10 Sep 2013

[WASPADA] Bahaya Penyegar Udara Dalam Kereta & Rumah


Penyegar udara yang sering diletakkan di dalam kereta kita ataupun di rumah mungkin berbau nyaman tetapi ia boleh mendatangkan kemudaratan tanpa kita sedari.

Enam produk penyegar udara yang biasa digunakan yang ditemui di pasar raya dan kedai di seluruh negara telah diuji oleh sekumpulan pengguna, mengandungi empat bahan kimia berbahaya iaitu – toluena, benzena, formaldehid dan phthalates.

Kesemua produk didapati mengandungi salah satu daripada bahan kimia terbabit pada paras tertinggi dengan phthalates – bahan mengganggu sistem endokrin (EDS) – terkandung dalam empat daripada enam produk tersebut.

Pendedahan dalam tempoh yang lama kepada EDS boleh menjejaskan sistem imun dan otak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia, Ratna Devi Nadarajan yang menjalan ujian itu, EDS boleh menyebabkan lelaki berkelakuan lebih feminin dan sebaliknya.

“Ia juga boleh membantutkan perkembangan organ-organ penting dan menyebabkan keguguran. Tahap kerosakan, bagaimanapun, bergantung kepada kesihatan individu, dengan wanita hamil dan kanak-kanak berdepan risiko tinggi,” katanya.

Ratna berkata sesetengah penyegar udara ditemui mengandungi campuran beberapa jenis phthalates yang jauh lebih berbahaya. Dua daripada penyegar udara ditemui mengandungi toluena yang boleh merosakkan hati, buah pinggang dan otak jika terdedah terlalu lama kepada produk itu.

Persatuan itu turut menemui penyegar udara buatan tempatan mengandungi bahan kimia yang tinggi iaitu toluena dan tiga jenis phthalates.


Ratna menjelaskan kebanyakan orang di luar sana terutama di kawasan bandar menghabiskan beberapa jam dalam kereta setiap hari, menghidu bahan kimia dari penyegar udara itu.

“Sekurang-kurangnya, bahan kimia ini boleh menyebabkan sakit kepala, loya dan kemurungan,” katanya.

Apabila berada dalam persekitaran yang terhad seperti di dalam kereta dengan udara segar yang amat sedikit, beliau berkata bahan kimia itu lebih berbahaya.

Ratna berkata mereka masih menunggu data mengenai had dan praturan penyegar udara dari pengawal selia tempatan serta negara-negara lain untuk melakukan perbandingan.

Beliau menasihatkan para pengguna untuk mengelakkan penggunaan penyegar udara terlalu kerap dan memilih pengudaraan secara semula jadi dan mementingkan kebersihan di rumah. Ratna mencadangkan alternatif semula jadi seperti daun pandan, serai dan arang. – mStar

7 ulasan:

Awanama berkata...

Where is Jabatan Standard and KPDNKK?

Pengguna Harian berkata...

Kementerian kesihatan kena cepat bertindak.. sila sediakan satu garis panduan kepada syarikat pengeluar produk berkenaan bahan kimia yang boleh digunakan dan yang dilarang penggunaannya, serta pastikan kandungan dan peratusan bahan kimia yang digunakan dalam penyegar udara hendaklah dipaparkan pada label atau kotak produk.

therace berkata...

aku cukup benci dengan berita dan maklumat yang macam ni sebab jenama yang terlibat tidak dinyatakan. Bagaimana pengguna nak bertindak. Kalau takut nak nyatakan apakah jenama yang terlibat...JANGAN laporkan terus.... malah tindakan ini menzalimi mana2 jenama yang tidak mengandungi bahan berkenaan kerana disalah tanggap oleh pembaca.

Awanama berkata...

SIRIM oh SIRIM lu tidurkah??? Amacam produk tempatan pun boleh ada bahan berbahaya?? Kamu orang tak buat ujikajikah???

Membazirkan duit rakyat sahaja untuk upah pegawai SIRIM dan juga pegawai kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna yang kerjanya tidur sahaja.

Inilah jadi kalau pegawai dapat kerja secara Kabel.

anip pak tongko berkata...

Yang media ni pun satu....nak bagitau tapi tak nak bagitau jenama dia, takat nak habag bahaya tu bahaya nie, sapa pun buleh ! Letak gambag tapi blerrr, buat menatang apa. Dalam TV pun selalu, TV A tunjuk muka, TV B bagi bleerrr, apa ke jadahnya ? Nak bagi orang faham, nak bagi orang tau, bagitau betoi2. Akai ada ka !

Awanama berkata...

Di negara kita ni kebanyakan perniagaan atau industri dimiliki oleh org2 politik. Sebab itu mereka tak berani dedahkan jenama yg terlibat. So, lu pikir la sendiri...

Awanama berkata...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui Segalanya
Pasrahkan padaNya