16 Dis 2011

Jentera Bomba Redah Rumah, 4 Anggota Cedera

Kepala Batas: Empat anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Muda cedera dalam satu kemalangan apabila jentera bomba yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh dua buah rumah di Kampung Pasir Gebu, Penaga di sini, malam tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Azmi Tamat, berkata kejadian itu berlaku pada jam 9.25 malam ketika jentera berkenaan dalam perjalanan ke satu kejadian kebakaran di Pajak Song di sini.

Katanya, mereka yang cedera termasuk seorang parah ialah Shawal Dahaman, Nordin Hassan, Shamsuddin Mohd Nahu dan Ridzuan Hamid, kesemuanya dalam lingkungan usia antara 25 dan 40 tahun.

"Kejadian itu berlaku ketika jentera bomba berkenaan melalui satu selekoh di persimpangan jalan dan tiba-tiba sebuah motosikal datang dari arah bertentangan.

"Pemandu jentera cuba mengelak bagaimanapun hilang kawalan dan terbabas sehingga merempuh dinding bahagian dapur dua buah rumah di situ," kata Azmi ketika ditemui di tempat kejadian selepas kerja-kerja menyelamatkan mangsa selesai.

"Bomba terpaksa mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan seorang daripada mangsa yang tersepit kerana jentera bomba itu tersepit antara pokok dan rumah," katanya.

Beliau bersyukur kedua-dua penghuni rumah yang terbabit dalam kemalangan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, seorang pemilik rumah yang terbabit dalam kemalangan itu, Noriah Wahab, 61, berkata ketika kejadian dia sedang solat dalam biliknya manakala anak lelakinya, Nurizwan Abdul Razak, 31, berada di ruang tamu.

"Tiba-tiba dengar bunyi kuat, mak cik ingat bunyi pokok tumbang, rupa-rupanya dinding rumah mak cik yang kena rempuh, nasib baik tiada sesiapa yang cedera... anak-anak mak cik yang lain tiada di rumah," katanya.

Noriah berkata, dapur rumahnya mengalami kerosakan teruk akibat rempuhan kuat. - BERNAMA



Tiada ulasan: