24 Ogo 2013

"Pembunuhan Bapa Saya Dirancang" -Anak Peg Tinggi Kastam


P embunuhan pegawai tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan kereta berpangkalan di pulau bebas cukai Langkawi, kata ahli keluarganya kepada The Malaysian Insider.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim (gambar) ditembak mati di Putrajaya pada 26 April, beberapa minggu sebelum keganasan berkaitan pistol tersebar ke seluruh negara.

“Pembunuhan bapa saya dirancang, ia ada kaitan dengan sindiket penyeludupan kereta di langkawi," kata Mohd Akhtar Shaharuddin kepada The Malaysian Insider minggu ini.

Malah beliau sendiri yakin dalang pembunuhan bapanya adalah dari jabatan Kastam sendiri.

"Saya pasti akan hal itu biarpun polis menafikannya," kata arkitek berumur 30 tahun itu.

"Bapa saya pernah menceritakan kekecewaan beliau terhadap penyelewangan kuasa pegawai kastam yang terlibat dalam rasuah ini berkaitan dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.

"Tidak lama selepas membuat aduan itu, beliau menerima surat pertukaran kerja. Surat itu, bagaimanapun ditarik balik apabila Kesatuan Kastam campurtangan dan berjuang mempertahankan hak bapa saya," katanya.

Sebulan selepas itu, Shaharuddin ditembak ketika sedang memandu ke pejabatnya di Putrajaya.

"Tidak ada siapa faham kehilangan orang tersayang dengan cara kejam begini kecuali bagi mereka yang pernah melalui sendiri kerana itu saya amat berharap kematian bapa dibela," katanya.

Yang lebih menyedihkan Akhtar, empat bulan selepas bapanya ditembak mati, tiada sesiapa didakwa kerana membunuh.

Pertama kali bercakap kepada media, Akhtar mengatakan bapanya menerima panggilan daripada pemberita bertanya tentang sindiket penyeludupan kereta di Langkawi, beberapa minggu sebelum ditembak mati.

Tanpa berfikir panjang, orang nombor tiga dalam Kastam itu ke Langkawi untuk menyiasat.

"Beliau merupakan seorang yang tegas dan tidak pernah menceritakan apa-apa masalah tentang kerja dengan keluarga. Namun saya diberitahu oleh ibu, seorang wartawan ada menelefon bapa saya bertanyakan mengenai isu sindiket penyeludupan kereta di Langkawi," kata Akhtar.

Akan tetapi beliau tidak pasti sama ada bapanya sempat bercakap dengan pemberita itu selepas pulang dari Langkawi.

Akhtar turut mendedahkan bapanya menerima banyak ugutan termasuk peluru dihantar ke rumah mereka.

Menurutnya, beliau membuat pendedahan kerana kecewa dengan layanan dingin diberikan polis ke atas siasatan kes bapanya.

"Bayangkan sudah hampir berapa bulan kes ini berlaku jangan kata suspek malah sebarang petunjuk tidak diberikan polis," katanya.

Katanya kali terakhir dia berjumpa dengan polis pada bulan Ramadan lalu setelah digesa beberapa kali untuk mendapatkan perkembangan siasatan.

"Dalam tempoh berapa bulan selepas kejadian saya hanya berjumpa dengan polis dalam dua atau tiga kali.

"Bagaimanapun selepas sebulan mereka langsung senyap dan saya terpaksa mengejar polis untuk mengetahui perkembangan kes," katanya.

Menurut Akhtar, layanan diberikan polis terhadap kes bapanya dianggap tidak adil walaupun bapanya merupakan pegawai tinggi kerajaan yang banyak menyumbang kepada negara.

"Kita bercakap tentang pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah, siapa beliau.. tidakkah jasa beliau tidak ternilai kepada negara jadi kenapa memperlakukan keluarga kami begini,” katanya kecewa.

Tegas Akhtar beliau hanya mahu keadilan bagi bapanya.

"Bapa saya seorang berdedikasi dan pegawai jujur tidak pernah mengambil kesempatan terhadap kelebihan dimiliki walaupun dia boleh berbuat demikian," katanya lagi.

Shaharuddin yang mengetuai bahagian Pekastaman dan Cukai Dalam Negeri hanya tinggal setahun untuk bersara sebelum ditembak mati pada 26 April.

Beliau yang dilahirkan di Negeri Sembilan itu sudah berkhidmat selama 30 tahun bersama Kastam dan diberikan jolokan "Mr Clean".

Mangsa yang duduk di bahagian penumpang depan kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditembak tiga das oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah dilapor menafikan kaitan pembunuhan Shaharuddin dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.

C “Ia merupakan spekulasi semata-mata,” Ku dilaporkan berkata.

Laporan sebelum ini mengatakan polis sudah menyiasat 35 orang untuk kes ini termasuk pegawai-pegawai Kastam dan menahan dua orang untuk siasatan lanjut.

Seorang daripadanya merupakan ahli perniagaan dan seorang lagi merupakan pengedar alat ganti. Kedua-duanya kemudian dibebaskan dengan jaminan.

Ku yang dihubungi semula berhubung pendedahan terbaru ini mengatakan, "kami masih menyiasat".

Kes tembak itu berlaku tidak lama sebelum pilihan raya umum ke 13. Kes itu mengejutkan kerana ianya melibatkan pegawai tinggi kerajaan.

Selepas kes Shaharuddin, 35 kes tembakan berlaku di seluruh negara yang melibatkan 22 kematian· -TMI

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tabung Haji makin lama makin parah , tambah-tambah sekarang Azeez Rahim jadi pengerusi . Dulu aku dengar banyak orang dok bercakap belakang pasal pegawai-pegawai kat Tabung Haji, ada beberapa spesies korup, penting kroni dan kaki sakau. Hang pa cuba teka Azeez Rahim yang dah jadi pengerusi Tabung Haji tu dalam kategori mana satu ?

Ni nak tanya kat Azeez Rahim , betul ka CEO Tabung Haji Real Estate yang beroperasi kat Arab Saudi tu kawan baik pada Jasmi Ismail iaitu abang kepada Ismee Ismail ?? Ini sudah dikira KRONI ! Hang cuba-cuba nak cover ... Ismee Ismail ka dok control Azeez Rahim atau Azeez Rahim yang dok kontrol Ismee Ismail . Peduli la.. yang aku tau dua-dua masyukkk. http://no2azeezrahim.blogspot.com/

Tanpa Nama berkata...

Kehancuran demi kehancuran sedang dialami oleh negara Malaysia kerana UMNO haramjadah terlalu tenat dng gejala rasuah, kronism, penyelewengan, masyukkkk dll (panjang sgt nak sebut semua di sini)...tapi orang melayu UMNO haramjadah kata: Tak pa lah asalkan orang melayu memerintah bukan cina!!Siluncai terjun dng labu-labunya...biarkan!biarkan!

Tanpa Nama berkata...

Sebagai rakyat saya teramat bersimpati dgn luahan hati mohd akhtar (MA) anak simangsa tembakan itu. Org awam harus menilai kenyataannya bukan se
cara membabi buta mengenepikan luahan hatinya sebagaimana peg.polis tersebut. Pada saya kes allahyarham sama kes allahyarham Jalil Ibrahim yg tewas di Hong Kong nilai yang perlu dibayar untuk menegakkan kebenaran dan kejujuran.
Malapetaka jabatan kastam ini sudah pasti akan memalukan DS Najib sbb Kastam di bawah kementerian kewangan dan menterinya DS Najib dan sewajarnya perlu tindakan segera.

Tanpa Nama berkata...

Bapa saya adalah seorang anggota polis di negeri Johor. Beliau menjalankan usaha pengkapan warga asing yang menyelusup secara haram di lubang-lubang tikus berkaitan. Beliau juga menyekat aktiviti perjudian. Beliau mengidap penyakit akibat disihir.Rumah kami beberapa kami ditemui tanah kubur yang berbungkus dengan kain kapan dan abu mayat. Jiran juga kerap terlihat api tuju-tuju meletup di bumbung rumah kami pada waktu maghrib.Bapa saya menjadi semakin lemah dan mula tidak dapat tidur serta makan. Giginya mula tanggal satu deni satu. Beliau meninggal dunia pada usia 46 tahun. Pangkatnya dilucutkan kerana gagal menyelesaikan banyak kes. Seminggu sebelium beliau meninggal beliau mengambil cuti dan pulang ke kampung dengan ditemani adiknya dengan menaiki bas eksprss. Di dalam beg beliau kami terjumpa kain kapan dan wang RM 800 bagi menyempurnakan jenazahnya. Setelah bebrapa bulan saya mengemaskan pakaian dan meja kerja beliau. Saya terjumpa fail yang mengandung surat ugutan bunuh untuk beliau. Bayangkan betapa deritanya beliau semasa hayatnya dan betapa deritanya kami selepas peninggalannya. Saya terpaksa mengalah dengan menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke UPM secara senyap. Ini kerana kakak saya belajar di ITM dan adik akan SRP dan dan di sekolah rendah. Saya doakan tuan kuat dalam menegakkan hak kebenaran Allah SWT.

Tanpa Nama berkata...

Semuga kedua-dua anak penguatkuasa ( kastam & polis ) tabah menghadapi ujian hidup yg getir ini dan semuga roh arwah-arwah ditempatkan di kalangan org beriman. Persoalannya kenapa kakitangan yg berkhidmat sebagai penguatkuasa yang telah ditarbiyah melalui ceramah keutuhan, BPR (SPRM) dll terpaksa melalui hidup seperti ini. Jawabnya adalah seperti yg berlaku di Mesir yg bunuh rakyat Mesir adalah rakyat Mesir sendiri yg bersifat MUNAFIK dan tak takut Allah dan yang seronok, puak Yahudi/musyrikin laknatullah.

Tanpa Nama berkata...

susah nak jadi org baik kat malaysia... sbb tu malaysia hancur... org atasan tak suka pegawai baik... dgr ceritanya, kat tempat kejadian tu ada cctv, tapi pembunuh tu mcm tau tau je kat situ ada cctv sbb diaorg tak berpaling langsung kearah cctv tu yang mana kalau org biasa tak tau kedudukannya...