13 Nov 2013

[VIDEO] Anggota Polis Dipenjara Seumur Hidup Kerana Menculik


Alor Setar: Tiga lelaki, termasuk seorang anggota polis, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah menculik seorang lelaki bagi mendapatkan wang tebusan RM40,000 di Bedong, Sungai Petani tahun lepas.

Koperal Mat Rani Zakaria, 51, dari Negeri Sembilan serta dua pekerja tempat cuci kereta iaitu Mohamad Shukri Ibrahim, 33, dan Jeffri Abdullah, 29, didakwa menculik mangsa, 24, yang bekerja sendiri, di depan sebuah hotel di Bedong pada 15 Mac 2012.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab turut menjatuhkan hukuman 10 sebatan setiap seorang ke atas Mohamad Shukri dan Jeffri manakala Mat Rani terlepas kerana faktor usia.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata pembelaan kesemua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau berkata mereka tidak menafikan menahan dan membawa mangsa ke sebuah hotel di Klang, Selangor serta meminta RM40,000 daripada abangnya.

“Ketiga-tiga tertuduh, dalam pembelaan mereka, mengatakan mereka meminta duit itu sebagai ‘kautim’ untuk tidak membawa mangsa ke Bukit Aman selepas mereka menemui dadah dalam kereta mangsa,” katanya.

Terdahulu, peguam Mohd Fadli Shuib yang mewakili Mat Rani meminta hukuman anak guamnya diringankan kerana tertuduh memiliki rekod yang baik sebagai anggota polis.

Bagaimanapun, Mohd Zaki berkata beliau tidak dapat menerima alasan itu kerana sebagai anggota polis, Mat Rani sepatutnya memahami kesan tindakannya.

“Seorang anggota polis tidak sepatutnya melakukan tindakan sedemikian, dia sepatutnya melindungi orang ramai,” katanya.

Sementara itu, peguam T.Jayaraj yang mewakili Mohamad Shukri dan Jeffri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana mangsa dalam kes ini tidak dicederakan.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani. – BERNAMA

?

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tidaklah menghairankan pegawai polis jadi pencolik, kerana bapak rogolanak, guru cabul murid, mak sumabng mahram dengan anak dan LEBIH LAGI APABILA ORANG YANG BERGELAR USTAZ MENJUAL KEBENARAN SYARIAH KERANA NAK PAKAI TIE & COAT.
KERANA MERKA SEMUA MANUSIA..... YANG TAK DAPAT MENGWAL TUNTUTAN NAFS. TIDAK DILINDUNGI ALLAH DARI GODAAN SYAITAN.
SEMUA INI ADA DALAM NEGARA KITA.....
Kakitanagn JPN jual ic dlll........l

Tanpa Nama berkata...

Lagi-lagi kisah 'pagar makan padi'...Apa nak jadi dengan sifat kemanusiaan zaman sekarang?