9 Nov 2012

Si Tanggang Moden Kejar Mak Dengan Parang Dipenjara

Kuala Terengganu – Tindakan biadab seorang anak yang bertindak mengejar ibunya sendiri dengan sebilah pisau mendapat pembalasan apabila dia dihukum penjara selama 8 bulan dan denda sebanyak RM3,000, semalam.

Sekiranya gagal membayar denda tersebut, Muhamad Sofian A Aziz, 29, bakal berdepan dengan tambahan penjara selama tiga bulan lagi.

Keputusan itu dibuat selepas Majistret Rozianti Mohamed menerima pengakuan bersalah tertuduh yang juga pencari barang terbuang itu.

Muhamad Sofian yang tinggal di Kampung Gong Tok Nasek dituduh melakukan ugutan jenayah dengan mengejar ibunya, Siti Fatimah Seman Ahmad, 57, dengan menggunakan pisau.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 November lalu, jam 9 pagi di Kampung Gong Tok Nasek dengan niat menyebabkan rasa cemas terhadap ibunya, seorang penenun songket.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainuddin Abd Ghani.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, hanya disebabkan permintaannya untuk mendapatkan sejumlah wang dipercayai untuk membeli dadah tidak dipenuhi, seorang anak sanggup mengejar ibunya dengan menggunakan sebilah pisau.

Tidak cukup dengan itu, suspek juga bertindak ganas merosakkan beberapa peralatan yang ada di rumah mereka, termasuk peralatan menenun songket milik mangsa yang digunakan untuk mencari rezeki.

Kejadian pada jam 9 pagi di Kampung Gong Tok Nasek itu berlaku apabila mangsa enggan memberikan wang sebagaimana dikehendaki suspek, sebelum lelaki itu naik hantu dan mengamuk sebelum mengejar ibunya dengan pisau.

Menurut sumber, mangsa yang ketakutan melihat perlakuan agresif suspek segera keluar dari rumah kerana bimbang diapa-apakan.

“Bagaimanapun, tindakan kurang ajar suspek disedari seorang ahli keluarga yang kemudian menghubungi polis.

“Susulan laporan dibuat, polis menahan suspek di rumah keluarganya beberapa jam selepas kejadian. Suspek dilaporkan selalu meminta RM50 setiap hari daripada ibunya,” katanya. -SH

Tiada ulasan: