27 Jan 2012

Rakus Tak Rakus, Bentuk Dan Biar Suruhanjaya Siasatan Diraja Tentukan

Keluarga Shahrizat nafi rakus belanja pinjaman RM250 juta

Pengarah eksekutif syarikat National Feedlot Corporation, Wan Shahinur Izmir Salleh menafikan dakwaan bahawa beliau serta anggota keluarganya rakus membelanjakan pinjaman wang RM250 juta untuk projek lembu fidlot.

"Tidak munasabah kalau saya (guna wang) untuk berpoya-poya, anak-anak saya akan lingkup, (keluarga) saya akan hancur bila tidak boleh bayar pinjaman yang besar itu.

"(Ada yang dakwa) kami rakus dengan wang, beli kondo, beli (kereta) Ferrari, beli coli RM16K pun ada (yang kata).

"Orang cepat melatah dan kata benda-benda begini," katanya dalam satu taklimat kepada beberapa pemimpin NGO di Kampung Baru hari ini.

Ini merupakan kali pertama Shahinur Izmir tampil di khalayak umum untuk mempertahankan syarikat milik keluarganya yang kini dilanda kontroversi.

Anak kepada menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu berkata, beliau tidak pernah membeli kenderaan Ferrari dan gaji beliau juga tidaklah mencapai angka RM40,000 seperti yang didakwa.

Beliau turut menjelaskan keputusan syarikat berkenaan untuk membeli hartanah, seperti dua unit kondominium One Menerung.

Tegasnya, hartanah berkenaan telah memberi pulangan dalam bentuk bayaran sewa.

Katanya, syarikat itu juga perlu membayar pinjaman berkenaan tahun ini, sedangkan projek National Feedlot Centre telah ditangguhkan.

"Jadi dengan duit pinjaman itu, kita kena putuskan sama ada hendak biarkan dalam bank atau dijadikan pelaburan.

"(Keputusan untuk membeli hartanah) merupakan keputusan yang baik pada masa itu," katanya lagi.

Beliau juga menyifatkan bahawa tuduhan demi tuduhan terhadap beliau dan anggota keluarganya itu sebagai dakwaan yang tidak jujur.

"Macam mana nak seleweng duit yang kita sendiri pinjam? Setiap sen pinjaman itu kena bayar balik," katanya lagi.

Beliau turut menerima beberapa soalan daripada wakil NGO yang hadir, termasuk daripada wakil pertubuhan Suara Inspirasi Malaysia, Suhaimi Adnan.

Suhaimi menimbulkan persoalan berhubung nasib penternak lembu di kawasan Air Kuning Selatan, Gemas yang kini menjadi tapak projek NFC.

Suhaimi berkata, tanah penternak berkenaan telah diambil tanpa sebarang pampasan manakal projek ladang satelit yang dijanjikan melalui NFC juga tidak berjalan.

Wan Shahinur Izmir dalam penjelasannya berkata, syarikat NFC tidak bertanggungjawab atas pengambilan tanah berkenaan, yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Beliau kemudiannya bergegas keluar meninggal majlis berkenaan tanpa menerima apa-apa soalan daripada wartawan.

Difahamkan, Wan Shahinur Izmir akan menyertai bapanya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail yang kini sedang mengerjakan umrah di Mekah. -mk



Kit Siang: Masyarakat harus mendesak pembentukan Suruhanjaya Diraja untuk NFC

KUALA LUMPUR, 27 Jan — Lim Kit Siang bertekad untuk memastikan kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) terus hangat, dan mendesak rakyat Malaysia berkerjasama mendesak kerajaan supaya membentuk Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat skandal tersebut.

Beliau menggelar NFC satu "kontroversi terbesar", dan pemimpin veteran ini berusaha menyenaraikan beberapa sebab mengapa kerajaan, dan pemimpin utama seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, harus menghadapi kenyataan dakwaan bahawa mereka terlibat terhadap skandal tersebut.

"Konspirasi sedemikian tidak seharusnya dibiarkan, skandal 'kondominium lembu' NFCorp (National Feedlot Corporation) menjadi satu simbol kegagalan pentadbiran Najib dalam mencegah rasuah dan mengetuai kerajaan yang telus dan bertanggungjawab," kata Lim.

Dalam senarainya, Ipoh Timor MP menyatakan bahawa pinjaman kerajaan RM250 juta yang dimaksudkan bagi projek penternakan lembu diakui pernah digunakan untuk membeli unit-unit kondominium mewah di Kuala Lumpur dan Singapura, petak-petak tanah di Putrajaya dan membiayai perjalanan ke luar negara dan “gaji-gaji luar biasa tinggi” untuk ahli-ahli keluarga Shahrizat.

Shahrizat, menteri dalam Kabinet Najib, telah berulang kali dikaitkan dengan skandal terbabit berikutan suaminya merupakan pengerusi NFCorp, dan anak-anaknya merupakan ahli lembaga pengarah dalam syarikat itu.

Lim juga menyatakan bahawa selain daripada Shahrizat dan keluarganya, personaliti-personaliti penting lain juga dikaitkan dengan skandal NFC itu, termasuklah Najib yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Projek Berimpak Tinggi apabila NFC dimulakan, Muhyiddin, yang ketika itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, dan Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pertanian sekarang.

Beliau turut menamakan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, kerana beliau merupakan ketua Kabinet ketika projek itu bermula pada 2007.


Lim juga mempersoalkan keengganan pihak-pihak berkuasa untuk membincangkan skandal berkenaan, walaupun dengan jelas telah dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Antara lain, Lim menunjukkan bagaimana laporan Peguam Negara telah ditangguhkan daripada dibentang di Parlimen tahun lepas, keengganan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) “ selepas lima bulan” memulakan penyiasatan, kegagalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid menyiasat skandal tersebut dan keengganan Najib dan Muhyiddin untuk melaksanakan siasatan Suruhanjaya Diraja.

Menurut Lim, percubaan-percubaan itu dilihat cuba menyembunyikan skandal berkenaan yang menurutnya bukan sahaja "kotor" seperti laporan media, malah, projek penternakan lembu bernilai jutaan ringgit itu merupakan satu “huru-hara yang dasyat”.

“Secara keseluruhan, terdapat halangan yang besar terhadap konspirasi tersebut bagi menyembunyikan skandal NFC/ NFCorp.

“Rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik, patut bersatu dengan suara yang terang dan jelas bagi menuntut pembentukan Suruhanjaya Diraja untuk NFC/NFCorp," katanya lagi. – TMI


Bersatu untuk dedahkan skandal “kondo dan lembu”

Semua rakyat Malaysia tidak kira pegangan agama, politik mahu pun kaum yang cintakan negara perlu bersatu untuk mendesak kerajaan pusat menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai penyelewengan melampau “lembu dan kondo” NFC.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menggariskan empat sebab kenapa rakyat perlu bersatu padu menentang penyalahgunaan wang rakyat untuk kepentingan peribadi pemimpin UMNO-Barisan Nasional dan keluarga mereka.

Pertama: Pinjaman oleh NFCorp berjumlah RM250 juta dengan kadar faedah 2 peratus dari kerajaan persekutuan untuk memperomosikan penternakan lembu.

Menurut Kit Siang, ada khabar bahawa terdapat pembelian kondominium di Kuala Lumpur dan Singapura, pembelian sebidang tanah di Precint 10 Putrajaya, pelancongan ke luar negara, dan gaji tinggi yang tidak masuk akal untuk keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Kedua: Beberapa personaliti politik tertinggi tanah air juga dikaitkan dengan skandal ini atau mungkin terlibat secara langsung.

“Personaliti itu perlu ke hadapan, jelaskan kepada rakyat, dan mereka yang terlibat itu bukan sahaja Shahrizat, malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Projek-projek Bernilai Tinggi yang meluluskan projek NFC pada 2006.

“(Selain Najib,) Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu dan menteri sekarang Datuk Seri Noh Omar.

“Malah, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi juga perlu ke hadapan kerana beliaulah yang mempengerusikan kabinet sebelum pilihan raya umum 2008,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Ketiga: Kelewatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang mengambil masa lebih lima bulan selepas Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan penyelewengan NFC.

Keempat: Usaha terbaharu personaliti-personaliti politik untuk “menutup” dan lari dari tanggungjawab skandal itu.

Sehubungan itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, konspirasi-konspirasi skandal NFC/NFCorp boleh dijadikan tanda aras atau simbol kegagalan Najib dan ‘pengikutnya’ yang kononnya mahu melawan rasuah dan pelbagai lagi korupsi.

“Walau pun tanpa skandal “kondo berisi lembu” itu, Malaysia telah pun menjunam teruk ke tangga 60… Paling rendah sejak 17 tahun lalu menurut Laporan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International 2011,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia akan terus menjunam lebih teruk dan buruk lagi tahun ini sekiranya skandal NFC ini tidak disiasat secara telus.
– Roketkini


Tiada ulasan: