16 Sep 2013

Ikhwanul Muslimin: Kami Tidak Akan Menyerah Kalah


Presiden sementara Mesir Adly Mansour melanjutkan tempoh darurat kepada dua bulan lagi susulan keganasan berterusan di Kaherah.

Sebelum ini, arahan darurat tamat pada Ogos lalu namun ia dilanjutkan berikutan ribuan rakyat Mesir dan penyokong Presiden digulingkan Mohamed Mursi masih meneruskan perarakan di jalan-jalan utama sekitar bandar bagi mendesak pembebasan pemimpin itu sekali gus mengutuk rampasan kuasa tentera.

“Tempoh darurat dilanjutkan dua bulan. Kami beri amaran, tentera dan polis tidak berkompromi dengan mana-mana individu melanggar perintah ini,” katanya menerusi stesen televisyen tempatan Press TV.

Sementara itu, selepas solat Jumaat semalam, ribuan rakyat Mesir menyertai perarakan mega di Madinah Sidi Salim, Wilayah Kafr Asy Syeikh dan Syubra Al Kheymah serta di hadapan masjid Al Fath, Zagazig.

Perarakan sama turut dilakukan di hadapan Masjid Al Hamd, Tajammu’ sebelum menuju ke Masjid Salam, Madinah Nasr bagi menuntut kerajaan sementara membebaskan tahanan serta mengencam kemerosotan ekonomi dan penutupan masjid sekitar Kaherah.

Sementara itu seorang maut dan enam cedera ketika pertempuran antara pihak keselamatan dan penyokong Presiden digulingkan Mohamed Mursi, semalam.

Dipetik laporan Press TV, pertempuran tercetus selepas ribuan rakyat Mesir dan pergerakan Ikhwan Muslimin (IM) mengadakan demonstrasi di seluruh negara selepas solat Jumaat sebagai mengutuk tindakan rampasan kuasa oleh tentera sejak 13 Julai lalu.

Jurucakap IM, Essam el- Erian yang berhadapan tuduhan menghasut keganasan dan pembunuhan, nekad meneruskan demonstrasi sehingga Mursi dan ahli IM dibebaskan.

“Kami tidak akan menyerah kalah kepada mereka yang bercakap dengan ‘bahasa peluru’. Ini hak kami untuk bersuara, kami tidak gentar dengan mereka,” katanya.

Tiada ulasan: