7 Okt 2013

Apakah Mat Sabu Calon PAS Untuk PRK Sungai Limau?

Mat Sabu memang seorang pemimpin yang hebat

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, resume rakyatnya tidak perlu banyak perkataan untuk dihurai. Selain hebat, ialah mengkagumkan.

Di zaman mudanya, Abang Mat keluar masuk penjara memperjuangkan apa yang dipercayainya sebagai benar. Ramai orang takut pada ISA, tetapi tidak pada Abang Mat. PAS adalah wadah perjuangannya, dan tiada apa yang boleh menyebabkan Abang Mat keluar daripada PAS.

Nama Mat Sabu sudah sinonim dengan PAS. Abang Mat adalah simbol toleransi dan friendliness (mudah bersahabat) bagi PAS.

Rakan-rakan bukan Islam cukup menyayanginya. Rakan-rakan seperjuangannya menghayati pengorbanan beliau.

“Cubalah kamu ikut saya seminggu. Tengoklah kamu boleh tahan tak?” begitulah cabaran Abang Mat pada saya selalu.

Memang sukar untuk mengikut jadual Abang Mat. Hanya manusia yang kental seperti beliau boleh menunaikan semua temujanji itu.

Namun, sehebat-hebat Abang Mat, beliau cumalah seorang manusia biasa yang ada kekurangannya.

Seperti para peminat artis pujaan, menyebut mengenai kekurangan Abang Mat akan menyinggung perasaan orang yang amat menyayanginya. Membandingkan Abang Mat dengan sesuatu yang lebih baik juga akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada para peminatnya, lebih-lebih lagi apabila Abang Mat adalah Timbalan Presiden PAS.

Namun, itu lumrah manusia kerana sememangnya ada perkara yang lebih disukai dan ada perkara yang tidak berapa disukai.

Semalam timbul kontroversi seperti yang tertera di atas apabila Setiausaha Dewan Ulama PAS, Dr Mohd Khairudin Aman Razali dalam satu laporan The Malaysian Insider bertajuk “Timbalan presiden: Mat Sabu jangan kecil hati, kata ulama PAS” menyebut “Timbalan presiden PAS sekarang, Mohamad Sabu adalah seorang pemimpin yang hebat. Cuma barangkali yang kurang adalah fakih (mendalam) soal agama.”

Jelas Khairudin mengakui Abang Mat sebagai seorang pemimpin yang hebat. Cuma – ya ayat selepas ‘Cuma’ selalu membawa maksud berbeza kepada para pembaca mengikut kesukaannya.

“Cuma barangkali yang kurang adalah fakih (mendalam) soal agama” – ada yang membaca ayat ini berasa Khairudin kasar dan seolah-olah menghina Abang Mat. Persepsi itu diperkuatkan lagi apabila ada blogger yang mengulas perkara itu ke arah sedemikian.

Bagi yang sudah ada persepsi negatif terhadap Dewan Ulama selepas Multaqa lalu teramat mudah akan terdorong ke arah mempercayai bahawa Khairudin sedang memperkecilkan Abang Mat, walau beliau memulakan hujah ayat pertama dengan memuji Abang Mat sebagai pemimpin yang hebat. Tapi itu telah dilupakan, yang difokuskan ialah apa yang disebut selepas perkataan “cuma.”

Dalam aspek ini, Khairudin perlu lebih berhati-hati ketika berkata-kata dan menyedari persepsi negatif yang sedang menyelubungi Dewan Ulamak PAS Pusat akan menyebabkan kata-katanya terpesong daripada nada sebenar.

“Cuma barangkali yang kurang adalah fakih (mendalam) soal agama” – daripada lensa biasa tanpa sebarang prasangka, ayat ini tiada unsur penghinaan pada Abang Mat. Jelas dalam ayat ini, Khairudin tak pasti, sebab itu perkataan “barangkali” digunakan.

Apa yang cuba disebut Khairudin ialah ada orang yang lebih fakih soal agama berbanding Abang Mat. Kenyataan itu sebenarnya tidak salah, malah sebenarnya hakikat, cuma cara disebut itu boleh disalah tafsir, terutamanya bagi mereka yang sudah ada prejudis terhadap Dewan Ulamak PAS Pusat.

Faqih adalah istilah merujuk kepada satu standard ilmu dalam pengajian Islam melibatkan kefahaman mendalam terhadap teks al-Quran dan teks al-Hadis berasaskan ilmu-ilmu alat seperti usul fiqh dan ilmu bahasa Arab yang tinggi sehingga mampu memahami hukum-hakam Islam secara detail.

Namun, ingin dipertegaskan bahawa tahap keilmuan "faqih" bukan diukur dengan sijil dan tempat pengajian dan juga bukan diukur oleh diri sendiri tetapi dinilai oleh orang-orang berilmu yang lain.

Seseorang yang dikatakan tidak faqih bukan bererti dia jahil dan tidak tahu hukum-hakam agama untuk amalan seharian. Cuma ada orang yang lebih baik daripadanya dari sudut itu.

Memandangkan Khairudin sendiri adalah seorang “Dr PhD”, maka ada pula yang menganggapnya terlalu ego apabila beliau berhujah bahawa Abang Mat barangkali yang kurang adalah fakih soal agama – seolah-olah kerana beliau ada PhD maka beliau boleh memperkecilkan pemimpin yang lain yang tidak setanding tinggi ilmunya apabila berkata “barangkali yang kurang adalah fakih soal agama.”

Tuduhan itu tersasar kerana Khairudin tidak berniat begitu, cuma beliau barangkali masih baru dalam dunia politik dan media persepsi ini untuk berkata-kata jujur dengan selamat.

Mari kita bersangka baik dan melihat hujah Khairudin dari sudut lain:

“Timbalan presiden PAS sekarang, Mohamad Sabu adalah seorang pemimpin yang hebat. Dalam soal fakih (mendalam) soal agama, barangkali ada orang yang lebih hebat daripada beliau.”

Sebenarnya itulah maksud sebenar Khairudin. Bacalah dari arah manapun, unsur menghina langsung tiada - maka salah faham terhadap Khairudin juga tidak akan timbul daripada para peminat Abang Mat.

Lebih-lebih lagi, dengan peribadi Abang Mat yang hebat dan besar hati orangnya, sebenarnya tiada kontroversi dalam kata-kata Khairudin.

Tulisan ini ditulis supaya PAS dapat menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau dengan satu hati dan satu jiwa. Jangan biar polemik dalaman melemahkan PAS.

PRK Sungai Limau ialah maruah PAS Kedah dan juga maruah arwah Tan Sri Ustaz Azizan Razak. Oleh itu, PAS tidak harus dilemahkan lagi kerana sangka buruk dan buruk sangka yang tidak diperlukan masa ini.

Seperti kata Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, kurangkanlah kenyataan mengenai pemilihan di muktamar, fokuslah pada PRK Sungai Limau. Walaupun tulisan beliau semalam ditujukan kepada semua pimpinan tertinggi, tapi para penyokong parti harus juga berhenti daripada mengulasnya sehingga kemenangan PRK Sungai Limau dipertahankan.

Selepas itu, ada 20 hari untuk berkempen sebelum Muktamar. Kempen sehabis-habisnya dalam lingkungan adab dan akhlak jamaah yang tinggi dengan hanya mempromosikan kebaikan dan kehebatan pemimpin pilihan sendiri dan bukannya dengan memperkecilkan lawan.

Itu adalah roh Islam yang wajar ditunjukkan PAS kepada rakyat Malaysia. -Timmy Say/TMI

ULASAN GB

Tajuk GB: Apakah Mat Sabu Calon PAS untuk PRK Sungai Limau?

Ia sekadar satu soalan, atau satu lontaran cadangan.

Sungai Lmau memerlukan calon yang sehebat Allahyarham Ustaz Azizan dan diantara yang ada di dalam kepala GB hanya ada dua orang yang mampu mempertahankan kerusi PAS tersebut. Satu Datuk Mahfuz Omar dan kedua Mohammad Sabu.

Kedua-duanya pimpinan tertinggi PAS Pusat, Mahfuz Naib Presiden dan Mohammad Sabu Timbalan Presiden. Selain dari itu Mahfuz juga Pesuruhjaya PAS Kedah. Mungkin Mahfuz sudah berat dengan tanggungjawabnya sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah, Naib Presiden PAS Pusat dan juga sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena.

Jadi pilihan yang ada ialah Mohammad Sabu jika PAS perlu calonkan orang yang dikatakan setanding dengan kehebatan Allahyarham Ustaz Azizan. Mengapa perlu calon yang setanding dengan Allahyarham? Sebab ini pilihanraya kecil, bukan pilihanraya umum. Dalam beberapa minggu lagi semua akan menumpukan perhatian ke Sungai Limau. Jadi calon besar perlu diketengahkan jika PAS mahu menang.

Malah Presiden PAS, TG Haji Abdul Hadi Awang telah pun memberikan signal yang jelas,

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau mahu calon itu memilki sifat kepimpinan seperti bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

“Kalau boleh, kita nak calon itu seperti Azizan. Sama ada calon tempatan atau luar, itu terpulang kepada Pas negeri dan Pusat yang tentukan.

“Syarat yang kita utamakan ialah calon itu mesti boleh melaksanakan tanggungjawab dan amanah untuk membawa mesej Pas. Itu yang penting,” katanya selepas menziarahi pusara Azizan di Muassasah Darul Ulum...
sinarharian 1/10/2013


PAS Kedah sangat memerlukan tenaga Mohammad Sabu untuk digandingkan dengan Mahfuz untuk merampas semula Kedah dari tangan BN.

Memang Mohammad Sabu lebih layak di parlimen, tetapi tidak salah beliau untuk bertanding menjadi seorang ADUN. Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin dari seorang ahli parlimen Bukit Gantang kini menjadi ADUN Changkat Jering. Malah bekas Presiden PAS, Allahyarham Ustadz Fahzil Mohd Nor juga pernah sekadar menjadi ADUN Bukit Raya. Presiden PAS sendiri TG Haji Hadi pernah menjadi ADUN Rhu Rendang sahaja apabila tewas di parlimen Marang satu ketika dulu.

GB mengharapkan Mohammad Sabu dipilih untuk bertanding di PRK Sungai Limau, supaya beliau mula "bekerja" dari sekarang. Masa untuk bercakap sudah berlalu (bukan tak boleh bercakap lagi tetapi masa diperuntukkan untuk bekerja mesti diutamakan daripada masa untuk bercakap dan berceramah). Dan GB percaya Mohammad Sabu juga seorang yang rajin bekerja jika beliau diberikan peluang dan ruang itu.

PAS perlu buktikan ia parti yang kuat bekerja untuk rakyat, bukan sekadar parti ceramah waktu malam, dan ia bermula dengan orang yang bernama Mohammad Sabu. Kalau beliau selama merupakan ikon ceramah-ceramah PAS, beliau kini perlu menjadi ikon tenaga kerja profesyenal PAS pula. Mohammad Sabu perlu buktikan bahawa orang PAS bukan sekadar pandai berceramah/berpidato semata-mata, tetapi hebat di dalam melaksanakan tugas dan bekerja juga. Dan elok diserahkan baton ceramah dan pidato kepada yang fakih dalam hal-hal agama.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya sokong dan saya setuju.

Kempen Biar Cerdik berkata...

Nanti kalau sudah dipilih sebagai calun... jangan tersasar cakap semasa kempen..'kalau saya dipilih nanti saya akan menempatkan wakil saya untuk berurusan dengan rakyat kerana saya sibuk menguruskan perniagaan saya di Alor Star...' seperti kempen calun PAS di Kuala Besut dahulu..

Tanpa Nama berkata...

Dr.Kharuddin yg dah jadi Ahli Parlimen buat pertama kali merasakan dirinya hebat.Macam Hassan Ali jugak yg mengatakan orang yg punya PHD ilmunya sudah sampai keatap rumah.Bangga diri dan riak bukanlah pakaian orang beriman.Walau pun dapat 7 PHD tapi riak,tak ada gunanya apatsh lagi duduk dalam kumpulan ulamak.

pakteh berkata...

kalau mad sabu jadi calon. aku yakin pas akan menang tapi ,mejoriti nya akan menurun , lebih dari itu payah aku nak ulas ,

Tanpa Nama berkata...

Orang yang boleh buat semua kaum berkawan ia lah Abg. Mat. tak payah cari lain jasa nya banyak, parti lawan menang PRU lepas, ramai dah tahu menipu.Bagi peluang sekali lagi, biar umno kecut telor di parlimen.SPR mesti di anggotai 50-50 pembangkang/pemerintah dan jangan pakai cop jari lagi pakai electro voting, hanya tekan dan keputusan tak payah nak putar belit.Tunjuk I/C boleh tengok muka baru betul.I/C celup baru boleh kesan.Kalau berani election di sg. limau ubah cara baru baru tak boleh tipu.Mana blogger keparat umno sila kemuka hujah anda