21 Jul 2013

Agenda 16:16 Paling Menguntung Rakyat Terengganu


PAS memberi jaminan dapat menyelesaikan isu diskriminasi agihan peruntukan kepada DUN yang dimenangi Pakatan Rakyat sekiranya menang kerusi Dewan Undangan (DUN) Kuala Besut.

Walaupun tidak membentuk kerajaan baru yang sah di Terengganu, PAS meramalkan kemenangan 16:16 mampu menyekat Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said daripada menganiayai kawasan-kawasan DUN Pakatan Rakyat.

“Sebelum ini, Menteri Besar pernah berkata kerajaannya tidak memberikan peruntukan perumahan kepada kawasan yang BN tewas,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya lagi, iika pengundi Kuala Besut menjadikan kedudukan DUN 16:16 24 November ini, perkara ini boleh dielakkan.

“Para penyokong BN di Kuala Besut juga disarankan memberikan undi kepada calon PAS supaya Ahmad Said tidak turut menganiaya penyokong BN yang menyokong mereka di kawasan DUN yang dimenangi pembangkang,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berpandangan senario 16:16 mampu menyeimbangkan peranan PAS dalam DUN bagi membolehkannya memastikan segala dasar, perbelanjaan, projek dan pembangunan yang ingin dilaksanakan berjalan dengan lebih adil dan telus.

Beliau bagaimanapun menegaskan Terengganu tetap kekal milik BN kerana perlantikan Menteri Besar dan Speaker telah dibuat, dan Dewan Undangan Negeri telah dibentuk.

“16:16 adalah satu anjakan bagi kepentingan rakyat Terengganu keseluruhannya bagi mengawal pelbagai projek yang membazir, mencari punca kepada pelbagai peristiwa bumbung bangunan runtuh, menyekat penyalahgunaan kuasa dan membendung ketidakadilan dalam pentadbiran kerajaan sekarang.

Rakyat Terengganu adalah pihak yang untung jikalau PAS memenangi PRK Kuala Besut 24 Julai ini,” katanya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini menyifatkan usaha PAS mewujudkan pentadbiran kerajaan Terengganu yang tergantung menerusi kempen 16:16 tidak akan diterima rakyat dan ia tindakan populis bagi meraih perhatian pengundi Kuala Besut.


Apa ertinya ‘Agenda 16-16’ kepada pengundi Kuala Besut?


Ramadhan Mubarak adalah bulan anugerah AlLah SWT buat seluruh ummat Islam. Semua ummat Islam yang diberi Allah usia dan kesihatan layak menjadi peserta dan mengecapi kelebihan berpuasa di bulan yang mulia ini.

Dalam bulan ini juga AlLah SWT memberikan pelbagai ‘bonus’ istimewa kepada barang siapa yang AlLah pilih. Sukar untuk mendapat kepastian siapa yang terpilih untuk pemberian ‘bonus’ ini seperti beramal ketika Lailatul Qadr.

Namun satu lagi ‘bonus’ yang menjadi pemberian AlLah lebih mudah dapat disaksikan siapakah penerimanya pada Ramadhan 1436H ini.

Ya, negara yang baru sahaja selesai pilihanraya umum ke-13 baru-baru ini sedang menyaksikan pilihanraya kecil (PRK) yang pertamanya. Hanya dalam pengetahuan Ilahi, mengapa negeri Terengganu dan khususnya DUN N.01 Kuala Besut, ‘dipilih’ AlLah SWT sebagai PRK pertama.

Umum sedar bahawa Pilihanraya Kecil sememangnya ‘bonus’ untuk sesebuah daerah atau kawasan parlimen. Hakikatnya PRK membawa pelbagai ‘habuan’ dan ‘pemberian’ dalam beranika rupa untuk rakyat dan pengundi. Pemberian wang tunai, pemberi-milikan tanah, jalan raya ditampal, peruntukan infrastruktur mencecah ratusan juta ringgit termasuk pemberian anak lembu, kambing dan ayam, menjadi amalan lumrah peguasa politik Umno-BN.

Namun mampukah pengundi-rakyat Kuala Besut benar-benar dapat menjadikan peluang ini ‘bonus’ ini sebagai ‘peluang kedua’ untuk melakukan apa yang telah ‘gagal’ mereka capai dalam PRU ke-13 yang lalu.

Peluang seperti ini adalah cukup unik untuk rakyat Kuala Besut yang mungkin tidak akan mereka ketemui dalam jangka hayat mereka lagi. Kebarangkalian peluang ini berlaku, tidak senang diramalkan dan tidak siapa dapat ramalkan mentelahan negara baru sahaja usai ‘perang besar’nya dalam PRU ke-13.

Sesungguhnya Takdir AlLah mendahului tadbir manusia. Sebelum kematian AlLahyarham Adun Kuala Besut, Dewan Undangan (DUN) Terengganu terikat dengan keputusan 17-15 dengan BN memilikki lebihan 2 kerusi negeri. Kini sebutan keramat bagi mencapai matlamat kedudukan kerusi '16:16', bukan sahaja menjadi ramalan pihak kolumnis akhbar tempatan bahkan cerdik pandai, ahli akademik dan professor di menara gading. Tidak kurang juga topik ini menjadi mainan di bibir penduduk di kedai-kedai kopi dan sembang selepas more solat tarawikh.

Persoalan Besarnya ialah;

Mampukah pengundi-penduduk Kuala Besut mengambil peluang ini untuk melakukan sesuatu yang bakal terakam sebagai satu sejarah politik negara yakni mengikat kedudukan 16-16 ?

Mampukah pengundi-penduduk Kuala Besut mengambil peluang ini melakukan ‘kejuta besar’ untuk memenangkan calon PAS-Pakatan Rakyat sekaligus mengakibatkan satu senario ini yang belum pernah berlaku dalam sejarah politik negara yang telah Merdeka selama 57 tahun ini?

Persoalan lebih dasar dan wajib dibahaskan dahulu ialah;

Mengapakah pengundi-rakyat Kuala Besut wajar bahkan hampir ‘wajib’ mempastikan pencapaian 16-16?

Inilah yang akan cuba di yakinkan penulis supaya pengundi-rakyat memahami kemestian untuk bersama-sama untuk menggalas ‘amanah besar’ ini.

Apa itu 16-16 dan apa pula implikasinya?

Pertamanya, 16-16 bermakna kedua-dua belah pihak samada Barisan Naisonal (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) tidak mempunyai kelebihan kerusi dan undi dalam belah-bahagi yang dilalukan dalam perbahasan enakmen atau usul dalam DUN. Pungutan suara atau belah-bahagi akan bakal berakhir dengan seri 16-16, dengan andaian semua ahli DUN hadir dari kedua-dua pihak.

Peruntukan bahawa Yang Dipertua DUN (Speaker) yang dikatakan mempunyai 'Undi Penentu' atau "Casting Vote" dalam suasana keputusan undian 'belah-bahagi' terikat 16-16, hanya boleh digunakan kalaulah Speaker adalah seorang ahli DUN yang dipilih rakyat dan bukan yang dilantik kerajaan yang secara ‘perlantikan' bukan dari anggota-ahli DUN yang dipilih rakyat. Keadaan di DUN Terengganu adalah seperti yang kedua yakni Speaker dilantik.

Ini membawa kita kepada 2 lagi senario atau kemungkinan. Pertama; Tuanku Sultan Terengganu memilih seorang Menteri Besar (MB) dari mana-mana belah pihak samada BN atau PR, yang pada hemat Tuanku Sultan mendapat kepercayaan rakyat Terengganu.

Andainya Baginda tidak mahu memilih maka senario terakhir maka opsyenya ialah membubarkan DUN Terengganu bagi memberi laluan kepada satu pemilihan kerajaan baru dalam satu pilihanraya negeri Terengganu melibatkan seluruhnya 32 kerusi negeri.

Walaubagaimana pun PAS bersedia dengan kemungkinan Tuanku Sultan akan memilih MB dari BN. PAS bersedia bertindak untuk menjadi pembangkang yang kuat dengan Umno-BN kekal sebagai kerajaan negeri Terengganu.

Penulis berpandangan bahawa bagi mendapatkan sebahagian besar ‘pengundi atas pagar’, senario Umno-BN kekal berkuasa adalah lebih memberikan ‘keselesaan’ untuk segmen pengundi ini. Faktor ‘Calon’, disamping ‘Isu dan Jentera’ juga adalah kritikal dalam PRK ini. Pelbagai ‘isu’ sedang sengit diperbahaskan dan berembung dalam PRK ini. PAS disaksikan mendominasikan ‘terjahan isu’ sementara Umno terpaksa mengikut rentak dan cuba menjawab balas.

Calon PAS Sdra Che Long, seperti diketahui umum mempunyai tarikan dan ‘goodwill’ tersendiri yang menjadikan ‘pengundi atas pagar’ selesa dengan beliau. Sangat menasabah segmen pengundi akan memberikan kelebihan undi kepada calon PAS ini.

Maka dalam percaturan strategi seperti itu, adalah realistik mengunjurkan bahawa ‘ pengundi atas pagar’ akan tergalak untuk memberikan kemenangan kepada calon PAS kalau tidak berlaku pertukaran kerajaan.

Ini sekaligus akan menyempurnakan ‘Agenda 16-16 PAS’ dalam PRK Kuala Besut nanti tanpa mencetuskan pelbagai senario ketidakstabilan dan huru-hara seperti digembargemburkan oleh pemimpin Umno.

Pengundi Kuala Besut menjadi ‘King-Maker’?

Dengan kata lain, pengundi Kuala Besut telah menjadi ‘King-Maker’ dalam penentuan arus politik negeri Terengganu. Walaupun apa pun senario kesudahan selepas 16-16 tercapai, jelasnya keputusan PRK ini akan menentukan masa depan politik negeri Terengganu. Itu yang dimaksudkan bahawa Kuala Besut mencipta sejarah.

Mengapakah rakyat-pengundi Kuala Besut perlu menjadi ‘King-Maker’ dalam politik Terengganu adalah penting untuk difahami pengundi dalam PRK N 01 ini. Untuk perhatian pengundi Kuala Besut, bukan sahaja keputusan PRK menentukn politik negeri Terengganu, bahkan seperti disebutkan oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan, ia penentu dalam survival kerjaya politik DS Najib Tun Razak sendiri selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO! Bukan kepalang! Huraiannya tidak semudah sebutannya dan di sini bukan pentasnya.

Mengapa pengundi Kuala Besut mesti menjayakan 16-16?

1. Memberikan isyarat yang tajam dan peringatan keras kpada penguasa dan pemimpin politik Umno bahawa kepentingan rakyat di Kuala Besut khususnya dan Besut serta Terengganu amnya, tidak boleh lagi di ambil ringan. Kedudukan kemiskinan dan Kuala Besut serta ranking Terengganu sebagai negeri termiskin mesti ditamatkan dengan keputusan 16-16 dalam PRK ini.

2. ‘Agenda 16-16’ adalah gagasan membangunkan Kuala Besut khasnya dan Terengganu amnya! Ia adalah semacam ‘manifesto’ PAS dalam PRK ini untuk mewujudkan ‘Pembangunan Mapan’ dan ‘Keadilan Untuk Rakyat Terengganu’ sekaligus membenteras kezaliman serta peminggiran rakyat dalam arus pembangunan serta pembolotan kekayaan oleh penguasa politik.

3. Lebih terperinci 16-16 memberikan amaran kepada pemimpin Umno bahawa Kuala Besut jangan lagi tercicir dan terpinggir dari arus pembangunan berbanding dun-dun dalam kawasan Besut itu sendiri. 16-16 akan mempastikan pembangunan seimbang akan dicapai dan setaraf dengan Jerteh dan Kota Putera. Kuala Besut bakal menjadi Bandar lestari.

4. Memperbaikki sistem perairan-empangan di Kuala Besut seumpama di alami petani sawah di Kampong Nangka, Kampung Baru, Gong Manok dan Kampong Tok Saboh dengan mendayakan kelompok ini dengan infrastruktur perairan-empangan sekaligus menebus guna 1000 ekar tanah terbiar. 16-16 akan mengizinkan penanaman padi dua kali setahun dapat diusahakan bagi meningkatkan pendapatan petani.

5. Memajukan Kuala Besut sebagai kawasan pelancongan yang berdaya maju dan menarik dengan menaikkan taraf jeti Kuala Besut untuk menarik lebih ramai pelancong untuk ke Pulau Perhentian kecil dan Perhentian besar. Pastikan RM250 juta yang dijanji oleh TPM segera di bayar dan perancangan yang lebih mapan perlu disusun dan dilaksanakan.

6. 16-16 akan mempastikan rakyat khasnya kelompok nelayan yang memerlukan akan diberikan tanah untuk kediaman dan menangani aspek gejala sosial khususnya di kalangan muda-mudi. Pendidikan dan persoalan kerjaya mereka ditangani secara berkesan. 16-16 tidak akan mengizinkan tanah tanah berharga seperti dipesisir pantai dan di pulau-pulau pelancongan di’anugerahkan’ kepada wakil-wakil rakyat seperti amalan lama sementara rakyat ternafi.

7. 16-16 akan dapat menjadikan Dewan Undangan Negeri sebagai pentas semak-imbang paling berkesan dalam perbelanjaan RM1.8 bilion wang ihsan dan dana khas dalam perbelanjaan ybajet negeri (RM2 bilion) yang akan dipertanggungjawabkan secara telus.

8. 16-16 akan menuntut ruang pekerjaan kepada pelbagai pihak khususnya golongan muda dan wanita untuk dimajukan dalam pelbagai sektor pekerjaan khasnya mengambil berteraskan pelancongan.

9. Secara kesimpulannya 16-16 akan memberikan ruang untuk persaingan lebih sihat dan sengit di dewan undangan negeri dalam memajukan sebuah pelan pembangunan untuk negeri Terengganu amnya dan daerah Kuala Besut khasnya.
-Dr Dzulkefly Ahmad/HD

Tiada ulasan: