17 Mac 2012

Pergelutan Sewaktu OKU Buat Laporan: SPRM Nafi Pengawal Kakitangannya

Pengawal bukan kakitangan SPRM

Merujuk kepada tajuk berita (Malaysiakini edisi Bahasa Malaysia - dilampirkan di bawah -GB) dan tajuk berita versi bahasa Inggeris yang sama, dukacita (kami) memaklumkan bahawa penulisan tuan "pergelutan di SPRM" seperti yang digambarkan adalah tidak berlaku.

Untuk makluman tuan pejabat SPRM Kuching Sarawak adalah terletak di tingkat 12, Bangunan Sultan Iskandar. Bangunan ini juga menempatkan pelbagai jabatan lain. Kami berkongsi ruang lobi dan perkhidmatan lif yang sama.

Kami juga ingin memaklumkan bahawa "pegawai keselamatan" yang dimaksudkan adalah bukan pegawai dan kakitangan SPRM.

Sehubungan itu, pihak kami ingin menegaskan SPRM sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk berurusan dengan pihak kami (without fear or favour) terutama untuk mengemukakan maklumat atau aduan berkaitan sesuatu perlakuan rasuah.

Adalah diharapkan berita ini dapat dijelaskan sebaiknya agar ianya boleh membantu meningkatkan persepsi positif masyarakat terhadap usaha bersama dalam kita mencegah perlakuan dan amalan rasuah.

Penulis merupakan ketua unit komunikasi korporat SPRM. -mk

Pergelutan di SPRM ketika pekebun OKU buat laporan

Cubaan Frusis Lebi, seorang pekebun kurang upaya untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terganggu apabila berlaku pergelutan ketika pengawal keselamatan menghalang kumpulan itu daripada memasuki Bangunan Sultan Iskandar di Kuching.

ADUN Padungan Wong King Wei berkata kumpulan itu telah dihalang daripada memasuki bangunan yang menempatkan ibu pejabat SPRM Sarawak, atas alasan bahawa wakil yang mengiringi beliau memakai baju yang tertera logo DAP.

"Saya ditolak dan dihalang masuk oleh pengawal keselamatan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar ... Pintu utama juga ditutup kepada ahli-ahli DAP dan orang ramai.

"Mengapa? Apabila saya bertanya kepada mereka, orang yang bertanggungjawab berkata ia adalah kerana logo berkenaan adalah dilarang, iaitu logo roket," katanya dalam satu tulisan di Twitter.

Turut mengiringi Frusis adalah ADUN Batu Kawah Christina Chew dan Ketua DAP cawangan Sri Aman Leon Jimat Donald.

Ketika dihubungi, Leon (kanan) berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 10:30 pagi apabila ahli kumpulan itu ‘dikasari’ selepas berkeras untuk memasuki bangunan itu bagi membuat laporan SPRM.

"Seorang pengawal keselamatan itu menolak bahu saya dan kami dihalau keluar dengan arahan supaya tunggu di luar," katanya.

Kumpulan itu, katanya, hanya dibenarkan masuk ke dalam bangunan itu dengan iringan pengawal keselamatan selepas lebih daripada 15 minit pertengkaran hangat.

"Kami mahu buat laporan tetapi apabila kita bertemu dengan pegawai itu, dia kata bahawa mereka sendiri sedang menyiasat perkara itu dan tidak ada keperluan untuk membuat laporan tambahan," kata Leon.

Laporan berkenaan adalah berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Menteri Muda Pertanian Sarawak Datuk Mong Dagang yang mengakui beliau mengarahkan bantuan subsidi pertanian Frusis dihentikan kerana menyokong pembangkang.

Sementara itu, penolong setiausaha publisiti DAP, Teo Nie Ching (kiri) yang melancarkan tabung mengumpul dana menerusi internet selama tujuh hari bagi membantu pekebun kurang upaya itu pada 8 Mac lalu, ketika dihubungi, berkata lebih daripada RM10,000 berjaya dikumpulkan.

Menurut Teo, jumlah sebenar dari kempen yang berakhir semalam akan disiarkan dalam masa terdekat, tetapi menegaskan bahawa ia sangat berjaya walaupun hanya dilakukan menerusi internet.

"Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia kebanyakannya lebih mengambil berat terhadap golongan miskin dan yang memerlukan daripada pentadbiran BN.

"Ini juga membuktikan bahawa walaupun dilabelkan sebagai 'samseng', kebanyakan pengguna internet adalah berfikir secara logik dan rasional. Mereka tahu bagaimana untuk menggunakan platform ini untuk memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Penyata akaun untuk kempen derma itu akan disiarkan minggu depan, kata beliau.

Sambil menambah bahawa kejadian itu masih jauh daripda berakhir, Teo berkata Mong mesti meletakkan jawatan atas tindakannya dan segera mengembalikan subsidi pertanian kepada Frusis.

Nota: Perenggan kedua telah dipinda untuk menjelaskan bahawa pejabat SPRM Sarawak itu terletak di dalam Bangunan Sultan Iskandar di Kuching. -mk


Tiada ulasan: