong PAS mula mempamerkan kain rentang dan plakad di kedua-dua tepi jalan di hadapan sekolah bagi merayu undi.

8.50am: SK Kg Baharu - Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said tiba di pusat pengundian itu tetapi disambut dengan laungan takbir oleh majoriti penyokong PAS.

Bagaimanapun beliau hanya mampu tersenyum. Manakala laungan "Hidup BN" oleh penyokong BN tenggelam laungan takbir penyokong PAS.

"Setakat ini saya berpuas hati perjalanan pilihan raya. Semuanya aman dan saya berharap ia berterusan sehingga pusat pengundian ditutup.

"Saya berharap penyokong kedua-dua pihak tidak mencetuskan provokasi.

"Insya-Allah, BN mampu mempertahankan DUN Kuala Besut," katanya ketika ditemui pemberita diluar pusat mengundi.

8.25am SK Kg Baharu - Pengurus kempen kepada calon PAS mengakui hari ini merupakan pertarungan sengit antara Azlan dan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

"Hari ini kita akan mendapat undi PAS dan undi Che Long (daripada pengundi). Dapat dua undi. Kalau ada penipuan, itu yang menyebabkan kita jatuh.

"Rakyat teruja dengan Che Long kerana beliau sangat friendly, kebaikan dan kemurahan hati yang terjalin sebelum itu.

"Sentimen politik itu tak ada dengan rakyat di sini. Semua orang didampingi oleh Che Long mungkin kerana dia seorang kontraktor," kata Hanafiah yang ditemui Malaysiakini di luar sekolah.

8.20am: SMK Kuala Besut - Tengku Zaihan, calon BN tiba untuk membuang undi ditemani isteri berpakaian baju Melayu merah.

Menariknya, beliau menunaikan kertas undi ketika mengundi, yang menunjukkan beliau memangkah diri sendiri.

"Saya nasihatkan pemilih keluar mengundi seawal mungkin untuk terus memangkah BN," katanya.

8:15am: SK Kampung Baharu - Ketika ditemui pemberita, Azlan berkata beliau berpuas hati dengan kempen yang dilaksanakan dan akan menunggu keputusannya pada petang nanti.

"(Kita) yakin akan menang, apa pun nantilah (keputusannya)," katanya ringkas.

Beliau mengakui sedikit berdebar dan bangun awal untuk bersahur dan bersolat subuh sebelum menuju ke pusat pengundian.

8am: SK Kampung Baharu - Calon PAS Azlan Yusof tiba bersama isterinya di pusat mengundi itu sejak 7.45 pagi.

Beliau disambut oleh sekumpulan penyokongnya yang menunggu lebih awal dengan laungan takbir.

Beliau juga ditemani oleh wakil calon, Hanafiah Mat dan Wan Azhar Wan Ahmad.

Azlan atau lebih dikenali Che Long menjadi orang kedua mememasuki pusat mengundi.

Langit cerah pagi ini. Ramalan cuaca bagaimanapun meramalkan hujan ribut petir mungkin melanda di sebelah petang.







dikemaskinikan setiap 10 mini. Sila refresh

1 ulasan:

Amuraria berkata...

moga Allah SWT memberi kemenangan pada para pejuang untuk menegakkan agama Nya in sya Allah ! ABU jangan lupa !