11 Feb 2012

Tuduhan Hassan Ali, Pemuda PAS Buat Laporan Polis, Nasruddin Buat U-Turn [updated]

Pemuda PAS lapor polis terhadap Hasan Ali

Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini membuat satu laporan polis terhadap Datuk Dr Hasan Mohd Ali ekoran kenyataan bekas exco Selangor itu yang didakwa boleh mencetuskan suasana tegang dan mengancam keselamatan negara.

Ianya merujuk kepada kenyataan Hasan ketika berceramah pada 31 Januari lalu di Padang Awam Seksyen 2, Bandar Baru Bangi yang dilaporkan berkata bahawa apabila Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kuasa Putrajaya, DAP akan menggabungkan Malaysia dengan Singapura untuk menubuhkan sebuah negara republik.

Di samping itu, Hasan Ali yang dipecat keahlian dari PAS awal Januari lalu itu juga dilaporkan mendakwa bahawa DAP akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan menghapuskan elemen-elemen Islam di negara kita.

"Ucapan ini pada kita sangat bahaya dan boleh mengundang ketidakharmonian antara kaum.

"Ia juga satu kenyataan berniat jahat yang cuba menghasut masyarakat membenci PAS serta parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat," kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily selepas selesai membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.

Turut serta dalam rombongan itu, exco Dewan Pemuda PAS Pusat termasuk Mohd Sany Hamzan dan Mohd Adram Musa.

"Kalau ianya tidak benar, dia (Hasan Ali) kena nafikan lah, namun sehingga hari ini belum ada sebarang penafian dari beliau.

"Jadi untuk permulaan kita serah kepada pihak berkuasa menyiasat perkara ini dan kita telah bersedia untuk mengambil tindakan lanjut selepas itu," kata Raja Ahmad. -HD

Hasan Ali Perlu Buktikan DAP Mahukan Negara Republik

SHAH ALAM 9 FEB: Bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali diminta supaya tidak terus membohongi dan menakut-nakutkan orang Melayu dengan kenyataan DAP akan menjadikan Malaysia sebagai Negara Republik sekiranya Pakatan Rakyat (Pakatan) menang dalam Pilihanraya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, adalah tidak logik DAP mampu membentuk kerajaan sedangkan mereka hanya bertanding 15 kerusi di Selangor dan 46 kerusi Parlimen.

Oleh yang demikian, beliau mencabar Hasan Ali supaya mengemukakan perkiraan yang membolehkan DAP berkuasa di negara ini.

"Saya nak mintak dia gunakan PhDnya buktikan kepada saya macam mana bertanding 15 kerusi di Selangor boleh menang 29 kerusi. Gunalah PhD awak, tunjuk kepada saya. DAP hanya bertanding 15 daripada 56 kerusi di Selangor.

"Bertanding di peringkat pusat, DAP bertanding 46 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi. Kalau nak memerintah negara, sehingga ingin menjadikan Malaysia negara republik, dia memerlukan dua pertiga. Majoriti mudah mereka memerlukan 112 kerusi. Minta dia buat tesis macam mana bertanding 46 kerusi bagaimana boleh menang 112 (kerusi)," katanya.

Sekiranya gagal, adalah lebih baik Hasan mengambil pendekatan berdiam diri daripada terus menakut-nakutkan orang Melayu jelas beliau.

Sebelum ini, DAP melalui Penasihatnya, Lim Kit Siang menyatakan pendirian bahawa parti itu menyokong 100 peratus Islam sebagai agama rasmi negara serta bukan sebuah parti anti Melayu dan institusi DiRaja.

Beliau turut mencabar Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengemukakan bukti yang mengatakan DAP ingin menjadikan Malaysia sebuah negara republik.

Katanya, adalah lebih baik berhujah mengenai dasar masing-masing dan membiarkan rakyat membuat keputusan dalam menentukan pemimpin mereka.

Katanya, meskipun jumlah kerusi campuran DAP dan PKR berjumlah 27 kerusi tidak ada keperluan untuk PAS tunduk kepada DAP walaupun hanya memiliki 7 kerusi memandangkan untuk membentuk kerajaan negeri memerlukan sekurang-kurangnya 29 kerusi.

Ujar beliau, sudah semestinya Pakatan tidak boleh membentuk kerajaan di Selangor tanpa PAS.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media hari ini. -tvsnews


Nasrudin: Saya tidak lagi dengan Hasan Ali

GOMBAK - Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hasan menegaskan, beliau tidak lagi bersama Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, malah tidak ambil peduli terhadap tindak tanduk bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mendakwa Dewan Pemuda Pas berada di belakang dan menyokong tindakan-tindakan diambil Hasan.

Nasrudin berkata, setelah Hasan dipecat dan tiada rayuan dibuat, beliau menganggap bekas Exco Selangor itu sebagai orang luar yang tiada kena-mengena dengan Pas.

Hasan dipecat oleh Pas pada 8 Januari dan minggu lalu, beliau mengumumkan tidak akan membuat rayuan.

"Saya difahamkan sebelum ini dalam 'roadshow' beliau, Hasan ada berkata yang Pemuda berada di belakangnya, menyokongnya. Di sini saya nak tegaskan bahawa saya tak bersama beliau selepas dia keluar Pas dan dia tidak kemuka rayuan. Saya tak bersama beliau," katanya pada sidang media selepas mesyuarat bulanan Pemuda Pas di sini, hari ini.

Selain itu, Nasrudin berkata, walaupun terdapat beberapa kenyataannya sebelum ini yang didakwa menyebelahi Hasan, ia disebabkan Adun Gombak Setia itu masih lagi ahli Pas.

"Pemuda sejak awal lagi konsisten perjuangkan Islam. Kita tak pernah menyeleweng seperti yang didakwa dia (Hasan) yang mengatakan Pas kini mengabaikan perjuangan. Dari segi penubuhan negara kebajikan, kita cuma memperhalusi pendekatan dan perbaharui tindakan yang sesuai mengikut suasana. Itu perkara biasa.

"Mungkin bila kita ubah nama dari negara Islam kepada negara kebajikan, dia mengatakan kita sudah abai perjuangan. Sebenarnya tidak ada beza pun. Negara kebajikan ialah membina negara Islam," tegasnya. -SH



4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Nasrudin ni walaupun buat kenyataan positif tapi masih kelihatan bangang kerana suka buat perkara bangang dari peringkat awal. Kelihatan otak beliau lambat berfikir menyebabkan beliau sering ketinggalan bas.

Apa yg menyebabkan pemuda pas ketika ini sering terjebab dengan perangkap? Jawapannya ialah ia dipimpin oleh manusia yg berotak kerdil tidak proaktif. Hanya mampu berfikir keadaan semasa dan terkebelakang. Tak mampu untuk berfikir di luar kotak.

Tanpa Nama berkata...

sesiapa saja yg prnah trlibat dgn upacara UG dulu akan 'dijampi' Hasan Ali. Dulu stopa ali dijampi Hasan, skrg Nasarudin hasan 'dijampi', lpsni hang tgk la geng UG mana lak yg akan 'dijampi' Hasan Ali.

Seru Dato' jgn x seru.. seru geng2 UG sampai 40hari 40 mlm..

Tanpa Nama berkata...

kenapa PAS yang buat laporan polis?biarlah DAP yang buat sbb Hasan Ali memburukkan DAP bknnya PAS..

Tanpa Nama berkata...

eh apa ke bodohnya, hasan ali tu mencalar kredibiliti pas kerana dia bekas ahli pas. lagipun dia fitnah kononnya pemuda pas menyokongnya, jadi untuk mengelakkan salah faham dikalangan pakatan terutama dap, pas kenalah buat laporan polis, supaya semua grassroot faham pendirian pas yang tepat dengan aspirasi pakatan rakyat.