27 Mei 2013

Jom Ke Balai Polis Buat Laporan Isu Dakwat Kekal Hari Ini


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu membuat laporan polis berhubung penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam pilihan raya tersebut.

Salinan laporan tersebut hendaklah diserahkan kepada pejabat-pejabat PKR, PAS atau DAP yang berdekatan bagi membuktikan penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam PRU-13 pada 5 Mei lalu.

Laporan yang dikumpulkan itu seterusnya akan digunakan untuk memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan pilihan raya.

“Kita mahu puluhan ribu laporan polis, paling kurang tentang dakwat kekal.

“Saudara, saya nak minta tiap orang yang mengundi yang hari pertama mengundi dakwat kekal dah pun hilang buat laporan polis.


“Selain itu, pengundi yang tidak dibenarkan mengundi kerana ada orang lain sudah mengundi menggunakan namanya juga kena buat laporan polis,” ujar Anwar dalam ceramahnya di Kemuncak Perhimpunan Suara Rakyat 505 di Padang Timur AMcorp Mall di sini malam tadi.

Anwar berkata lagi, sekurang-kurangnya terdapat 30 kerusi parlimen yang dipercayai dimenangi BN dengan cara penipuan dan penyelewengan pilihan raya.

Selain itu, Anwar turut menggalakkan orang ramai yang mempunyai bukti dan melihat sebarang penipuan pilihan raya turut berbuat demikian.

Anwar turut menggesa agar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan kerana bersengkokol dalam penipuan bagi memenangkan Umno-BN dalam pilihan raya yang dianggap terkotor dalam sejarah negara.

Selain Anwar, turut senada dengan desakan tersebut, barisan kempimpinan PR lain yang berucap, Nurul Izzah Anwar, N Surendren, Mohamad Sabu, Rafizi Ramli, Badrul Hisham Shaharin, Khalid Samad, Ronnie Liu dan lain-lain.

Anwar turut menemplak laporan akhbar The Star yang didakwanya sengaja menyembunyikan kenyataan penuh Pejabat Setiausaha akhbar Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama yang menyentuh isu penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam PRU-13.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kedutaannya itu, Kerajaan Amerika Syarikat melahirkan kebimbangan terdapat unsur-unsur mencurigakan dalam perjalanan pilihanraya.

Kenyataan itu turut berkata adalah diharapkan bahawa unsur-unsur tersebut diberi perhatian oleh pihak berkuasa Malaysia.
Sebaliknya menurut Anwar, akhbar tersebut hanya melaporkan ucapan tahniah dari Obama sahaja, bagi memberikan gambaran seolah-olah negara kuasa dunia itu mengiktiraf keputusan pilihan raya negara ini.

FORMAT LAPORAN POLIS

Saya ____________________________, kad pengenalan bernombor _____________________________ ingin membuat laporan polis berkenaan insiden yang berlaku di pusat pengundian semasa saya keluar mengundi.

Pada 05/05/2013, jam lebih kurang pukul _________, saya telah keluar mengundi di ____________________.

Setelah pegawai SPR menyemak dah mengesahkan identiti saya, mereka telah menyapu dakwat kekal pada jari telunjuk kiri saya. Setelah habis mengundi, saya pergi ke bilik air untuk membasuh tangan.

Saya difahamkan bahawa dakwat kekal itu sepatutnya tidak luntur untuk jangka masa 5 hari.

Walau bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati dakwat yang didakwa kekal luntur sepenuhnya. Saya percaya dengan pengunaan dakwat yang boleh luntur ini, akan mengakibatkan pihak-pihak yang tidak bertangungjawab akan mengambil kesempatan ini untuk melakukan penipuan dalam proses undian.

Saya juga percaya bahawa kejadian ini melanggar peraturan-peraturan dan peruntukan-peruntukan undang-undang pilihanraya.

Perkara ini adalah amat serius dan harus disiasat dengan serta merta. Sekian laporan saya.


TARIKH AKHIR UNTUK BUAT LAPORAN POLIS MENGENAI DAKWAT KEKAL IALAH HARI INI (27 MEI 2013)

1 ulasan:

keixter berkata...

Maaf. Tumpang tanya. Pasal pengundi hantu dengan black out tak buat report polis ke?