4 Mac 2012

Keputusan Isu Kedah Esok - Phahrolrazi & Ismail Dijangka Terima Semula Jawatan Exco

PAS: Penyelesaian kemelut Kedah diumum esok

Pertemuan khas antara Jawatankuasa PAS Pusat dengan badan perhubungan PAS Kedah malam semalam dan berlarutan sehingga awal pagi ini dikatakan berjaya mencapai keputusan yang akan menyelesaikan kemelut kepimpinan di negeri itu. Gambar: Phahrolrazi (kiri) Dr.Ismail (kanan)

Menurut Harakahdaily yang memetik Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub sebagai berkata, keputusan yang dicapai itu mengambil kira pelbagai pandangan yang dibincang.

"PAS sudah ada keputusan. Ia sangat mengambil kira pelbagai pandangan yang kita bincang.

"Kita akan umum keputusan tersebut secara rasami dalam masa terdekat," katanya dipetik organ rasmi parti itu.

Sementara itu, dalam satu teks pesanan ringkas, PAS memaklumkan satu sidang media khas mengenai isu Kedah akan diadakan pada jam 11 pagi esok.

Sidang akhbar itu akan diadakan di pejabat agung PAS Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Semalam, pertemuan khas bagi mencari penyelesaian isu Kedah itu dilaporkan berlangsung lebih lima jam bermula sekitar jam 9.30 malam sehingga jam 3 pagi tadi di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon, Alor Setar.

Ia berhubung isu Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh yang enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri Kedah kerana dikatakan tidak mampu bekerjasama dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing merupakan timbalan pesuruhjaya PAS I dan II manakala Azizan adalah pesuruhjaya PAS Kedah.

Para pemimpin PAS Pusat seperti Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar juga dilihat antara yang terawal memasuki kediaman rasmi menteri besar kira kira jam 8.15 malam.

Beberapa exco kerajaan negeri seperti Datuk Amiruddin Hamzah; Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul dan Abdul Ghani Ahad juga kelihatan memasuki Seri Metaloon.

Menurut Harakahdaily lagi, difahamkan pertemuan malam semalam itu dibahagikan kepada dua sesi iaitu pertama pertemuan empat mata antara Salahudin dengan Phahrolrazi, dan diikuti dengan Azizan.

Ia kemudiannya disusuli dengan pertemuan Jawatankuasa PAS Pusat dengan badan perhubungan PAS negeri yang dipengerusikan presiden parti sendiri, Datuk Seri Hadi Awang.

Pertemuan tertutup itu merupakan kali kedua bagi membincangkan krisis dalaman parti itu di Kedah selepas mesyuarat khas PAS di Kuala Lumpur Khamis lalu gagal menemui jalan penyelesaian.

Keputusan diumum hari ini

Sementara itu, Bernama melaporkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengumumkan keputusan berhubung kemelut pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah pimpinan parti itu, hari ini.

Salahuddin yang mempengerusikan pendengaran berhubung kemelut itu berkata Abdul Hadi yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja PAS Pusat akan mengumumkan keputusan itu secara rasmi sama ada di Alor Setar atau Kuala Lumpur.

Mereka yang terlibat dalam kemelut itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan anggota-anggota exco Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh.

Phahrolrazi dan Dr Ismail tidak mengangkat sumpah bagi pelantikan semula sebagai exco bagi penggal 2012/2013 di Istana Anak Bukit pada 28 Februari lalu.

Pada hari yang sama Phahrolrazi yang juga timbalan pesuruhjaya I PAS Kedah berkata beliau enggan dilantik semula kerana mempunyai perbezaan pendapat yang "kritikal" dengan Azizan dalam soal pentadbiran kerajaan negeri.

Buat pertama kali, Azizan dan Phahrolrazi dipertemukan oleh PAS Pusat yang campur tangan untuk menyelesaikan kemelut itu dengan mendengar penjelasan mereka di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon di Alor Setar, malam tadi.

Salahuddin berkata Azizan dan Phahrolrazi, masing-masing mengambil masa sejam menyampaikan fakta dan hujah pada pendengaran itu.

"Mereka memberi kerjasama cukup harmoni dan profesional. Saya yakin jawatankuasa kerja PAS Pusat yang dipengerusikan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) akan dapat mencari penyelesaian terbaik kepada masalah ini.

"Kami berpuas hati dengan penjelasan mereka. Keputusan jawatankuasa adalah muktamad dan mereka mesti akur," katanya kepada pemberita selepas pendengaran itu selesai kira-kira tengah malam tadi.

Semua jawatankuasa PAS Pusat termasuk timbalan presiden Mohamad Sabu, tiga naib presidennya dan beberapa anggota exco kerajaan Kedah hadir kecuali Dr Ismail.

Jawatankuasa itu berbincang hampir tiga jam bermula kira-kira 12.15 tengah malam selepas Salahuddin bertemu media yang menunggu di luar Seri Mentaloon.

Sebelum itu, semua anggota jawatankuasa PAS Pusat tiba di Seri Mentaloon kira-kira pukul 8 malam dan mereka menunggu Abdul Hadi yang tiba kira-kira 9.50 malam untuk mendengar hujah dan penjelasan Azizan dan Phahrolrazi.

Seri Mentaloon dikawal ketat dan pihak-pihak tidak berkenaan termasuk media tidak dibenarkan memasuki kawasan kediaman tersebut.

Bagaimanapun, harapan media yang menunggu seawal jam 8 malam di Seri Mentaloon agar ada pemimpin tertinggi PAS akan membuat kenyataan selepas mesyuarat jawatankuasa selesai kira-kira pukul 3 pagi, hampa.

Malah kenderaan yang membawa Azizan atau Phahrolrazi juga tidak berhenti. -mk


Isu Pas Kedah: Phahrolrazi, Ismail kekal Exco?

SHAH ALAM - Perbincangan misi damai lebih lima jam di kediaman rasmi Menteri Besar di Alor Setar, yang berakhir awal pagi tadi, dipercayai telah mencari formula menjernihkan kemelut kepimpinan Pas Kedah - pastinya buat sementara waktu ini - dengan dua pemimpin parti yang sebelum ini menolak tawaran pelantikan semula sebagai Exco, akan kekal dengan jawatan mereka dalam barisan pentadbiran kerajaan negeri.

Sinar Harian Online difahamkan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh, yang menjadi fokus kontroversi kepimpinan Pas Kedah, sudah bersedia untuk menerima formula penyelesaian yang diusahakan oleh Pas Pusat dan kekal sebagai Exco.

Tempoh kedudukan mereka sebagai Exco sebenarnya hanya akan berakhir 7 Mac ini.

Kedua-dua Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing turut memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah. Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak merupakan Pesuruhjaya Pas Kedah.

Pada minggu lalu, hanya lapan orang mengangkat sumpah sementara kedua-dua mereka dilaporkan telah menolak tawaran pelantikan semula sebagai Exco atas alasan berhadapan dengan persekitaran kerja yang kritikal dan tidak boleh duduk dalam pasukan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Azizan.

"Ia satu keputusan yang baik dicapai, kesemua mereka khususnya dua Exco yang terbabit telah menunjukkan persetujuan untuk bekerja sebagai satu pasukan... akan bersama dalam satu pasukan menghadapi pilihan raya umum, ini keputusan bersama dicapai," kata sumber kepimpinan Pas Pusat kepada Sinar Harian Online.

Ketika ditanya sama ada perkembangan itu bermakna kedua-dua Phahrolrazi dan Ismail akan kekal dalam barisan Exco Kerajaan Negeri, sumber itu hanya menjawab: "Itu saya tidak boleh mengulas."

"Apa yang boleh saya katakan sekarang ialah memang wujud perbezaan pandangan, mereka berada di gelanggang yang berbeza, tetapi bukan bertindak sebagai pembangkang.

"Itu sangat jelas. Dan, mereka sekarang setuju kembali bertindak sebagai satu pasukan, khusus bagi menghadapi pilihan raya umum dan mengekalkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat," kata beliau lagi.

Pengumuman rasmi mengenai hasil akhir pertemuan lima jam ini belum diketahui.

Bagaimanapun Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang diberikan tanggungjawab sebagai 'duta khas' mencari jalan penyelesaian berkata, pihaknya akan memanggil sidang media dalam waktu terdekat, kemungkinan hari ini.

"Ada beberapa perkembangan baru sedang diteliti. Kami akan memaklumkan bila sudah bersedia untuk mengadakan sidang media," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan kedua-dua Azizan dan Phahrolrazi, masing-masing diberi masa sejam untuk mengemukakan hujah dalam pertemuan dengan Salahuddin malam tadi.

Pertemuan khas misi damai yang diadakan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Alor Setar, berlangsung lebih lima jam sehingga 3 pagi tadi.

Bagi Pas, salah satu anggota komponen Pakatan Rakyat, yang menerajui kerajaan negeri sejak Mac 2008, kontroversi terbaru ini adalah ujian paling besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.

"Sudah ada keputusan, keputusan ini keputusan sebulat suara... ia akan diumumkan dalam waktu terdekat. Itu sahaja yang boleh saya cakap buat masa sekarang," kata beliau.

Pertemuan lebih lima jam itu dibahagikan kepada dua iaitu pertemuan Salahuddin dengan pemimpin-pemimpin yang menjadi fokus kontroversi, dan keduanya mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

Jawatankuasa Kerja Pas Pusat telah mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan kemelut kepimpinan Kedah ini, di ibu negara Khamis lalu.

Difahamkan pertemuan sesi pertama dipengerusikan oleh Salahuddin selama dua jam manakala mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pula diketuai sendiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bermula 12 tengah malam dan berakhir sekitar 3 pagi tadi.

Keperluan mengadakan pertemuan ini diputuskan pada mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan di ibu negara Khamis lalu susulan kunjungan misi khas oleh Salahuddin ke Kedah awal minggu lalu.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut, buat pertama kali, Azizan dan Phahrolrazi dipertemukan oleh Pas Pusat yang campur tangan untuk menyelesaikan kemelut itu dengan mendengar penjelasan mereka di Seri Mentaloon.

"Mereka memberi kerjasama cukup harmoni dan profesional. Saya yakin jawatankuasa kerja Pas Pusat yang dipengerusikan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dapat mencari penyelesaian terbaik kepada masalah ini.

"Kami berpuas hati dengan penjelasan mereka. Keputusan jawatankuasa adalah muktamad dan mereka mesti akur," kata Salahuddin kepada pemberita selepas pendengaran itu selesai kira-kira tengah malam tadi.
-SH


Ulasan GB

Jika jangkaan GB di atas benar iaitu kedua-dua exco akan menerima perlantikan exco kerajaan negeri Kedah, bererti juga menjadi kenyataan pemerhatian yang GB lakukan sebelum ini pada 28 Feb lalu bahawa 2 exco tersebut akan mengangkat sumpah di majlis yang lain.

Lapan Exco Kedah Angkat Sumpah, 2 Exco Lagi Di Majlis Kedua


6 ulasan:

Cakcebor berkata...

Aapapun cara penyelesaiannya..Maslah yang ditimbulkan banyak menimbulkan prasangka takbaik kepada PAS seluruh negara. Sekiranya Kedah dapat ditawan semula oleh BN..inilah punca utama yang menyebabkannya.

Jutawan Internet berkata...

depa ni masing2 cenge, tapi cenge bodoh

Tanpa Nama berkata...

ada juga yang gila kuasa nampaknya, macam hasan ali

Tanpa Nama berkata...

situasi sekarang Amirudin lebih layak ganti Azizan yang sedang uzur

tareq al sufi berkata...

ingatlah pesanan Nabi SAW, "Ittaqu firosatal mukmin fa innahu yanzuru bi nurillah " takutlah kamu akan firasat ulama;, sesungguhnya mereke melihat dengan cahaya Allah....wahai tuan, hati yang merindui akan pertemuan dengan Allah SWT akan sentiasa menyebut2 NamaNya, arakian hati mereka telah dilimpahkan hidayahNya, seraya mereka pula takut akan siksaan Allah di akhir nanti. Justru para ulama' adalah kalangan hamba yang paling takut kepada Allah, maka sayugia pimpinan ulama' yang menjadi dokongan PAS sangat2 menuntut para pendokong PAS memberi wala' dan tsiqah kepada mereka.

Tanpa Nama berkata...

puak ni dah melampau dah mula belajar bejuang untok perut, masing2 nak tunjok angin , kali ni sory laa