2 Apr 2012

Rakyat Malaysia Kandas Di Hatyai, Ada Yang Kantoi Rahsia Terbongkar

100 rakyat kita terkandas di Hatyai

HATYAI (Thailand): Lebih 100 rakyat Malaysia terkandas di pekan pelancongan ini berikutan barangan peribadi yang masih berada di Hotel Plaza Lee Garden, yang menjadi sasaran bom kelmarin, selain kenderaan mereka ‘ditahan’ pihak berkuasa Thailand.

Difahamkan selain barangan berharga termasuk dokumen ditinggalkan di bilik hotel, ratusan kenderaan di tempat letak kereta aras bawah premis 33 tingkat itu turut ditahan pihak berkuasa atas alasan keselamatan.

Keadaan itu menyebabkan ramai pelanggan termasuk rakyat Malaysia terpaksa terus berada di negara ini, yang dianggap menyukarkan terutama apabila kebanyakan mereka terpaksa kembali bekerja hari ini.

Pihak berkuasa Thai ketika ditemui berkata selain khuatir dengan struktur bangunan yang mungkin sudah terjejas akibat letupan, tindakan tidak membenarkan orang awam memasuki bangunan turut dibuat atas faktor keselamatan terutama bimbang berlaku letupan kali kedua.

“Kalau boleh kita mahu benarkan semua orang masuk ke hotel dan ambil barang masing-masing yang ditinggalkan ketika letupan.

“Kita sedar ratusan kenderaan ditinggalkan di ruang letak kereta bawah hotel, namun kita tidak dapat benarkan mereka masuk atas alasan keselamatan,” katanya.

Seorang usahawan dari Shah Alam, Mustakim Omar, 55, ketika ditemui berkata pelbagai barangan peribadi miliknya dan keluarga gagal dituntut, walaupun selepas lebih 24 jam letupan berlaku.

“Saya menginap di tingkat 27 hotel terbabit dan ketika letupan, kami sekeluarga tiada di hotel kerana keluar atas urusan kerja.

“Sebaik pulang pada sebelah petang, kami dihalang daripada memasuki kawasan terbabit sehingga terpaksa berpindah ke hotel lain. Namun, barangan kami masih di sana.

“Justeru, saya harap pihak berkuasa Thailand dapat berbuat sesuatu untuk mengelak kami terutama rakyat Malaysia daripada terus menunggu.

“Saya adalah antara lebih 100 rakyat Malaysia yang menunggu di hadapan hotel bermula jam 8 pagi untuk menuntut barangan peribadi yang ditinggalkan,” katanya.

Namun, sehingga jam 3 petang semalam, majoriti mereka masih hampa menyebabkan ramai terpaksa terus bermalam di pekan ini kerana bukan saja dokumen peribadi seperti pasport yang ditinggalkan di hotel, malah kenderaan milik mereka juga turut terkandas.

Sementara itu, Kedutaan Malaysia di Songkhla ketika dihubungi, berkata pihaknya akan berusaha mempermudahkan urusan terbabit. -BH

Rahsia pergi negara jiran terbongkar

HATYAI, SONGKHLA: Niat empat kakitangan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Perlis cuba merahsiakan pemergian mereka ke negara jiran, terbongkar apabila seorang daripada mereka gagal pulang kerana kereta dinaiki terperangkap di kawasan letupan bom.

Lebih malang, pasport milik pemilik kenderaan itu tertinggal dalam kereta yang diletak di tempat letak kereta Hotel Lee Garden Plaza, di sini. Difahamkan, mereka termasuk seorang wanita berada di Hatyai sejak awal pagi kelmarin, tinggal di hotel berasingan, dihalang mengambil kereta yang diletak di kawasan Hotel Lee Garden Plaza selepas letupan bom itu.

Empat kakitangan itu terpaksa hadir ke kaunter perkhidmatan sementara Konsulat Besar Malaysia di Songhkla yang dibuka di lobi Hotel Grand Plaza, bersebelahan lokasi kejadian di sini, semalam.

Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan berkata, pihaknya mewujudkan Pusat Operasi Sementara yang dibuka 24 jam bagi membantu rakyat Malaysia yang mengalami masalah.

“Keluarga atau waris yang mahu mendapatkan maklumat situasi terkini boleh menghubungi talian +6674311062 dan +6674316274 atau faksimilie +6674324004,” katanya. -hm




Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Tiada ulasan: