15 Mac 2012

Masalah Parkir Semakin Kronik Di Putrajaya

Putrajaya, 15 MAC : Berlanjutan agak lama, sehingga kini masalah kekurangan parkir kereta di pangsapuri Presint 9 dan 11 di sini semakin kronik dan seakan tidak ada jalan penyelesaian.

Kawasan ini merupakan penempatan terpadat yang didiami kakitangan awam di pusat pentadbiran negara yang serba canggih itu.

Pembangunan pesat dan pembinaan pangsapuri yang semakin bertambah menyebabkan penambahan kenderaan yang menyumbang kepada kekurangan kawasan parkir.

Kawasan perumahan yang mempunyai ruang parkir kereta yang terhad menyebabkan pemilik kenderaan meletakkan kereta di bahu jalan, walaupun sedar tindakan itu salah dan boleh menyebabkan masalah trafik.

Menurut Ketua Cabang PKR Putrajaya, Onn Abu Bakar, masalah yang semakin kritikal ini terpaksa dihadapi penghuni yang rata-rata setiap isi rumahnya mempunyai lebih daripada sebuah kereta.

“Penduduk di kawasan ini tidak mempunyai pilihan lain selain meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan kerana itu sahaja alternatif yang ada setakat ini. Saya benar-benar berharap supaya pihak pengurusan pangsapuri dapat mencari jalan untuk mengatasi masalah tempat letak kereta bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Onn berkata, walaupun saman dikeluarkan setiap hari, namun keadaan sama tetap berlaku.

Jelasnya, penduduk akan tetap meletakkan kenderaan di bahu jalan memandangkan tidak mempunyai pilihan lain.

Sementara itu, Siti Munirah, 26, yang menetap di kawasan itu berkata, beliau benar-benar berharap supaya pihak pemaju boleh menyediakan kemudahan tempat letak kereta bagi mengelakkan mereka dari terus disaman.

“Pihak pemaju mungkin boleh membina tempat letak kereta bertingkat bagi memastikan kenderaan dapat diletakkan di tempat yang selamat. Ini bagi mengelakkan penduduk daripada terus-terusan terpaksa membayar saman daripada Perbandaran Putrajaya,” jelasnya. -selangorku

2 ulasan:

akudandia.blogspot.com berkata...

Memanglah terpaksalah juga parking di bahu jalan kalau tiada tempat lain untuk parking kenderaan.Tambahan lagi 1 isi rumah lebih dari 2 3 biji kenderaan.

Tanpa Nama berkata...

pangsapuri/flat seluruh lembah klang pun menghadapi masalah yg sama, rakyat didahulukan dgn pelbagai masalah/isu, pencapaian hanya diutamakan utk golongan tertentu saje..